PUNCA KEHILANGAN MARUAH KEPIMPINAN SULUK DI NEGERI SABAH!!
SULUK/TAUSUG DI SABAH DAN GELARAN PTI
Di negeri Sabah, salah satu suku kaum yang terbiar dan tersisih pada hari ini ialah yang dipanggil suku kaum Suluk. Padahal sebelum Sabah menyertai Persekutuan Malaysia 16 September 1963, suku kaum Suluk ini adalah yang terkenal dominan dalam kelas pentadbir dan terkenal sebagai suku bangsa pahlawan serta bangsawan. Selama beberapa dekad disepanjang puluhan tahun selepas 16 September 1963, kelihatan suku kaum ini terbelenggu dan menjadi pasif disebabkan beberapa peristiwa yang berjaya menekan mereka ke tahap "tiada nilai".
PERTAMA:
Kehilangan nilai itu berpunca dari berlakunya perang Moro vs Manila 1972 yang kelihatannya pemimpin tertinggi Suluk di North Borneo atau Sabah seperti Tun Datu Mustapha ketika itu terlibat secara tidak langsung menyokong dan mendokong pejuang Moro melawan Filipina. Perang berterusan yang sudah barang tentu memakan korban yang bukan sedikit menyebabkan penduduk kepulauan Sulu mula berhijrah beramai-ramai membanjiri negeri Sabah.
Kebanjiran pelarian ini tidak hanya berhenti disitu, tapi ia berterusan dengan kedatangan fasa kedua para pelarian yang terkemudian. Kali ini lebih kepada pelarian ekonomi kerana perang yang berterusan, perang saudara, hutang piutang, kesukaran mendapatkan sesuap nasi di sana menyebabkan Sabah menjadi destinasi utama untuk mereka meneruskan kehidupan berkeluarga. Hal ini berterusan dan kerajaan Negeri Sabah diletak dalam keadaan serba salah, terutama Tun Datu Mustapha yang ketika itu turut dilanda masalah politik dalaman. Kesibukan Tun Datu Mustapha dalam polemik politiknya menjadikan keadaan Pelarian Perang dan Pelarian Ekonomi dari kepulauan Sulu berada dalam keadaan huru-hara dan terbiar.
Dari sini muncullah perkataan baru dan asing buat pelarian ini iaitu istilah PENDATANG TANPA IZIN atau PTI. Sedangkan rata-rata para pelarian ini 98% adalah dari kepulauan Sulu yang menganggap North Borneo adalah sebahagian dari wilayah nenek moyang mereka.
KEDUA:
Kehilangan nilai kepimpinan Suluk ini masuk ke fasa seterusnya iaitu Tun Datu Mustafa berjaya diperdaya oleh orang Melayu dari Semenanjung Malaysia untuk membubarkan Parti USNO dengan menukarnya kepada Parti UMNO. Dalam fasa kedua ini, kegembiraan Tun Datu Mustapha dan pemimpin-pemimpin Suluk lain hanya sementara kerana janji dari membawa Parti UMNO masuk ke Sabah. Seperti biasa dalam permainan politik, komplot dan pengkhianatan adalah wajib tanpa mengira sahabat dan keluarga. Disebabkan politik segalanya telah bercerai berai kerana "Fulus". Dalam hal ini kemudiannya Tun Datu Mustapha telah dipersalahkan oleh veteran Suluk-Bajau kerana membawa UMNO masuk ke Sabah dan membuang USNO.
Beberapa waktu kemudian Tun Datu Mustapha telah dianggap gagal sehingga diri beliau sendiri tidak berjaya merebut jawatan yang sepatutnya berada dalam tangan beliau. Sehingga muncullah Parti PBS dan menjadi penguasa baru menggantikan kepimpinan Suluk. Ketika PBS memerintah mereka mula memadam jejak-jejak kepimpinan Suluk hinggakan legasi Tun Datu Mustapha sendiri di mata rakyat hampir-hampir pupus. Kejayaan PBS sangat mengagumkan, dalam masa singkat parti PBS berjaya mengangkat maruah suku bangsa mereka KADAZAN-DUSUN-MURUT (KDM) ke persada dunia sebagai bangsa dominan menggantikan suku kaum Suluk yang sudah dianggap PELARIAN PERANG atau PTI.
KETIGA:
Kehilangan nilai pada fasa ketiga ini adalah disebabkan oleh kemunculan PBS mengambil alih tampuk pemerintahan yakni meneruskan legasi perjuangan Tun Fuad Donald Stephen (beliau sebelum memeluk Islam adalah salah seorang pemimpin gereja di North Borneo). Mereka mula melestarikan budaya dan bahasa mereka dengan memperkenalkan pesta KAAMATAN dan memasukkan bahasa KDM dalam surat khabar harian mereka sendiri, satu perkara terpenting yang tidak dilakukan oleh Tun Datu Mustapha untuk kaum Suluknya selama beliau memerintah ketika dulu.
Kebijaksanaan PBS adalah kerana mereka mendapat khidmat nasihat gereja dari Eropah dan pelbagai penjuru dunia. Maka jangan hairan mereka lebih berjaya dan terurus. Berbanding Suluk yang dikatakan berani tidak tercabar tapi dari segi kepimpinan mereka tertinggal 100 tahun ke belakang oleh PBS yang berorintasikan Kristian. Kejayaan PBS sebenarnya selain bantuan luar di pihak gereja, mereka juga pandai mengendalikan Yayasan Sabah dan dari sana mereka dapat modal besar untuk memacu menjayakan setiap agenda mereka.
Satu kejayaan besar PBS lagi yang tidak dapat dimungkiri ialah mereka berjaya membina gereja di setiap kilometer di seluruh tanah negeri Sabah. Berbanding ketika pemimpin Suluk memerintah sebelumnya, yang hanya berusaha mengislamkan KDM tapi tidak memberikan dakwah susulan apatah lagi mendirikan masjid atau surau disetiap kilometer tanah negeri Sabah. Sehingga hari ini, Suluk tidak lagi dikenali sebagai suku bangsa yang sangat bermaruah dan berintegriti sebagai bangsawan di Negeri Sabah. Kepimpinan Suluk yang ada sekarang walau pun mencuba menaikkan nama Suluk namun masih gagal kerana tiada sokongan dan dokongan dari masyarakat Suluk sendiri.
Hal ini berlaku disebabkan majoriti orang Suluk di Sabah malu dipanggil Suluk atau Tausug lagi. Mereka lebih suka dipanggil Bajau, Sungai atau Melayu (kerana menganggap Suluk/Tausug itu adalah Pelarian atau PTI). Mengaku Melayu sahaja sangat janggal dikalangan Suluk atau Tausug dan menjadi bahan lawak jenaka kepada generasi yang mengetahui sejarah. Kerana ketika Sabah sertai Persekutuan Malaysia dulu tiada satu pun nama suku kaum yang ditulis nama MELAYU dari Sabah. Melayu hanya masuk ke Sabah setelah dibuka pejabat-pejabat Kerajaan Pusat, Polis dan Tentera yang pekerjanya ramai didatangkan dari Tanah Melayu, sehingga itu barulah ada nama Orang Melayu di negeri Sabah.
KESIMPULAN
Kesimpulannya mudah dan pendek. Pemimpin Suluk di Sabah jangan malu meniru kejayaan PBS kerana mereka berjaya melestarikan bangsa, budaya dan agama mereka sampai tidak tercabar dan menjadi penentu kepada kuasa politik di negeri Sabah. Kemungkinan besar Datuk Shafie Apdal berjaya melestarikan Pesta Lepa-Lepa dengan mencedok Budaya Sambulayang Suluk menjadi miliknya sehingga pesta Bajau itu terkenal dipersada Glokal adalah kerana meniru kejayaan PBS.
Kita ucap tahniah kepada Datuk Shafie Apdal yang lebih berasa mulia berbahasa Bajau di hadapan orang-orang Suluk dalam mana-mana pertemuan politik, kerana seperti yang saya jelaskan di atas, Suluk telah kehilangan nilai sehingga orang Bajau pun tidak lagi memandang mereka sebagai Suluk malah bagi orang Bajau Semporna Suluk adalah dari Suku Bajau. Pandangan sinis ini sepatutnya dilihat oleh Suluk sebagai cabaran untuk maju dan berusaha menjadi yang terbaik mendahului suku kaum KDM yang diperjuangkan PBS dan Bajau yang diperjuangkan Datuk Shafie Apdal. Sekurang-kurang seiring dengan mereka.
Adalah satu perkara yang sangat memalukan buat Suluk dan keluarga mereka serta keturunan mereka sehingga qiamat, yang bukan sahaja mereka kalah dari semua bidang kepada kaum-kaum lain, malah kalah dari memajukan diri dari segi pendidikan agama. Sepatutnya setiap daerah dan perkampungan Suluk tanpa mengira PTI dan tempatan seharusnya ada sekolah agama rakyat atau lebih canggih lagi sekolah Pondok ala Pondok Pattani. Sudahlah Pesta Sambulayang pun tidak mampu mengadakannya, bahasa Suluk pun tidak dilestarikan sehingga menjadi bahasa surat khabar harian di Sabah sebagaimana yang dibuat KDM.
Sepatutnya pengundi SULUK di negeri Sabah dan di semenanjung Malaysia meminta Datuk Sri Najib membantu melestarikan bahasa dan budaya Suluk di Sabah. Kalau Datuk Sri Najib enggan atau mahu tak mahu, persatuan Suluk seharusnya menghantar isyarat kepada Datuk Sri Anwar Ibrahim dan suarakan keinginan anda sebagai SULUK Sabahan yang bermaruah.
|
Salam saudara Asree....sebenarnya sedar tak sedar pemimpin-pemimpin besar di Sabah sekarang juga terdiri daripada keturunan suluk yang malu mengaku diri mereka ialah suluk...mungkin ramai tidak mengetahui beberapa org kuat d sabah seperti TYT kita sendiri iaitu "Panglima Johar Bin Hj.Mahiruddin" merupakan org suluk yg berasal dr Tambisan...saudara-saudaranya yg lain seperti Dato' samsuddin dan Dato'Armani Bt.Hj Mahiruddin merupakan orang suluk.....jd tiada alasan kenapa org suluk harus malu untuk mengangkat maruah bangsa suluk....sekiranya individu-individu yg saya sebutkan di atas membela nasib bangsa suluk dengan mengaku sebagai "suluk" rasanya suluk pasti akan diangkat semula seperti dulu....