DI MANA BUMI DIPIJAK DI SITU LANGIT DIJUNJUNG
Beberapa hari lagi Ramadhan Al-Mubarak akan meninggalkan kita dengan penuh kesedihan kerana mungkin kita tidak akan bersua lagi dengan Ramadhan di tahun akan datang. Kita tidak tahu apakah Ramadhan kali ini adalah terakhir buat kita. Kemudian menjelang pula Hari Raya Aidilfitri sebagai hari kemenangan buat muslimin dalam menempuh sebulan berpuasa.
Begitu julung kali berlaku, kegembiraan Hari Raya kali ini yang akan jatuh 30 Ogos pasti disambut berganda dengan gilang-gemilang terutama bagi warganegara Malaysia kerana pada 31 Ogos ini juga adalah hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-54.
Tidak dapat dibayangkan bagi warga kota yang walau pun tidak dapat balik beraya di kampung namun letusan bunga api di malam 31 Ogos sedikit sebanyak dapat mengubat kerinduan mereka. Selamat Hari Raya Merdeka buat semua warga kota dan warganegara Malaysia keseluruhannya.
DISITU LANGIT DIJUNJUNG
Bagi warganegara Malaysia yang berketurunan Aceh, Pattani dan Tausug yang kebanyakan ibu-bapa mereka pernah berjuang ketika dulu membebaskan negara asal mereka dari penjajahan, di sini mereka berasakan "kebersamaan" menjadi warga negara Malaysia yang aman damai dan harmoni. "Pelajaran" yang mereka dapat ialah nikmat kebebasan dalam negara yang berbilang kaum dan tentunya dapat memastikan bagaimana mengekalkan keamanan itu pula.
Keamanan dan bagaimana menjaganya akan sentiasa menjadi "tajuk" perbualan mereka di kedai-kedai kopi lebih-lebih lagi ketika menjelangnya perayaan Merdeka seperti ini. Walaupun sebahagian pejuang keturunan Aceh, Pattani dan Tausug hanya menganggap Malaysia sebagai negara kedua mereka namun sekiranya negara Malaysia menghadapi ancaman pasti mereka tidak akan berpeluk tubuh begitu sahaja. Semangat juang yang ada pada mereka pastinya menjadi senjata "tambahan" buat Malaysia pada bila-bila masa.
Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Bagaimana kuat pun tuntutan perjuangan di negeri leluhur masing-masing seperti di Sulu, Aceh, dan Pattani di selatan Thai namun semangat serumpun dan lebih-lebih lagi SEAGAMA menjadikan umat ini satu jasad yang wajib bela-membela.
BANGGA DENGAN TANAH LELUHUR
Walau bagaimana pun, kita sangat sedih sebilangan warganegara Malaysia yang berketurunan Sulu atau Tausug @ Suluk berusaha mengelak malah menghalang diri dan orang lain dari menyokong perjuangan Tausug di Sulu. Lebih-lebih lagi berusaha mengelak dari dikaitkan dengan nama Tausug. Bagi mereka Tausug bukan Suluk atau Suluk bukannya Tausug kerana kononnya, Suluk berasal dari Sabah sedangkan Tausug berasal dari kepulauan Sulu. Satu alasan yang keliru dan berusaha kelirukan orang lain.
Mereka tidak malu pada orang-orang Jawa di Banting Selangor yang walau pun sudah menjadi warganegara Malaysia namun tetap bangga sebagai Bangsa Jawa dari Tanah Jawa. Mereka tidak malu pada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd. Razak yang bangga berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan malah pernah melawat Sulawesi di tanah tempat leluhurnya bermula. Dikhabarkan juga, Dato' Seri Najib telah membuat kerjasama dengan Republik Indonesia untuk melabur dalam projek pertanian dan pembangunan di Sulawesi Selatan sebagai mengenang jasa leluhurnya.
Kita Tausug amat sedih, Menteri-Menteri yang berketurunan Sulu seperti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Tan Sri Datuk Seri Utama Pandikar Amin Mulia dan lain-lain YB yang berlambak di Negeri Sabah tidak pernah kedengaran dari mulut mereka berbangga dengan asal-usul leluhur. Kalau ada pun hanya dilakukan dengan berbisik-bisik penuh rahsia walaupun kewujudan mereka bukanlah rahsia dikalangan kaum Kadazan-Dusun-Murut-Sungei-Ida'an-Tidung.
Kaum China lebih berani dan bangga sebagai warga Malaysia berketurunan China yang sebenarnya hanya sampai ke Sabah pada 1840-an. Keberanian kaum China menjadikan mereka TUAN di mana-mana terutama di negeri Sabah hinggakan keturunan Sulu, Kadazan-Dusun dan kaum-kaum lain menjadi kuli "seumur hidup" di negeri sendiri.
HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA YANG DITANGISI
Seorang bekas Mujahidin MNLF yang sekarang menetap di Negeri Pahang yang penulis namakan sebagai Ustaz "N" berusia kira-kira 70-an, walau pun sudah menjadi warganegara Malaysia namun setiap kali menjelang 31 Ogos beliau akan menangis berjam-jam lamanya. Beliau begitu sedih hampir kesemua saudara maranya gugur syahid dalam perjuangan MNLF melawan Tentera Marcos dengan tujuan untuk membebaskan negara tercinta dari cengkaman Filipina tetapi akhirnya beliau terpaksa menerima hakikat "menyambut Kemerdekaan Malaysia".
Walaupun bagi beliau Malaysia adalah negara keduanya yang wajib dibela ketitisan darah yang terakhir sekiranya diancam dan diserang oleh anasir jahat, namun perjuangan perlu diteruskan membebaskan tanah leluhur. Hal yang berlaku pada Ustaz "N" juga bnerlaku kepada bekas pejuang-pejuang MNLF lain termasuk para pejuang Pattani dan Aceh di Malaysia.
|
Saudara..Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan sesebuah negara haruslah didukung oleh semua segenap lapisan masyarakat yang hidup dibumi negara tersebut.Saya masih tertanya-tanya,kenapa saudara penulis dan rakan-rakan perjuangannya melakukan sesuatu yang bagi pendapat saya boleh memecahbelahkan bangsa.Maksud saya dengan menubuhkan satu organisasi yang seakan-akan perjuangan satu kaum sahaja iaitu kaum TAUSUG dengan meletakkan nama TAUSUG dalam perjuangan.Sedangkan terdapat lagi kaum-kaum lain yang hidup di bumi sulu maupun mindanao.Mungkin pada pendapat saudara penulis perkataan 'TAUSUG' itu merangkumi semua kaum yang terdapat dibumi sulu.Saudara..Berpijaklah dibumi nyata..cuba saudara tanyakan kepada orang iyakan ataupun samal dengan menyatakan mereka itu sebenarnya orang TAUSUG.Mungkin mereka akan tertawa terbahak-bahak kerana geli hati mendengar kelucuan pernyataan itu.Saudara..janganlah kita jadi pak lawak.Dengan menubuhkan organisasi yang berlogokan nama TAUSUG tetapi mengharapkan sokongan daripada semua lapisan masyarakat,pada saya itu adalah sesuatu yang mustahil.Cuba kita perhatikan perjuangan MNLF suatu ketika dahulu dimana semua kaum dibumi mindanao,sulu dan palawan menyokong dan mendokong perjuangan tersebut.Kuncinya bukan pada pemimpinnya (Nur Misuari),tetapi terletak pada nama dan logonya iaitu "MORO".Dengan perkataan "MORO" inilah yang menjadikan perjuangan MNLF suatu masa dahulu disokong oleh semua orang islam di selatan Filipina.Kerana masyarakat islam selatan Filipina menggangap "MORO" itu adalah nama bangsa mereka tidak kira mereka daripada suku kaum apapun.Walaupun definisi "MORO" itu lebih kearah perkara negatif namun pada hakikatnya hanya nama ini sahaja yang dapat menyatupadukan semua kaum yang ada di selatan Filipina.Jadi saranan saya, fikirlah dulu sebelum melakukan sesuatu.Jangan sekali-kali kita meletakkan diri kita menjadi bahan ketawa atau bahan hiburan oleh orang lain.