Deklarasi Kemerdekaan Sulu Berlangsung 4 Hari

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Sunday, November 21, 2010 0 ulasan

21 Nov, 2010 Jolo, Sulu: Peristiwa bersejarah pada hari Rabu 17 November baru-baru ini penduduk Jolo, Sulu telah menyaksikan Perisytiharan "Deklarasi Kemerdekaan Sulu Sultaniyyah Darul Islam" secara besar-besaran yang diadakan selama empat hari di perkarangan Plaza Tulay yang lokasinya terletak di hadapan Masjid Besar Tulay. Telah menjadi kejutan kepada penduduk Jolo pada hari tersebut walau pun sejak beberapa minggu yang lalu makluman berbentuk sepanduk dan pelekat serta risalah telah pun disebarkan oleh ahli United Tausug Citizens (UTC).

Walau pun kehadiran begitu sedikit hanya kira-kira tiga ribu kehadiran sahaja tidak seperti yang dijangka iaitu seramai 10 000 orang pada awalnya bukanlah menunjukkan gagalnya hari Deklarasi Kemerdekaan Sulu Sultaniyyah Darul Islam oleh United Tausug Citizens. Kehadiran beberapa Professor/pensyarah dari Mindanao State University Bongao serta sokongan para Syarif dan barisan pimpinan MNLF termasuk para balu mereka menjadikan majlis Deklarasi Kemerdekaan Sulu penuh bermakna. Bagi Atty. Meltino J. Sibulan serta pemimpin-pemimpin UTC deklarasi telah berjaya mencapai matlamatnya dengan terisytiharnya Sulu Merdeka sepanjang sejarah Kesultanan Sulu selama 605 tahun.

"Perbarisan dan deklarasi kita hari ini adalah mengenai kita, masa depan generasi kita yang akan datang. Sangat sedih dan melukakan perasaan saban tahun bangsa ini dibom, dianiaya, dibunuh, dituduh sebagai pengganas oleh Manila demi kepentingan jawatan dan nafsu serakah ahli politik mereka. Manila yang datang menyerang ke sini sebaliknya kita yang digelar pengganas pula. Kita sebenarnya kaya tetapi lihatlah, wilayah kita lah yang paling miskin dan melarat berbanding wilayah lain di seluruh Filipina. Hari ini kita berdiri bersama di sini dengan satu matlamat iaitu Kemerdekaan Sulu Darul Islam agar kita dapat menguasai hasil bumi dan laut seterusnya dapat membangunkan Sulu mengikut acuan kita" Ujar Prof Adil dalam ucapannya yang berapi-api di hadapan penyokong UTC yang turut disambut dengan laungan takbir dari hadirin.

Pada sebelah petang setelah beberapa pemimpin utama UTC memberikan ucapan Atty. Meltino J. Sibulan yang bertugas sebagai Legal Counsel Sultanate of Sulu telah membacakan kandungan Deklarasi Kemerdekaan yang kemudian disambut dengan takbir bertalu-talu dan tangisan dari ribuan hadirin. Mereka berpelukan dan bertangisan  sambil mengucapkan takbir kerana deklarasi dapat dilangsungkan secara aman tanpa gangguan dan sabotaj dari pihak Filipina mahu pun pihak luar. Kerana sebelum itu terdapat desas-desus dari luar kononnya akan ada serangan atau sabotaj dari pihak keselamatan Filipina atau pun dari pihak luar yang mahu menghalang seterusnya menggagalkan hari Deklarasi Kemerdekaan Sulu tersebut.

Rakyat Kesultanan Sulu walau bagaimana pun sudah nekad dan sedia dibunuh kerana bagi mereka terbunuh syahid adalah kejayaan menuju akhirat. Akhirnya sehingga deklarasi selesai dibacakan tiada satu pun bencana yang menimpa kecuali hujan lebat dan petir tunggal yang memberi petunjuk bahawa Kerajaan Langit yang Maha Kuasa telah mengesahkan pengisytiharan Kemerdekaan Sulu pada petang itu. Walau pun pada awalnya pihak Polis telah dimaklumkan kononnya rakyat Kesultanan Sulu yang akan mengadakan Deklarasi Kemerdekaan pada hari tersebut akan melakukan provokasi dengan melakukan benteng manusia untuk menutup setiap laluan di jalan utama sekali gus memberhentikan aktiviti jual-beli di Bandar Jolo akhirnya didapati tidak benar.

Selama empat hari rakyat Kesultanan Sulu berkampung di perkarangan Plaza Tulay dengan bekalan seekor lembu setiap hari. Sebenarnya pada hari deklarasi tersebut sehingga selesai pada hari keempat (Sabtu) UTC Kesultanan Sulu mempunyai bekalan 32 ekor lembu hasil kutipan Qorban dari Muslimin Turkey yang disalurkan melalui NGO kemanusiaan yang berpejabat di Kuala Lumpur dan sumbangan beberapa individu Tausug di Jolo, Sulu. Pada petang Sabtu iaitu hari terakhir berkampung di Plaza Tulay waktu sebelum maghrib UTC bersurai lalu menuju ke perkampungan mereka yang asal di Buansa, Indanan.

Laporan seterusnya ialah penubuhan Kerajaan dengan kementerian di bawah Perdana Menteri. Siapakah yang dipilih oleh rakyat menjadi Perdana Menteri menerajui kerajaan Kesultanan Sulu? Siapakah yang akan dipilih oleh rakyat melalui Rumah Bicharannya sebagai Sultan Sulu?

ASREESULU

Persiapan: 3 HARI SEBELUM 17 Nov 2010

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Monday, November 8, 2010 0 ulasan

Zamboanga City, Sulu: Dua minggu yang lalu penulis mula menjejak kaki ke Zamboanga City ini dari Sandakan, Sabah, Malaysia. Beberapa pertemuan telah berlangsung antara Hj Kerry (Foreign Relations Sultanate of Sulu Darul Islam) dengan kumpulan bekas pimpinan MNLF antaranya ialah Komander Kong, Bogs dan Mufti Region 9 iaitu Al-Fadhil Ustaz Abdul Baqi. Sebelum kami bertolak ke Jolo, Sulu Hj Kerry sempat mengadakan mesyuarat dengan Pertubuhan Sabilal Muhtadin yang telah dipengerusikan oleh Tuan Guru Bata' serta beberapa orang ustaz termasuk Ustaz Umar.

Antara topik mesyuarat ialah bagaimana pelajar-pelajar madrasah kendalian Sabilal Muhtadin dapat melanjutkan pelajaran ke Malaysia atau Indonesia di bawah nama Sultanate of Sulu Darul Islam. Menurut Sabilal Muhtadin, mereka tidak lagi mahu menghantar pelajar ke Bagio (Luzon Filipina) kerana kesemua pelajarnya bila selesai melanjutkan pelajaran di sana akan berubah menjadi penentang fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang secara tradisi dipegang oleh Tausug samada di Zamboanga mahu pun di seluruh kepulauan Sulu.

Sabilal Muhtadin menganggap fahaman Islam yang masuk ke Sulu kemudian selain Fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang dipegang oleh Tausug yang menggunakan metod Imam As-Syafi'e (Fiqh), Imam Al-Asya'ari & Al-Maturidi (Metod Aqidah) adalah tidak sesuai diamalkan di kepulauan Sulu. Sebagai contoh, Tausug mengamalkan sambutan Maulidurrasul serta mengamalkan ziarah kubur para wali namun fahaman Islam yang baru datang ke kepulauan Sulu sekarang telah mengharamkan amalan tersebut. Hal ini menyebabkan pecah belah dalam masyarakat.

Perkara lain yang dibincangkan ialah bagaimana para Ustaz dalam Sabilal Muhtadin dapat menyertai panel penggubal undang-undang dan membentuk Rumah Bichara kerana telah pun jelas undang-undang Kesultanan Sulu ialah Syari'ah (Al-Quran & As-Sunnah). Dalam hal ini Sabilal Muhtadin sangat mengharapkan Fahaman dan keyakinan Ahli Sunnah Waljamaah Tradisional Tausug sebagaimana fahaman yang dibawa oleh para Sayyid dan Syarif ke Kepulauan Sulu abad ke-14 dapat ditegak dan diamalkan.

Setelah selesai mesyuarat dengan Sabilal Muhtadin kami langsung menaiki kapal menuju ke Jolo, Sulu. Bertolak jam 8:00 malam sampai ke Jolo sebelum Subuh keesokan paginya. Dua hari kemudian mesyuarat Peace Keepers telah diadakan peringkat kepimpinan (General dan para Komandan) tentang persiapan menyambut kedatangan 5000 ke 10,000 ahli UTC (anggaran awal 20, 000 kehadiran) untuk menyertai ulang tahun kemerdekaan Sulu yang ke 605 tahun (17 Nov 2010).

Dalam perbincangan Peace Keepers telah diusulkan pembinaan Brigade secara khusus di atas bukit Indanan yang berdekatan seluas beberapa hektar. Brigade atau Kem Latihan bersepadu Peace Keepers akan disiapkan secepat mungkin dan isnsyaAllah akan mula berfungsi setelah Ulang Tahun Kemerdekaan pada 17 Nov 2010 nanti. Laporan lain akan menyusul kemudian.

ASREESULU