Program Bancian Tausug Di Seluruh Sabah 2010

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, February 9, 2010 0 ulasan


Sebulan yang lalu penulis telah berjumpa seorang sahabat yang biasa dengan urusan UNCHR di Kuala Lumpur berkenaan "Stateless Persons" dan "Pelarian Perang". Kebetulan penulis baru balik dari Jolo, Sulu menghadiri Summit pada 17 November 2009 yang lalu. Sahabat penulis yang biasa dengan urusan UNCHR ini telah penulis tanya bagaimana berurusan dengan pejabat PBB tersebut untuk menghantar laporan "Kehadiran Warga Tausug di Sabah, Malaysia" serta Deklarasi Kemerdekaan Sulu pada 2010 nanti.

Beliau bertanya kepada penulis dimana bukti kehadiran Warga Tausug di Sabah, kalau ada bukti barulah boleh berurusan dengan pejabat UNCHR di Kuala Lumpur kerana tanpa bukti mereka tidak akan dapat berbuat apa-apa. Penulis menyatakan bahawa bukti telah pun ada iaitu Warga Tausug memiliki SURAT KELAHIRAN yang boleh ditunjukkan. Beliau menyatakan bahawa tanpa cap jari dan gambar, surat kelahiran Tausug tidak akan menjadi bukti sampai bila-bila.

Penulis mula menyedari perlunya Warga Tausug di Sabah dan Sulu didaftarkan semula iaitu mengambil cap jari dan gambar mereka. Mereka perlu dibantu, penulis walau pun Warganegara Malaysia namun sebagai umat Islam, telah merasakan bertanggungjawab untuk membantu mereka. Memandangkan Tausug di Sulu masih dalam kehuru-haraan, peperangan dan pembunuhan serta keganasan masih berleluasa maka membiarkan mereka berterusan seperti itu lambat laun akan memalit Malaysia.

Sebagai contoh kumpulan Abu Sayyaf di Jolo, Sulu yang rata-rata berketurunan Tausug begitu mudah diperalat untuk mencolek oleh pihak yang berkepentingan demi wang dan habuan duniawi, kerana kemiskinan dan kemelaratan. Hal ini akan berterusan selagi Sulu tidak mendapat kemerdekaannya, kerana hanya warga Sulu sahaja yang boleh mengekang mereka sekiranya dapat berkuasa.

DI MANA CADANGAN PENDAFTARAN BERMULA
Pada awal bulan Januari lalu penulis telah menghantar email rasmi kepada Council of Regents (Rumah Bichara) di Sulu iaitu YM Datu Albi Ahmad Julkarnain dan Atty. Meltino Jaujan Sibulan untuk program bancian di seluruh Sabah dan Sulu. Penulis juga telah menelefon mereka termasuk meminta pandangan dan izin dari Pemimpin Utama UTC iaitu DYMM Datu Ladjamura @ Bantilan Muhammad Muizuddin II Bin Datu Wasik-Aranan di rumah kediaman sementaranya di Zamboanga City. Baginda bersetuju lalu bermesyuarat dengan Council of Regents di Zamboanga City untuk meluluskan beberapa perkara. Arahan telah dikeluarkan kepada semua pemimpin UTC di seluruh Sabah, Malaysia agar bersedia menerima kedatangan rombongan penulis.

Oleh kerana penulis telah memegang jawatan sementara DATU PADUKA WAZIR di Kuala Lumpur oleh Council of Regents Sultanate of Sulu Darul Islam, maka penulis mempunyai kelebihan membentuk perundangan yang bersesuaian dengan konteks Malaysia. Kerana penulis ketika sebelum dilantik sebagai Datu Paduka Wazir di Malaysia, penulis memohon agar diberi kuasa untuk menggubal undang-undang bagi rakyat Tausug di Malaysia (Sabah, Sarawak, Semenanjung) dengan tidak mengatasi undang-undang Negara Malaysia itu sendiri sebagai tanda persaudaraan dengan umat Islam Malaysia.

Berikut adalah susunan kepimpinan Tausug di Malaysia,

1- Datu Paduka Wazir (Gelaran: Datu Paduka)
Bertugas sebagai Wakil Rasmi Kesultanan Sulu seluruh Malaysia.
Pejabat di Kuala Lumpur.

2- Paduka Wazir ( Gelaran: Raja Bendahara)
Wakil Rasmi Kesultanan Sulu di setiap negeri
(Hanya negeri yang dihuni oleh majoriti warga Tausug sahaja seperti di Sabah)

3- Paduka Daera (Gelaran: Paduka Bendahara)
Wakil Rasmi Kesultanan Sulu di setiap daerah seperti Daerah Sandakan mempunyai seorang Paduka Daera, Lahad Datu juga punya seorang Paduka Daera.

4- Panglima UTC (Gelaran: Panglima)
Wakil kepada Paduka Daera untuk kampung atau mukim. Beliau perlu melantik beberapa Paduka UTC untuk mentadbir kampung atau mukimnya.

5- Paduka UTC (Gelaran: Paduka)
Wakil kepada Panglima UTC untuk mentadbir beberapa buah rumah dalam
satu-satu kampung atau mukim.

6- Rakyat
Taat dan patuh kepada undang-undang negara dan kepada pemimpin mereka. Rakyat boleh membuat laporan terus kepada Panglima UTC sekiranya Paduka UTC membuat salah laku. Tidak menerima mana-mana pihak tanpa arahan atau kebenaran bertulis dari Panglima UTC dan Paduka Daera. Sentiasa memberi kerjasama kepada Paduka UTC yang menjaga mereka.



KANUN PERUNDANGAN UTC DI SABAH, MALAYSIA
Pada 17 November 2009 ketika permesyuaratan rakyat di Kapitol, Jolo Sulu telah sebulat suara bersetuju dengan melantik Council of Regents atau Rumah Bichara sebagai pemerintah sementara Negara Sulu Darul Islam. Kanun dan undang-undang yang telah pun lama dirangka akan mula dikuatkuasakan berperingkat-peringkat sebelum hari deklarasi Kemerdekaan Sulu pada 2010.

Rumah Bichara telah membahagikan dua bentuk peraturan atau undang-undang iaitu yang pertama “Peraturan Tausug Sulu” dan yang kedua “Peraturan Tausug Sabah”. Peraturan Sabah atau North Borneo masih tertakluk kepada kedaulatan undang-undang Sabah dalam konteks Perundangan di bawah Perlembagaan Malaysia. Berikut dijelaskan PERATURAN TAUSUG SABAH,

1. Bahawa Tausug UTC ketika berada dalam negeri Sabah yang sekarang di bawah pentadbiran dan kekuasaan Negara Malaysia wajib mematuhi segala peraturan dan undang-undang Negara Malaysia.

2. Bahawa Malaysia adalah negara umat Islam yang Kesultanan Sulu percaya kerajaannya akan dapat memberi keadilan kepada Tausug UTC sebagai saudara serumpun dan seagama.

3. Kesultanan Sulu masih meletakkan perjanjian pajakan 1878 yang menyatakan “Walau North Borneo (SABAH) telah dipajakkan namun rakyat Sultan Sulu bebas keluar masuk” mengikut peraturan Kesultanan Sulu dan hak Pemajak yang dipersetujui bersama.

4. Belas ihsan Malaysia sangat diharapkan oleh Kesultanan Sulu dan Tausug UTC agar tidak berlaku penganiayaan kepada umat Islam Tausug UTC kerana mereka tidak mengaku sebagai FILIPINO, maka sebarang tekanan untuk memaksakan KERAKYATAN FILIPINA terhadap TAUSUG UTC oleh mana-mana negara maka ia adalah satu penganiayaan dan melanggar hak asasi manusia terhadap TAUSUG UTC.

5. Bahawa TAUSUG UTC boleh dikenali dengan menunjukkan keterangan diri berupa surat kelahiran TAUSUG CITIZENS atau Kad Keterangan Diri yang dikeluarkan oleh mana-mana wakil Kesultanan Sulu.


6. Kad Keterangan diri yang punya dua cap jari dan gambar sebagai pengenalan, telah dikeluarkan oleh pejabat wakil Kesultanan Sulu dengan biaya Tausug UTC sendiri atas persetujuan bersama tanpa menyusahkan kerajaan Sabah Malaysia.

7. Surat Kelahiran TAUSUG CITIZENS mempunyai nombor siri yang boleh dirujuk atau disahkan kepada mana-mana wakilnya di Negeri Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau di Sulu sendiri.

8. Pihak Kerajaan Malaysia boleh mendapatkan salinan Surat Kelahiran UTC dan Kad Pengenalan Diri dari mana-mana wakil Kesultanan Sulu di Sabah sebagai langkah keselamatan sekiranya perlu.

9. Sekiranya ada ahli UTC yang melakukan jenayah dan kesalahan-kesalahan berat maka pesalah berhak ditangkap dan dihukum oleh Undang-undang Malaysia, dan UTC wajiblah membantu dan memberi kerjasama dengan pihak keselamatan Malaysia.

10. TAUSUG UTC mempunyai badan agama dan kehakimannya yang dilantik untuk mengurus dan menyelesaikan urusan nikah kahwin dan perceraian serta sebarang pertikaian sesama Tausug UTC, badan agama dan kehakiman ini akan berkerjasama dengan Jabatan Agama dan Jabatan Polis sekiranya perlu untuk kemaslahatan dan keharmonian bersama.

11. Surat menyurat dan sebarang urusan yang dikeluarkan oleh Pejabat Tausug UTC dapat diterima dan dijalin dengan pihak berkuasa Malaysia di negeri Sabah yang difahami serta dipersetujui bersama.

12. Pencegahan jenayah dan Amar Makruf Nahi Mungkar adalah wajib bagi Tausug UTC dan memberi penuh kerjasama kepada Jabatan Agama Islam serta Pihak Keselamatan Negeri Sabah Malaysia demi kemanan dan keharmonian kaum.

13. Selama Negara Sulu Darul Islam belum mendapat pengiktirafan sebagai negara MERDEKA dari deklarasi Kemerdekaannya, Kesultanan Sulu mengharapkan Tausug UTC diizinkan tinggal sementara di satu-satu kawasan yang difikirkan perlu beserta Surau dan Sekolah Agama sementara untuk kemudahan Tausug UTC. Surau penting untuk rumah ibadat melurus dan membetulkan Tausug serta Sekolah Agama perlu untuk pendidikan anak-anak Tausug agar terhindar dari buta huruf dan kebodohan, dengan itu negara akan turut aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT.

14. Undang-undang ini tertakluk kepada semua bangsa Tausug selama mana mereka mengakui sebagai RAKYAT SULU atau HAMBA RAKYAT KESULTANAN SULU yang mempunyai surat kelahiran dan Kad Pengenalan Diri United Tausug Citizens (UTC).

15. Maka, semua yang termaktub dalam surat rang undang-undang UTC ini maka jelaslah bahawa Tausug UTC mahu merendah diri membantu Kerajaan Malaysia dan dalam masa yang sama mengharapkan bantuan dari Kerajaan Malaysia pula agar Rakyat Sultan Sulu Darul Islam dapat diiktiraf seadanya atas dasar serumpun dan seagama kerana Allah SWT dan Rasul-Nya.


Begitulah fasal 15 perkara yang telah dikanunkan yang menjadi undang-undang Tausug UTC di Sabah Malaysia seterusnya dapat menyatukan kekuatan umat Islam saling bantu membantu kerana Allah dan Rasul-Nya. Inilah kanun yang telah disusun dan terima berdasarkan mesyuarat Tausug UTC di Kota Kinabalu Sabah Malaysia pada tahun 2009 yang lalu dan sebulat suara menyatakan “Perlunya UTC berkerjasama dengan negara-negara lain lebih-lebih lagi negara yang majoritinya umat Islam” demi kemerdekaan Negara Sulu Darul Islam pada 2010.

Bahawa salinan rang undang-undang ini akan dibentangkan kepada Council of Regents atau Rumah Bichara di Jolo, Sulu Darul Islam secepat mungkin agar dapat diluluskan atas persetujuan para Datu, Paduka dan Panglima di seluruh Sabah. Salinan juga telah diserahkan kepada Pemimpin Utama UTC iaitu YM Datu Ladjamura bin Datu Wasik Aranan untuk makluman beliau. (Kanun ini telah dipersetujui dan disahkan oleh Rumah Bichara serta dibenarkan oleh pemimpin utama United Tausug Citizens UTC, YM Datu Ladjamura Bin Datu Wasik Aranan).

Semua susunan kanun adalah hasil dari mesyuarat Tausug UTC di Kota Kinabalu yang dipimpin oleh Paduka Wazir Jul Bin Lutian, PWS, bersama para Paduka Wilayah dan para Panglima-panglima seluruh Sabah, Malaysia.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA, BANGSA DAN AGAMA TERCINTA”




Diperjelas dan disahkan,


------------------------------------------------------
Datu Paduka Wazir Julasri bin Hajad, DPWS
Official Representative for Malaysia Affairs,
Sultanate of Sulu Darul Islam,
di Kuala Lumpur, Malaysia.

http://tausug-global.blogspot.com
http://taymanghud.blogspot.com
http://theislandsofpearls.blogspot.com

Post a Comment