KONSEP ONE UMMAH: KEBENARAN & KEPALSUAN

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, September 8, 2009 0 ulasan


Apabila kita memperkatakan tentang ONE UMMAH maka yang tergambar ialah ummat Islam Bersatu. Sekiranya kita menjadikannya satu konsep perjuangan maka hal ini amatlah baik kerana itulah perjuangan sejak dari dulu oleh Rasulullah SAW dan para ulama'ul amilin. InsyaAllah konsep ini akan sampai bila-bila diperjuangkan. Tidak ada seorang Islam pun yang tidak memahami konsep One Ummah ini kecuali mereka yang telah dipesongkan oleh Allah swt,

"Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama." Sahih Al-Bukhari, Hadis no: 71.


DEFINISI ONE UMMAH
Ia bermaksud satu ummat, kiranya ditafsirkan kata Ummat atau Ummah itu akan membawa pengertian yang luas bergantung kepada tujuan si penyebutnya. Perkataan ummat atau ummah pula hanya merujuk kepada manusia bukan kepada binatang kerbau atau unta. Sekiranya dirujuk kepada Ummat Manusia bermakna semua bangsa-bangsa atau keseluruhan etnik manusia di dunia samada mereka berkulit hitam atau pun putih. Sebagai contoh,

  • Semua keturunan Adam dan Hawa hari ini dipanggil sebagai manusia atau pun Ummat Manusia,
  • Semua ummat Islam adalah bersaudara, maka ia dipanggil Satu Ummah iaitu Ummat Islam,
  • Semua umat Kristian selain menyembah Allah mereka juga menyembah Jesus (Isa a.s.), dan mereka juga dipanggil satu ummat iaitu ummat Kristian.
  • Demikian juga dengan Ummat Yahudi, bermakna adalah bangsa atau semua penganut Yahudi.
Dalam http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2065 telah memberi definisi Ummah ketika di zaman awal Rasulullah saw di Madinah,

"Ummah menurut Sahifah Madinah adalah di dalam pengertian yang luas. Istilah tersebut adalah merujuk kepada semua penduduk Madinah pada masa kedatangan Nabi ke Madinah. Ia termasuklah orang-orang Islam yang berhijrah bersama Nabi atau lebih dikenali sebagai orang-orang Muhajirin, penduduk Madinah yang telah membantu Nabi atau yang lebih dikenali sebagai golongan Ansar serta orang-orang Yahudi yang telah menjadi sebahagian daripada sebahagian daripada penduduk Madinah. Walaupun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama tetapi masih lagi dianggap sebagai satu ummah. Oleh itu, Sahifah Madinah telah menyebutkan nama mereka satu persatu dan mereka masing-masing mempunyai hak dan tanggungjawab terhadap negara Islam Madinah."

Kenyataan Ummah di atas adalah dalam sebutan umum, maka semua bangsa dan agama yang ada dalam Madinah adalah ONE UMMAH. Boleh juga disebut sebagai Ummat Madinah. Dalam negara Islam, Kafir Dzimmi yang membayar cukai atau jizyah kepada kerajaan Islam maka mereka termasuk dalam One Ummah di negara Islam tersebut. Contohnya Ummat Iraq dan Ummat Mesir atau pun Ummat Malaysia atau Ummat Indonesia. Sekiranya khusus kepada orang-orang Islam yang berbagai bangsa dan keturunan maka dipanggil One Ummah juga iaitu Ummat Islam, kerana bersama-sama menganut satu fahaman atau agama.

Maka fahamlah kita bahawa Ummat atau Ummah itu bermaksud satu rupa bentuk, satu pendirian atau pun satu kumpulan. Menambah One atau Satu kepada istilah Ummah hanya sekadar penegasan untuk menguatkan lagi makna kepada kesatuan tersebut.


Fikir dan buatlah perjuangan hari ini untuk disemai dan dinikmati oleh generasi akan datang.

KEPELBAGAIAN PERJUANGAN ONE UMMAH HARI INI
Hari ini ramai kumpulan yang meneruskan konsep One Ummah ini. Bagi pejuang One Ummah orang-orang Islam, niat mereka pastinya kerana Allah dan Rasul, tinggal lagi benarkah mereka ini bersih dari sebarang campur tangan? Amatlah sukar bagi kita meletakkan samada gerakan mereka telah disusupi atau sebaliknya, kecuali Allah swt sahaja yang tahu. Mari kita senaraikan mereka yang memperjuangkan One Ummah yang diperjuangkan oleh Muslimin hari ini antaranya,

  • Ikhwanul Muslimin
  • Jamaah PAS (Malaysia),
  • NAHDLATUL ULAMA (NU) Indonesia,
  • Muhammadiyah (Indonesia),
  • Jamaah Tabligh (India-Pakistan) sekarang di mana-mana pun ada,
  • ABIM, JIM (NGO Malaysia)
  • Hizbuttahrir (Antarabangsa)
  • Dan banyak lagi yang tidak mampu disenaraikan.
Penulis tidak akan mengulas konsep yang disebut di atas kerana mereka setahu penulis saling berkerjasama sesama mereka sebagai lain-lain kumpulan tetapi satu tujuan iaitu kesatuan Ummah atau One Ummah.

Penulis akan mengulas beberapa kumpulan orang Islam yang menamakan konsep gerakan mereka dengan One Ummah juga walau pun pada hakikatnya jauh dari konsep tersebut seperti,

  • Liberalisme- Mereka ini mengutamakan kesamarataan genre iaitu tiada perbezaan istmewa antara lelaki dan wanita keduanya sama disisi Maha Pencipta. Sebagai contoh ialah Kumpulan Sister In Islam di malaysia, mereka tidak mewajibkan tudung sebagai penutup aurat wanita. Mereka bertungkus-lumus mengorek bukti dari Al-Quran dan Sunnah bahawa tudung bukannya wajib hanya harus (mubah). Ahli mereka sangat ramai dari kalangan wanita dan lelaki modernis golongan elit. Turut sefahaman dengan mereka ialah para Professor universiti, contohnya Prof. Aminah Wadud yang menjadi imam solat kepada lelaki di Amerika . Liberalisme juga dianut oleh professor-professor universiti yang selalu menganjurkan kesamarataan.
  • Pluralisme - Mereka ini juga memperjuangkan One Ummah tetapi dalam konteks "akal" mereka sendiri, walau pun mereka Islam tetapi mereka meletak semua agama adalah sama. Tuhan yang mereka sembah adalah sama tinggal lagi berbeza-beza perlambangan mereka. Maka Kristian, Yahudi, Islam, Hindu, Buddha, Baha'i, Taoisme, Zoroaster dll semua adalah sama kerana merasa diri bertuhan. Mereka menyatakan inilah konsep One Ummah yang sebenarnya tidak membeza-bezakan manusia dan pegangannya. Pluralisme ramai penganutnya di seluruh dunia yang terdiri dari kalangan ahli akademik Muslim. Inilah yang dianut oleh Ayah Pin di Terengganu dan Sai Baba seorang sami dari India yang punya pengikut jutaan manusia di seluruh dunia termasuk sebahagian orang-orang Islam.
  • Free-Thinker - Fahaman ini ramai juga dianut oleh kaum Muslimin seluruh dunia, tanpa mereka sedari atau sememangnya sedar mereka telah termasuk dalam jurang para kumpulan Aties (yang tidak percaya kewujudan Tuhan). Pada asalnya maksud Free-Thinker itu mudah iaitu pemikiran bebas, bermakna tidak terkongkong atau terikat dengan mana-mana fahaman dan keadaan atau suasana. Malangnya hal ini akan menular ke bahagian lain termasuk keyakinan terhadap pegangan mereka. Kebanyakan mereka ini mengaku diri terlalu pandai dan mahu dikenali sebagai pencetus pemikiran terkini. Inilah yang dianut oleh Darwin, Marxis, Mao Tze Tung dan lain-lain yang berfahaman Komunis. Amat malang kalau ada umat Islam yang berfahaman seperti ini, walau pun hanya sekelumit ia tetap dianggap Free-Thinker.
Di Filipina, Malaysia, Indonesia dan lain-lain negara yang punya umat Islam, fahaman-fahaman di atas telah berkecamuk menyebabkan kecelaruan dalam berfikir yang akhirnya mengganggu perkembangan Islam. Mereka inilah yang menghalang kesatuan atau ONE UMMAH yang sebenar.



KONSEP ONE UMMAH BERDASARKAN TAQWA
Dalam Islam walau pun kita berlainan warna kulit maka tiadalah bezanya yang membezakan ialah iman dan taqwa sahaja. Taqwa adalah Turning-Point dari segala hal dan perlakuan, samada kepada individu muslim, keluarga, persatuan, kampung, negara seterusnya dunia.

"Hai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslimun" ( Ali Imran : 102 ).

Rasulullah SAW bersabda yang antara lain maksudnya;
"Sesungguhnya paling mulia dikalangan kamu disisi Allah adalah yang lebih bertakwa" (maksud Hadis)

Rasul SAW menjelaskan maksud Taqwa,

"Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya.

Taqwa itu disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya, dan kehormatannya." Hadits 35 (Kumpulan Hadits Arbain - Imam Nawawi)

Taqwa dilanjutkan lagi iaitu sekiranya kita berada dalam satu kumpulan samada bergaul dengan orang bukan Islam mahu pun umat Islam sendiri maka Allah swt befirman,

"Hai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang yang mempermainkan dan mengejek agamamu sebagai pemimpin diantara orang yang telah diberi kitab sebelummu dan orang kafir; dan bertaqwalah kepada Allah jika kamu betul-betul orang yang beriman" ( Al Maidah / 5 : 57 )

Dalil ini menjadi hujjah kepada kaum Sulu di Filipina Selatan agar berjuang mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan mereka kerana pemimpin Filipina senantiasa mempermainkan muslimin dengan muslihat yang dirancang rapi. Selatan senantiasa dimainkan bunyi-bunyi keganasan yang ditimpakan oleh kerajaan Filipina ke atas Sulu dan Mindanao di samping perjanjian damai yang hanya dijadikan sebagai permainan "hulur dan tarik".



ONE UMMAH DARI SEKELIAN BANGSA & KETURUNAN
Taqwa masih ditekankan oleh Islam dalam mengatur bangsa dan keturunan dalam dunia,

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Surah Al-Hujrat (49) ayat 13.

Allah swt sengaja menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar dapat kenal mengenal dan seterusnya bersatu sebagai ummah. Kesatuan pula hanya dapat direalisasikan dengan taqwa. Kewujudan pelbagai keturunan dan bangsa ini adalah sunnahtullah, maka menjaga zuriat keturunan suku atau bangsa sangat dititik beratkan oleh Rasulullah SAW,

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., "Pelajarilah olehmu tentang nasab-nasab kamu agar dapat terjalin dengannya tali persaudaraan kamu. Sesungguhnya menjalin tali persaudaraan itu akan membawa kecintaan terhadap keluarga, menambah harta, memanjangkan umur dan merelakan Allah". Diriwayatkan oleh Ahmad dalam musnadnya, Tirmizi dan Al-Hakim.

Mempelajari bangsa keturunan Tausug dan etnik-etniknya agar dengan demikian akan bertambah kekuatan tali persaudaraan sesama mereka adalah satu galakan. Malah dengan mengkajinya kita dapat menghubungkan keluarga Tausug dengan bangsa Melayu lain di seluruh Nusantara ini seterusnya boleh melakukan penggabungan dalam satu wadah ONE UMMAH.

Menidakkan kewujudan kepelbagaian etnik dan keturunan merupakan satu kebodohan dan menidakkan hadis Rasulullah SAW sendiri, Na'uzubillah. Ini berlaku dikalangan ummat Islam yang perjuangkan ONE UMMAH, bertindak bodoh dengan melarang membicarakan etnik atau keturunan dengan alasan ditegah oleh Islam, Sungguh ini adalah kebodohan yang nyata.



Yang dilarang oleh Islam ialah fanatisma kebangsaan atau Assabiyyah, iaitu hanya mengangkat bangsanya sendiri dengan menidakkan atau merendahkan bangsa lain. Tiada orang Islam yang berfikir demikian kecuali mereka yang "putus wayar" yang berfikiran dia sahaja yang hidup dalam dunia ini tanpa memerlukan orang lain.

Hadis Nabi SAW seterusnya menjelaskan yang bermaksud: Telah bertanya seorang lelaki: "Wahai Rasulullah, adakah dianggap fanatik puak orang yang sayang kepada kaum bangsanya? Jawab Baginda, tidak, tetapi fanatik puak ialah seorang yang menolong kaum bangsanya kepada kezaliman."

Seterusnya dari anak Wasilah bin Asqa bahawa beliau telah mendengar bapanya (Wasilah) berkata: "Aku bertanya Rasullulah, apakah dia asabiyah itu? Jawab Baginda: Bahawa engkau menolong kaummu di atas dasar kezaliman."

"Sesungguhnya orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was daripada syaitan, mereka segera mengingat Allah, dengan demikian mereka dapat segera melihat kesalahan diri mereka " (Al A'raf 7 : 201)



Dalam hal ini penulis mempunyai seorang sahabat di Zamboanga City, beliau bekerja sebagai Professor di salah satu Universiti di sana sekarang sibuk dengan program ONE UMMAH nya bersama kawan-kawan lain. Mari kita do'akan beliau semoga berjaya dengan kumpulan ONE UMMAHnya mempersatukan umat Islam di Sulu dan Mindanao. Kita juga berdo'a semoga beliau menjadi pemimpin yang dapat menggantikan Prof. Nur Misuari di masa akan datang.

Kepada semua pejuang ONE UMMAH adalah amat malang sekiranya mereka mewujudkan ONE UMMAH tetapi jauh dari taqwa dan kehendak Islam itu sendiri dengan sibuk mewujudkan pelbagai perselisihan. Sekiranya berlaku demikian secara berterusan pastinya akan menghasilkan luka dan kotoran yang akan terlekat dalam lipatan sejarah sebagai kumpulan ONE UMMAH terburuk yang dipimpin oleh pemimpin buruk akhlak dan jahil.

“Dan berpeganglah kamu semuanya dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dulu (pada masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu jadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”(Ali-‘Imran, 3:103)


ASREE

Post a Comment