DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU LANGIT DIJUNJUNG
Beberapa hari lagi Ramadhan Al-Mubarak akan meninggalkan kita dengan penuh kesedihan kerana mungkin kita tidak akan bersua lagi dengan Ramadhan di tahun akan datang. Kita tidak tahu apakah Ramadhan kali ini adalah terakhir buat kita. Kemudian menjelang pula Hari Raya Aidilfitri sebagai hari kemenangan buat muslimin dalam menempuh sebulan berpuasa.
Begitu julung kali berlaku, kegembiraan Hari Raya kali ini yang akan jatuh 30 Ogos pasti disambut berganda dengan gilang-gemilang terutama bagi warganegara Malaysia kerana pada 31 Ogos ini juga adalah hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54.
Tidak dapat dibayangkan bagi warga kota yang walau pun tidak dapat balik beraya di kampung namun letusan bunga api di malam 31 Ogos sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka. Selamat Hari Raya Merdeka buat semua warga kota dan warganegara Malaysia keseluruhannya.
DISITU LANGIT DIJUNJUNG
Bagi warganegara Malaysia yang berketurunan Aceh, Pattani dan Tausug yang kebanyakan ibu-bapa mereka pernah berjuang ketika dulu membebaskan negara asal mereka dari penjajahan, di sini mereka berasakan "kebersamaan" menjadi warga negara Malaysia yang aman damai dan harmoni. "Pelajaran" yang mereka dapat ialah nikmat kebebasan dalam negara yang berbilang kaum dan tentunya dapat memastikan bagaimana mengekalkan keamanan itu pula.
Keamanan dan bagaimana menjaganya akan sentiasa menjadi "tajuk" perbualan mereka di kedai-kedai kopi lebih-lebih lagi ketika menjelangnya perayaan Merdeka seperti ini. Walaupun sebahagian pejuang keturunan Aceh, Pattani dan Tausug hanya menganggap Malaysia sebagai negara kedua mereka namun sekiranya negara Malaysia menghadapi ancaman pasti mereka tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Semangat juang yang ada pada mereka pastinya menjadi senjata "tambahan" buat Malaysia pada bila-bila masa.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Bagaimana kuat pun tuntutan perjuangan di negeri leluhur masing-masing seperti di Sulu, Aceh, dan Pattani di selatan Thai namun semangat serumpun dan lebih-lebih lagi SEAGAMA menjadikan umat ini satu jasad yang wajib bela-membela.
BANGGA DENGAN TANAH LELUHUR
Walau bagaimana pun, kita sangat sedih sebilangan warganegara Malaysia yang berketurunan Sulu atau Tausug @ Suluk berusaha mengelak malah menghalang diri dan orang lain dari menyokong perjuangan Tausug di Sulu. Lebih-lebih lagi berusaha mengelak dari dikaitkan dengan nama Tausug. Bagi mereka Tausug bukan Suluk atau Suluk bukannya Tausug kerana kononnya, Suluk berasal dari Sabah sedangkan Tausug berasal dari kepulauan Sulu. Satu alasan yang keliru dan berusaha kelirukan orang lain.
Mereka tidak malu pada orang-orang Jawa di Banting Selangor yang walau pun sudah menjadi warganegara Malaysia namun tetap bangga sebagai Bangsa Jawa dari Tanah Jawa. Mereka tidak malu pada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak yang bangga berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan malah pernah melawat Sulawesi di tanah tempat leluhurnya bermula. Dikhabarkan juga, Dato' Seri Najib telah membuat kerjasama dengan Republik Indonesia untuk melabur dalam projek pertanian dan pembangunan di Sulawesi Selatan sebagai mengenang jasa leluhurnya.
Kita Tausug amat sedih, Menteri-Menteri yang berketurunan Sulu seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia dan lain-lain YB yang berlambak di Negeri Sabah tidak pernah kedengaran dari mulut mereka berbangga dengan asal-usul leluhur. Kalau ada pun hanya dilakukan dengan berbisik-bisik penuh rahsia walaupun kewujudan mereka bukanlah rahsia dikalangan kaum Kadazan-Dusun-Murut-Sungei-Ida'an-Tidung.
Kaum China lebih berani dan bangga sebagai warga Malaysia berketurunan China yang sebenarnya hanya sampai ke Sabah pada 1840-an. Keberanian kaum China menjadikan mereka TUAN di mana-mana terutama di negeri Sabah hinggakan keturunan Sulu, Kadazan-Dusun dan kaum-kaum lain menjadi kuli "seumur hidup" di negeri sendiri.
HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG DITANGISI
Seorang bekas Mujahidin MNLF yang sekarang menetap di Negeri Pahang yang penulis namakan sebagai Ustaz "N" berusia kira-kira 70-an, walau pun sudah menjadi warganegara Malaysia namun setiap kali menjelang 31 Ogos beliau akan menangis berjam-jam lamanya. Beliau begitu sedih hampir kesemua saudara maranya gugur syahid dalam perjuangan MNLF melawan Tentera Marcos dengan tujuan untuk membebaskan negara tercinta dari cengkaman Filipina tetapi akhirnya beliau terpaksa menerima hakikat "menyambut Kemerdekaan Malaysia".
Walaupun bagi beliau Malaysia adalah negara keduanya yang wajib dibela ketitisan darah yang terakhir sekiranya diancam dan diserang oleh anasir jahat, namun perjuangan perlu diteruskan membebaskan tanah leluhur. Hal yang berlaku pada Ustaz "N" juga bnerlaku kepada bekas pejuang-pejuang MNLF lain termasuk para pejuang Pattani dan Aceh di Malaysia.
|