Mari MemFILIPINOkan Tausug!!
Penulis sangat tertarik mengulas hal ini kerana bukti satu lagi telah "muncul" tanpa diminta. Selama penulis hidup tidak pernah ada yang dinamakan "Konsul Sementara" Filipina di Sabah kecuali sekarang. Yang ganjilnya dibuka di seluruh Sabah dengan Sandakan sahaja dibuka di tiga lokasi. Mengapa ini berlaku?
Penulis kembali ke rumah dan menyenaraikan beberapa fakta dan kemungkinan lalu membuat satu kira-kira berupa analisis. Keesokannya penulis berjumpa semula dengan sahabat-sahabat dan mula menjelaskan situasi yang berlaku sambil meminta pandangan tambahan dari mereka.
KETAKUTAN KERAJAAN FILIPINA TERHADAP UTC
United Tausug Citizens adalah ilham Datu Ladjamura bin Datu Wasik Aranan yang kemudian diterima oleh peguamnya iaitu Atty. Meltino Jaujan Sibulan pada akhir tahun 2007. Maka mereka mula perkenalkan Kewarganegaraan Sulu iaitu TAUSUG. Istilah TAUSUG hanyalah kewarganegaraan tetapi etnik mereka samada Buranun, Sama-Bajau dan sebagainya tetap dikekalkan. Ia sama dengan istilah Warganegara Malaysia, walau pun berlainan keturunan dan bangsa mereka tetap MALAY-SIA.
Semenjak itu mereka mula menjalankan kempen perarakan secara aman "Menghalau Filipina Dari Bumi Sulu". Berbulan bulan mereka lakukan perarakan di Bandar Jolo sehingga perarakan yang ke-11 barulah mereka berhenti. Perarakan ke-11 adalah perarakan terakhir dan hari pertabalan Sultan Sulu yang pertama "Diangkat Oleh Rakyat" iaitu Datu Ladjamura sendiri sebagai Sultan Bantilan Muizuddin II, selepas kemangkatan Sultan Sulu terakhir (Sultan Muhammad Jamalul Kiram II, 1936).
Perarakan ini telah menghairankan ahli Kongres Filipina di Manila, mereka persoalkan mengapa United Tausug Citizens (UTC) tidak sahaja ditembak atau disumbat masuk dalam penjara atau pun diheret ke mahkamah kerana "Menderhaka"? Malangnya mereka tidak akan dapat berbuat apa-apa malah UTC tidak boleh diheret ke mahkamah kerana mereka bukan RAKYAT FILIPINA. Hanya ada satu jalan iaitu "mensabotaj" UTC, masalahnya tentera AS ada di Sulu, sebarang sabotaj akan membawa padah kepada Filipina.
Kongres Filipina pun mula berpakat membubarkan BALIKATAN dan meminta tentera AS keluar dari Sulu mengalihkan mereka ke Luzon, agar tentera Filipina dapat mensabotaj UTC. Menyedari hal ini AS telah bertindak dulu menyerang MNLF di Jolo pada pagi Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menyebabkan keinginan kongres Filipina untuk membubarkan BALIKATAN serta mengalihkan tentera AS ke Luzon telah terhalang. Kerana AS mengatakan mereka menyerang Pengganas Abu Sayyaf yang di sokong oleh Al-Qaeda. Nampaknya MNLF telah jadi "Kambing Hitam" dalam percaturan ini, nyata AS tidak akan keluar dari Sulu. Ada BENDA berharga di sini yang tidak mungkin mereka lepaskan.
MEMFILIPINO TAUSUG DI SABAH
Filipina kemudian telah menemui satu jalan terakhir, sekurang-kurangnya dapat melambatkan "Kemaraan" UTC seterusnya mendapat sedikit masa untuk memikirkan bagaimana memusnahkan UTC. Apakah jalan terakhir itu?
Dengan mendaftarkan masyarakat Sulu di Sabah menjadi Filipino maka dapat memudahkan mereka mendapat pekerjaan di Sabah atau di semenanjung Malaysia. Diharapkan mereka kekal menjadi Filipino bukannya UTC. Dalam hal ini penulis sangat khuatir negara kita Malaysia terheret dengan permainan Filipina ini. Sekarang kita sudah ada dua "Filipino" iaitu pelarian perang Moro yang diberi oleh Malaysia taraf MyPR yang sebelumnya memegang pass perjalanan IMM13, dan ditambah lagi oleh Passport Filipina yang diambil di Sabah. Dalam IMM13 ditulis WARGANEGARA FILIPINA dan ketika memohon MyPR juga tertulis warganegara Filipina atau Filipino.
Hairan, bagaimana Filipina berjaya meletakkan Konsul Sementaranya di seluruh Sabah dengan tujuan mempermudahkan pengambilan Passport Filipina DI DALAM NEGERI SABAH? Hal ini sangat menghairankan penulis. Mana mungkin PTI Indonesia yang tiada passport itu boleh memohon passport di Kedutaan Indonesia Kuala Lumpur? Kalau boleh mengapa mereka perlu "diseksa" kembali ke Indonesia untuk mendapatkan Passport mereka di sana?
Penulis telah menyiasat sekiranya Imigresyen Malaysia bersekongkol dalam hal ini, penulis dapati seperti tiada keselarasan, hal ini dibuktikan dengan kes surat nikah pasangan Tausug yang mendapatkan passport Filipinanya di Sandakan telah ditolak oleh JAHEINS. Menurut JAHEINS surat nikah pasangan tersebut tidak boleh dikeluarkan kerana Passport Filipinanya diambil di Sabah bukan di Filipina. Penulis tahu hal ini kerana pakcik penulis adalah jurunikah lantikan JAHEINS beliau telah ceritakan perkara ini.
Negara kita Malaysia kena bertindak menghalang atau menghalau Konsul Sementara Filipina dari bumi Sabah sebelum Filipina mengheret Malaysia sama-sama jatuh ke dalam LUBANG KEDAULATAN.
FILIPINA SEJAK DULU ENGGAN LETAK KONSUL DI SABAH
Beberapa tahun yang lalu Ketua Menteri Sabah (Musa Aman) telah menghadapi masalah menghantar pendatang Tausug yang ditangkap di Sabah untuk dihantar semula ke Filipina. Ketua Menteri telah pun memberikan sebidang tanah di Kota Kinabalu untuk Filipina membina Konsulatnya. Malangnya telah ditolak bulat-bulat oleh Filipina kerana kalau dibina konsul di bumi Sabah bermakna Filipina "mengiktiraf Sabah" kepunyaan Malaysia. Jalan mudah Filipina ialah tidak membina Konsulnya, sesiapa yang mahukan Passport Filipina sila datang sendiri ke Zamboanga City. Sekarang lain pula jadinya semenjak kemunculan UTC di Jolo!!
Inilah perangai buruk Filipina masih mengaku "Sabah Adalah Haknya" tanpa rasa malu. Hari ini mereka telah jilat ludah mereka sendiri di lantai dengan membina konsul di Sabah. Bukan setakat satu malah di Sandakan sahaja ada 3 tempat bayangkan ditempat lain. Untuk mengurangkan tekanan atau "Rasa Malu" Filipina meletak nama "Konsul Sementara". Hal ini menjadi modal gelak ketawa ahli UTC di Sandakan.
Penulis memohon kepada Kerajaan Malaysia agar tidak terbabit dengan perancangan Filipina ini. Penulis sangat risau Filipina tidak mahu berseorangan "dipersalahkan" oleh UTC lantaran mengheret Malaysia sekali. Yang lebih merisaukan penulis sekiranya Malaysia berterusan mengikut rentak Filipina, UTC akan bertanggapan negatif dengan mengaitkan Malaysia bersekongkol "memerangi Umat Islam Sulu" semenjak zaman Marcos lagi. Kerana sebelum ini UTC telah pun diberitahu oleh beberapa pihak yang kononnya Malaysia berkerjasama dengan Filipina memerangi Sulu agar Sabah selamanya tidak tertuntut. Alhamdulillah UTC meletak berita tersebut sebagai "Fitnah dan Adu Domba" sahaja.
Kerjasama Malaysia dalam hal ini sangat diharapkan oleh UTC demi perpaduan serumpun dan seagama.
ASREESULU
|