Kemerdekaan Sulu Mengenang Mujahid Ummah
Nama sebenar beliau ialah Abdul Qahhar Mudzakkar. Beliau telah dilaporkan mati dibunuh tetapi pada hakikatnya beliau masih hidup. Beliau mati sakit pada tahun 2006 lalu setelah berjaya membangun perkampungan Islam dan membuka pesantren di Batam, Indonesia. Al-fadhil Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah adalah saksinya.
Penulis ucapkan jutaan terima kasih buat Al-Fadhil Al-Habib Al-Huda "Abdullah" AL-Minangkabawi yang memberikan foto-foto Almarhum KH. Qahhar Muzakkar dan video-video ceramahnya baru-baru ini kepada penulis.
Perjalanan Habib "Abdullah" merentas laut Sulu kemudian berjumpa DYMM Datu Ladjamura bin Datu Wasik Aranan di Zamboangga City telah membuka jalan awal silaturrahim serumpun dan seagama antara Ummat Islam Indonesia & Ummat Islam Sulu. Ada pun tujuan utamanya ke Sulu adalah kerana amanat Tuan Guru beliau iaitu Almarhum KH. Qahhar Muzakkar Al-Sulawesi menelusuri kembali jejak perjalanan dakwah dan perjuangan beliau ketika masih hidup dahulu.
Beliau datang dengan barang dagangan, persis seperti para ulama' yang berdakwah masuk ke Sulu era kurun ke-13 dahulu. Telah menjadi tradisi para ulama' ketika dulu berdakwah sambil berniaga. Untung perniagaan digunakan selama berada di perantauan menjadikan mereka pendakwah yang berkemampuan sebab itu tidak meminta-minta.
RIWAYAT KH QAHHAR MUZAKKAR DI SULU
Menurut Habib Al-Huda "Abdullah" Al-Minangkabawi yang mana beliau sendiri pernah menjadi setiausaha dan jurutulis KH Qahhar, bahawa KH Qahhar pernah tinggal di Sulu agak lama ketika era pemerintahan Presiden Seokarno di Indonesia ketika itu. Beliau menjadi buruan kerajaan Indonesia lantaran beliau membawa diri berkelana ke pelusuk dunia termasuk di Sulu ketika itu adalah kerana mengelak dari bertembung dengan pihak keselamatan Indonesia.
Menurut Datu Nasir Al-Balangingi bahawa ayahandanya pernah bersama memancing ikan di Sulu dengan KH Qahhar ketika dulu. Menurut ayahanda beliau, KH Qahhar adalah seorang yang soleh yang senantiasa menjaga ibadah. Oleh kerana KH Qahhar mempunyai "ilmu" ganjil, maka ramai dari kalangan mujahidin Tausug belajar dengan beliau.
Penulis bertanya apakah "ilmu" ganjil KH Qahhar itu, Datu Nasir bercerita,
"Ketika Qahhar sedang buang hajat di satu tempat tiba-tiba muncul seorang lelaki Tausug dari arah belakangnya lalu melepaskan tembakan satu clip tanpa henti ke arah beliau. Asap menyelubungi tempat pembuangan hajat sehingga Qahhar tidak kelihatan dalam asap tebal tersebut. Bila asap hilang kelihatan Qahhar sedang berdiri dan membetulkan kainnya tanpa satu kecederaan pun di badannya dengan izin Allah sambil berkata, "Sepatutnya kamu tunggu saya selesai membuang hajat dahulu..." sambil tersenyum."
Menurut Datu Nasir lagi KH Qahhar fasih berbahasa Tausug tinggal lagi agak pelat menyebut beberapa perkatan seperti "dupang" KH Qahhar menyebutnya "Tuppang". KH Qahhar telah berkahwin dengan sepupu kepada Datu Nasir dan berjaya melahirkan beberapa orang anak yang sekarang masih hidup di Sulu.
Antara cerita Datu Nasir lagi ialah,
"Suatu hari ayahanda saya menemani Qahhar memancing ikan di laut. Suatu ketika mereka telah dihanyutkan entah kemana. Langit semakin gelap dengan awan tebal yang bakal menurunkan hujan lebat tiba-tiba ayah saya mengeluh kerana takut dilanda angin ribut ditengah laut. Tiba-tiba Qahhar mengarahkan ayah melepaskan kain layar. Ayah berkata "bukankah ini akan menyebabkan kita semakin ditiup ke belakang, tuan" Qahhar terus berkata kepada ayah "Tuppang" yang bermaksud "bodoh" kenapa tidak ikut sahaja arahannya."
"Yang menghairankan ayah ialah setelah dibuka kain layar tiba-tiba kapal mereka bergerak menyongsang angin menuju ke Sulu bukannya ke belakang. Ayah terpinga-pinga bagaimana berlaku demikian? Yang lagi menghairankan baju Qahhar tidak basah walau pun mereka telah dilanda hujan lebat berbanding bajunya yang sudah basah kuyup."
Foto KH Qahhar sedang berceramah di atas pentas dakwah beberapa tahun sebelum kewafatannya. Beliau berjaya membuka pesantren dan perkampungan Islam di Batam dan membuka kelas-kelas pengajian Sufi.
KH QAHHAR, MUJAHID LAGENDA NUSANTARA
Menurut Habib "Abdullah" Al-Minangkabawi, KH. Qahhar adalah berketurunan Bugis Paloppo dari Sulawesi Selatan. Beliau adalah salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia bersama sahabatnya iaitu Presiden Seokarno sendiri. Oleh kerana telah menjadi buruan kerajaan, beliau telah menjalankan penyamaran yang sukar dikesan hingga dikatakan kulit tua beliau yang berkedut seribu itu pun dapat beliau tutupi.
Kehebatan beliau menyamar hinggakan pihak keselamatan Indonesia ketika itu sukar menangkapnya adalah satu kelebihan tersendiri atau karamah beliau yang dianugerahkan Allah swt kepada para mujahid-Nya. Sehingga kini beliau telah menjadi satu lagenda Nusantara yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Di Sulu, Tausug memanggilnya dengan panggilan "Kahal Musakkal" iaitu seorang guru dan mujahid yang hebat.
Sejak dahulu lagi penulis sendiri telah menjadikan KH Qahhar Muzakkar sebagai idola kerana kegigihan beliau memperjuangkan pemerintahan Islam di Indonesia. Beliau bukan sahaja seorang mujahid malah juga sebagai Murabbi yang ahli dalam ilmu "mengenal diri" menggunakan kaedah zikir dan tareqat sufi. Nampaknya topi penulis sendiri seolah-olah jelmaan topi KH Qahhar Muzakkar.
Mari kita hadiahkan KH Qahhar dan para mujahid Nusantara serta mujahidin seluruh dunia umumnya dengan surah Al Fatihah. Semoga roh mereka ditempatkan bersama kekasih-kekasih Allah di syurga yang penuh kinakmatan "abadi". Al-Fatihahhh!!
Dan tidak lupa juga kita hadiahkan Al-Fatihah kepada mujahidin era Moro National Libaretion Front (MNLF) di Sulu dan Mindanao dahulu yang gugur syahid berperang dengan kuffar Marcos. Mereka bukannya mati katak kerana MNLF dan pemimpinnya tetapi perjuangan mereka adalah kerana Allah dan Rasul-Nya (jihad fisabilillah), membela bangsa dan Negara tercinta. Al-Fatihah!!
ASREESULU
InsyaAllah video ceramah KH Qahhar Muzakkar akan penulis masukkan ke dalam Youtube.com kemudian.
|