DATU JAMALUL KIRAM III bin DATU PUNJUNGAN BENAR DIAKUI SEBAGAI SULTAN SULU?
MNLF, MILF cari kesepakatan
Oleh Meor Hisham Zulkifli
2011/12/14
KUALA LUMPUR: Usaha pada peringkat politik supaya penduduk Islam di Selatan Filipina bersatu dipercayai dapat menghapuskan keganasan dan penculikan warga asing di rantau berkenaan dan ia mampu dicapai dengan bantuan kerajaan menerusi program pembangunan di situ.
Ini dilihat menerusi penyertaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang giat berunding dengan Manila selain mengambil kira semula pengaruh salasilah Kesultanan Sulu ke arah membentuk kerajaan autonomi serantau yang benar-benar kukuh.
Waris Kesultanan Sulu, Sultan Jamalul D Kiram III, memaklumkan kata sepakat hampir dicapai antara tiga pihak itu yang diyakini memperkukuh perpaduan penduduk Islam di Selatan Filipina sekali gus menamatkan keganasan dan penculikan yang sering dikaitkan dengan rantau itu.
“Andai semua pihak dapat bekerjasama dan saling bertolak ansur, kita yakin masyarakat Islam dapat bersatu hati bagi menangkis anasir yang sering memporak perandakan kawasan selatan.
“Selama ini, penduduk berpecah belah dan berpuak-puak mengizinkan anasir luar mengambil kesempatan dengan melakukan keganasan serta penculikan sehingga menjejas dan memburukkan imej masyarakat Islam di rantau ini,” katanya kepada wartawan Berita Harian di Manila, baru-baru ini.
Pergolakan di selatan Filipina sejak 1970-an menyebabkan pembangunan di kawasan berkenaan tidak dapat dilaksanakan berikutan kegiatan pemisah dan pelampau yang melakukan keganasan serta aktiviti melanun.
Jamalul berkata, perpaduan menjadi kunci untuk merungkai perkara lebih besar seperti usaha membangunkan Selatan Filipina yang kaya dengan hasil semula jadi menerusi kerjasama dengan beberapa negara jiran termasuk Malaysia.
“Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan termasuk aspek persempadanan dengan Malaysia dan andai ia dapat diatasi dengan cara baik, pasti menguntungkan semua pihak selain meredakan ketegangan di kawasan sempadan yang turut sama menjejaskan keselamatan di Sabah, seperti kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.
Selain itu, katanya, anggota keluarga salasilah kesultanan Sulu, turut sedia membantu Malaysia dalam menyelesaikan beberapa kes penculikan selepas beberapa kumpulan kecil menjadikan perairan Sulu sebagai tempat menyembunyikan tebusan.
Ketika ini, seorang warga Malaysia, Jepun dan India masih ditahan kumpulan penculik di Pulau Jolo, selatan Filipina. Rakyat Malaysia berkenaan, Mohd Nazarrudin Saidin, ditahan penculik sejak Mei lalu. Penculik menuntut wang tebusan lebih RM5 juta untuk membebaskannya.
Jamalul Kiram, yang kini diiktiraf sebagai pewaris sah kerajaan kesultanan Sulu oleh kerajaan Filipina dan Amerika Syarikat, berkata andai pembangunan dapat dilaksanakan di rantau selatan, penduduk yang mendapat faedah pekerjaan tentu tidak akan bergiat dalam pelanunan dan penculikan.
----------------------
ULASAN:
Penulis artikel di atas iaitu saudara Meor Hisyam Zulkifli rasanya pernah saya jumpa beberapa bulan yang lalu di Kuala Lumpur. Ketika itu beliau baru kembali dari ekspedisi "Kewartawanan" ke Sulu melalui Filipina. Tujuan ke sana ialah di samping membuat liputan tentang penculikan Mohd Nazaruddin Saidin (seorang rakyat Malaysia yang diculik oleh penculik Sulu) rasanya beliau dan rombongan mengkaji kekuatan gerakan SSDI (Kesultanan Sulu), dan seterusnya dapat digunakan untuk membantu membawa pulang mangsa culik itu.
Menurut laporan dari sahabat-sahabat SSDI di Manila, Zamboanga dan Jolo yang bekerja secara tidak rasmi kepada SSDI (Sultanate of Sulu Darul Islam @ UTC, Tausug Citizens), mereka mengakui memang menerima kunjungan "kewartawanan" dari Kuala Lumpur (Berita Harian). Malah salah seorang dari mereka sempat menemuramah PBMM Sultan Bantilan II (Sultan Tausug Citizens di Buansa, Jolo) dengan rakaman video sekali sebagai bukti.
Malangnya, tiada satu pun berita yang dihebahkan di akhbar perdana terutama Berita Harian sekembalinya mereka dari Sulu berkenaan SSDI (UTC). Hari ini kita lihat mereka sibuk pula mempromosikan Sultan Jamalul Kiram III bin Punjungan yang memang dikenali oleh orang kepulauan Sulu sebagai Sultan Palsu yang mengaku Sultan namun duduk dibawah ketiak Presiden Filipina. Sedih!!
Berkenaan isu MILF dan MNLF, orang Sulu secara majoriti (tidak termasuk penyokong UTC SSDI) sudah lama kecewa dengan perjuangan mahupun retorik PERJANJIAN DAMAI mereka. Bagi orang-orang Sulu sudah tamat perjuangan MILF dan MNLF memandangkan Presiden MILF sendiri, Nur Misuari telah memaklumkannya sendiri di Masjid Tulay, Jolo ketika selepas sembahyang sunat Aidil Adha baru-baru ini dengan mengatakan "Kita sudah ditipu oleh Manila, oleh sebab itu perjuangan MNLF sudah tidak efektif lagi. Maka terserah pada kalian (rakyat atau pengikut MNLF) untuk memikirkan mana yang lebih baik buat kalian". Seolah-olah ucapan kecewa.
Maka tiada jalan lain melainkan mengadakan semula perang senjata dengan Manila. Persoalannya bagaimana? Siapa yang boleh bantu dan dukung MNLF di luar negara? Perang bermakna sekali lagi Selatan Filipina bermandi darah yakni mengorbankan rakyat bawahan lebih 400,000 jiwa sekali lagi? Bagaimana anda menang? Sedangkan ketika perang 1972-1986 ketika dulu siap dengan bantuan negara-negara Arab (Libya terutamanya) namun anda tetap kalah di meja rundingan. Apa yang menjadi tanggapan Tausug dan Maguindanao ialah "perang sekali lagi" kali ini pasti akan diambil kesempatan oleh Manila kearah PEMBUNUHAN etnik secara beramai-ramai.
Menurut pemerhati, mungkin Nur Misuari mengambil kesempatan dari gerakan "menumbangkan rejim-rejim Arab" hari ini iaitu gerakan rakyat menuntut keadilan, dengan demikian Filipina terpaksa memilih antara kehancuran atau memerdekakan Selatan kepada gerakan BANGSAMORO. Seperti "malang dapat dihidu", hari ini sedang giat program mencanang perang sekali lagi secara diam-diam dikalangan rakyat di Selatan. Kita tunggu dan lihat kerana, mungkin ia sudah dirancang rapi oleh beberapa pihak yang kita tidak sangka-sangka. Sama-sama kita tunggu tahun 2012 sebagai tahun yang penuh misteri dan debaran sebagaimana tahun Y2K ketika dulu. Apakah tahun 2012 ini sama sahaja dengan tahun Y2K yang tiada apa-apa impak, yakni gimik dunya Yahudi semata-mata?
|