AKU DAN BUKU-BUKU BAHASA MELAYU
Penulis menunjukkan buku Tausug dan Kesultanan Sulu kepada saudara Julfekar di kawasan rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur. Foto oleh Neldy Jolo, Mac 2011.
Siapakah Julfekar? Beliau adalah salah seorang komposer Malaysia yang tidak asing lagi di persada seni tanah air tetapi ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau adalah seorang Tausug. Beliau bukan sahaja menguasai bahasa Melayu malah fasih berbahasa Suluk dan Bajau. Beliau antara generasi Tausug yang pakar bahasa Melayu yang berjaya dalam dunia hiburan di Malaysia.
Mungkin ramai Tausug yang pakar bahasa Melayu di Malaysia tetapi manusia Tausug yang penulis tahu sebagai pakar bahasa Melayu hanya dua orang iaitu Cikgu Hatta Sawabi yang sekarang meneraju Persatuan Suluk Sandakan dan Komposer Julfekar.
Cikgu Hatta Sawabi, Presiden Persatuan Suluk Sandakan (SULUK) sedang berucap.
AKU DAN BUKU
Sebenarnya ketika di darjah dua dahulu penulis pun pernah bercita-cita untuk jadi pakar bahasa Melayu suatu hari nanti. Masuk ke kelas darjah satu di SRK Ching Min Bandar Sandakan pada tahun 1984 sehingga masuk ke darjah dua pun penulis masih tidak pandai membaca. Hal ini menyebabkan kerisauan guru-guru kerana "kelembapan otak yang melanda pelajar Tausug" seperti penulis. Malangnya ia hanya berlaku pada diri penulis seorang sedangkan yang lain begitu hebat membaca buku teks di hadapan guru sampai menyembur-nyembur air liur. Tinggal lagi, yang menyebabkan guru kehairanan bagaiman penulis begitu hebat melukis kartun dan figur tetapi tidak pandai membaca? Kerana lukisan bebas yang penulis lukis bukanlah tahap lukisan darjah satu tetapi lukisan darjah enam.
Satu rahsia kenapa penulis tidak pandai membaca kerana penulis sendiri tidak pernah melalui PRA-SEKOLAH. Oleh kerana ibu dan ayah penulis pelarian perang maka penulis hanya "dihumban" ke pangkuan guru-guru sekolah rendah tanpa mengetahui perlunya masuk ke sekolah tadika terlebih dahulu. Bagaimana penulis mula pandai membaca dan mula menulis?
Suatu hari penulis melihat seorang sahabat karib membawa buku bergambar. Penulis tertarik kerana gambarnya berbentuk lukisan-lukisan komik lalu penulis ingin tahu dimana beliau membeli kerana penulis akan usahakan untuk membelinya. Beliau beri tahu bahawa ia percuma kerana dipinjam di Perpustakaan Sandakan. Dipendekkan cerita penulis pun mula berjinak-jinak dengan perpustakaan dengan tujuan untuk melihat lukisan-lukisan komik yang menarik kerana penulis memang "handal" melukis tetapi membaca "hapa pun tarak". Sejak hari itu penulis mula menjadi ulat buku tetapi bukannya dibaca hanya dilihat dan dibelek-belek sahaja. Pada akhirnya penulis perlu mengetahui apakah yang dibualkan oleh watak-watak komik tersebut. Membaca berdikit-dikit dengan bantuan guru dan kawan-kawan akhirnya dua bulan kemudian penulis telah pandai membaca dan menulis ayat. Syukurlah.....
MULA MENJADI "PENAGIH"
Pada penghujung darjah dua gaya hidup penulis sudah berubah iaitu dari "buta huruf yang hanya pandai melukis" kepada "tahi buku" yang terlalu gilakan buku. Dalam masa sehari penulis perlu habis membaca dua buah buku (kerana perpustakaan hanya benarkan meminjam dua buku dalam satu masa) samada tebal atau nipis sehingga ketika makan pun buku cerita ada disisi. Ia adalah "kejutan budaya" kepada penulis kerana rupa-rupanya kita dapat meneroka dunia dengan hanya membaca buku-buku. Pada pertengahan darjah tiga penulis telah berjaya membaca separuh dari 5 rak buku berbahasa Melayu di perpustakaan tersebut, satu kejayaan tersendiri. Dari mula meminati buku komik beralih kepada buku-buku pengembaraan yang berasal dari tulisan-tulisan barat yang ditranslasi ke bahasa Melayu kemudian berubah kepada buku-buku sejarah dan anthropologi pula. Bagaimana penulis dapat membaca dua buah buku dalam masa sehari (1/2 malam)?
Duduk membaca... berjalan membaca... dalam kenderaan membaca... di rumah membaca... malah ketika dalam "jamban" pun penulis berusaha mengingat anekdot-anekdot dalam buku yang penulis baca. Akhirnya penulis telah menjadi "penagih buku" sehingga kurus kelempeng kerana hanya berkepit dengan buku tanpa hiraukan makan dan minum lagi. Hinggakan ulangkaji pelajaran sekolah pun sudah tidak dihiraukan hanya bila esok ada "exam" barulah malam ni buka buku mengulangkaji. Akhirnya markah pun nyawa-nyawa ikan. Sehingga darjah empat dan masuk ke darjah lima, perpustakaan Sandakan sudah kehabisan "buku baru" kerana buku lama dalam rak berbahasa Melayu "sudah gondol" dibaca oleh penulis. Yang tinggal hanya novel-novel cinta kejiwangan yang tiada guna yang terpaksa juga penulis baca.
Selepas mengambil SPM dalam aliran Sains dan hanya lulus pangkat 2 pada 1994 penulis beralih ke sekolah agama sekali pun guru-guru sekolah memujuk penulis untuk meneruskan ke tingkatan enam rendah. Penulis hijrah ke Kota Kinabalu dan masuk ke Madrasah Imam an-Nasa'ie (bekas Madrasah saudara Nazri Raihan) di Tuaran sebagai pelajar Umumi yang dikendalikan oleh ustaz-ustaz ahli Jamaah Al-Arqam.
|