Berita Gempar!! Malaysia Tidak Pernah Dijajah?

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Monday, September 12, 2011 0 ulasan



"Kita secara teknikal tidak pernah terjajah. APA YANG KITA LAKUKAN ADALAH SULTAN-SULTAN MEMUTUSKAN UNTUK MENJEMPUT BRITISH DATANG KE MARI DAN MENASIHATKAN MEREKA MENGENAI CARA MENTADBIR NEGERI. Dalam kata itu, kita tidak dijajah.." - Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Video di atas pertama kalinya penulis nampak di Facebook (Aku_Tausug) yang kemudian penulis buka komennya dalam Youtube.com sebenarnya begitu mengejutkan pelbagai pihak. Komen video kebanyakannya bernada negatif yakni marah dengan kenyataan profesor yang digelar sejarahwan itu. Generasi muda terutamanya begitu bingung bercampur marah apatah lagi dengan kenyataan beberapa tokoh tersohor seperti Tun Dr. Mahathir sendiri yang menafikan bahawa Negara Malaysia tidak pernah dijajah Inggeris.

Nampak keadaannya tidak selari dengan kenyataan Sejarah dalam buku-buku teks mereka di sekolah. Mungkin inilah yang dikatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi,
Datuk Seri Mohd Khaled Nordin berhubung kemungkinan sukatan pelajaran Sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya.

Mungkin, yang menjadi kemarahan para pelawat youtube.com tersebut berpunca dari kenyataan yang mereka anggap berbelit dari Prof. Dr. Zainal Kling bahawa Malaya tidak dijajah, ia hanya dijajah oleh Inggeris ketika penubuhan Malayan Union, Komunis dan Jepun. Sekejap tidak dijajah sekejap terjajah begitu memeningkan, menjadikan generasi muda memilih menentang kenyataan di atas sekali pun ia datang dari mulut pemimpin idola seperti Tun Dr. Mahathir dan Prof. Sejarah tersebut.



ADMINISTRATOR & PROCTORATE: Menjadi Hujah


Penulis berpandangan positif terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Dr. Zainal Kling di atas berdasarkan beberapa perkara. Hal ini sebenarnya telah penulis jangka akan berlaku ketika berjaya menyiapkan buku Tausug & Kesultanan Sulu pada tahun 2007 yang lalu. Sahabat penulis, Neldy Jolo pernah menyuarakan pandangannya setelah membaca sebanyak 4 kali buku Tausug & Kesultanan Sulu yang katanya,


"Sekiranya Tausug terbaca buku ini pasti mereka menyedari bahawa mereka tidak pernah berada dibawah jajahan Filipina apatah lagi Amerika dan Spanyol... saya pasti, Maguindanao kalau terbaca buku ini pasti mereka bangkit memperjuangkan Kesultanan Maguindanao pula yang juga tidak pernah terjajah sebagaimana Sulu..."

Penulis hanya mampu tersenyum dengan kenyataan saudara Neldy tersebut dan dalam lubuk hati penulis berkata "Sekiranya kandungan buku ini juga dianalisis oleh orang Melayu semenanjung Malaysia pasti akan menjadikan mereka berfikir bahawa mereka juga tidak terjajah". Hujahnya mudah iaitu Amerika Syarikat menggunakan kaedah Kolonialis Inggeris menundukkan Sulu dengan apa yang dipanggil sebagai Administrator & Proctorate (Tadbir & Naung). Dengan itu sejarahwan sepakat meletakkan Sulu terutamanya tidak pernah terjajah kerana tetap mempertahankan kemerdekaannya.

Tetapi, ada satu rahsia yang terdapat dalan buku Tausug & Kesultanan Sulu yang kalau mereka gagal memahaminya maka
"ucapan: Kami Tidak Pernah Terjajah" itu akan hanya menjadi momokan atau dijadikan bahan lelucon oleh generasi muda mereka sendiri. Mereka yang memiliki buku Tausug & Kesultanan Sulu kena membacanya berkali-kali untuk dapatkan "kefahaman" yang penulis maksudkan itu. Rahsianya ialah sistem masyarakat Sulu itu sendiri yang tidak meletakkan kuasa MUTLAK pemerintahan negara kepada Sultan semata-mata.

Hal ini ada hubungkait dengan budaya purba Raja-Raja dan para Datu (Kadatuan) sebelum kedatangan Islam ketika kaum Buranun dan Taguimaha (Taugimbah) menguasai Gunung dan Laut Kepulauan Sulu. Budaya Gubat (Jebat, i.e. menentang) terutama Buranun dan Taguimaha (Tausug) terhadap Raja atau Sultan yang mengenepikan keadilan kepada rakyat menjadi titik tolak mengapa dikatakan Sulu sehingga hari ini masih Mahardika' (Merdeka) tidak terjajah. Seperti kata pepatah Melayu "Raja Adil Raja disembah,
Raja zalim Raja disanggah"


RAHSIA DALAM ISTILAH MAHARDIKA'


Sebenarnya penulis menyatakan positif terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir dan Prof. Dr. Zainal Kling di atas adalah kerana berdasarkan ramalan penulis bahawa
"pasti suatu hari nanti ada ilmuan Melayu menyatakan Malaya tidak terjajah" setelah terbaca buku Tausug & Kesultanan Sulu. Kalau pun tidak membaca buku tersebut dan kenyataan dalam video di atas hanyalah kebetulan terkeluar menjadi isu setelah hangatnya "perdebatan politik dalam media" antara PAS dan UMNO, namun kenyataan bahawa Kolonial British tidak pernah menjajah Tanah Melayu (kecuali hanya pada waktu masa 1956-57 ketika penubuhan Malayan Union) ini bagi penulis hanyalah "usaha membuat pembedahan plastik terhadap bonjolan parut lama".

Parut yang membonjol itu perlu dibuang dengan pembedahan plastik agar ia tidak dilihat jelik oleh generasi muda, dengan harapan sekiranya mereka menyatakan "Kita tidak pernah dilukai oleh penjajah" para generasi muda akan percaya. Adakah ini yang dikatakan membetulkan sejarah negara? Kita tidak pernah dilukai atau dijajah? Bonjolan parut itu hanyalah satu misalan kepada kenyataan video di atas. Persoalannya apa perbezaan ketara antara sulu dan Tanah Melayu lantaran hanya Sulu dan Mindanao yang layak dinobat sebagai TIDAK TERJAJAH?


Hal ini perlu berbalik kepada pembacaan buku Tausug & Kesultanan Sulu sebagaimana yang diucapkan di atas pentas oleh Sasterawan Negara, Bapak A. Samad Said dalam bengkel Penulisan Penulis Muda anjuran PAKSI di Yan Kedah beberapa bulan yang lalu dengan katanya,

"Buku ini (Tausug & Kesultanan Sulu) perlu dibaca untuk mengetahui siapa mereka"

Sasterawan negara, A. Samad Said

Herry Nurdi seorang penulis terkenal Indonesia dan juga seorang wartawan yang juga turut hadir di bengkel tersebut atas jemputan khas PAKSI, sebenarnya secara tidak langsung telah menjawap saranan A. Samad Said dengan katanya,

"Sebagai seorang wartawan saya masuk ke dalam Mindanao meninjau sendiri kehidupan para pejuang MILF masuk hutan keluar hutan bersama mereka... tetapi setelah saya baca buku ini (Tausug & Kesultanan Sulu) menjadikan saya terkejut kerana selama ini saya tidak tahu sejarah sebenar perjuangan umat Islam di Selatan Filipina kecuali saya terbaca buku ini... maklumatnya sangat baik sekali"


Saudara Herry Nurdi adalah seorang penulis yang handal mengkaji gerakan Freemasonry. Beliau menulis beberapa buah buku tentang Freemason sedunia antaranya "Jejak Freemason & Zionis di Indonesia" sehingga beliau mendapat julukan Guru Pakar Freemason Indonesia.


Sulu telah menjadi contoh kemerdekaan sebenar yakni bukan sahaja pada negerinya yang dinamakan Sulu itu malahan rakyatnya yang sekarang sudah melimpah ke Malaysia dan Indonesia. Rakyat yang Merdeka kerana budaya dan adat resam mereka masih merdeka hatta bendera asal mereka sendiri adalah kesinambungan bendera Kesultanan tahun 1405 Masihi. Malah sistem Kesultanan Sulu yang awal (Syari'ah Law) adalah idaman mereka bukannya undang-undang penjajah. Mereka masih ditakuti walau pun sudah terikat kaki mereka oleh Filipina namun tangan mereka masih bebas melibas Barung dan Keris serta masih kuat menekan picu senapang M-16 kearah tentera Filipina yang cuba kuasai wilayah nenek moyang mereka.

Ketika Sultan sibuk menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat ketika dulu namun beribu-ribu rakyatnya menentang tanda "tiada ertinya Sultan tanpa restu rakyat jelata". Rakyat sanggup dibunuh atas nama KEMERDEKAAN di Bud Bagsak dan Bud Dahu'. Mereka pantang mendengar "Orang putih mahu pungut cukai kepada Tausug" kecuali mereka bangkit memenggal kepala musuh satu persatu.

Perang MORO 1972 meletus pun mereka masih membawa semangat KEMERDEKAAN walau pun sebahagian Sabahan memandang mereka sebagai anjing kurap yang menjadi pelarian ke Sabah namun mereka masih merasa bahawa Sabah adalah sebahagian dari JANTUNG nenek moyang mereka. Bangsa MERDEKA ini masih tersimpan baik di setiap pelusuk Sabah, Sarawak malah Semenanjung Malaysia hari ini. Merekalah yang menjadi RAHSIA MAHARDIKA'.

MEMAHAMI KEMERDEKAAN MALAYSIA


Penulis melihat, memahami Kemerdekaan sebenar Tanah Melayu ialah sama dengan memahami Hikayat Hang Tuah itu sendiri. Siapakah di kalangan umat Melayu yang memahami sejarah Hang Tuah? Siapa Hang Tuah, dari mana asalnya, dimana beliau dilahir dan dikebumikan? Sejarah Hang Tuah sejak tulisan Tun Sri lanang bertajuk Sulalatus salatin (Sejarah Melayu) itu tersebar namun sehingga hari ini Sejarah Hang Tuah yang benar masih menjadi misteri. Ucapan keramat Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia" semakin hari semakin dianggap MITOS kerana pengetahuan terhadap sosok bernama Hang Tuah itu sangat terbatas.


Kemungkinan untuk mengembalikan maruah bangsa ini Tun Dr. Mahathir dan para sejarahwan Melayu yang ikhlas telah mendapat kesedaran dengan mengubah slogan
"Takkan Melayu hilang di dunia" kepada "Takkan Melayu dijajah". Ini kerana sekiranya Melayu terjajah maka ucapan Hang Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia" itu seolah-olah tidak membawa apa-apa makna lagi. Samada rakyat Malaysia mahu atau tidak, mereka mesti menerima "Malaya @ Tanah Melayu tidak pernah dijajah" sebagai jalan penyelesaian terakhir kepada "tekanan politik" yang semakin menghimpit Umat Melayu dewasa ini.

Himpitan "Politik" dari kaum-kaum lain yang tidak mahu "dilabel" pendatang luar yang dari hari ke sehari meningkatkan "kuasa ugutan" tidak mahu menyia-nyiakan undi mereka pada PRU ke-13 sebenarnya telah menakutkan pucuk pimpinan Melayu. Ketakutan ini semakin ketara dengan menteri Melayu yang cium keris pada perhimpunan pemuda pun terpaksa minta maaf kepada kaum lain yang enggan menerima adegan "mencium keris" tersebut. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kini sesama Melayu telah berjaya mewujudkan budaya "ejek mengejek perlakuan sex tidak senonoh" sesama mereka menjadikan kaum-kaum lain ketawa berdekah-dekah.


Sebab itu penulis katakan, yang masih tinggal dan masih memantau dari kejauhan perlakuan sesama Melayu ini ialah orang-orang Sulu yang sekarang telah menjadi Majoriti di Negeri Sabah. Tanpa mengira mereka Suluk, Bajau, Kagayan, Iranun, Yakan dan lain-lain mereka inilah suara KEMERDEKAAN sebenar yang sekarang masih sedang mencekak pinggang di negeri Sabah. Ditambah lagi dengan sokongan Kadazan-Dusun yang beragama Islam, Sungei, Ida'an, Tidung dan Bugis menjadikan umat Melayu di Semenanjung Malaysia tidak bersendirian.


Tetapi mereka masih memantau siapakah pemimpin Melayu yang paling rakus memakan harta rakyat dan mengenepikan kaum-kaum Muslimin di negeri Sabah, dayus, ahli maksiat, judi dan sebagainya? Kaum Kadazan-Dusun yang baru masuk Islam majoriti mereka teraniaya tanpa pembelaan yang pasti akan membalasnya di PRU ke-13.
Permintaan para Mualaf Sabah agar dilantik Senator mewakili mereka sehingga hari ini tidak dihirau oleh kerajaan pusat.


Gambar tampan Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan yang terpampang dalam akhbar Harian bertarikh 5 Sept. 2011 baru-baru ini. Datuk Abu Bakar berpendirian nekad dan tidak segan meggelar dirinya sebagai suku bangsa Suluk atau Tausug di mana-mana pun. Beliau lah satu-satunya yang sanggup merasmikan buku penulis iaitu Tausug dan Kesultanan Sulu di Tawau pada tahun 2007 dengan liputan akhbar tempatan Sabah dan TV1. Sken gambar ihsan ahli Facebook Khalifah Suluk.


MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

Impak kepada video di atas ialah golongan yang senantiasa menangguk di air yang keruh pasti berasa seolah
"mendapat bulan jatuh ke riba". Mereka akan menggunakan kenyataan Tun Dr. Mahathir dan Sejarahwan Dr. Zainal Kling sebagai bukti bahawa "Sabah juga adalah Merdeka tanpa terjajah oleh British" berdasarkan 20 perkara yang sudah termaktub lebih-lebih lagi masih dalam KEDAULATAN KESULTANAN SULU. Nasib baik kata mereka Kesultanan Sulu sudah musnah dan kalau ada pun sudah menjadi Filipino yang berada di bawah kelangkang Presiden Filipina.

Kita akan lihat kemudian mereka ini akan menyedari bahawa tanpa sokongan Tausug pastinya membawa Sabah keluar dari Malaysia hanya akan menjadi malapetaka buat mereka. Mereka tahu kelangsungan Negeri Sabah adalah disebabkan Tausug masih menguasai pasar-pasar yang menjadi pesaing sengit bagi peniaga-peniaga China. Di semua pekan dan bandar pasti ada sahaja Tausug yang walaupun dilihat kotor oleh sabahan yang membenci mereka kerana meniaga rokok ditepi-tepi jalan namun pemimpin Sabahan yang selama ini senantiasa mengkaji dan mencari peluang bagaimana membawa Sabah keluar dari Malaysia melihat Tausug sebagai senjata terakhir.


Kempen mereka akan datang ialah bagaimana MENJADIKAN TAUSUG sekutu mereka demi menghalalkan cara mereka untuk MERDEKA. Tausug! Bersediakah anda?

-----------------------------------------------------------------

NOTA:
Alhamdulillah, sekarang sedang rancak di laman Facebook gerakan Kaum Maguindanao untuk mewujudkan kembali Kesultana Maguindanao. Mereka juga mahu semua suku kaum di Mindanao (tidak termasuk Sulu) untuk bergabung sebagai satu bangsa "Maguindanao" sekali pun mereka dari suku kaum Iranun, Maranao dan lain-lain. Inilah hasil dari penyerahan buku versi Inggeris "Tausug & the Sulu sulatante" kepada wakil atau deligasi MILF pada tahun 2oo9 yang lalu di Putrajaya. Mungkin setelah mereka membaca buku tersebut dan melihat kejayaan perarakan secara aman tausug di Jolo tanpa kekacauan maka mereka pun bertindak mengikut jejak Tausug. Selamat BERJUANG kepada saudara-saudara kita dari Kesultanan Maguindanao. Allahu Akbar!!

Buku Tausug & Kesultanan Sulu juga telah penulis hadiahkan kepada beberapa wakil Pattani dan Aceh ketika Ijtima' Haraki ABIM baru-baru ini di Bangi-Kajang. Peringkat awal ketika penulis cuba meyakinkan wakil Pattani untuk mengubah taktik perjuangan kepada Kesultanan Pattani beliau tampak marah dan tidak berpuas hati sambil berkata,

"Tidak mungkin kami mengubah perjuangan kepada Kesultanan Pattani. Kamu tidak tahu... Kesultanan Pattani lah yang jual wilayah kami kepada Bangkok ketika dulu. Kami tidak mahu dengar Kesultanan Pattani disebut...."

Penulis hanya tersenyum dan hanya mengangguk kepadanya dan demikian juga dengan wakil Aceh. Mereka juga tidak mahu dikaitkan dengan perjuangan menegakkan semula Kesultanan Aceh kerana Sultan Acehlah yang menjual negara katanya. Penulis hanya melebarkan senyuman dan mengangguk-angguk saja sambil mengatakan kepada mereka bahawa AKHIR ZAMAN ialah kembalinya daulah KHILAFAH. Satu-satunya cara ialah menegakkan daulah yang lebih hampir dengannya iaitu KESULTANAN kerana itulah Nusantara ketika dulu gemilang sebelum kedatangan Kolonialis kufar yang sebenarnya telah BERJAYA MENJAJAH DENGAN SISTEM RESIDEN mereka.

KENYATAANNYA: British sangat menghormati Tausug dan Kesultanan Sulu sehingga menjadi satu-satunya KESULTANAN yang kekal dalam rekod "Wilayahnya yang diminta oleh British untuk dipajak (disewa)" berbanding kesultanan yang lain dibawah seliaan langsung oleh Residen British (wakil langsung dari Queen of England).

Post a Comment