PERHIMPUNAN MNLF: BOLEHKAH MANLF DAN MILF BERKONGSI KUASA?
PERHATIAN:
Cadangan dan komentar dalam artikel ini bukanlah suara rasmi SSDI (Kesultanan Sulu Darul Islam) ia hanya cetusan idea penulis sahaja sebagai seorang Tausug yang beragama Islam yang mahu melihat bangsa dan negara nenek moyangnya menjadi bebas dan merdeka sebagaimana asalnya.
Assalamualaikum warahmatullahi walbarakatuhu,
Berikut adalah laporan tentang perhimpunan yang amat penting bagi Tausug khususnya dan kaum-kaum Muslimin (Moro) Mindanao umumnya iaitu Perhimpunan MNLF (Moro National Liberation Front) di Davao serta memberikan jalan keluar buat Malaysia sebagai broker perjanjian damai ini agar boleh pula mendamaikan MNLF samada memujuk dengan berkongsi kuasa atau bergilir dalam mentadbir BANGSAMORO Autonomy tersebut.
Laporan pertama ialah dari laporan bergambar Facebook MNLF yang saya paparkan dibawah.
The 17th MNLF Grand Summit Gathering, Davao Crocodile Park 2012
"THOUSANDS OF MNLF COMING FROM ALL OVER MINDANAO GATHERED AT DAVAO TO RAISE ONE VOICE UNDER THE LEADERSHIP OF THE LEGITIMATE BANGSAMORO REPRESENTATIVE MNLF CHAIRMAN NUR MISUARI"
Laporan dalam akhbar tempatan meletakkan tajuk "Jangan Memperkecilkan Nur Misuari!" ini menunjukkan bahawa Nur Misuari tidak bersetuju dengan pelan damai yang ditandatangani antara MILF (Moro Islamic Liberation Front) dengan GPH (Government of the Philippines). Perhimpunan MNLF ini sangat jelas sebagai perhimpunan protes dari pihak MNLF yang dipimpin Nur Misuari terhadap perjanjian damai tersebut yang bukan sahaja menganggap MILF sebagai kumpulan bersenjata picisan malah dianggap sebagai kumpulan pengkhianat.
Kerana ketika MNLF menandatangani Perjanjian Damai Autonomy pada tahun 1996, suku kaum Maranao-Maguindanao yang sebelumnya menyertai angkatan bersenjata MNLF telah berpakat keluar dari MNLF dengan menubuhkan MILF pula, dengan alasan mereka tidak mahu Autonomi tetapi kemerdekaan sebagaimana perjuangan awal. Tiba-tiba hari ini MILF pula yang mengikut jejak MNLF berdamai dengan SANGGUP menerima kerakyatan Filipina, bukan kemerdekaan negara Islam Moro seperti yang mereka laungkan.
Barangkali inilah punca kemarahan utama MNLF terhadap saudara mereka dari kumpulan MILF ini. Iaitu cakap tak serupa bikin, beriya-iya nak teruskan peperangan dengan menentang perjanjian damai MNLF 1996 tapi akhirnya MILF sendiri yang terpaksa menelan segala cakap besarnya terhadap MNLF pada 1996 lalu.
Salah satu dari kemarahan MNLF ialah perjanjian damai yang dimeterai MILF dengan Filipina itu secara automatik telah membatalkan segala perjanjian damai 1996 oleh Nur Misuari yang mewakili MNLF dengan Filipina. Sejak tahun 1996 Nur Misuari menunggu agar perjanjian damainya itu dilaksanakan oleh Filipina tapi malangnya bukan sahaja tidak dilaksanakan oleh Filipina segala fasa dalam perjanjian tersebut malah Filipina bertindak dengan bantuan Malaysia menutupi perjanjian MNLF 1996 itu dengan perjanjian baru MILF-Filipina ini.
Gambarannya seperti satu syarikat pemaju hartanah telah menandatangani perjanjian dengan Syarikat A untuk pemajakan bangunan BLOK M, tiba-tiba pemaju ini telah bertindak memajakkan blok bangunan yang sama kepada Syarikat B pula. Bila Syarikat A tahu kerja khianat pemaju tersebut maka sudah sewajarnya syarikat A akan marah dan pasti akan lakukan tindakan yang difikirkannya perlu agar pihak pemaju mematuhi perjanjian pajakan AWAL.
Sekarang Syarikat A (MNLF) ini bukan sahaja marah kepada Pemaju (Filipina) malah turut marah kepada Syarikat B (MILF) yang ketika dulu adalah rakan kongsinya. Kemarahan Syarikat A ini turut diarahkan kepada PEMAJU dari luar (Malaysia) yang tanpa rasa bertanggungjawab telah menyokong tindakan Pemaju (Filipina) sehingga membolehkan Syarikat B (MILF) itu mendapat konsesi pajakan bangunan Blok M (Moro).
Apapun alasan Filipina untuk menafikan hak MNLF sebagai pemeterai perjanjian lebih awal ia nyata sekali tidak boleh diterima samada oleh Nur Misuari mahupun ahli-ahli MNLF sendiri. Di Malaysia, siaran TV tempatan telah melaporkan betapa Malaysia begitu bertuah menjadi ajen pendamai Nusantara sehingga mendapat pujian Ulama' Arab (Syeikh Yusuf Al-Qaradawi) tanpa menyedari bahawa ia bukannya keamanan yang menjadi TOKEN kepada kejayaan Malaysia itu, sebaliknya akan menjadi bibit perang saudara sebagaimana yang digambarkan oleh Nur Misuari sendiri. Sekiranya Malaysia berterusan MENUTUP MATA terhadap keadaan sebenar Sulu dan Mindanao itu, dikhuatiri masalah ini akan menular sampai menyentuh kes Sabah.
MALAYSIA MENCARI JALAN KELUAR
Malaysia memerlukan jalan keluar dari terlibat secara berterusan dengan mengambil langkah alternatif demi keselamatan wilayah dan POLITIK dalamannya. Ataupun berterusan mendokong MILF-Filipina sehingga mengorbankan kepentingannya sendiri yang selama ini diusahakan "terus tersorok" (kes Kesultanan Sulu). Malaysia mempunyai 3 agenda untuk bantu pelan damai Mindanao dengan Filipina,
- Pertama kerana hendak selamatkan karier politik Kerajaan yang semakin terancam oleh parti oposisi terutama dalam kes RCI (Suruhanjaya Diraja Menyiasat IC PROJEK/PALSU) di Sabah (penganalisis politik tahu hal ini) terpaksa dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia atas desakan pengundi Sabah dan parti-parti oposisi. Sebarang kegagalan bertindak dari pihak Kerajaan menangani pendatang asing, maka mereka akan kehilangan undi pada PRU-13 nanti.
- Kedua kerana RCI itu perlukan dokongan dari selatan Filipina, yakni tanpa keamanan di sana, RCI tidak dapat dilaksanakan secara efektif untuk menghalau Muslimin Sulu-Mindanao (PTI) kembali ke tempat asal mereka. Dalam masa yang sama Muslimin Sulu-Mindanao turut tidak berasa kecil hati sekiranya dihalau kerana Malaysia telah membantu amankan Selatan buat mereka. Yakni, sudah mudah mencari makan di Sulu-Mindanao kerana Malaysia telah janjikan dana besar buat FILIPINA UNTUK MEMBANGUNKAN SELATAN.
- Ketiga kerana tanggungjawab Malaysia terhadap kemakmuran jirannya yang bukan sahaja jiran itu berhak dibantu malah penduduknya adalah saudara seIslam, disamping itu juga dapat mailej antarabangsa terhadap bantuan damai tersebut.
Beberapa orang sahabat saya dari kalangan mantan Tentera Malaysia bergilir-gilir mengucap tahniah kepada saya berkenaan keamanan yang sedang dikecapi oleh BANGSA MORO katanya setelah dibantu oleh DS Najib Tun Razak sebagai broker keamanan. Saya katakan pada mereka, ya kita doakan semoga bantuan Malaysia itu akan Allah swt berikan keberhasilan untuk manfaat ummah terutama Sulu dan Mindanao, dan insyaAllah kita di Malaysia akan turut merasa nikmatnya insyaAllah.
Tapi, mereka terkejut bila saya berikan pandangan apa yang berlaku sekarang ini kemungkinan besar bukan keamanan malah sebaliknya akan mengancam keselamatan Malaysia di rantau ini. Saya bagi tamsilan, yang berlaku sekarang ialah "Orang luar bantu SABAHAN untuk datang ke Semenanjung Malaysia untuk mentadbir orang-orang Malaya (Melayu, India, China Orang Asli)", sudah tentu orang Malaya marah dan tidak mahu diperintah oleh SABAHAN atas dasar dominannya kuasa Kesultanan di Tanah Melayu itu. Tiada siapa pun orang MALAYA yang mahu, kerana hal ini bukan berdasarkan agama dan budaya semata-mata tapi berdasarkan Sejarah dari mana ia bermula.
Maka bagaimana Malaysia boleh dapatkan jalan keluar ini? Menuding jari kepada DS Najib Tun Razak rasanya tidaklah adil, menuding jari kepada pihak Keselamatan dan Kementerian Luar Malaysia juga bukanlah caranya. Sekali pun dalam perkiraan mereka sebagai penasihat kepada dasar luar Malaysia berkenaan Keselamatan Negara itu, bahawa menjadi broker memeterai PERJANJIAN DAMAI FILIPINA dengan PEMISAH boleh membantu melonjak sokongan politik dalaman negara itu nampak terburu-buru, namun kesilapan ini bukan bertenggek di atas bahu mereka semata-mata. Kesilapan ini sejak awal lagi tapi samada pihak Keselamatan Malaysia tahu atau pura-pura tidak tahu sahaja.
Ada beberapa kesilapan Kerajaan Malaysia terutama yang menyentuh dasar mereka terhadap apa yang mereka sebut sebagai PTI dari Sulu-Mindanao sejak perang Moro meletus pada tahun 1972 sehingga era 90-an selepas perjanjian damai MNLF-GPH 1996.
- Sejak dari awal Malaysia tidak menubuhkan ahlijawatan kuasa protokol yang menjaga hal ehwal para Datu dan Syarif Kesultanan Sulu di Sabah untuk pertahankan dirinya. Sepatutnya Kerajaan memperkasakan legasi Tun Datu Mustapha sebagai satu-satunya legasi yang boleh membantunya di masa-masa akan datang. Dengan mengiktiraf legasi Kesultanan Sulu di Sabah, Malaysia akan berjaya membentuk satu BENTENG yang mana Filipina pun tidak terfikir melakukannya (perlu difahami Filipina itu akan senantiasa menuntut Sabah dengan menggunakan HAK KESULTANAN SULU, tapi silap Filipina dia sendiri tidak memelihara legasi Kesultanan Sulu untuk beliau boleh gunakan menuntut Sabah). TYT harus dipilih dari kalangan para Datu dan Syarif Suluk yang tersusun dalam Rumah Bichara mereka sendiri yang dipantau oleh jawatankuasa pusat. Membuat IC Khas buat kaum SULUK dibawah nama TYT dan pengesahan dari DYMM SULTAN AGUNG Malaysia dan Majlis Raja-Raja. Kalau cara ini terhalang oleh 20 Perkara (perjanjian Sabah sertai Persekutuan Malaysia), jalan terbaik ialah mengiktiraf salah satu dari mana-mana gerakan Kesultanan Sulu yang lebih dominan dan diterima rakyat serta tidak terikat oleh Filipina atau Malaysia mahupun Indonesia sebagai batu asas PERTAHANAN.
- Menubuhkan jawatankuasa pusat memperkasakan persatuan-persatuan etnik terutama etnik Suluk yang sejak sekian lama mendominasi bandar-bandar dan pekan di seluruh Sabah kerana budaya mereka ialah PEDAGANG BARTER satu budaya purba yang masih mereka warisi dan amalkan. Untuk memperkasakan persatuan etnik ini jangan menggunakan platform politik kepartian kerana ia akan binasa.
- Sekiranya hal ini tidak dapat dilakukan oleh Kerajaan Malaysia, malah beterusan menggunakan isu IC Projek/Palsu dengan hanya melayan kerenah politik parti-parti perkauman maka sudah tentu pihak disebalah sana akan semakin berusaha memantap dan menyusun strategi untuk menghadapi pelbagai kemungkinan terhadap tuntutan wilayah dan sebagainya. Kemelut ekonomi yang semakin menjerut dan semakin sampai ke tahap "Memerlukan Perang Besar untuk reset ekonomi Dunia", maka hal Kesultanan Sulu ini sangat berpotensi digunakan sebagai MODAL KEDAULATAN untuk cetusan perang di rantau ini.
Malaysia perlulah memahami bahawa, hal PTI di Sabah dan di Tanah Melayu sangat jauh berbeza. Menangkap PTI Indonesia, Myanmar dan India di Tanah Melayu dan kemudian menghalau mereka kembali ke negara asal mereka adalah mudah tanpa apa-apa kebimbangan konflik kedaulatan wilayah dan sebagainya. Berbeza dengan di Sabah, dengan statistik penduduk Sabah 3.2 Juta, lebih separuh darinya adalah dari Kepulauan Sulu. Separuh dari masyarakat Sulu ini pula adalah yang dilabel oleh Sabahan dan kerajaan Malaysia sebagai PTI.
Jumlah mereka ratusan ribu orang yang separuh dari mereka biasa menggunakan senjata api automatik. Walau pun mereka ini ditangkap dan dipijak-pijak dalam rumah merah sebagai PTI dan tampak tidak melawan, namun mereka adalah berpotensi dijadikan tentera militia dimasa-masa akan datang. Hal ini perlu dilihat dari segi dalaman seperti ini terlebih dahulu sebelum melompat kepada yang lebih besar seperti "membrokerkan diri menjadi pendamai". Kalau kena pada tempatnya tidak apa, tapi nampaknya semakin mengarah kepada "seperti tikus membaiki labu".
BAGAIMANA "MEMUJUK" MNLF AGAR MENDOKONG PELAN DAMAI MILF?
Ada dua cara yang dirasakan boleh diusahakan dengan menggunakan PLAN A dan PLAN B serta kalau dah terdesak sangat gunakan PLAN C. Plan A hantar deligasi menemui MNLF pujuk mereka untuk penggiliran presiden BANGSAMORO Autonomi. Itu pun kalau MILF mahu berkongsi dan juga sangat bergantung dari persetujuan MNLF sendiri. Dan perlulah diingat, untuk wujudkan perkongsian kuasa ini memerlukan TANDATANGAN PERJANJIAN baru pula kerana isu perkongsian kuasa atau penggiliran ini tiada dalam agenda dalam perjanjian yang baru ditandatangani ini. Sekiranya komiti Malaysia yang sekarang sedang memantau pematuhan perjanjian damai tersebut dapat menyatukan MILF dan MNLF ini dalam masa terdekat agar berkongsi KUASA atau BERGILIR maka usaha Malaysia sebagai broker perjanjian damai ini adalah BERJAYA.
PLAN B? Sekiranya tidak berjaya yang mana MILF dan MNLF tetap dengan ego masing-masing, tiada pilihan lain buat Malaysia ialah meminta atau mendorong Filipina untuk mengiktiraf Kesultanan Sulu kembali berdaulat dengan beberapa kaedah yang sangat efektif. Kaedah ini akan menutup mulut MNLF dan MILF kerana entiti KESULTANAN SULU adalah asas kepada perjuangan mereka ketika meletus perang Moro 1972. Ini adalah satu rahsia yang mana generasi muda Tausug telah lama tahu, malah generasi MNLF yang rapat dengan Nur Misuari ketika berdepan dengan Presiden Muammar Gadafi di Libya tahu akan hal ini.
Malah Malaysia dan Filipina lebih-lebih lagi AMAT TAHU tentang hal ini. Tapi oleh kerana masing-masing diamanahkan menjaga WILAYAH Spanyol dan Inggeris serta diamanahkan mempertahankan legasi sistem Spanyol dan Inggeris itu maka keadaan tidak mengizinkan mereka MENGIKTIRAF Kesultanan Sulu.
Kalau komiti DS Najib Tun Razak tak mampu memujuk MNLF dan MILF, kemudian tak sanggup menggunakan nama Kesultanan Sulu maka hanya ada satu jalan iaitu mengutus DS ANWAR IBRAHIM ke sana bertemu Nur Misuari. Mereka ini sahabat kamcing lagi pun DS Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam penangkapan Nur Misuari masuk ke Malaysia ketika dahulu. Dalam beberapa keadaan mereka ni serasi dan punya beberapa projek bersama.
Ada sanggup?
ASREE SUG
|