Kemunculan Sultan Bantilan Muizzuddin II ibni Datu Wasik Aranan
Penulis telah datang ke Jolo, Sulu melalui Sandakan pada 12hb Mac 2009 untuk menyaksikan Pertabalan Sultan Sulu. Oleh kerana buku tulisan penulis bertajuk Tausug & Kesultanan Sulu mempunyai fakta tentang Waris Kedua Kesultanan Sulu, sejak awal lagi UTC telah menjemput penulis ke majlis mereka yang julung kali diadakan itu. Kedatangan penulis adalah atas kapasiti pemerhati dalam masa yang sama sebagai mewakili generasi muda Tausug Malaysia. Walaubagaimana pun penulis bukanlah bertindak sebagai wakil resmi Negara Malaysia kerana sehingga kini Malaysia tidak mengiktiraf kedaulatan Kesultanan Sulu walaupun dalam masa yang sama membayar pajakan Sabah RM5,300 setahun kepada 9 Waris Kiram (Wakil Kesultanan Sulu) hingga hari ini.
Sebagaimana penulis telah catat dalam buku Tausug & Kesultanan Sulu bahawa dalam sejarah kenaikan takhta Kesultanan Sulu terdapat sistem Tartib atau Protokol yang diguna pakai oleh Rumah Bichara untuk memilih Sultan. Tartib atau Tertib perlantikan Sultan Sulu sama dengan Negeri Perak Lama, penggiliran takhta dua bersaudara dijadikan asas kenaikan takhta. Hal Tartib ini diulas dan diperjelaskan oleh ahli sejarah Filipina, Cesar Adib Majul dalam bukunya Muslim in the Philipines. Beliau memfokus Kesultanan Sulu dan penggiliran Sultan dari keluarga Kiram (keluarga Pertama) dan Keluarga Aranan (keluarga Kedua). Beliau juga menjelaskan kegemilangan Kesultanan Sulu benar-benar berada di puncaknya di zaman pemerintahan Pewaris Kedua, Sultan Bantilan Muizzuddin I ibni Sultan Badaruddin I.
Hari ini, perlantikan Sultan Bantilan Muizzuddin II ibni Datu Wasik Aranan yang dinaikkan oleh UTC (United Tausug Citizens) pada 19hb Mac baru-baru ini bertujuan sebagai mengenang semula sejarah kegemilangan Kesultanan Sulu di tangan Keluarga Waris Kedua. Dengan sejuta harapan, bahawasannya dengan meletakkan semula Pewaris Kedua ini maka Negara Sulu akan dapat dikembalikan daulatnya seperti ketika kegemilangannya dahulu.
Sultan yang baru ditabal oleh UTC ini telah memperkenalkan satu gagasan kepada rakyat Sulu. Satu gagasan untuk semua iaitu menyatukan semua bangsa Sulu dalam satu istilah iaitu "Tausug". Dengan slogannya "Tausug bukan Filipino dan bukan Moro" diiringi dengan kempen mendaftarkan Bangsa Sulu dengan surat kelahiran telah menjadikannya berbeza dan unik di mata rakyat Sulu. Sultan ini menyatakan "Kita Tausug dalam UTC walaupun papa kedana dan melarat adalah lebih baik dari melarat di dalam pemerintahan Filipino yang kufur", kata-kata ini telah menambahkan semangat dan bertambahnya dokongan dikalangan rakyat marhain terhadapnya. Beliau menyatakan lagi "Kita mengajak saudara kita Tausug yang telah menjadi Moro (MNLF) dan Filipino (bekerja dengan kerajaan) untuk kembali bersatu dengan Tausug yang merdeka. Mana mungkin negara Sulu boleh dijadikan republik sedangkan dunia telah mengenalnya sebagai Negara Kesultanan Sulu? Filipina tahu akan hal ini sebab itu berterusan mempermainkan MNLF dari mendapatkan republik".
Gagasannya berbeza dari MNLF dan MILF yang lebih memperjuangkan satu kesatuan antara Sulu dan Mindanao menjadi Republik Moro. Umum mengetahui MNLF dan MILF serta serpihan mereka yang lain sudah hampir 40 tahun berjuang dengan senjata untuk Republik Moro hingga hari ini masih gagal malah hanya dipermainkan oleh Filipina. Bukan sahaja kegagalan mendapatkan Republik malah MNLF dan MILF dilihat oleh rakyat hanya mengambil kesempatan mengkayakan diri sendiri (dengan wang bantuan antarabangsa) tanpa memperdulikan rakyat Sulu dan Mindanao yang semakin miskin dan melarat.
|