PENJELASAN: Kedudukan UTC & Gerak Kerja Mentadbir

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Wednesday, October 6, 2010 0 ulasan


Grafik di atas menunjukkan carta kedudukan UTC di dalam naungan Council of Regents. UTC sebelum kemunculan UTP yang diilhamkan oleh Atty. Meltino J. Sibulan dengan persetujuan Datu ALbi A. Julkarnain dan Ketua UTC, Datu Ladjamura bin Datu Wasik- Aranan, adalah sebuah gerakan menyedarkan rakyat Sulu menggunakan penjelasan sejarah Tausug & Kesultanan Sulu serta mengadakan perarakan secara aman di Bandar Jolo, Bandar Bongao sehingga ke Zamboanga City, Sulu.

UTP yang ditadbir Council of Regents dicadangkan untuk tujuan mentadbir kumpulan-kumpulan yang mahu menyertai deklarasi Kemerdekaan Sulu. Walau pun pada awalnya UTC telah menisbahkan dirinya sebagai "gerakan kerakyatan" bukannya satu kumpulan (Group) semata-mata, namun setelah kemunculan UTP, suasana telah berubah. UTC telah ditempatkan sebagai "parti" pula tanpa disedari. Walau bagaimana pun, oleh kerana atas nama kesatuan dan perpaduan UTC telah menerima "keadaan baru" ini dengan menurunkan Datu Ladjamura bin Datu Wasik-Aranan dari takhta Sultan Sulu yang sebelum ini telah diangkat oleh lebih 15,000 ahli UTC seluruh Sulu sehingga ke Sabah.

Satu pengorbanan besar dengan penuh keikhlasan dari ahli UTC dan para barisan kepimpinannya atas nama perpaduan Tausug dan Islam sanggup menurunkan pemimpin agung mereka dari takhta Sultan. Walau pun pada awalnya berlaku kekecohan di akar umbi namun Datu Ladjamura berjaya menenangkan mereka dengan memberikan penjelasan mengapa UTC mesti bersetuju menerima kehadiran Datu Albi menerajui satu jawatankuasa pentadbir yang dinamakan United Tausug People (UTP) itu.


TANGGUNGJAWAB LEGAL COUNSEL
Atty. Meltino selaku peguam UTC sebelum ini adalah orang yang bertanggungjawab membentuk UTP dengan membawa masuk Datu Albi kerana menurut penilaian beliau, sesuatu perlu dilakukan untuk membawa rakyat ke satu tahap antarabangsa melalui satu majlis atau jawatankuasa pentadbir yang beliau namakan Council of Regents. Pembentukan UTP terilham dari suasana statik UTC yang dilihat hanya berdasarkan gerakan rakyat bawahan tanpa kehadiran orang-orang kenamaan (Barkanan) dan para Datu dan Syarif di seluruh kepulauan Sulu. Keadaan statik UTC memerlukan satu anjakan yang membolehkannya dikenal ke peringkat antarabangsa.

Akhirnya setelah beberapa bulan tamatnya Summit pertama pada 17 November 2009 yang lalu iaitu serentak dengan penubuhan UTP dan melantik Datu Albi sebagai pengerusinya maka beberapa matlamat telah membuahkan hasil seperti yang diharapkan. Walau pun tanpa bantuan kewangan dari luar, UTP dapat bergerak dengan dokongan 100% dari UTC yang sehingga hari ini mempunyai keahlian telah melebihi 50,000 orang. UTP telah menjalankan gerak kerja luarnya dengan begitu luar biasa kerana dapat menghadiri beberapa perhimpunan NGO Dunia Islam di Kuala Lumpur termasuk membentuk persefahaman dengan WIM (World Islamic Mint) yang berperanan menghasilkan Dinar & Dirham sebagai matawang Kesultanan Sulu selepas deklarasi Kemerdekaan nanti.

Pembentukan UTP juga telah berjaya menghubungkan dan membuat persefahaman tidak rasmi dengan NGO Turkey untuk bantuan pendidikan dan bantuan kemanusiaan lainnya serta persefahaman dengan wakil usahawan dari Jeddah, Arab Saudi untuk pelaburan jangka masa panjang membangunkan ekonomi Sulu (Pelancongan, Pertanian dan Perikanan).

Berbalik kepada tanggungjawab Legal Counsel, Atty. Meltino hanya bertanggungjawab menjaga kepentingan Tausug dan Kesultanan Sulu dari segi undang-undang Antarabangsa (International Law). Beliau tidak akan campurtangan dari segi pemilihan pemimpin atau Sultan Sulu kerana itu bukan bidang tugasnya. Itu adalah hak rakyat untuk menentukannya kerana sesuatu negara akan terbentuk dan berdaulat dari "Will of the people" yakni keinginan dan kemahuan rakyat secara keseluruhannya.


UTP DAN MASA DEPAN UTC
Sebelum ini rata-rata ahli UTC begitu kebingungan kerana tidak memahami UTP dan UTC. Pada awalnya penulis juga keliru kerana tidak mendapat penjelasan yang memuaskan dari Datu Albi mahu pun dari Atty Meltino sendiri. Sehinggalah baru-baru ini berlaku sedikit pergeseran antara Datu Albi dengan UTC Sabah kerana beberapa perkataan dalam ceramah Datu Albi yang diadakan sempena "Road Show" itu telah menghiris perasaan UTC Sabah malah termasuk UTC Semenanjung Malaysia. Keadaan ini hampir-hampir menatijahkan perpecahan, tetapi dengan berkat keikhlasan ahli dan kepimpinan UTC di Malaysia akhirnya perkara tersebut dapat diredakan dan kembali semula mendokong UTP. Persoalannya apakah perkara yang menghiris perasaan ahli UTC Sabah itu?

Isunya ialah "Kami rela dan reda di bawah UTP adalah kerana Allah dan Rasul, atas kepercayaan bahawa penghulu kami (yang dimaksudkan ialah Datu Ladjamura) telah dengan rela turun takhta untuk memberikan kuasa kepada UTP mentadbir sehingga 17 November 2010 nanti. Sebarang perkataan merendah-rendahkan nama dan kedudukan Penghulu kami adalah juga penghinaan kepada kami ahli UTC keseluruhannya" itulah luahan perasaan ahli UTC Sabah dan Bongao, Tawi-Tawi.

Dengan membaca kenyataan dari luahan perasaan UTC serta melihat carta yang penulis gambarkan di atas, menunjukkan bahawa, jelas sekali kedudukan UTC adalah salah satu dari "parti" gerakan dalam ruang lingkup UTP yang dipengerusikan oleh Datu Albi. Menurut beberapa persoalan bahawa, sekiranya kumpulan lain masuk mendaftar dalam UTP iaitu berhimpunnya keluarga Kiram, Shakirullah, Aranan (Bantilan), Al-Rasyid, Shandong dan para Datu Iranun yang bertaburan di seluruh Sulu dan Sabah, bagaimana dengan kedudukan UTC yang dari awal mencetus dan memulakan gerakan "mengembalikan Kemerdekaan" Sulu?

Nampaknya UTC masih mampu menarik nafas lega kerana masih tiada satu pun kumpulan keluarga samada dari Kiram, Shakirullah mahu pun dari kumpulan-kumpulan lain yang selama ini "sibuk menyultankan diri" masuk mendaftar di bawah UTP. Dalam hal ini, sekiranya UTC berterusan menjadi kumpulan tunggal yang berdaftar di bawah UTP maka sudah tentu kata putus untuk menentukan hala tuju Kesultanan Sulu berada di tangan mereka. Kerana menurut Atty. Meltino dan Datu Albi sendiri, mereka hanya bergantung kepada "Will of the people". Sekiranya UTC mahukan Datu Ladjamura dinaikkan semula menjadi Sultan Sulu maka sudah tentu tiada satu pun yang dapat menentang kemahuan mereka.

UTC bukannya kumpulan kecil malah ia dibentuk atas keikhlasan dan ketaatan kepada "Satu Pemimpin". UTC tidak dibentuk oleh "Wang Rasuah" atau habuan semata-mata malah para ahli UTC bergolok bergadai dengan masa, harta dan nyawa mereka bermula awal tahun 2007 hingga ke hari ini. Mana-mana kumpulan yang mahu mengatasi UTC mereka mestilah lebih baik dan "power" kepimpinannya berbanding UTC.


KUASA MEMILIH DARI KUMPULAN DI BAWAH UTP
Tahukah anda mengapa 1st Summit diadakan pada 17 November 2009 yang lalu? Sebenarnya adalah bertujuan menghimpunkan seramai mungkin sokongan dan dokongan rakyat jelata serta membincangkan keperluan dan keinginan rakyat Sulu samada mahukan kemerdekaan dikembalikan semula kepada Sultanate of Sulu atau mahukan peperangan seperti yang dilakukan oleh MNLF sebelum ini, atau pun mahu menjadi Filipino berterusan dibawah Autonomi (ARMM) pentadbiran Presiden Filipina.

Nampaknya 1st Summit tersebut tidak mendapat sambutan dari pihak luar UTC kecuali dua ke tiga orang awam. Rata-rata majoriti yang hadir adalah dikalangan para ahli dan kepimpinan UTC sendiri. Walau pun kehadiran UTC begitu sedikit kerana menganggap yang hadir hanyalah orang luar dan para pemimpin UTC sahaja (menyebabkan UTC dari pedalaman Jolo, Sabah dan Tawi-Tawi tidak hadir hanya hantar wakil), namun jumlah kehadiran UTC mencecah hampir 400 orang dan kemudian mengedarkan borang tandatangan sehingga mengumpulkan lebih 3000 tandatangan beberapa hari kemudiannya.

1st Summit walau pun orang luar menganggap ianya gagal dari segi kehadiran pihak luar UTC namun ia telah berjaya memulakan satu suasana kearah membentuk sistem pentadbiran Kesultanan Sulu dan melangkah ke satu tahap perhubungan antarabangsa yang lebih baik dari sebelumnya. Dengan terbentuknya UTP maka kumpulan-kumpulan lain akan mula membentuk keahlian mereka samada masuk bergabung dengan UTC atau membentuk nama kumpulan keluarga mereka sendiri. Memang sukar menandingi UTC tetapi sekurang-kurangnya bagi mereka yang "anti UTC" masih berpeluang membentuk kumpulan dan kepimpinan seperti yang mereka mahukan. Kerana bukan semua rakyat Sulu setuju dengan kaedah perjuangan dan pandangan UTC, sebab itu UTP telah memberikan mereka peluang. Dengan ramainya kumpulan yang mendaftar di bawah UTP maka semakin ramai yang boleh menyuarakan keinginan mereka samada ya atau tidak terhadap sesuatu perkara yang bakal dibentangkan nanti pada hari deklarasi.


GERAK KERJA MENTADBIR SEBAGAI PRAKTIS BERKERAJAAN
Ahli jawatankuasa kepimpinan UTC dengan kerjasama kumpulan Media UTC telah mengumpulkan data-data penting untuk dianalisis. Saudara Shrf. Aliazer Abdul Rajim yang bertugas sebagai Ketua Wartawan UTC Sabah telah berjaya membuat kaji selidik bermula dari Sabah sehingga ke Bongao dan Jolo berkenaan keperluan dan keutamaan untuk memulakan pentadbiran Kesultanan Sulu sebelum dan selepas deklarasi. Beliau merumuskan satu pendekatan konfrehensif untuk mewujudkan pasar dan permulaan pentadbiran di Buansa, Indanan dalam tanah persendirian seluas beberapa hektar.

Kepimpinan UTC Patikul juga turut menyediakan tanah beberapa hektar untuk pasar dan pusat pentadbiran Patikul. Tuan Hj Zakaria Abdullah bersetuju dengan laporan Shrf Aliazer Abdul Rajim tersebut dengan mencadangkan tanah kampungnya di Maimbung untuk turut didirikan pasar dan pusat pentadbiran. Menurut Hj Zakaria lagi tanah seluas itu bukan setakat pasar dan bangunan pentadbiran yang boleh didirikan malah pusat pertanian organik juga boleh dimulakan dengan membawa teknologi dan bibit dari Malaysia.

Kumpulan UTC dari Basilan yang diketuai oleh Habib Pang telah mengusahakan import beras dengan mengecap guni beras dengan logo Sultanate of Sulu. Mereka akan mulakan dengan 100 guni dahulu sebagai langkah awal. Pengawal keselamatan (Peace Keepers) telah mula mendapat arahan dari pemimipin utamanya, Datu Ladjamura bin Datu Wasik Aranan untuk memulakan gerak kerja awal menghimpunkan ahli mereka yang sejak beberapa bulan terakhir ini mereka berserakan ke seluruh Sulu untuk berkempen mengajak rakyat mendaftar sebagai TAUSUG. Peace Keepers akan memulakan kawalan keselamatan sebelum deklarasi dengan hanya menggunakan kayu chotta (Tanpa senjata api).

Sebagai penutup penulis ingin menyeru kepada semua keluarga Tausug (rakyat Sulu keseluruhannya) dan para Datu, Syarif samada yang sudah mendaftar jadi UTC mahu pun yang belum untuk sama-sama datang beramai-ramai di Jolo, Sulu pada 17 November 2010 untuk sama-sama menyaksikan hari bersejarah, yang pasti akan menjadi kenangan yang tidak ternilai harganya buat diri kita serta anak cucu kita di masa akan datang. Bawa lah kamera dan ambil lah gambar semahunya. Kegagalan anda datang pasti akan menjadi kehampaan dan kekecewaan buat anak cucu anda buat selama-lamanya, oleh itu jangan sampai anak cucu anda berkata:

"Moyang kita dari keluarga hebat, berani dan pahlawan, tetapi ketika Sulu suarakan kemerdekaan, moyang kita tidak menjadi sebahagian yang hadir memberi semangat malah menyorok ketakutan di rumah".

ASREESULU

Post a Comment