SOLUSI SULU: BUKAN PERANG SENJATA
United Tausug Citizens (UTC) memperjuangkan kemerdekaan Sulu dengan cara keamanan tanpa sengketa dan peperangan. Sekarang ada gerakan dari pihak tertentu untuk mengumpan Tausug agar melawan tentera Filipina secara besar-besaran dengan demikian akan dapat melibatkan MILF di Mindanao. Malangnya sudah ada Tausug yang masuk perangkap dan sekarang sedang merangka peperangan baru di seluruh Sulu dan Mindanao.
Bagi UTC berjihad dengan senjata adalah perlu tetapi bukan dalam konteks Sulu ketika ini. Kerana UTC melihat "peperangan" hanyalah umpan agar Sulu tidak akan dapat merdeka dan berterusan bermandi darah. Hal ini dibuktikan dari hasil kajian UTC selama hampir 3 tahun di Sulu bermula 2007 hingga 2009, membuktikan Filipina tidak boleh "menurunkan" bendera Sultan Sulu yang dipacak sekali pun dalam bandar:
- Sekiranya mereka membuat operasi di pedalaman Jolo bila terlihat bendera UTC atau Sultan Sulu di hadapan, mereka mencari jalan lain agar tidak melalui jalan tersebut.
- Ketika Sultan Bantilan Muizuddin II sampai di Zamboanga City beberapa bulan lalu, Baginda memacak benderanya di Istana sementaranya di satu kawasan perumahan yang dinamakan Putik. Pihak keselamatan Filipina tiba-tiba datang mahu menggeledah penginapan Sultan tetapi dilarang oleh Sultan dengan meminta waran geledah terlebih dahulu dari mahkamah. Pihak keselamatan menyatakan mereka akan kembali esok dengan waran geledah dari mahkamah Zamboanga. Malangnya sehingga saat ini (sudah hampir 3 bulan) Sultan masih menunggu pegawai tersebut datang bawa waran geledah, haram lubang hidung pun tidak kelihatan.
- Ahli UTC di Sulu (Jolo, Basilan, Tawi-Tawi, Palawan) telah membuang Kad Undi Filipina dan tidak membayar lagi Cukai Kepala (Saidula) yang diwajibkan tentera Filipina tetapi UTC tidak pun ditangkap atau dipenjarakan.
- UTC tidak pernah diganggu oleh tentera Filipina mahu pun Polis Marinnya sejak pendaftaran kewarganegaraannya dilancarkan pada akhir tahun 2007 yang lalu. Malah mereka tiada hak melarang demonstrasi dimana-mana pun sekiranya ia dianjurkan oleh UTC. UTC tidak perlu memohon permit untuk sebarang perarakan pada bila-bila masa.
- Ketika berlaku semburan air keatas penunjuk perasaan UTC pada 17 Mac 2009 lalu Polis Filipina yang berbangsa Tausug mula merasa takut lalu meminta kepada Polis Marin Filipina untuk membantu mereka meleraikan penunjuk perasaan, apa jawapan Polis Marin Filipina?: "Ah!! Itu kamu punya hal, jangan libatkan kami!!"
Inilah yang dikatakan sebagai "KEDAULATAN SULU" yang tidak disedari oleh mereka yang masih berperang didalam hutan sana. Sepatutnya mereka menerima UTC yang datang kerumah-rumah kerana jalan-jalan kemerdekaan telah jelas dihadapan mata mereka.
Ternyata selama hampir 50 tahun peperangan di Sulu tidak menghasilkan apa-apa melainkan telah berjaya memusnah dan menjahanamkan generasi muda rakyat Sulu dan Mindanao.
SOAL-JAWAB UTC:
PERSOALAN:
Hal di atas berlaku kemungkinan adalah kerana UTC tidak bersenjata lantaran Filipina tidak mahu mengganggu mereka, sedang pada hakikatnya UTC tetap rakyat Filipina?
Ya benar, tetapi perlulah diingat, UTC bergerak dari sehari kesehari masuk kampung keluar kampung Tausug di Jolo memberi ceramah (mereka bawa generator, Laptop dan projektor) menjelaskan konsep kewarganegaraan Sulu iaitu TAUSUG. Mereka juga dididik bagaimana perlawanan senjata hanya kan memenangkan Filipina.
Semakin ramai yang mendaftar jadi ahli UTC tanpa halangan sehingga menular ke Basilan, Tawi-Tawi, Palawan, Zamboanga City malah ahli UTC beribu-ribu sudah masuk ke Sabah tanpa halangan. Lihat sahaja Komander Radulan di Patikul, beliau telah pun mendaftar jadi ahli UTC sebab itu beliau telah hentikan tentangan terhadap tentera Balikatan. Filipina akan mati kutu berperang seorang-seorang kerana semuanya sudah hampir jadi UTC.
Maka untuk mengatakan UTC "pada hakikatnya masih warga Filipina" ternafi dengan sendirinya. Kenyataan ini bukan sekadar melihat keadaan semasa tetapi perlu melihat sejarahnya. Tanpa sejarah UTC tidak akan muncul.
PERSOALAN:
Mengapa UTC masuk ke Sabah, bukankah ini telah melanggar hak Negara Malaysia?
Ya benar, tetapi UTC adalah golongan fakir miskin dan papa kedana. Sultan Bantilan Muizuddin II pastinya tidak akan mampu menghalang rakyatnya yang mahu ke Sabah mendapatkan sesuap nasi kerana negara masih tidak mampu memberi peluang pekerjaan. Kesultanan Sulu masih menggunakan perjanjian 1878 dengan kompani DENT bahawa rakyatnya bebas keluar masuk antara Sulu dan North Borneo tetapi Kompani Dent (Alfred) boleh menghukum rakyat Sulu yang lakukan jenayah.
Dalam konteks Malaysia, UTC sangat memerlukan bantuan Malaysia atas dasar persaudaraan seagama dan kemanusiaan. UTC telah melakukan sedaya upaya untuk hubungan yang lebih baik terutama dengan "Tidak menuntut Sabah" agar negara Malaysia dapat mengekalkan wilayahnya sampai bila-bila. Tinggal lagi, UTC sangat mengharapkan agar Malaysia tidak terpancing dengan rentak Filipina "memFilipinokan" Tausug. Walau bagaimana pun hal tersebut bolehlah dibincangkan secara muhibbah dan semangat persaudaraan.
PERSOALAN:
Sekiranya berlaku peperangan besar-besaran yang akan dicetuskan oleh pihak tertentu sehingga melibatkan pembunuhan ahli UTC bukankah UTC patut membela mereka dengan senjata?
Perang di Sulu sejak 1972 hingga kini telah dijadikan perangkap tanpa disedari. Ahli UTC sekiranya mereka bunuh akan kami bela dengan senaraikan sebagai syuhada' dan akan kami bawa ke muka antarabangsa sebagai kezaliman kepada rakyat Sulu yang tidak bersenjata. Ini adalah penganiayaan, siapa yang lakukannya, siapa yang bersubahat, kami akan heret mereka ke muka pengadilan antarabangsa. Kami tidak akan masuk dalam perangkap perang sekali pun kami semuanya mempunyai senjata M-16 di rumah, kami tidak akan melawan. Kami akan lawan dengan kesabaran kerana Allah swt akan bersama dan memihak orang yang sabar.
PERSOALAN:
Bukankah satu kedayusan bagi kalian sekiranya tidak membalas pembunuhan terhadap kalian?
Jika kami membalas maka kami akan lebih dayus kerana pasti ramai yang terkorban di pihak UTC dan seterusnya perjuangannya hancur, inilah yang anda mahu. Ini adalah strategi kalian mengadakan peperangan besar-besaran dan kami juga punya strategi. STRATEGI adalah satu bentuk peperangan sekali pun bukan dalam bentuk senjata api. Konsep Yin dan Yang adalah penjelasan terhadap hal ini. Sebab itu kami katakan sekiranya ada anggota UTC dibunuh sedangkan mereka mempertahankan negara dengan strategi ini dan dibunuh tanpa bersenjata maka kami menganggapnya Syuhada'.
(Penjelasan konsep secara keseluruhan di atas adalah metod UTC sejak mula diperkenalkan pada awal tahun 2006)
ASREESULU
|