Bertemu Syeikh Nuruddin Al-Makki Al-Banjari 4 Nov 2009
Dari kiri: Neldy Jolo, Syeikh Nuruddin Al-Makki Al-Banjari, Ustaz Agus, penulis.
Penulis bersama rombongan menuju ke Madrasah yang diasuh oleh Syeikh Nuruddin Al-Makki Al-Banjari. Kami menceritakan tujuan dan menjelaskan perihal sejarah Sulu kepada Syeikh. Kemudian pada malam selepas Solat Isyak beliau menjemput kami menghadiri majlis pembacaan Burdah di dewan mereka.
Penulis menyertai Syeikh Nuruddin membaca Burdah.
Setelah itu penulis diberikan masa menceritakan sejarah Sulu kepada santri (pelajar pesantren) kemudian ketika sesi soaljawab telah menghangatkan lagi ruang dewan tersebut. Antara soalan santri ialah berkisar tentang hubungkait Sulawesi dan Sulu East Sea atau Suluwesi. Juga soalan berkaitan dakwah di Sulu dari kalangan Jamaah Tabligh sekiranya ada. Soalan yang menarik perhatian ialah berkenaan keturunan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dari jalur keturunan Al-Husseini berdasarkan leluhurnya dari Kesultanan Sulu.
Foto lukisan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dikatakan berketurunan Kesultanan Sulu. Rujuk : http://ulama.blogspot.com
Santri:
Tadi anda menyatakan bahawa Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari adalah anak Sultan Sulu dari Kepulauan Sulu sedangkan menurut sejarahnya beliau berasal dari Kalimantan berketurunan Banjar.
Penulis:
Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari adalah seorang ulamak tersohor nusantara yang pernah menjadi rujukan rakyat Kesultanan di Tanah Banjar. Beliau adalah pengarang kitab Fiqh bertajuk Sabilal Muhtadin yang masih digunakan hingga kini. Berkenaan beliau berketurunan Sultan Sulu bukanlah dakwaan saya tetapi adalah hasil kajian seorang ulamak sejarah tersohor iaitu Almarhum ustaz Wan Mohammad Shagir Al-Fathani, beliau adalah cucu kepada Syeikh Daud Al-Fathani yang tinggal di Malaysia. Saya telah baca hasil kajian beliau yang menyebut nasab keturunan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari adalah salah seorang dari anak atau dari anak keturunan Sultan Sulu.
Sesi soaljawab dengan para santri.
Setelah selesai majlis penulis dan Neldy Jolo serta sahabat-sahabat lain menuju ke rumah tamu bersama Syeikh Nuruddin. Sebelum berpisah Syeikh Nuruddin memberitahu penulis bahawa beliau sanggup menerima 5 ke 10 orang anak-anak Sulu dengan biasiswa penuh dari beliau pada bila-bila masa. Kami ucapkan terima kasih kepada Syeikh Nuruddin dan kembali ke Masjid Raya Bogor.
ASREESULU
|