Kebenaran Sultan Bantilan II dan siapa sebenarnya Albi?

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Wednesday, March 9, 2011 1 ulasan

SIAPA DATU ALBI?

"Tanpa Albi dan Meltino UTC tidak ada apa-apa dan tanpa mereka berdua ini UTC pasti akan berkubur!!"
Itulah dakwaan yang selalu didengar oleh sebilangan mereka yang tertipu dan mempercayainya tanpa melihat rahsia kejayaan UTC yang bermula sejak awal di tangan Datu Ladjamura bin Datu Wasik Aranan. Albi yang menamakan dirinya Datu Albi Julkarnain Ahmad masuk menyertai UTC hanya pada tahun 2009 yang diperkenalkan oleh Atty. Meltino kepada UTC tanpa syura atau perbincangan dengan Datu Ladjamura @ Sultan Bantilan dan para Syarif serta Datu UTC. Albi yang mendakwa dirinya hebat kerana menjadi presiden Council of the Royal Datus yang dianggotai lebih 500 orang Datu serta berkelayakan dirinya "mengangkat" seseorang menjadi Sultan Sulu. Kemasukan Albi telah mengubah senario UTC dari bersatu menjadi huru-hara namun gerak geri Albi hanya dilayan oleh Sultan Bantilan II dengan senyuman serta tunggu dan lihat. Pertama kali Albi yang mengaku dirinya sebagai anggota FreeMason yang pada awalnya mengejutkan kami tetapi tidak bagi Sultan Bantilan II.

"Siapa kata Mason itu jahat atau buruk? Kamu salah sangka terhadap Mason. Saya menjadi ahli Mason dengan bersumpah memegang Al-Quran. Itu kalau anda Muslim tapi kalau Kristian anda akan bersumpah memegang Bible pula... Mason adalah satu persaudaraan seluruh dunia yang dalam keadaan tertentu sangat berfaedah..." Itulah lebih kurang kata-kata Albi di kediaman sementara Sultan Bantilan II di Putik, Zamboanga City pada tahun 2009 lalu.

Atty. Meltino dan Albi.

Sebenarnya di Sulu anggota Mason sangat ramai antaranya para ahli politik Tausug yang menyertai pilihanraya Filipina yang kebanyakannya menjadi Mayor, Gobenur atau Baranggai. Hinggakan ditepi Bandar Jolo terdapat perkuburan Mason sejak tahun 1960-an lagi membuktikan anggota Mason sudah lama "mengkasi" kekuatan Tausug sejak dari awal setelah tamat perang Dunia ke-2. Dalam hal ini para wartawan UTC telah menyatakan kebimbangan terhadap Albi samada dia masih aktif sebagai anggota Mason kerana perjuangan UTC adalah mengembalikan Kesultanan dan pemerintahan Islam. Para wartawan UTC telah pun maklum tipu daya para Mason yang hanya mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama turut menjalankan upacara Iluminati (pemujaan Syaitan),

"Saya sudah tidak aktif lagi hinggakan telah banyak mesyuarat para ahli Mason yang saya tidak dapat hadiri kerana setiap kali mesyuarat kutipan yurannya terlalu mahal. Saya berhenti dengan menggagalkan diri menghadiri setiap kali ada perjumpaan di Manila. Saya datang untuk berjuang membantu anda menaikkan Kesultanan Sulu semula. Saya sudah tua tidak lama lagi akan tinggalkan dunia ini... inilah perjuangan terakhir saya"


TIPU DAYA ALBI DAN MELTINO?
Para wartawan UTC telah dibawa berbincang oleh Meltino dan Albi untuk menyimpan Sultan Bantilan II terlebih dahulu yakni melucutkan gelaran Sultannya terlebih dahulu kerana dengan cara ini sahajalah UTC dapat menarik para Datu, Syarif dan rakyat Sulu menyertai UTC serta individu Datu yang sudah melantik diri jadi Sultan-sultan Sulu seperti Sult. Fuad Kiram, Slt. Jamalul kiram III, Slt. Esmail Kiram II, Slt. Aguimuddin dan lain-lain. Pada awalnya Sultan Bantilan setuju setelah berbincang dengan para wartawan UTC dan para pemimpin UTC atas alasan bahawa perancangan Albi dan Meltino itu hanyalah satu helah kerana Sultan Bantilan tetap lah juga sebagai Sultan Sulu.

Baginda hanya diturunkan dari takhta hanya sementara dan akan dinaikkan semula setelah sampai masanya yang ditentukan (kemudian disepakati kenaikan Sultan akan dilakukan pada 17 November 2010 sempena Assertion of Independence). Langkah awal Albi ialah menukar UTC kepada UTP untuk mengalihkan pengaruh Sultan Bantilan II.

Tanpa disedari oleh Albi dan Meltino, para wartawan UTC telah mengatur satu pelan "B" dan "C" iaitu sekiranya Albi & Meltino "menyimpang" dari "jalan yang lurus" iaitu mengkhianati perjanjian mulut antara mereka dengan Sultan Bantilan maka para wartawan UTC harus bersatu membela kebenaran. Pelan "B" dan "C" telah dibentuk atas dasar curiga para wartawan UTC atas tindak tanduk Albi dan Meltino yang semakin hari semakin menjadi-jadi membuat kenyataan negatif terhadap Sultan Bantilan II. Malah secara diam-diam mereka mula membentuk kumpulan penyokong mereka sendiri membelakangi Sultan Bantilan dan para penyokongnya.

"Sekarang tiada Sultan lagi, kita mulakan dengan"Interim Government" pentadbir sementara yang akan diketuai oleh Datu Albi. Beliau akan mencari Sultan yang paling layak antara para Datu (samada yang sudah menabal diri jadi Sultan atau pun belum) dan Datu Albi akan memulakan lawatan ke negara luar untuk dapatkan sokongan umat Islam..." Begitulah lebih kurang kenyataan Meltino.

"Individu yang paling layak diangkat menjadi Sultan Sulu ialah, berpendidikan, kaya, bijaksana, punya tanah sendiri dan rumah sebagai istananya disamping keturunannya jelas dari jalur Kesultanan Sulu...." Itulah kenyataan Albi kepada penyokongnya.


KEMELUT DI BUNGAO & KONTAK DATANG SEMULA KE SABAH
Albi dan Meltino setelah berpeluang mencecah kaki ke Sabah sehingga ke Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Baharu akhirnya "belang" mereka semakin jelas nyata iaitu "menyingkirkan Sultan Bantilan II @ Datu Ladjamura. Puncanya ialah Albi dan Meltino sudah melihat kejayaan bukannya pada Datu Ladjamura dan pengikutnya tetapi adalah kerana Albi dan Meltino.

"Rasanya tanpa saya dan Atty. Meltino UTP tidak ada apa-apa..." Ujar Albi di perjumpaan dengan para Professor MSU Bungao pada bulan Disember 2010 yang lalu. Sikap ujub Albi sekali gus seperti memuatkan Atty. Meltino bersamanya dalam satu tongkang bocor ditengah laut yang dipenuhi ikan yu. Mereka lupa dengan keadaan mereka yang hanya berdua tanpa sokongan dan dokongan Sultan Bantilan II mereka tiada apa-apa. Mereka tidak menghargai kerendahan hati Sultan Bantilan dan kepercayaan yang diberikan ke atas mereka selama ini. Peristiwa di Bungao itu akhirnya menyebabkan Sultan Bantilan II bergegas bangkit membetulkan keadaan kerana rakyat semakin marah dan kecewa dengan tindak-tanduk Albi dan Meltino yang bukan sahaja merendah-rendahkan Sultan Bantilan malah melucutkan jawatan para Panglima dan Raja Bendahara di Tawi-Tawi.

Menyebabkan para penyokong Sultan Bantilan menelefon baginda di Jolo untuk meminta izin menembak Albi dan Meltino. Larangan Sultan Bantilan terhadap ugutan dari penyokongnya hanya berjaya setelah baginda sendiri turun ke Tawi-Tawi memujuk mereka agar meletak senjata. Albi dan Meltino bergegas kembali ke Jolo dan mula mendapat panggilan dari UTP Sandakan yang menyatakan bahawa seorang Datu terkenal di Sabah yang juga pengerusi PEKIDA akan memberikan mereka sponsor untuk bertemu di Sabah.


ALBI & MELTINO MENGKHIANATI JANJI?
Setelah beberapa minggu Albi dan Meltino datang semula ke Sabah dan berjaya bertemu dengan Datu terkenal tersebut tiba-tiba telah menjadi gempar dan terpampang di surat khabar tempatan Sabah bahawa Albi dan Meltino telah melantik Datu terkenal tersebut sebagai Sultan Sulu di Kota Kinabalu. Nama Sultan baru ini bergelar Shariful Hashim II yang sebenarnya tertipu kerana tidak mengetahui perkara sebenar apa yang berlaku ke atas Albi, Meltino, Sultan Bantilan II dan UTC serta UTP di Jolo Sulu. Orang kaya yang menggelarkan dirinya Datu ini (keluarganya sendiri mengakui beliau bukanlah keturunan DATU) yang kemudian diangkat menjadi Sultan Sulu di Sabah dengan gelaran Shariful Hashim II ini sangat yakin bahawa ALBI adalah seorang Datu yang mengetuai Council of Royal Datus yang "layak" mengangkat seseorang menjadi Sultan Sulu.

Walhal setelah diselidik oleh anggota panel penyiasat Sultan Bantilan II yang berpusat di Illigan City menunjukkan Council of Royal Datus Albi sebenarnya sudah tidak wujud kerana para ahli councilnya telah membuat Council lain kerana tidak bersetuju dengan tindak-tanduk Albi yang hanya suka mengangkat bermacam orang untuk diangkat menjadi Sultan Sulu tanpa persetujuan Council. Malah dakwaan Albi mendapat wang pencen kerajaan Peso 57,000 sebulan sebenarnya adalah pembohongan kerana wang pencennya telah ditahan oleh kerajaan Filipina kerana selama beliau menjadi ketua pengarah satu jabatan dulu beliau telah beberapa kali didapati pecah amanah melesapkan dana kerajaan. Menurut panel penyiasat Sultan Bantilan II, Albi bukan sahaja dituduh pecah amanah malah salah laku lain yang memalukan kerajaan Filipina.

Segala fail salah laku Albi telah dikumpul oleh panel penyiasat Sultan Bantilan II. Albi masuk menyertai Freemason sebenarnya untuk selamatkan diri agar mendapat perlindungan gerakan Mason sedunia dengan demikian kerajaan Filipina akan berfikir dua tiga kali untuk mendakwa salah laku beliau. Samada Meltino tahu atau tidak, selama mana dia menyokong dan mendokong Albi maka selama itulah mereka akan terpaksa "berkongsi kes" sehidup semati. Beliau terpaksa mempertahankan egonya sebagai "satu-satunya peguam terhandal di Sulu" dan tidak mungkin salah percaturan. Dia senantiasa benar jangan dibangkang...


PENYAKIT TUA PADA DIRI ALBI
Selama beberapa tahun iaitu selama Atty. Meltino mendapat kepercayaan rakyat yang mendokong gerakan Kesultanan Sulu yang diketuai oleh Sultan Bantilan II tetapi tidak ada seorang pun ahli Professional yang terpikat masuk membantu bersama perjuangkan aspirasi UTC. Hal ini menjadi kehairanan Sultan Bantilan sendiri dan para wartawan UTC yang juga banyak membantu menyebarkan propaganda kesultanan Sulu di Internet iaitu mengapa Atty. Meltino gagal? Yang beliau berjaya bawa masuk hanyalah Albi seorang.

Meltino tidak mengetahui Albi adalah seorang yang berpenyakit dan sedang menjalankan rawatan kencing manis dan darah tinggi dari masa ke semasa dan masuk ke UTC adalah semata-mata inginkan wang untuk membeli ubat. Ketika Albi berkunjung ke Malaysia atas jemputan UTC dulu Albi memerlukan ubat penyakitnya berharga hampir RM500 setiap dua minggu atau 20 hari menyebabkan "budjet" UTC lari disebabkan perlu membeli ubatnya pula. Budjet yang lari dari anggaran asal menyebabkan perjalanan Albi sangat terhad. Malah ketika Albi bertolak kembali ke Sulu UTC hanya memberikan mereka cukup-cukup tambang dan makan minum dalam perjalanan tetapi Albi masih kecewa,

"Sedih, saya kembali ke Sulu pun tidak diberi wang bekal... mereka dah makan semua duit yang diberikan oleh Malaysia?" Ujar Albi dengan nada kecewa yang peliknya dari mana dia dapat maklumat yang tidak benar itu bahawa UTC diberi wang oleh Malaysia? Malaysia bukanlah begitu bodoh seperti yang Albi sangka....


KEBENARAN & KEJAYAAN SULTAN BANTILAN II
Para wartawan UTC telah lama maklumkan Sultan Bantilan II sebelum bergelar Sultan lagi iaitu,

"Datu, kami adalah penyokong kebenaran dan keadilan dan kami mati kerananya, keadilan dan kebenaran hanyalah pada jalan Islam. Maka kalau Datu menyangka kami datang menyokong disebabkan kerana Datu semata-mata dari keluarga Aranan (Bantilan) maka itu tidaklah kami terima, selama mana Datu berlaku adil dan benar dan mengikut landasan Agama maka kami akan sokong dan dokong dengan wang, masa, darah malah nyawa kami sekali pun. Tetapi sekiranya Datu telah tinggalkan kebenaran dan keadilan pada jalan Islam maka kami akan ucapkan selamat tinggal Datu..."

Berkata Datu Ladjamura,

"InsyaAllah, Allah membantu kita selama mana kita bersatu pada satu jalan, bantulah aku... aku tidak pernah terfikir untuk dikangkat menjadi sultan. Tegurlah dan ajarlah aku sekiranya tersilap dan salah langkah. Perjuangan ini adalah kerja berkumpulan (jamaah) yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh seorang diri... aku telah pertaruhkan masa, wang, darah dan nyawa... penghujungnya samada Syahid atau menang..."
  1. This comment has been removed by the author.

Post a Comment