DEFINASI SULUK & TEORI PENGAMBILAN ISTILAH

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Wednesday, March 30, 2011 1 ulasan


Apakah maksud sebenar istilah SULUK? Dari mana ia diambil sehingga menjadi satu istilah penting dalam disiplin ILMU TASAWWUF? Perkara ini perlu dirungkai dan ditelusuri yang walau pun sebahagiannya menggunakan kaedah teori namun sekurang-kurangnya dapat memberi jalan kepada pengkaji-pengkaji lain memperluaskan kajian pada masa akan datang. Selama beberapa bulan yang lalu kami telah menjalankan beberapa penelitian terhadap istilah SULUK samada ia memang bahasa Arab atau pun ianya satu istilah asing yang dimasukkan kemudian ke dalam bahasa Arab. Dalam penelitian kami mendapati istilah "SUQ" (i.e. Pasar) dalam bahasa Arab itu juga kemungkinan besar datang dari istilah asing.

Bahasa Arab adalah bahasa yang paling unik dalam dunia yang bukan sahaja sangat istimewa kedudukannya disisi agama Islam malah bangsa lain turut mengiktiraf bahasa Arab sebagai bahasa Ilmu mengikut sejarahnya hingga menjadi penyebab anjakan paradigma kepada teknologi moden manusia hari ini. Walau pun begitu, bahasa Arab telah di'subur'kan dengan istilah-istilah asing lain yang dicedok dari bahasa Latin, Ibrani, Aryan, India malah bahasa-bahasa dari Nusantara. Antara contoh asal bahasa Nusantara ialah,

  • IN, bermaksud 'sungguh', dari bahasa Nusantara (Sulug: IN, penegasan kata dalam percakapan).
  • an-NAR, bermaksud api, berasal dari bahasa Nusantara iaitu NARAKA @ Nuraka @ Neraka.

  • an-NAS, bermaksud manusia, dari bahasa Nusantara.

  • ad-DUNNYA, bermaksud dunia, dari bahasa Nusantara.

  • MATAR, bermaksud hujan, kemungkinan berasal dari kata "mata air" yang juga dari bahasa Nusantara.

  • MALAK, bermaksud bidadari, kata Malaikat juga diambil dari kata Malak yang menurut ahli bahasa ia berasal dari kata Semitik (i.e. Bani Sem bin Noah a.s.). Arab menyebut Malak menjadi Malakh @ Malakha (sebutan Hebrew) kerana huruf KAF berbunyi "kh" (Tajwid: Mahfuz). Kemungkinan berasal dari lidah Nusantara yang diambil dari kata MALAK (Sulug: Malak, bermaksud cantik bak bidadari syurga. Melayu: Merak, i.e. burung Merak).

  • BAHAR, bermaksud laut, berasal dari Nusantara (Sulug: Baha', i.e. banjir besar. Melayu: Bah, i.e. limpahan air @ banjir).

  • AWAM, bermaksud orang kebanyakan, berasal dari Nusantara (Sulug: kurang pengetahuan atau jahil, kerana majoriti manusia adalah "awam" dibanding dengan yang berpengetahuan).
  • KAUM, bermaksud kelompok masyarakat, berasal dari Nusantara (Sulug: Kaum @ Kawman bermakna penempatan kelompok manusia. Melayu: Kaum).
  • BATHIN, bermaksud rasa dalaman @ tenaga dalam yang tersembunyi, berasal dari Nusantara (Sulug: Batin. Melayu: Batin).
  • KUM, bermaksud 'anda' atau 'kamu', berasal dari Nusantara (Sulug: Kamu. Melayu: Kamu).
  • NAFAS, bermaksud 'bebas' atau pernafasan, berasal dari Nusantara (Sulug: Napas. Melayu: Nafas).
  • MAKSUD, sama pengertian dengan bahasa Melayu tetapi dalam bahasa Sulug bermakna 'tujuan'.

  • Dan banyak lagi...


PERMULAAN ILMU SUFI (TASAWWUF) DALAM TRADISI ISLAM

Selepas kewafatan Rasulullah SAW pada awal abad ke-7, Hadith Baginda SAW pun mula dikumpul dan dibukukan (Al-Qur'an diperindah @ disistematiskan) yang kemudiannya diikuti oleh penyusunan disiplin ilmu-ilmu Islam lain seperti Feqah (Ushul Fiqh), Qiraat, Aqidah (Ushuluddin), Nahu, Akhlak (Tasawwuf), Tawarikh dan ilmu-ilmu lain. Kewujudan nama SULUK hanya jelas setelah kemunculan ilmu Tasawwuf dalam kerangka Tareqat Jama'ie setelah kewafatan Rasulullah SAW.

Kemunculan para Tabi'en seperti Al-Hassan Al-Bashri (642-728 @ 737), Uwais Al-Qarni,
telah mula memperkenalkan budaya Sufi terawal. Menurut catatan sejarah, sahabat Nabi yang pertama sekali melembagakan Tasawwuf dengan cara mendirikan Madrasah Tasawwuf adalahHuzaifah bin Al-Yamani[01], sedangkan Imam Sufi yang pertama dalam sejarah Islam adalah Hasan Al-Basri ( 21-110 H ) seorang ulama tabi'in, murid pertama dari Huzaifah bin Al-Yamani, beliau dianggap tokoh permulaan dan yang paling pertama meletakkan dasar metodologi ilmu Tasawwuf. Hasan Al-Basri adalah orang yang pertama mempraktik, berbicara serta menguraikan maksud Tasawwuf sebagai pembuka jalan generasi berikutnya.

Menurut sebahagian pengkaji, Tasawwuf atau kata asalnya SUFI ini telah pun muncul ketika Rasulullah SAW masih hidup iaitu setelah kedatangan Muhajirin ke Madinah Al-Munawwarah. Golongan Muhajirin sebahagiannya dikatakan telah menetap di serambi Masjid Nabawi (i.e. Suffah) sebagai golongan fakir miskin yang hanya menumpukan masa mereka dengan berzikir dan beribadah kepada Allah SWT. Kemiskinan menyebabkan mereka memakai baju kasar (diperbuat dari bulu kambing yang dipanggil Suf) walau pun sebahagian mereka sebelumnya kaya ketika di Makkah. Sebahagian ulama' membantah penisbahan Sufi kepada Suffah dan Suf seperti di atas kerana bersalahan dengan tatabahasa Arab.

  • Pendapat ini ditolak, kerana dari segi bahasa, sekiranya mereka menyandarkan kepada Ahli Suffah, maka mereka akan dipanggil sebagai Suffi, iaitu dengan dua fa, sedangkan perkataan sufi hanya mempunyai satu fa. Pengarang Qamus al-Muhit menyatakan, bahawa sandaran nama ini adalah salah dari segi tatabahasa Bahasa Arab.[02]
Begitu hangat perdebatan para ilmuan Islam terhadap asal-usul nama Sufi (Tasawwuf) ini hinggakan Sheikh Zarruq r.a. menyebut, definasi Tasawwuf mencapai sehingga dua ribu pentakrifan. (Ibn Ajibah, Iqaz al Himam. H: 24).

Kami mencadangkan, bahawa kata Sufi berasal dari kata Suci yang datang dari bahasa Nusantara (Sulug: Sussi @ Sutsi) yang kemungkinan disalah sebut menjadi Sufi. Kerana sifat seorang Sufi ialah menyucikan dirinya dari perbuatan tercela menuju kepada akhlak mulia dan terpuji demi mendekatkan diri kepada Allah Maha Pengasih.

  • Abu Muhammad al-Jariri r.a. berkata "(Tasawwuf) adalah berakhlak dengan segala akhlak yang mulia dan keluar daripada setiap akhlak yang hina". (Al-Qusyari, Risalah al-Qusyairiyyah fi Ilmi al-Tasawwuf. H: 280).
  • "Orang sufi juga sentiasa berusaha membersihkan dan menyucikan diri mereka daripada kotoran zahir dan batin". (Abdul Aziz Ahmad Mansur, Al-Tasawwuf al-Islami al-Sohih, H: 24-27).


PENGERTIAN SULUK & KAITANNYA DENGAN PELAYARAN

Apakah yang dimaksudkan dengan SULUK? Istilah Suluk tidak dapat dipisahkan dari Sufi kerana ia adalah elemen terpenting sebagai pelengkap seseorang menjadi Sufi. Suluk secara harfiah bermaksud "perjalanan menuju Ilahi" manakala individu yang melakukan perjalanan tersebut disebut SALIK. Dalam satu kitab Tasawwuf yang membahas maksud Suluk atau Salik bertajuk Risalah Siyar As-Suluk menyatakan,

"Secara semulajadi, setiap Salik yang berjalan menempuhi jalan kerohanian memerlukan dua perkara:-

  • 1. Jazbah
  • 2. Suluk
Ada Salik yang telah dikurniakan Jazbah terlebih dahulu kemudian barulah dia memulakan usahanya menempuh perjalanan Suluk. Sesetengah Salik pula perlu berusaha atas jalan Suluk terlebih dahulu dan kemudian baharulah dikurniakan Jazbah oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Dalam kedua-dua keadaan ini, Salik perlu kepada kedua- duanya iaitu Jazbah dan usaha Suluk. Jazbah adalah tarikan Batin dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan orang yang dikurniakan tarikan Batin tersebut dipanggil Mazjub. Usaha (i.e. melakukan perjalanan) adalah Suluk dan orang yang menjalani Suluk dipanggil Salik."[03]

Suluk dalam penjelasan (pada konteks Tasawwuf) di atas membawa maksud "Musafir atau Perjalanan" kerohanian seseorang ke satu destinasi (keredhaan dan cinta Ilahi) dan secara umum adalah seiring dengan maksud PELAYARAN. Walau pun pelayaran lebih khusus kepada perjalanan laut berbanding dengan maksud musafir secara umum, namun ia tetap menunjukkan keadaan sifat 'perjalanan' yang sama. Dalam bahasa Inggeris pelayaran disebut "Voyage" yang juga sinonim dengan "Travell" sedangkan Traveller bermaksud pelayar atau bermakna Salik. Pengertian ini diperjelaskan dengan lebih mudah dalam kitab Suluk yang terkenal ketika membahas panduan PERJALANAN SEORANG SALIK bertajuk 'Umdatussalik ('Umdat al-Salik) [04] dalam translasi Inggerisnya Syeikh Nuh Ha Mim Keller (penterjemah) menjelaskan,

  • "Traveller (Salik) derives from travel (suluk), meaning to proceed along, the allusion being to the spiritual journey, meaning one's seeking knowledge of the rules of religion with seriousness and effort, to thereby reach Allah Most High and be saved perdition". Tajuk: Author's Introduction to 'Umadat al-Salik, m.s. 48.
(Traveller (Salik) berasal dari perjalanan (suluk), yang bermaksud untuk meneruskan, yang kiasan ke perjalanan spiritual, yang bererti seseorang mencari pengetahuan melalui peraturan-peraturan agama dengan keseriusan dan usaha, sehingga mencapai Allah Maha Tinggi dan terselamat dari kebinasaan).

Ini bermakna kata SULUK dari segi istilah diertikan dengan perjalanan samada jalan darat atau laut. Manakala dari segi bahasa diertikan sebagai perjalanan rohani seseorang untuk mencapai (keredhaan) Allah yang Maha Tinggi. Persoalannya mengapa PERJALANAN itu tidak disebut Musafir (Safar) sahaja sebagai kebiasaan dalam bahasa Arab? Ini menunjukkan bahawa istilah Suluk ini adalah juga berasal dari bahasa asing yang dimasukkan ke dalam bahasa dan budaya Arab lebih seribu tahun yang lalu malah mungkin lama sebelum kelahiran Rasulullah SAW lagi nama SULUK itu sudah wujud di tanah Arab tidaklah mustahil. Apa yang menarik dalam penjelasan ini ialah kata SULUK telah dapat dimengerti dari segi "istilah" dan "bahasa" yang sebelum ini begitu kabur pemahaman terhadapnya.

Seperkara lagi ialah kata SULUK di atas hanya dikaitkan dengan amalan kesufian yang berbentuk rohani atau pada sebutan Nusantaranya KEBATINAN. Ini bermakna Suluk sangat berkait dengan ilmu-ilmu kebatinan sebagai kebiasaan masyarakat Nusantara dalam persilatan dan pertapaan sebagai sebahagian tradisi Hindu-Buddha lama sebelum kedatangan Islam. Tinggal lagi, penyandaran ilmu kebatinan Nusantara kepada Hindu-Buddha ditanggapi sebagai ilmu sihir oleh para ilmuwan Islam hari ini. Apakah ilmu-ilmu kebatinan Nusantara sebelum kelahiran Rasulullah SAW itu benar datang dari ilmu-ilmu sihir para sami Hindu-Buddha semata-mata atau sebenarnya amalan tersebut sudah memang wujud semenjak Adam a.s.? (Hal ini perlu dibahas dalam tajuk yang lain).


PENAFIAN TERHADAP KEWUJUDAN ILMU TASAWWUF

Apakah para ilmuwan Islam dulu hingga hari ini sepakat menggunakan istilah Suluk dalam tulisan atau halaqah pengajian mereka? Sebenarnya tiada satu pun kesepakatan tentang penggunaan Suluk kerana kata Suluk hanya digunakan secara meluas setelah kewafatan Rasulullah SAW yang disebar-luaskan oleh para pendokong dan pengamal Tareqat Sufi. Malah sebahagian ilmuwan Islam menentang kewujudan Tareqat Sufi dan amalan Suluk kerana bagi mereka ianya datang dari amalan jahiliyah Hindu-Buddha bukannya datang dari Rasulullah SAW sendiri. Antara kenyataan mereka ialah,

  • "Wujud persamaan doktrin dalam ideologi tariqat sufi/tasawuf dengan kepercayaan mistik agama Hindu-Buddha. Sufi/tasawuf berasal dari Agama Majusi yang meresap masuk apabila ramai penganut dan para pendita Agama Hindu dan Buddha memeluk agama Islam." Dr. Qassim Ganny, Tarikh at-Tasawwuf fil Islam.
  • "Asal perkataan sufi adalah daripada perkataan Greek, iaitu 'sofea' bermaksud hikmah atau bijaksana." Ruj: Muhammad Jamil Zainu, Al-Sufiah fii Mizan al-Kitab wa al-Sunnah.
Para penentang kebanyakannya adalah dari kumpulan yang mengaku Muslim berfahaman Salaf @ Salafi (sesetengahnya digelar Wahhabi). Sekiranya anda telesuri kenyataan para penentang Tariqat Sufi dan Tasawwuf di atas sebenarnya telah bercampur baur antara kebenaran dan kedustaan. Menilai Tariqat Sufi dan Tasawwuf menyamakannya dengan amalan kufur Hindu-Buddha serta Greek (Yunani) berdasarkan amalan Hindu-Buddha yang mereka lihat pada tokong dan kuil serta Yoga hari ini sahaja. Mereka tidak melihat dan mengkaji bahawa amalan Hindu-Buddha ketika dulu adalah murni dari ajaran para Nabi dan Rasul tetapi telah diseleweng sehingga membawa kepada penyembahan patung.

Yang jelas bukan semua amalan Hindu-Buddha itu salah sebagai contoh amalan bertapa @ mengasingkan diri (Uzlah) di gua-gua batu di atas gunung-ganang adalah amalan purba Nusantara yang dinisbahkan kepada amalan Hindu-Buddha namun kaedah Uzlah ini juga turut diamalkan oleh Rasulullah SAW di Gua Hira' sebelum turunnya wahyu pertama dari Tuhan. Malah lama sebelum itu Nabi Musa Kalimullah turut naik ke atas Bukit Sinai mengasingkan diri untuk bertemu Tuhannya. Mengapa mereka tidak mengaitkan perlakuan Muhammad SAW dan Musa Kalimullah dengan amalan Hindu-Buddha pula? Ini menunjukkan amalan Bertapa atau Suluk bukanlah amalan sesat Hindu-Buddha tetapi telah lama wujud sebelum kewujudan Hindu-Buddha itu sendiri.


PENEMPATAN DAN BAHASA SULUG DI SELURUH NUSANTARA

Telah pun dimaklumi bahawa bangsa purba yang menetap di Kepulauan Sulu dipanggil BANGSA SULUG. Dalam catatan kami terhadap Sejarah Sulug ini satu teori (Teori Likusantara) telah kami bentangkan bagaimana bangsa ini dapat menyebar ke seluruh dunia dengan hanya menggunakan kapal layar KATIGAN berjaya membawa kaum-kaum kulit hitam Nuu Waar (PAPUA) ke seluruh dunia samada sebagai pendayung kapal dan pekerja buruh dalam perdagangan merentas benua. Mereka angkut dari pulau Irian/Papua sehingga ke benua Amerika (kepulauan Pasifik) dan ke India hingga sampai ke benua Afrika dan Mediterranian.

Teori ini lebih kepada mengesahkan kewujudan manusia berasal dari satu keturunan sama iaitu Adam a.s. dan membatalkan dakwaan "manusia terawal di Nusantara adalah Negrito sebelum kedatangan bangsa kulit Cerah dari utara" kerana samada Negrito atau Kulit Cerah sebenarnya telah lahir serentak dari satu keturunan Adam a.s..

Bangsa Sulug hari ini sudah tidak menyebut nama bangsa mereka sebagai Sulug kecuali dengan nama TAUSUG. Tetapi bangsa dan kaum lain masih menyebutnya Sulug hari ini antaranya,

  • Melayu Brunei masih memanggil nama Sulug (mereka menyebut Suluk) kepada Tausug di kepulauan Sulu.
  • Maguindanao - Maranao-Iranun di Mindanao masih menyebutnya Sulug.
  • Visaya di Filipina masih menyebut Sulug (Tagalog sahaja yang menyebut Joloano kepada Tausug kerana mengikut lidah Spanyol).
  • Kalibugan di Mindanao juga menyebutnya Sulug.
Ketika dulu sebelum kedatangan penjajah Eropah ke Nusantara bangsa Melayu (Sumatera dan Melaka), Batak, Aceh, orang-orang Jawa, Flores, Banjar, Tidung dan Bugis turut memanggil Tausug sebagai Sulug tetapi dengan sebutan Suluk atau SOLOK pada lidah mereka. Hari ini bangsa Solok di Tanah Melayu, Sumatera dan Tanah Jawa sudah hilang samada kembali ke Kepulauan Sulu atau terasimilasi dengan bangsa lain yang disebutkan di atas. Untuk membuktikan kebenaran ini pengesahan dari tinggalan-tinggalan atau jejak Sulug di tempat-tempat tersebut perlulah ada. Berikut disenaraikan beberapa lokasi yang terdapat jejak SOLOK,

Di Malaysia:
  • Terdapat lebih dari 16 kampung Solok di sekitar Melaka sehingga ke sempadan Negeri Sembilan hari ini (lihat gambarajah atau peta Melaka Google Earth pada posting yang lepas).
  • Nama-nama negeri, daerah dan Sungai di Tanah Melayu mempunyai makna dalam bahasa Solok seperti Johor (i.e. Hujung), Malaka (i.e. Cantik bak bidadari), Kedah (i.e. Ke destinasi), Pahang (i.e. Biawak), Raub (i.e. Terbalik @ Tiarap), Dungun (i.e. Tempat kapal berlabuh), Marang (i.e. Buah Tarap), Ipoh (i.e. Racun pada sumpit atau panah), Linggi (i.e. Memancing), Langkawi (i.e. Kemanjaan) dll.
  • Bahasa Melayu banyak terkandung persamaan penyebutan bahasa Solok seperti Sembahyang (Sumba-ha-Yang), Takut (i.e. Bongkah Batu Karang di tengah laut yang menyeramkan kalau dilihat dari atas), Laut (sbt. Laud), Karang (i.e. Batu karang terdampar di tepi pantai menjadi batu-batu, sbt. Kalang), Latah (i.e. Seseorang yang bercakap banyak atau membebel), Tanggung (i.e. Pikul barang atas bahu @ belakang, Tumanggung bermaksud yang memikul), Tetak (sbt. Tutuk @ Tuktuk), Ragut (sbt. Lagut, maksud menetak dengan pantas), Tebas (sbt. Tegbas, maksud menetak kayu), Lapah (sbt. Lapa, maksud menebas rumput), Kabus (i.e. fikiran yang kabur kewarasannya), Ikat (sbt. Hukut @ Heket pada sebutan Lucoes @ Lugus), Utuh (sbt. Utu', bermaksud "jantan" atau lelaki), Tempelak (Tumpalak), Mantap (Mahantap) dll.
Di Indonesia:
  • Banyak penempatan Solok di sekitar Sumatera sehingga ke Tanah Jawa sampai ke Flores, Kalimantan dan Sulawesi antaranya masih terdapat Kota Solok dan Kabupaten Solok serta nama-nama tempat atau daerah dalam bahasa Solok seperti Jambi (i.e. Tukar barang @ Barter), Palembang (i.e. Dipasangkan @ Berpasangan), Pariaman (i.e. Pasar Parian), Minangkabao (i.e. Menang dalam pertandingan tanduk kerbau), Padang (i.e. Lalang, sbt. Parang), Solo (Di Jawa Tengah) dll.
  • Dari segi bahasa pula sebahagian dari bahasa suku Batak terkandung beberapa persamaan perbendaharaan kata Solok seperti Takaw (Curi) dan Panakaw (Pencuri) dan lain-lain. Penggunaan imbuhan samada awalan dan akhiran Pa, Ma, Ka, Un, Si, Um, bahasa Batak sama seperti struktur bahasa Solok di kepulauan Sulu.


PERUBAHAN ISTILAH 'SULUG' DALAM BAHASA TAUSUG

Beberapa ratus tahun telah berlalu bangsa Sulug semakin mengalami perubahan. Telah menjadi Sunnahtullah (semulajadi) makhluk yang bernama manusia pasti akan mengalami perubahan demi perubahan seiring dengan perkembangan zaman. Pertuturan bahasa Adam a.s. yang pada asalnya bermula pada satu bahasa sahaja telah mula mengalami perubahan dialek setelah Bani Adam berhijrah yakni berjauhan dengan bahasa induk mereka. Sub-etnik atau suku-suku kaum mula terhasil dan mewujudkan bahasa baru mengikut persekitaran mereka.

Sulug atau Tausug di kepulauan Sulu walau pun berusaha mengekalkan bahasa dan budayanya namun kemasukan bahasa dan budaya asing lain tidaklah dapat dihalang apatah lagi sifat pelayar dan dagang Tausug itu sendiri yang membawanya ke merata tempat beratus tahun dahulu. Pastinya setelah kembali ke kepulauan Sulu mereka akan membawa sebahagian dari kepakaran dan budaya asing yang pada akhirnya diserap menjadi sebahagian dari kehidupan mereka. Adalah satu sikap yang keterlaluan bagi Tausug yang tidak mengaku bahawa bangsa mereka telah gagal diasimilasi atau diserapi oleh bahasa dan budaya asing. Sebagai contoh, bagaimana "budaya dan lidah China" berjaya mengubah bahasa asal Tausug dari bahasa Sulug Klasik menjadi bahasa SUG moden hari ini adalah kerana beratus tahun malah beribu tahun Sulug mengikat kerjasama dengan bangsa China sehingga berlaku asimilasi sesama mereka dalam jangka masa yang begitu lama. Sebagai contoh perubahan kata "Bunar" (Melayu: Benar) dalam bahasa klasik Tausug menjadi "Bunal" dalam bahasa Tausug moden.

Malah, yang tidak dapat disangkal lagi, bagaimana 'irama lagu India' serta bahasanya masih berakar kukuh dalam bahasa Sulug @ Sug hari ini menunjukkan juga Sulug telah lama mengikat hubungan hingga terasimilasi dengan India beribu tahun dahulu adalah satu kenyataan. Sebagai contoh reaksi teguran Tausug masih menyebut "Areeeeee...!" (Melayu: Amboi) sama dengan reaksi bahasa Tamil di filem-filem India hari ini. Malah lagu (Qiraat) ketika membaca Al-Qur'an atau melaungkan azan iramanya sama dengan lagu-lagu klasik Tamil di kaca-kaca TV.

Seiring dengan kemasukan bahasa dan budaya asing sebutan 'Sulug' juga telah mengalami perubahan sebagai contoh nama SULUG sendiri sudah berubah makna. Ketika orang-orang luar sibuk menamakan TAUSUG di kepulauan Sulu dengan nama SULUK atau SULUG tetapi orang-orang Tausug sendiri tidak memanggil diri mereka sebagai Suluk atau Sulug hari ini kecuali dengan panggilan SUG atau Tausug sahaja. Tausug tidak menyedari bahawa SUG itu adalah singkatan bagi SULUG kerana kebiasaannya lidah mereka membuang "L" di tengah-tengah perkataan dan ini bukanlah menghairankan kalau berlaku 'kejahilan' kerana Tausug semenjak kedatangan Amerika Syarikat (AS) pada 1890-an telah menutup pintu terhadap 'pendidikan barat' menyebabkan mereka terputus dari 'budaya ilmu'.

Pada akhirnya kebanyakan Tausug telah menjadi 'awam' atau jahil dari menulis peristiwa atau sejarah mereka sendiri apatah lagi membukukan DAMAN (gurindam/pantun) atau TARASUL (kisah-kisah kepahlawanan) yang menjadi budaya mereka beribu tahun. Bagi Tausug belajar di sekolah barat AS akan menjadikan Tausug 'kafir' beserta keturunan mereka sampai bila-bila menjadi punca Tausug gagal menyaingi kemahiran Kolonialis sehingga berlakunya Perang Dunia ke-II Tausug masih 'mengasingkan diri'. Maka sehingga hari ini nama SULUG itu sendiri kurang difahami oleh TAUSUG di kepulauan Sulu.

Nama SUG adalah singkatan bagi SULUG yang membawa maksud 'arus air' (Current) yang kehidupan mereka sinonim dengan pelayaran di laut beribu tahun yang lalu. TAU (Orang) dicantum dengan SUG (Arus laut) bermaksud orang atau bangsa yang mengikut arus laut (pelayar). Mereka belayar sehingga sampai ke Teluk Arab, Laut Merah dan laut Mediterranian dengan membawa nama SULUG hinggakan mereka dikenali oleh bangsa Arab sebagai SULUK (Travel) yang bermaksud pelayar. Sebutan Sulug menjadi SULUK pada lidah Arab adalah kerana tidak terdapat huruf "G" di hujung mana-mana perkataan dalam bahasa Arab. Lidah Melayu juga gagal membunyikan "G" pada hujung perkataan yang pastinya berbunyi "K" sebagaimana Arab.


KONOTASI 'SULUG' DALAM BUDAYA ILMU KEBATINAN

Hari ini kalau Tausug menyebut "SULUG" sebenarnya ia bermakna 'memakai'. 'Nag Sulug badju' bermaksud memakai baju. 'Nag Sulug sin ilmu' bermaksud memakai ilmu (kebatinan). Dalam budaya perang Tausug dahulu kala perkataan 'Nag Sulug sin ilmu' adalah satu kemestian bagi setiap lelaki Tausug sebagai pahlawan. Istilah 'ilmu' dalam bahasa Tausug bermaksud "Ilmu kebatinan" samada kebal dari senjata, memikat wanita, perdagangan, penunduk, berburu, menangkap ikan dan sebagainya dinamakan sebagai 'ilmu'. Sebelum kedatangan Agama Islam ke Nusantara, Tausug sudah pun lama mengamalkan ilmu-ilmu kebatinan ini sehingga para pengkaji mendakwa bahawa ilmu-ilmu kebatinan Nusantara adalah datang dari Hindu-Buddha. Satu dakwaan yang belum disahkan oleh sebarang kajian sejarah secara ilmiah, hanya berdasarkan hipotesis semata-mata. Kerana kami berkeyakinan, Ilmu Kebatinan ini sudah lama wujud sebelum kemunculan Hinddu-Buddha yakni seiring dengan kewujudan Adam a.s. di muka bumi.

Sebagai contoh Tausug sangat terkenal dengan ilmu bintang (Buruj @ Astronomi) untuk digunakan dalam pelayaran yang sehingga hari ini masih digunakan oleh para pelayar Tausug di kepulauan Sulu. Tausug yang berjaya memiliki gabungan ilmu kebatinan dan ilmu Astronomi ini dipanggil "Tau ilmu'an" bermaksud "Orang yang sarat dengan ilmu". Berikut beberapa jenis ilmu Astronomi Tausug disebut ilmu Panduga dan ilmu Titik yang hingga hari masih tidak dapat ditandingi oleh orang-orang Kristian Filipina menyebabkan Tausug kekal tidak terkalahkan,

  • Ilmu PANDUGA
  • Ilmu TITIK (Titik 2, Titik 3, hingga Titik 6 dan Titik 7).
Kedua-dua ilmu di atas adalah berupa ilmu Astronomi yang hanya menggunakan, abjad-abjad, angka-angka dan tarikh-tarikh tertentu. Untuk menjadi pelayar yang handal Tausug wajib memiliki ilmu PANDUGA (Melayu: Menduga) iaitu mahir dengan arah bintang dan bulan serta kedudukan matahari. Sekiranya tanpa matahari dan bintang, menduga arah angin perlu digunakan. Ilmu Panduga terbahagi dua iaitu,

  • Panduga ha Baran (Menduga tubuh badan): Mendengar bisikan hati (Kasyaf) samada meneruskan perjalanan atau tidak. Samada NAHAS atau LABA. Kaedah ini memerlukan tafakur sejenak samada berdiri atau pun duduk dengan melafazkan beberapa ayat (sesetengahnya menggunakan Salawat pada Rasulullah SAW atau menyebut beberapa Asma' Allah). Jawapan akan diberi setelah selesai tafakur. Panduga ha Baran lebih kepada batin.
  • MAMANDUGA (menduga situasi): Ia lebih kepada memerhati keadaan sekeliling dan ini lebih kepada kemahiran dari pengalaman latih tubi. Seorang Tausug yang digelar pelayar yang handal sangat hafal dengan rupa bentuk ombak dan tiupan angin samada bakal hujan renyai-renyai atau pun ribut taufan bakal melanda. Kocak pada permukaan laut diketahui samada terdapat ikan atau gangguan jin laut. Untuk MAMANDUGA arah mata angin sensitiviti pipi diperlukan untuk menentukan lokasi Monsun dan boleh sampai ke pulau destinasi tanpa gunakan kompas. Ketika berdepan dengan musuh perlulah MAMANDUGA bahasa badan untuk mengetahui kelemahan dan kelebihan musuh.

Ilmu Titik pula lebih kepada huruf @ Abjad, angka-angka dan hari bulan untuk menentukan perjalanan hidup. sebagai contoh Tausug yang kehilangan barang akan mengetahui samada dicuri atau tercicir di mana-mana dengan hanya menggunakan titik 7 (Masa ketujuh Allah swt mencipta hidupan di muka bumi). Untuk mengetahui aura negatif dan positif pada nama seseorang Tausug akan menggunakan titik 6 (Dalam enam masa Allah swt menciptakan bumi) sekiranya kiraan nama lebih kepada negatif maka disarankan menukar nama kepada nama yang lebih baik agar kehidupan senantiasa dalam keberuntungan dan berbudi. Kerana menurut Tausug, nama adalah satu do'a dan setiap bunyi pada sebutan nama mempunyai aura-aura tertentu samada positif atau negatif.

Dalam peperangan ilmu titik begitu penting bagi sesetengah Tausug. Ilmu titik dalam peperangan biasanya tidak akan diperturunkan sembarangan kerana bahayanya sangat besar kepada ummat. Ilmu titik perang hanya diperturunkan kepada keluarga terdekat yang baik dan berakhlak atau sahabat yang sangat dikasihi. Dikalangan Pahlawan Tausug, telah menjadi kebiasaan kepada pemilik ilmu ini menjadi orang yang rendah diri, pemaaf dan senantiasa mendamaikan orang yang bertelagah. Panglima dan Nakura' (Nakhoda) biasanya mahir dengan ilmu ini. Bagaimana ilmu titik perang ini digunakan dan bagaimana ia berfungsi?

Tausug yang punya ilmu titik perang biasanya sebelum menyerang akan mengambil nama penuh musuh terlebih dahulu. Dengan mengira huruf berdasarkan bunyi "A, I, U" pada nama akan dapat ditentukan bilah tarikh lahirnya dengan tepat. Maka serangan akan dilakukan tepat pada masa musuh dilahirkan ke dunia. Dalam kaedah ini, kemenangan adalah pasti sekali pun musuh terlalu ramai nisbah 3:40, yang 3 tetap akan menang. Ilmu titik ini masih banyak di kepulauan Sulu yang walau pun pengamalnya adalah orang-orang yang baik tetapi kadang-kadang terlepas juga ke tangan Tausug MUNDU (perompak laut).

Kebanyakan ilmu Tausug dilakukan dengan bertapa (Tafakur) untuk menjana aura (kekuatan) sebelum mereka turun berperang. Sehingga kedatangan para Syarif membawa Islam ke kepulauan Sulu, Tausug masih mengamalkan ilmu ini. Hanyasanya para syarif telah "mengislamkan" ilmu ini yang asalnya menggunakan jampi serapah dalam bahasa sanskrit Hindu-Buddha atau dalam bahasa Sug klasik ditukar kepada jampi (Rukyah) dari Al-Qur'an dan Sunnah.

Banyak lagi jenis ilmu titik yang diamalkan oleh Tausug yang tak dapat disenaraikan dalam tulisan ini hinggakan orang-orang China banyak belajar dari Tausug ketika dulu. Ilmu Tausug ini dibawa ke China dan dikenali sebagai ilmu TAO (Taoisme). Kami percaya ilmu Tao ini para pedagang Tausug lah yang membawanya ke China hinggakan orang China sendiri menggelar Tausug sebagai TAO-PO yang bermaksud Orang Pulau. Hingga hari ini ilmu kebatinan TAO (Taoisme) banyak menggunakan jampi serapah dan menggunakan ilmu-ilmu titik yang mereka kenali sebagai FENG-SUI. Yang hanya menjadi berbeza antara ilmu TAO-China dan Ilmu Tausug di kepulauan Sulu ialah penganut TAO di China menjalankan upacara "kesurupan jin" dan pertunjukan kebatinan sedangkan Tausug tidak menunjuk-nunjuk ilmu kebatinan mereka sebagaimana di China.


ILMU SULUG MENJADI ILMU SULUK
Pada zaman Spanyol dan Amerika Syarikat di Sulu, para mujahid Tausug sebelum menyerang berani mati (Juramentado) mereka akan menjalankan sembahyang taubat dan zikir beberapa hari lamanya yang biasanya dipandu oleh seorang imam atau Syeikh Syarif sebelum menyerang dan terbunuh. Inilah yang dikatakan ilmu Tausug atau ilmu Suluk. Iaitu melakukan upacara tertentu yang dahulunya berwarna Hindu-Buddha yang kemudian ditukar kepada warna Islam (Jihad fi sabilillah). Kaedah atau amalan yang dijadikan upacara ini sangat terkenal ketika zaman AS masuk ke Sulu yang sebenarnya bukanlah perkara baru.

Ia diketahui demikian hanyalah setelah ianya ditulis oleh para penulis peristiwa ketika itu oleh orang-orang Amerika sendiri yang pandai menulis sejarah [05]. Barangkali kalau tidak ditulis sehingga hari ini generasi Tausug tidak mengetahui bagaimana kaedah nenek moyang mereka berperang dengan Satru' (Seteru). Telah menjadi bukti bahawa Tausug yang datang ke Teluk Arab, laut Merah dan laut Mediterranian beribu tahun dahulu sebelum kelahiran Rasulullah SAW telah terkenal dengan ilmu kebatinan yang disebutkan di atas. Dengan menggunakan kaedah atau ajaran Buddha dan Hindu dalam tafakur mereka bukan sahaja Tausug dikenali sebagai SULUK adalah pelayar malah sebagai SULUK yang menjalankan upacara tafakur (bertapa @ Yoga). Tafakur Tausug dilakukan bukan sekadar menjana aura perang malah sebagai pembersihan diri menuju kepada Maha Pencipta sebagaimana yang dilakukan oleh Buddha.

Maka, istilah Suluk telah menjadi terkenal yang bukan sahaja disebabkan oleh perkembangan Islam dalam bidang Tasawwuf malah lama dari itu sehingga mempengaruhi peribadatan para Rahib Kristian dan sebahagian para pemikir Yunani (Greece) sebelum era empayar Raja Iskandar Zulkarnain. Maka tidak hairanlah kalau sesetengah umat Islam mengecap ilmu Tasawwuf (Suluk) berasal dari ajaran Hindu-Buddha dan falsafah Yunani adalah kerana disebabkan sejarah keterlibatan Sulug @ Tausug itu sendiri sebagai pelayar dan pengamal ilmu kebatinan berwarna Hindu-Buddha yang mereka bawa dari Nusantara. Jelasnya, Tausug yang ketika itu digelar Sulug telah menjadi punca kepada penggelaran SULUK.

Hal ini sekiranya dipanjangkan kepada istilah "SUQ" dalam bahasa Arab yang bermaksud 'pasar' juga tidak lari dari orang-orang Tausug sendiri yang memenuhi pasar-pasar di tanah Arab kerana sudah menjadi budaya Tausug yang menguasai perdagangan ketika dulu di mana sahaja mereka berada. Sekiranya diperhalusi SUQ seolah-olah bermaksud "Tempat para pedagang Sulug berniaga".



Footnote:

[01] Drs. H. A. Mustofa, Akhlak Tasawuf, Pustaka Setia Bandung, 1997 cet. I, hal. 214. Ruj: http://maasyikta.blogspot.com.

[02] Musafir Ilallah, http://simusafirilahi.blogspot.com/2010/05/definisi-sufi-dan-tasawwuf.html.

[03] Risalah Siyar As-Suluk Fi Syarah Kitab Ibtidai Suluk, http://www.scribd.com/doc/27797173/Risalah-Siyar-As-Suluk-Kuliah-1-2-3.

[04] 'Umdat al-Salik, Ahmad ibn Naqib al-Misri (w 769/1368), ditranslasi ke bahasa Inggeris oleh Syeikh Nuh Ha Mim Keller dengan tajuk Reliance of the Traveller: A Classic Manual of Islamic Sacred Law. Cetakan Amana Publications, Beltsville, Maryland U.S.A. diterbitkan pada 1991.

[05] History of Sulu, Najeeb Saleeby.
  1. Menarik artikel ini. Namun ada yang perlu dibetulkan. Fakta yang diberi bahawa Bahasa Arab dipengaruhi "Bahasa Nusantara" TIDAK BENAR SAMA SEKALI.

    Bahasa Arab sudah lama wujud, semenjak kurun ke-8 SEBELUM Masihi. "Bahasa Nusantara" atau Bahasa Melayu (Bahasa yang paling dominan di Nusantara suatu masa dahulu) hanya wujud sekitar 1000 tahun yang lepas, atau kurun ke-10 SELEPAS Masihi. Terdapat jarak masa 1800 tahun di situ. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 683 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan, manakala rekod terawal Bahasa Arab Kuno bertarikh 800 SEBELUM Masihi. Untuk bandingan, rekod terawal Sanskrit pula, 1500 tahun SEBELUM Masihi.

    Kebenayakan perkataan Bahasa Arab yang diberi di atas mungkin diambil dari Bahasa Sanskrit, bukan "Bahasa Nusantara" (dan semestinya bukan Bahasa Suluk).

    Tidak mungkin Bahasa Arab tiada perkataan untuk hujan (Matar), manusia (Nas), api (Nar), dan dunia (Dunya) sebelum pedagang Arab pertama berlayar ke Bumi Nusantara dan mendengar Bahasa Nusantara buat pertama kalinya. Apa tidak wujudkah hujan, manusia, dunia, dan api di Bumi Arab 800 tahun sebelum Masihi? Aneh sekali teori anda.

Post a Comment