Anjakan Paradigma United Tausug Citezens (UTC)
Seorang kanak-kanak miskin tanpa selipar terduduk keletihan kerana lapar namun masih mampu mengangkat bendera kecil ketika menyertai tunjuk perasaan UTC.
Sangat menyedihkan dan meruntun jiwa bila melihat keadaan UTC ketika menyertai tunjuk perasaan ganas pada 17hb Mac 2009 baru-baru ini. Kebanyakan penunjuk perasaan masih belum bersarapan pagi walaupun membawa bekalan masing-masing dari rumah sendiri. Mereka membawa bekal dalam beg mereka hanya untuk makanan tengahari, sekiranya dimakan waktu pagi maka tiada lagi untuk makanan tengah hari kelak. Keadaan UTC sebenarnya kais pagi makan pagi yakni ikat perut demi perjuangan mereka memerdekakan Sulu.
Menurut salah seorang komander Peace Keepers hanya UTC dari luar Jolo seperti dari Basilan, Tawi-Tawi dan Palawan yang mendapat bekal dari Istana pada pagi tersebut tetapi yang majoritinya dari Jolo membawa bekal masing-masing dari rumah mereka. Kerana pihak Istana pun tidak dapat menampung makan minum penunjuk perasaan seramai 8,000 orang apatah lagi kalau sudah 30,000 orang seperti yang tercatat dalam daftar keahlian UTC. Umum mengetahui Tausug Jolo hidup dibawah paras kemiskinan dan hidup dalam keadaan dhaif sejak 40 tahun lalu. Melihat bentuk rupa bangunan yang buruk, lusuh dengan tiada langsung sistem perparitan di bandar Jolo itu sudah cukup untuk diberi tanggapan bahawa Filipina (Kerajaan, Gabenor, Mayor) tidak pernah mentadbir apatah lagi menjaga kebajikan penduduk Jolo.
Bagi UTC yang mendokong Sultan Bantilan Muizzuddin II Aranan sebagai Sultan Sulu, perjuangan kali ini adalah satu "Pembaharuan" dalam perjuangan kemerdekaan Sulu. Kalau dilihat sememangnya UTC sendiri adalah satu alternatif kepada perjuangan bersenjata seperti yang dilagang oleh MNLF, MILF dan Abu Sayyaf. Mereka tidak rugi satu sen pun sekiranya menyertai UTC yang miskin dan susah kerana sebelum ini pun mereka sudah sedia susah. Bersusah demi kebenaran dan perjuangan adalah perkara yang mereka tunggu-tunggu selama ini. Seperti jawapan seorang remaja Peace Keepers kepada orang yang menyoalnya mengapa mereka ikut dengan perjuangan bodoh Sultan sedangkan itu akan membahayakan diri mereka, dibalasnya "Mati dalam memperjuangkan kebenaran sangat lazat. Tidak mahu mati kelak akan mati juga".
Kebanyakan mereka yang menyertai UTC adalah rakyat miskin dari Jolo, Palawan, Basilan, Tawi-Tawi dan sedikit dari Borneo (Bolongan-Kalimantan, Sabah) adalah kerana sudah letih dengan peperangan yang tidak kunjung selesai.
Lebih dari 50% ahli UTC adalah dari MNLF sendiri samada bekas anggota MNLF, ahli keluarga MNLF (sebahagian lagi keluarga mereka masih MNLF), atau pun para penyokong MNLF sebelum ini yang kebanyakannya atas pagar. Contohnya Sultan Bantilan melantik Gabenor Jolo, Gabenor Tawi-Tawi dan Gabenor Basilan adalah dari kalangan bekas Komander MNLF sendiri. Ini belum lagi termasuk lantikan Datu Panglima dan Datu Padukanya yang juga dari kalangan bekas MNLF, MILF dan bekas anggota Abu Sayyaf.
|