TAUSUG CITIZENS Tinggalkan UTP?

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Monday, January 3, 2011 0 ulasan


Pada 30hb Disember 2010, bertempat di Putik, Zamboanga City baru-baru ini telah berlangsung satu mesyuarat tergempar antara Sultan Muhammad Bantilan Muezuddin II (Datu Ladjamura Aranan) dengan beberapa orang ahli akademik dan usahawan. Mesyuarat tergempar diadakan atas desakan ahli dan penyokong Tausug Citizens dari North Borneo (Malaysia) dan Kepulauan Sulu berkenaan tindakan UTP (United Tausug People) membelakangi Pemimpin Agung Tausug Citizens iaitu Sultan Bantilan II. UTP yang dikepalai oleh Datu Albi Ahmad Julkarnain dan disokong oleh Atty. Meltino Jaujan Sibulan sebagai Legal Counsel telah dilihat oleh sebahagian besar Rakyat Tausug sebagai "Melakukan kerja-kerja peribadi tanpa syura rakyat".

Mesyuarat 30hb tersebut adalah mesyuarat Sultan Sulu Darul Islam yang sah dengan para cendekiawan dan usahawan Tausug bertujuan membentuk gerak kerja drastik menyelamatkan keadaan Tausug Citizens dari perpecahan dan kehancuran. Jelasnya, UTP yang dipandu oleh Datu Albi telah melakukan gerak kerja diluar aspirasi Rakyat Tausug secara keseluruhan sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini. Tindakan UTP akhirnya dianggap "tidak boleh diterima" dan "batal". Pendek kata segala gerak kerja UTP semenjak penubuhannya pada 17 November 2009 (Summit) yang lalu "mansuh" dengan sendirinya.

Menurut Prof. Tuttuh Ensano yang dihubungi dari Illigan City berpandangan bahawa segala tindakan dan gerak kerja UTP bermula dari pembentukannya adalah batal kerana tidak menurut syura yang sah. Menurut beliau, apakah kelayakan Atty. Meltino sebagai Legal Counsel boleh menurun dan menaikkan seseorang yang sudah ditabalkan menjadi Sultan Sulu oleh Rakyat Jelata? Apakah kelayakan beliau sebagai Legal Counsel boleh melantik "Prime Minister" tanpa kehadiran dan kewujudan Sultan Sulu itu sendiri? Sedangkan jelas tanpa Sultan yang menjadi pemimpin tertinggi secara Tradisi Kesultanan Sulu, segala jawatan dalam kerajaan termasuk "Prime Minister" tidak boleh dilantik. Maka kalau ada lantikan jawatan dalam kerajaan tanpa bai'ah dan sumpah setia di hadapan Sultan Sulu ia dikira batal dan rakyat berhak menolaknya.


KEPUTUSAN SULTAN BANTILAN II TERHADAP UTP
Bagi Sultan Bantilan II, baginda tiada masalah dengan pemimpin UTP seperti Datu Albi dan Atty. Meltino hanya yang Baginda sebut ialah "Pemimpin UTP lah yang bermasalah dengan Tausug Citizens (rakyat jelata) yang sebelum ini memberi sokongan dan dokongan kepada kewujudan UTP". Menurut Baginda Sultan lagi sepatutnya UTP bertindak professional menghadapi segala kemelut yang berbangkit yang melanda Tausug Citizens bukannya melucut dan membuang jawatan para pemimpin yang selama ini menyokong pembentukan UTP.

Sebagai contoh, Datu Albi dan Atty. Meltino yang melawat Tawi-Tawi baru-baru ini tidak dapat mengawal dan menyelamatkan keadaan perpecahan antara Kumpulan Hj Robin Imao dengan Kumpulan Salamaddin. Hj Robin Imao yang dilantik sebagai Raja Bandahara Pulau Tawi-Tawi oleh Sultan Bantilan II semenjak tahun 2008 telah diperlakukan oleh UTP secara tidak professional. Gelaran penipu dan pembohong oleh UTP kepada Hj Robin dan mesyuarat yang mengusulkan untuk memecat Hj Robin oleh UTP menyebabkan pengikut Hj Robin naik marah lalu mengumpulkan senjata berat mereka menghampiri Bongao untuk persediaan sekiranya UTP bertindak lebih jauh terhadap Hj Robin maka mereka akan masuk menyusup ke Bongao untuk membuat serangan terhadap musuh-musuh Hj Robin dari rumah ke rumah.

Keadaan genting ini menyebabkan Sultan Bantilan II terpaksa turun ke Pulau Tawi-Tawi dari Pulau Jolo untuk menenangkan penyokong Hj Robin. Akhirnya Hj Robin dan pengikutnya para Panglima dan Paduka dari Batu-batu, Sapah-Sapah, Simunul, Sibutu dan kepulauan lain patuh terhadap titah Sultan agar mereka bertenang dan jangan ikut campur urusan UTP sekiranya mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan Datu Albi dan Atty. Meltino. Maka di sinilah bermulanya Sultan Bantilan II bertitah mengisytiharkan kepada semua rakyat Tausug yang menyokong dan mendokong kebenaran agar kembali mengaktifkan United Tausug Citizens kembali seperti dulu dengan meninggalkan UTP yang ditadbir Datu Albi dan Atty. Meltino. Maka secara automatik Datu Ladjamura Aranan dikembalikan kepada takhtanya yang asal iaitu Paduka Batara Mahasari Maulana Al-Sultan Muhammad Bantilan Muezuddin II ibni Datu Wasik Aranan.

Kembalinya Sultan Bantilan II ke Jolo Sulu setelah selesaikan kes Hj Robin dengan UTP di Pulau Tawi-Tawi, Baginda langsung mengatur mesyuarat tergempar dengan Raja Bandahara Jolo (Andam bin Muharram) dan para Panglima dan Paduka yang dikepalai oleh Syarif Murakib Syarif Abirin (Menteri Dalam Negeri) yang diadakan pada hari Sabtu, 25 Disember 2010 bertempat di Pentas Astaka atas tanah Panglima Syarif Jurani bin Syarif Sunamun. Resolusi dari mesyuarat tergempar para Panglima dan Paduka Jolo tersebut menyatakan bahawa Kuasa Pemerintahan akan dikembalikan semula kepada Tuanku Sultan Bantilan II sebagai Pemimpin Tertinggi Tausug Citizens, Kesultanan Sulu Darul Islam. Kemudian pada 28 Disember 2010 Tuanku Sultan telah menghubungi Prof. Tuttuh Ensano untuk memaklumkan bahawa Baginda akan membuat lawatan balas ke Illigan City serta menghubungi Prof. Adil (MSU BONGAO) dan Prof. Alling (MSU SULU) serta Habib Abdurasul A. Sabban (Raja Bandahara Zamboanga) dan Habib Pang (Raja Bandahara Basilan).

Kata akhir dari Tuanku Sultan Bantilan II ialah

"Kita akan usahakan untuk dapatkan Peguam Antarabangsa dan menyusun pentadbiran Kesultanan Sulu semula dengan kerjasama para cendekiawan. Menyusun semula pelan ekonomi dengan bantuan usahawan Tausug yang berjaya secepat mungkin. Menarik pelabur dan pelan persahabatan (diplomatik) dengan negara jiran...."

Pandangan Baginda Sultan terhadap Datu Albi dan Atty. Meltino

"Mereka bukan musuh, mereka adalah tetap saudara kita. Oleh kerana mereka berkeras untuk terus memperjuangkan UTP maka kita tidak boleh berbuat apa-apa kecuali membiarkan sahaja apa yang mereka mahu lakukan. Kita ada rakyat dan dokongan yang tidak berbelah bahagi dari para Raja Bandahara, Panglima dan Paduka di seluruh Kepulauan Sulu, Allah swt bersama kita!"

Post a Comment