Bhg 4: Kepulauan Sulu Sebelum Muncul Nama Philippines

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Monday, July 5, 2010 0 ulasan


Kami mengajak anda meneroka lautan sebagaimana yang dilakukan Phoenisia dan Bangsa Sulug beribu tahun dahulu. Anda boleh membaca bahagian 4 dengan diiringi lagu pada video ini.

Tajuk-tajuk di dalam:
  • PENDAHULUAN
  • BANJIR BESAR: Kapal Noh a.s.
  • PERMULAAN BANGSA SUMER DAN FIR'AUN
  • PENUTUP: Struktur Masyarakat Sulug dan Sumpah Luwa'an

01- PENDAHULUAN
Untuk memulakan bahagian keempat ini kami ingin mencatat kiraan nombor dalam bahasa Sulug. Kemudian para pembaca boleh membandingkannya dengan kiraan nombor dalam bahasa lain di Nusantara.
  • (1) Esa, perkataan lain Hambu'uk atau Tunggal
  • (2) Duwa,
  • (3) Tuo, kata asalnya Tulo
  • (4) Upat,
  • (5) Lima,
  • (6) Unum,
  • (7) Pitu,
  • (8) Walu,
  • (9) Siyam,
  • (10) Hangpuo', kata asalnya hangpulo'
  • (11) Hangpuo' tag Esa, dan seterusnya....
  • (20) Kawha'an, kata asalnya Kaduwahan
  • (30) Katlu'an, kata asalnya Katulohan
  • (40) Ka'patan, kata asalnya Kaupatan
  • (50) Kai'man, kata asalnya Kalimahan
  • (10, 000) Hangpu' nga'ibu, kata asalnya Hangpulo hang'ibu atau disebut Hangka Laksa...
Sekiranya pembaca mendapati banyak persamaan dengan bahasa Nusantara lain maka inilah dia kiraan dalam bahasa Austris atau bahasa Kepulauan. Dalam kiraan sepuluh, sekiranya terdapat persamaan lebih dari 5 angka dengan bahasa lain maka itulah yang dinamakan serumpun apatah lagi kalau perbendaharaan kata banyak persamaan. Percayakah para pembaca kiraan nombor seperti ini adalah kiraan Nabi Allah Noh a.s. sehingga Adam a.s.? Sekiranya para pembaca mengikuti perbahasan kami bermula dari posting bahagian 1 yang lepas kami percaya persoalan di atas akan terjawab.

Pasangan Tausug sedang menjalankan upacara perkahwinan di Jolo, Sulu tahun 1900-an. Biasanya kaum wanita Sulug menggunakan baju berhias dinamakan baju Batawi.

Gambar klasik wanita Sunda dari Tanah Jawa sedang melakukan tarian Betawi. Perhatikan bentuk baju wanita Sunda dengan wanita Sulug di atas, persamaan dari segi istilah dan bentuk pakaian menandakan wujudnya "ikatan" darah Nusantara.

Kiraan Sulug yang kami paparkan di atas hampir semuanya menjadi kiraan bangsa Irian-Maluku, Jawa, Batak-Bugis, Dayak-Momugun, Melayu, Visaya-Tagalog, Brunei, Pulau-pulau Pasifik sehingga ke Hawaii. Inilah yang dipanggil oleh sarjana barat sebagai RUMPUN MELAYU. Yang bermaksud serumpun dengan bahasa Mela @ Mala Irian/Papua yang menghuni laut dinamakan Orang Laut. Bahasa Melayu Jambi/Palembang sehingga ke Tanah Melayu sebenarnya kesemua mereka berasal dari Rumpun Orang Laut. Inilah yang kita namakan bahasa bangsa Phoenisia atau Phoenyx. Sebagaimana yang kami telah catatkan dalam bahagian sebelumnya, Orang Laut memang kerjanya di laut beribu tahun lamanya. Dalam sejarah Sulu, Orang Laut digunakan sebagai pekerja kapal samada hamba atau pun pekerja upahan.

Walau pun bangsa Sulug sebahagian besar mereka berasimilasi dengan Bangsa Laut namun sejarah menunjukkan bangsa Sulug mempunyai budaya berbeza. Adalah kerana batasan "Majikan" atau tuan dengan "pekerja" atau hamba. Mereka memisahkan Sulug sebagai Tausug dan Orang Laut pula sebagai Samal. Hal ini kami sentuh bukannya bertujuan pemisahan atau Assabiyyah kepada Bangsa Melayu Indonesia dan Malaysia tetapi untuk mengungkap sejarah nenek moyang Rumpun Melayu ini. Sebab itu hingga hari ini Tausug enggan dipanggil Melayu walau pun bahasa dan rupa paras mereka 70% sama dengan orang Melayu.

Pakaian tradisi wanita dan lelaki Sulug yang berwarna-warni hari ini semakin meluas pemakaiannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kelihatan kaum wanita memakai tiara mutiara atas kepala. Tahukah anda pakaian yang mereka pakai ini adalah pakaian yang sama mereka pakai ketika menduduki Padang dan Riau Sumatra serta Melaka pada abad ke-13 yang lalu?

Apa perbezaan bangsa Sulug dengan Orang Laut? Mengapa penguasa Sulug dipanggil Tausug dan Orang Laut dipanggil Samal? Dimanakah pemisahan ini bermula dan apa penjelasannya? Inilah yang kami cuba huraikan dalam bahagian ini mengapa berlaku "pemisahan" dan faktor-faktor penyebabnya. Dengan menelusuri di mana punca-punca pemisahan ini kita akan masuk ke dunia "Purba" sekali lagi melewati permulaan Bangsa Sumer Iraq dan Fir'aun di Mesir. Kemudian kita masuk dalam dunia teka-teki pemikiran Bani Israel, Arab dan Bangsa Eropah dalam pencarian mereka terhadap apa yang mereka namakan "Mencari Pulau Misteri". Dimanakah Pulau Misteri tersebut? Di India atau Sumatra atau di Tanah Melayu? Atau pun di Jawa dan Maluku atau pun Champa? Di mana sebenarnya?

Gaya wanita dan lelaki Samal Balangingi. Asal-usul Balangingi ialah dari rumpun Sulug Taguimaha dan Sulug Lucoes sejak ribuan tahun menjadi penguasa kepulauan Sulu. Mereka menguasai dan melindungi Orang Laut . Satu-satunya suku bangsa yang sangat berkuasa di laut sehinggakan bangsa Iranun, Tidung dan Makassar ikut menyertai mereka. Zaman keemasan Samal Balangingi' ialah yang dikatakan Sulu Zone oleh Francis James Warren abad 17-18. Walhal sejarah Melayu Melaka menulis bahawa abad ke-14 Orang Laut sudah memang berkuasa di Selat Melaka.


Telah pun kami susun beberapa bukti di awal bahagian perbahasan ini bahawa lokasi sebenar yang dikatakan "Pulau Misteri" ialah di Nusantara Timur. Nusantara Timur yang mana satu? Jawapannya ialah di Kepulauan Sulu. Untuk memulakan perbahasan kaum-kaum dan lokasi "Pulau Misteri" perlulah dimulai dengan Banjir Besar yang melanda umat Nabi Noh a.s.


02- BANJIR BESAR: Kapal Noh a.s.
Beberapa persoalan yang menyentuh Banjir Besar ialah benarkah ianya pernah terjadi? Hal ini menjadi perdebatan berabad-abad lamanya dikalangan sarjana Barat. Bagi mereka yang tidak bersetuju dan meyakini "Dogma Agama" maka bagi mereka Banjir Besar hanyalah sebuah cerita mitos dari golongan pendita agama untuk meneruskan kelangsungan "kuasa mereka dalam masyarakat". Mereka ini adalah golongan Aties yang tidak percaya dengan kewujudan Tuhan. Bagaimana pula bagi mereka yang percaya? Banjir Besar diungkap dalam Al-Qur'an Al-Karim, dan kitab-kitab Samawi yang lain sebagai satu peristiwa penting dalam kelangsungan hidup manusia. Dalam hal ini ada beberapa persoalan,
  • Dari manakah kapal Nabi Noh a.s. bermula? Di Timur Tengah atau di Nusantara?
  • Benarkah kapal Noh a.s. lebih dari sebuah kapal?
  • Kalau hanya sebuah bagaimana Noh a.s. memuatkan spesis binatang yang begitu banyak dalam satu kapal?
  • Benarkah Banjir Besar hanya berlaku di kawasan setempat sahaja bukannya banjir satu dunia seperti yang didakwa?
Ilustrasi gambaran kapal Nabi Noh a.s.

Apa pun persoalan dan tanggapan, yang penting Banjir Besar telah berlaku. Jawapan terhadap beberapa persoalan di atas dijawab oleh Al-Qur'an,

"Bersiaplah Engkau (Nabi Nuh) dengan Kapal mu, bila tiba perintah-Ku dan terlihat tanda-tanda daripada-Ku, maka segeralah angkut bersamamu di dalam Kapal mu dan kerabatmu, dan bawalah dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan berlayarlah dengan seizin-Ku"Al Qur’an Surah Al Mu’minun ayat 27.

Apakah sebabnya Tuhan memerintahkan Noh a.s. mebina kapal? Sebenarnya adalah kerana kaum Noh a.s. telah mendustakan ajaran "Menyembah Tuhan yang Esa" oleh Noh a.s.

"Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku; maka adakanlah suatu keputusan antara aku dan antara mereka, dan selamatkanlah aku dan orang-orang yang mukmin besertaku" Al Qur’an, Surah Al-Syu’araa’ ayat 117-118.

"Mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya dalam bahtera/laut; dan kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Sesungguhnya, mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)" Al Qur’an, Surah Al A’raf ayat 64.

Penjelasan dalam bahagian ini bukanlah bertujuan untuk membahas benarkah atau tidak peristiwa banjir itu berlaku kerana jelas dalam Al-Qur'an ianya berlaku. Perbahasan ini lebih banyak terfokus kepada persoalan dari mana banjir dan Noh a.s. bermula? Berkenaan tandatanya bagaimana Noh a.s. membawa banyak binatang yang begitu banyak dalam dunia ini bukanlah sukar. Dengan hanya membawa dua pasang setiap spesis telah menyelesaikan persoalan tersebut. Berkenaan berapa buah kapal yang dibina oleh Noh a.s. tidak dinyatakan dalam Al-Qur'an. Hal ini perlulah ditanggapi dengan menggunakan akal yang waras dan pertimbangan yang tidak terkeluar dari garis-garis Syara'.

Pendapat yang mengatakan bahawa kapal Noh a.s. melebih sebuah adalah lebih hampir dengan kebenaran berdasarkan beberapa bukti dan pertimbangan akal. Dengan pendapat ini maka persoalan "Benarkah Banjir Besar hanya berlaku di kawasan setempat sahaja bukannya banjir satu dunia seperti yang didakwa?" akan terjawab. Kami akan paparkan teori bahawa banjir tersebut hanya berlaku pada mulanya di satu kawasan terhad seluas kawasan Nusantara adalah kerana manusia di masa Noh a.s. terhad bilangannya. Kalau pun ada manusia lain di dunia ini mereka telah menghadapi kepupusan menjadi fosil-fosil. Sebab itu Adam a.s. dilahirkan ke dunia ini adalah sebagai khalifah yang memimpin spesis manusia baru agar "menyembah Tuhan yang Maha Esa". Tsunami Mega ini menghasilkan arus dan ombak yang dahsyat sehingga membawa kapal-kapal Noh a.s. ke puncak Gunung Ararat dan sebahagiannya di tempat lain. Berikut adalah runut kepada teori ini,

Fasa Pertama:
  • Berjuta tahun yang lalu beberapa spesis haiwan yang menyerupai manusia telah wujud di dunia dan kemudian menghadapi kepupusan. Inilah yang dikatakan "Missing link of human" oleh Charles Darwin.
  • Spesis Adam yang baru dicipta telah bermula disekitar Timur Asia Tenggara anggaran bermula dari Pulau Taiwan sehingga ke Pulau Papua dan Benua Australia Utara. Binatang-binatang juga pada awalnya berada di kawasan ini.
  • Anak-anak Adam yang dipercayai 40 orang kembar (termasuk Habil & Qabil) beranak pinak mewujudkan penempatan awal.
  • Bani Adam terawal adalah bijak telah mewarisi kebijaksanaan moyang mereka Adam a.s. sehingga berjaya membina peradaban awal.
  • Oleh keranan duduk di negeri kepulauan pengangkutan hanya menggunakan kapal dari pulau-pulau berdekatan.
  • Bani adam awal ini akhirnya telah meninggalkan ajaran Adam a.s. (menyembah Tuhan yang Esa) kepada penyembahan tuhan-tuhan lain berupa patung, semangat-semangat, pokok-pokok dan sebagainya. Nabi Idris a.s. (Enoch) mula mendapat wahyu dari Tuhan untuk menyedarkan mereka tetapi setelah kewafatan Idris a.s. kaumnya kembali semula engkar.
Nabi Idris a.s adalah keturunan keenam dari Nabi Adam a.s. putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith. Menurut kitab tafsir 1000 tahun selepas Nabi Adam a.s. wafat, Nabi Idris a.s. dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi, dan lain-lain lagi. Menurut sebuah kisah, terdapat satu masa di mana kebanyakan manusia telah melupakan Tuhan, dan bumi telah dihukum dengan kemarau. Walaubagaimanapun, Nabi Idris a.s. telah berdoa ke hadrat Allah swt dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan.

Fasa Kedua:
  • Kelahiran Nab Noh a.s. menandakan bermulanya sejarah manusia berserakan di muka bumi. Setelah mendapat wahyu Noh a.s. mula berdakwah menyedarkan kaumnya untuk kembali semula kepada "menyembah Tuhan yang Maha Esa".
  • Kaum Noh a.s. memang mahir dengan pembinaan perahu dan kapal-kapal kerana ilmu yang mereka warisi dari Nabi Idris a.s. serta kedudukan mereka yang tinggal di kawasan kepulauan. Tuhan mula mengarahkan Noh a.s. membina kapal besar kerana "balasan" Tuhan akan melanda tidak lama lagi setelah kaumnya enggan kembali kepada ajaran yang benar.
  • Kapal-kapal mula dibina, setelah siap binatang-binatang mula dikumpul dan diangkut kedalam kapal menggunakan alatan canggih. Oleh kerana setiap spesis dua pasang maka tidak cukup untuk dimuatkan dalam satu kapal adalah kerana binatang tersebut pastinya dimasukkan kedalam sangkar. Ia memerlukan ruang yang besar. Maka binatang lain dimasukkan ke dalam kapal yang satu lagi. Ini bermakna dua kapal atau tiga telah memuatkan kumpulan spesis binatang yang berbeza.
  • Hujan lebat mula melanda bahkan dikatakan air memancar dari perut bumi. Perut bumi yang mengeluarkan air membuak-buak sehingga menghasilkan banjir sudah tentu datang dari laut. Ia seolah-olah tsunami yang kuat beratus kali ganda dari tsunami yang memusnahkan Aceh. Ia adalah bencana alam yang Tuhan timpakan kepada manusia yang engkar. Tsunami Aceh sahaja sudah cukup memberi pengajaran kepada kita inikan pula ledakan banjir yang kekuatannya beratus kali ganda.
  • Kapal-kapal pun mula terapung terselamat dari bencana sedangkan yang engkar sudah mati lemas. Kapal-kapal mula hanyut mengikut arah yang ditentukan Tuhan.

Fasa Ketiga:
  • Kapal-kapal dijangka mula mendarat di pantai Afrika dan pedalaman Turkey, sebuah terkandas atas perbukitan Irian Jaya. Binatang-binatang mereka lepaskan di kawasan hutan berdekatan tempat pendaratan sebab itu setiap benua mempunyai spesis binatang yang berbeza.
  • Tiga orang anak Noh a.s. ialah Japheth, Ham dan Shem dengan anak-anak mereka berserakan mengikut kapal masing-masing.
  • Anak-anak Japheth bin Noah ialah Gomer, Magog, Madai, Javan, Tubal, Meshech, Tiras turun dari Irian/Papua berserakan di kepulauan Sulu, China, Jawa-Sumatra, Tanah Melayu. (Menjadi bangsa China, Mongolia, Dayak, Melayu dan Sulug)
  • Anak-anak Ham bin Noah ialah Cush, Mizraim, Put, Canaan (Phoenician) di Afrika hingga Laut Meditranian dan Asia Tenggara. (Menubuhkan Kerajaan Mesir Purba, Kerajaan Kana'an dan generasi kulit hitam di sekeliling pantai benua Afrika, menguasai laut sehingga ke India dan Nusantara)
  • Anak-anak Shem bin Noah ialah Elam, Asshur, Arphaxad, Lud, Aram (Menubuhkan Kerajaan Sumeria @ Mesopotamia, Kerajaan Israel, Aryan (Parsi) dan keturunan kulit putih Yunani -Greece)
Kulit kerang yang biasanya dijadikan pinggan mangkuk di Kepulauan Sulu telah ditemui berada dalam kapal Noh a.s. di Gunung Ararat, Turkey.



Bukti Nabi Noh a.s. Dari Kepulauan Sulu


Tahukah anda kebiasaan orang-orang Sulu ketika dulu menggunakan kulit kerang sebagai mangkuk tempat letak makanan? Kepulauan Sulu adalah sumber kerang yang menghasilkan mutiara dunia ketika dulu. Kerang yang besar menghasilkan mutiara yang juga besar saiznya. Permukaan kulit kerang yang cantik selain dijadikan tempat makan ia juga boleh diekspot.

Tahukah anda kulit kerang yang dijadikan mangkuk turut ditemui dalam kapal Noh a.s. di Gunung Ararat, Turkey?

Ed.Davis, seorang Sarjan Master dari Amerika Syarikat, bertugas menjaga pembinaan dalam Kumpulan Perkhidmatan Khas Jurutera Tentera di Utara Iran telah berpeluang menemui orang tua Qurdish penjaga kepada Bahtera Nabi Noh a.s. di Gunung Ararat pada 1943. Beliau bercerita,

"Sebenarnya sebahgian dari barang-barang antik muatan “Noah Ark” telah pun diambil oleh nenek moyang Abbas semenjak dahulu lagi. Saya sendiri nampak beberapa barang antik berupa mangkuk besar setinggi 2 kaki setengah, pasu, bikar, pinggan yang diperbuat dari kulit kerang, piring pelita, itu dirumahnya. Mereka hanya setakat membenarkan saya tengok sahaja.

Abbas juga menerangkan pada saya, moyangnya telah menjumpai madu di dalam botol sewaktu ekspidisi bersama saintis Turkey. Dan sekarang madu itu telah di hantar ke Switzerland dan disahkan sebagai madu asli". (Ruj: *muhdhazrie.wordpress.com dalam tajuk Pengalaman Ed.Davis).

Lebah madu purba berasal dari Asia Tenggara.

Tahukah anda dari mana asal-usul lebah madu?

"Origin, systematics and distribution: Honey bees as a group appear to have their center of origin in South and Southeast Asia (including the Philippines)". (*
http://en.wikipedia.org/wiki/Honey_bee)


03- PERMULAAN BANGSA SUMER DAN FIR'AUN
Apakah perkaitan Bangsa Sumer dan Bangsa Fir'aun Mesir? Perkaitannya ialah mereka adalah bersaudara mara, sepupu-sepipit dari susur galur Ham bin Noh a.s. dan Shem bin Noh a.s. Apakah bukti atau tanda yang mereka bersaudara mara? Buktinya mereka bermula dari laut lama sebelum kejadian banjir berlaku seperti yang kami jelaskan sebelum ini. Tahukah anda mengapa bangsa Sulug memanggil Samal kepada Orang Laut? Samal mungkin salah sebutan bagi Samar yang bermaksud "Orang Asli" kerana lidah Sulug biasa menyebut bunyi "R" dengan "L". Nama Bangsa Sumer Purba yang menubuhkan kerajaan purba di muara Sungai Tigris dan Euphrates tahun 5500 SM tidak syak lagi diambil namanya dari lidah orang-orang Kepulauan Sulu. Bangsa Sulug di Kepulauan Sulu menyebut dua jenis Samal @ Samar ini iaitu,
  • Samal Laud, bermaksud orang asli laut yang kehidupannya senantiasa berperahu di laut.
  • Samal Talun, bermaksud orang asli hutan atau kepulauan yang sukar didekati oleh orang asing. Bila melihat orang asing datang mereka terus larikan diri masuk ke dalam hutan.
Sumer atau Samar atau Samal ditafsirkan sebagai manusia yang menduduki kepulauan yang kehidupan mereka sangat bergantung dengan air. Ketika kapal moyang mereka (Noh a.s.) mendarat di Gunung Ararat Turkey, mereka turun dari gunung mencari sungai yang berdekatan. Sebahagiannya menuju ke Laut Meditranian menduduki kepulauan Yunani (Greece) kemudian mereka dikenali sebagai bangsa Kulit Putih. Hanya ada dua sungai yang mereka boleh jumpa sekiranya mereka bergerak ke Selatan iaitu Ulu Sungai Tigris dan Ulu Sungai Euphrates. Kemudian mereka bergerak menyusur sungai menuju ke muara sehingga sampai di hujung yang dinamakan Iraq hari ini. Mereka memulakan kehidupan di sini dan berjaya berhubung semula dengan sepupu-sepipit mereka dari bangsa Kana'aan yang datang belayar dari Nusantara dan Laut Meditranian.

"The original Sumerian name was Idigna or Idigina, probably from *id (i) gina "running water",[4] which can be interpreted as "the swift river"..." (*en.wikipedia.org/wiki/Tigris)


Ketamadunan bermula di tepi pantai dan muara sungai

Permulaan Bangsa Mesir Purba membina kekuatan agak lambat berbanding bangsa Sumer di Sungai Tigris & Euphrates (Iraq). Ketika bangsa Sumer memulakan pembinaan kota pada tahun 4000 SM, bangsa Mesir baru bermula pada tahun 3500 SM. Bangsa Helladic di Yunani (Greece) pula hanya masuk menyusup ke Eropah Selatan hanya pada tahun 2800 SM kemudian membina kemajuan awal pada tahun 2100 SM. Yunani berkongsi zaman dengan bangsa China yang dipelopori oleh Empayar Xia pada tahun 2100 SM sehingga tahun 1600 SM.

Sarjana Barat hari ini menulis sejarah Dunia dengan meletakkan Asia Tenggara (Nusantara) sebagai yang sangat terkebelakang membina kemajuan dan ketamadunan. Mereka hanya mencatat kemajuan Asia Tenggara bermula dari India itu pun setelah kemasukan bangsa Aryan (Parsi) kesana menjajah India. Setelah itu India mula berkembang dan membina kota-kota hebat, pusat agama Hindu dan Buddha serta pendidikan pada abad ke-4 dan ke-3 sebelum Masihi. Perkembangan India membawa kepada permulaan tamadun Burma kemudiannya sehingga ke Funan terus ke Champa, Sumatra dan Jawa. Satu tempat yang mereka tidak catat atau tercicir ialah Kepulauan Sulu, mengapa?

Kerana itu ia disebut "Mysterious Island" oleh Nabi Allah Sulaiman a.s. (dalam catatan Flavius Josephus), sejarah dan kekuatan yang tersimpan buat anak-anak Adam a.s. Di sinilah rahsia bangsa-bangsa di dunia sebab itu Spanyol dan Amerika Syarikat mencarinya dan kemudian berusaha menakluk tetapi gagal. Kegagalan mereka diubati dengan membakar semua tulisan, kitab-kitab purba bangsa ini lalu menghilangkannya dalam peta dunia (Menamakan kepulauan Sulu dengan Filipina @ Philippines). Kami akan bahas pada tajuk lain yang lebih khusus.


Raja-raja Mesir mengagungkan Kepulauan Sulu

Menurut para pengkaji, Mesir Purba membina masyarakat bertamadun seawal tahun 5464 SM- 3414 SM iaitu setelah berenteraksi dengan masyarakat lain yang biasa dengan perdagangan dan pelayaran.

"The beginning of the urban city, writing, trading with other cultures, ornamental pottery and a strong belief in the afterlife were formed and strengthened during this period. Food was also plentiful. Animals such as dogs, goats, sheep, cattle, geese and pigs had been domesticated. As time went by the main constituents of civilization of unified Egypt were gradually introduced during the this period".

Raja-raja Mesir Purba sebenarnya dimulakan oleh anak-anak Ham bin Noh a.s. mereka adalah biasa dengan laut semenjak menetap di negeri kepulauan Asia Tenggara iaitu sebelum berlakunya banjir. Menurut beberapa catatan antara 6000 SM hingga 4000 SM penguasa Mesir Purba sudah memang bergaul dengan Orang Laut yang mereka panggil sebagai Phoenisia. Perlulah diperjelaskan bahawa anak-anak dan cucu-cicit Noh a.s. terdiri dari 3 warna kulit iaitu hitam, sawo matang dan putih. Di antara mereka ada yang menjadi penguasa dan ada yang menjadi terus miskin berdasarkan status ekonomi. Bagi mereka yang punya keluarga yang ramai bersatu dan kaya akan dapat menguasai tanah kemudian mendirikan kekuasaan menjadi Raja setelah itu. Hal ini turut berlaku pada cucu-cicit Noh a.s. yang menetap di Yunani (Greece), Tanah Israel, Sumeria @ Mesopotamia, India hingga ke China.

Ketika pemerintahan dinasti raja-raja Mesir yang awal lagi mereka sering diberitahu bahawa nenek moyang mereka berasal dari Amenti atau daerah di sebelah Timur yang dinamakan Punt (negeri Kepulauan). Sebenarnya perkataan Amenti diambil dari kata Amun yang bermaksud "Ghaib atau di alam lain". Amun kemungkinan adalah salah sebutan bagi perkataan Alimun yang bermaksud "Ghaib" dalam Bahasa Sulug. Bahasa Melayu moden menyebut Halimunan, menambahkan imbuhan "an" (Bahasa Melayu tidak mempunyai kata dasar bagi Halimunan, sementara Bahasa Sulug tidak menambah apa-apa imbuhan setelah Alimun, menunjukkan perkataan Halimunan adalah ambilan dari bahasa Sulug).

"Amenti, Amentet (Egyptian) The underworld (Tuat), the hidden place or secret region".

Satu perkara yang menarik dibicarakan ialah bangsa Hyksos yang pernah menguasai Mesir Purba sebenarnya sudah lama bergaul dengan bangsa Mesir, selalu datang berdagang malah berasimilasi. Tetapi kelemahan dinasti Mesir menyebabkan Hyksos mengambil kesempatan. Bangsa Mesir sangat kenal dengan Hyksos yang diketahui rapat hubungan dengan Phoenisia (Kana'an) dan Bani Israel. Sebenarnya tidak diragukan lagi mereka berasal dari Sulu berdasarkan gambar kaum wanita Hyksos yang berkemban, memakai mutiara atas kepala, memakai kain songket (corak tenunan) meletak anak kecil di belakang dan meletak mayat bayi dalam pasu (amalan purba bangsa Sulug). Sebab itu ketika Hyksos kalah semula di tangan Raja Mesir iaitu Raja Ahmose I, Hyksos dikatakan kembali ke tanah asal mereka di Timur. Maka tidak hairanlah mengapa Ratu Hatshepsut menghantar utusan ke Sulu untuk bertemu dengan pemimpin agung bangsa Hyksos tersebut yang dikenali sebagai Raja Prao atau Raja PARAHU di negeri Punt. Apakah sebab yang mendorong Ratu Hatshepsut menghantar deligasi bertemu Raja Parahu di negeri Punt?

Kemungkinan Ratu tersebut menghantar utusan adalah kerana tidak mahu berseteru dengan Bangsa Hyksos sebab telah di ketahui kekuatan Negeri Punt yang menguasai perdagangan Phoenisia. Menurut laporan dalam catatan Mesir ialah utusan Ratu tersebut pergi ke negeri Punt melalui Laut Merah sehingga sampai ke Laut India dan bertemu Raja Parahu di sana. Apakah Raja Parahu berada di India? berikut beberapa teori,
  • Raja Parahu adalah Raja India: Kerana destinasi terakhir ialah Laut India. Tetapi ketika ini bangsa Aryan sudah pun menguasai India, maka mustahil Raja Parahu berada di India.
  • Raja Parahu adalah Raja Sumatra: Kerana lokasi Sumatra yang hampir dengan India tambahan pula masih di kawasan Laut India.
  • Raja Parahu adalah Raja Sulu: Kerana menguasai Bangsa Laut di seluruh kepulauan Asia Tenggara. Raja-raja Sulu dan para Datu sebagai golongan penguasa memang telah menduduki Sumatra sejak zaman purba lagi yang mereka jadikan sebagai tempat persinggahan. Lokasi Raja Sulu dan para Datu ialah Sumatra Barat bermula dari Padang sehingga ke Aceh. Manakala di Selat Melaka ialah dari Palembang, Kepulauan Riau sehingga ke Kedah. Raja-raja Sulu juga menguasai Champa sebelum muncul kerajaan Champa kemudiannya kerana didapati yang membawa barangan besi ke Champa adalah orang-orang Sulu.
Laut India sebenarnya luas sampai menyentuh Benua Australia Barat. Era Ratu Hatshepsut ialah abad ke-15 sebelum Masihi dan ketika ini pengetahuan dunia terutama Mesir sangat terhad sebatas negeri India sahaja. Kalau pun utusan Ratu tersebut memasuki kepulauan Sulu melalui Selat Melaka sudah tentu mereka hanya mengatakan sebagai "Di kawasan Laut India". Laporan yang Ratu Hatshepsut dapat dari utusan menyebabkan perubahan secara drastik dunia Raja-Raja Mesir. Semenjak itu mereka mula menamakan Raja Mesir dengan panggilan Prao yang bermaksud Parahu atau Perahu sempena nama Raja Parahu di Nusantara. Hal ini berlaku adalah disebabkan terdedahnya rahsia bahawa Bangsa Mesir berasal dari Nusantara yang nasab keturunan mereka bersambung dengan darah Raja Perahu yang menguasai kepulauan Nusantara. Kehebatan Raja Parahu menjadi kebanggan kepada Raja-Raja Mesir kemudiannya. Bangsa Arab apabila mengetahui Raja Mesir telah menamakan diri dengan Prao atau Parahu maka mereka pun menyebutnya "Fir'aun" manakala bangsa Yunani (Greece) menyebutnya "Pharaoh".


04- PENUTUP: Struktur Masyarakat Sulug dan Sumpah Luwa'an
Penjelasan kami sedikit sebanyak dapat memberikan jawapan kepada beberapa persoalan yang bersangkutan dengan keturunan bangsa manusia samada yang berada di Eropah, Afrika dan Timur Tengah sehinggalah ke Nusantara ini. Teori Likusantara yang kami jadikan tajuk kepada perbahasan ini kalau pun ia berjaya menyelongkar beberapa rahsia namun tanpa panduan Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah saw ia tidak akan mampu ditulis dalam ruangan ini. Kerana kami yakin dengan mengkaji kandungan Al-Qur'an segala permasalahan sejarah dan kehidupan manusia akan dapat dibongkar dan diketahui. Bila pengkaji sejarah meninggalkan Al-Qur'an sebagai dasar kajian maka kajian tidak akan sampai ke mana malah akan terhenti pada satu tahap yang tidak akan menghasilkan jawapan dan manfaat.

Dalam ruangan penutup ini kami ingin menyentuh berkenaan struktur masyarakat atau sosio-budaya bangsa Sulug secara ringkas sebelum kami membahasnya di ruangan yang lebih khusus nanti. Apabila disebut "Bangsa Sulug" bermakna merujuk kepada Rumpun Asal bangsa-bangsa yang menghuni Nusantara hari ini. Apabila disebut Sulug bermakna bangsa yang "Berasal Dari Air". Gelarlah apa sahaja kepada setiap bangsa yang ada di pelusuk Nusantara ini mereka tetap berasal dari "Air".

"...dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" Al-Qur'an, Surah al-Anbiya' ayat 30.

Adam a.s. dijadikan dari tanah dan kemudian keturunannya pula dijadikan dari setitis air. Maka tidak hairanlah dalam tubuh manusia terkandung 70% air. Apa yang kami mahu jelaskan ialah, apa pun jenama bangsa anda, Melayu, Jawa, Batak, Sunda, Samal, Buranun, Maguindanao, Iranun, Dayak, Bugis dan sebagainya anda tetap berbangsa Sulug. Yang membezakan mulia atau tidak ialah anutan agamanya dan tingkat takwa masing-masing. Menyusun sistem untuk kemudahan manusia termasuk dalam tuntutan agama. Sistem hanyalah alat untuk membentuk dan mengurus jamaah seterusnya negara untuk menjadi "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah". Sistem kekuasaan di Kepulauan Sulu kalau diteliti sama dengan beratus-ratus tahun dahulu iaitu meletak para Datu dan Panglima sebagai pemimpin masyarakat manakala yang biasanya mendapat penghormatan ialah para Syarif dan imam serta orang kaya. Kepimpinan diketuai oleh Sultan atau Raja. Golongan rakyat terbahagi 2,
  • Rakyat Biasa: Petani, nelayan dan peniaga.
  • Rakyat pekerja: Merdeka dan hamba.
Mengapa ada golongan hamba? Perhambaan sangat terkenal di kalangan para Datu, Panglima dan orang-orang Kaya Sulu sebelum kedatangan Islam lagi. Perhambaan semakin ketara setelah kedatangan Spanyol dan Belanda. Terdapat dakwaan bahawa Bangsa Sulug telah menjadikan Orang Laut sebagai hamba abdi mereka. Hal ini perlu diperhalusi, Orang Laut masih dipanggil Bangsa Sulug yang dibahagikan kepada 3 kumpulan terbesar,
  • Samal Balangingi': Penguasa,
  • Samal Darat: Pala'u yang sudah berasimilasi dengan kaum darat lain,
  • Samal Pala'u: Dipanggil Luwa'an yang kehidupannya masih dalam perahu,
Hari ini Samal Pala'u terlalu dipandang rendah adalah kerana gaya hidup mereka sendiri yang sukar diserap ke dalam masyarakat. Sesetengah kes mereka diperlakukan seolah-olah sebagai hamba oleh Samal Balangingi' kerana sudah menjadi tugas para Pala'u menyelam mutiara, pendayung, dan pengiring. Walhal sebenarnya mereka ini bebas bergerak kemana sahaja yang mereka mahu di lautan luas. Sebab itu mereka dijadikan perisik oleh Kesultanan Sulu memantau gerak-geri Spanyol dan Belanda. Satu-satunya bangsa yang boleh mengatur dan menjaga Samal Pala'u ini ialah Samal Balangingi' yang kemungkinan merekalah juga yang menjaga Orang Laut sejak zaman purba lagi.

Satu perkara menarik yang menjadi persoalan, dari manakah Samal Pala'u mendapat nama Luwa'an? Dalam tradisi lisan bangsa Sulug nama Luwa'an bermula dari zaman Nabi Daud a.s. ketika Orang Laut menjadi rakyat Raja Daud a.s. di Tanah Israel. Telah dimaklumi Raja Daud a.s. memiliki kekuasaan yang luas termasuklah lautan dan bangsa Phoenisia yang menjadi Orang Laut ketika itu. Raja Daud a.s. telah menitahkan bahawa satu hari dalam seminggu rakyat wajib bercuti dari segala pekerjaan iaitu pada hari Sabtu. Cuti tersebut dikhaskan untuk beribadat kepada Allah swt. Malangnya arahan Daud a.s. tidak diendahkan oleh rakyatnya kerana setiap hari Sabtu itulah ikan keluar di gigi air dengan banyaknya sedangkan hari-hari lain tidak demikian.

"Dan tanyakanlah kepada Bani Israil tentang negeri yang terletak di dekat laut ketika mereka melanggar aturan pada hari Sabtu, di waktu datang kepada mereka ikan-ikan (yang berada di sekitar) mereka terapung-apung di permukaan air, dan di hari-hari yang bukan Sabtu, ikan-ikan itu tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami mencuba mereka disebabkan mereka berlaku fasik". Al-Qur'an, Surah al-A’raf, ayat 163.

Allah swt menyebut rakyat yang tinggal dekat laut kemungkinan besar mereka ialah orang-orang Phoenisia atau Orang Laut kerana terdapat ayat "...tanyakanlah kepada Bani Israel tentang negeri yang terletak di dekat laut..." menunjukkan yang negeri tersebut bukan Bani Israel. Ayat ini bersambung,

"Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang mereka dilarang mengerjakannya, Kami katakan kepadanya: ‘Jadilah kamu kera yang hina’.” Al-Qur'an, Surah al-A’raf, ayat 166.

Sumpahan Allah swt ini menurut tradisi lisan telah manjadikan beruk kepada pelaku tersebut yang sempat lari ke darat sedangkan yang masih tetap di laut mereka menjadi Luwa'an. Perkataan Luwa' dalam Bahasa Sulug bermaksud "Luah" dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang Luwa' disebut Luwo'. Maka Luwa'an dimaksudkan sebagai "Bangsa yang telah diluahkan oleh Tuhan". Mendedahkan hal ini akan menyakitkan hati Bangsa Pala'u yang masih duduk dalam perahu-perahu mereka hingga hari ini di seluruh Nusantara. Kami tidaklah bermaksud merendah-rendahkan Pala'u malah kami bermaksud perlu diberi penjelasan agar cerita sebenar dapat diketahui. Agar dengan demikian dapat memadamkan tanggapan buruk terhadap Pala'u yang tidak tahu apa-apa tentang perkara ini.

Kami akan perjelaskan kedudukan sebenar dakwaan ini kerana tidak pun dijelaskan dalam ayat di atas bahawa mereka yang jadi beruk itu adalah bangsa Phoenisia. Malah tidak pun dinyatakan di situ ada yang jadi Luwa'an, ia hanya tradisi lisan orang-orang Sulu sahaja. Penggelaran seperti ini adalah tidak adil bagi bangsa Pala'u. Penjelasan ini kami akan hurai secara adil berkenaan Luwa'an kerana masih ada sambungan dalam ayat Al-Qur'an berkenaan bangsa yang "diluah" di zaman Nabi Sulaiman a.s.


Lihat ke Bahagian 5


Kajian bersama:
ASREESULU & Neldy Jolo

Post a Comment