Ayah Bercerita Berperang Dengan Marcos

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Friday, July 17, 2009 0 ulasan

Ketika penulis sampai ke Zamboanga pada bulan Mac 2009 yang lalu, Makcik Penulis bernama Hjh. Dallama Sabarul yang tinggal di sana berkata,

"Asree, kamu tahu tak Nur Misuari itu adalah datuk kamu? Beliau adalah keluarga kita dari sebelah ibu. Emak kamu tidak cerita hal ini?"

Penulis hanya mengangguk dan tersenyum lalu penulis balas,

"Ya saya tahu, emak dah beri tahu beliau (Nur Misuari) adalah keluarga kita sebelah ibu. Sebab itu dalam tulisan saya tidak pernah menentang perjuangannya. Hingga hari ini saya sendiri mengakui jiwa saya adalah sebahagian dari perjuangannya." Jawab penulis sekadar menyenangkan hatinya.

Seorang sahabat penulis yang turut serta dalam perbualan menyampuk "Sebab tu nama pena Asree pun ASREEMORO." Penulis hanya senyum mendengar celahan sahabat seperti memahami penjelasan penulis sekadar menyenangkan hati makcik. Kebetulan penulis bawa senaskah buku Tausug & Kesultanan Sulu dalam bahasa Inggeris dengan tujuan untuk diserahkan kepada Nur Misuari.

Saudara Nur Daniel yang turut berada di situ bersetuju untuk menyerahkan buku tersebut kepada Nur Misuari. Kebetulan beliau antara pemimpin belia anak-anak MNLF di Zamboanga yang rapat perhubungannya dengan Nur Misuari.

Ketika penulis balik dari Zamboanga pulang ke Sandakan, langsung bertemu ayah penulis untuk bertanyakan keterlibatan beliau dalam MNLF. Ayah menceritakan sebelum terisytiharnya Martial Law September 1972 Ayahnya (Datuk penulis bernama Imam Muhammad Salleh Elaji) telah mengetuai serangan menghalang tentera Marcos di Basilan. Ayah penulis bercerita,

"Datuk kamu (Imam Mohd Salleh) telah diberi mandat oleh MNLF mengetuai serangan ke atas kemaraan tentera Marcos di Danginan, Basilan. Bergerak dari Bukalaw ke Danginan, Datuk kamu membawa lebih 50 pejuang yang terdiri dari orang-orang kampung yang terlatih. Serangan bermula di kawasan Danginan hingga ke Kampu."

Ayah menyambung,

"Kami setelah melihat Illaga semakin ganas membunuh umat Islam ketika itu, sebagai umat Islam perlulah berbuat sesuatu untuk membantu menghalang penganiayaan terhadap saudaranya. Anda ingin berpeluk tubuh sahaja atau menunggu dibunuh oleh Illaga? Wajib berjihad ketika itu, para imam Masjid, Ustaz menyertai MNLF untuk mempertahankan diri tanpa mengira siapa pun MNLF yang penting mereka membantu mempertahankan diri umat Islam Basilan."

Penulis bertanyakan bagaimana ayah terlibat dengan peperangan yang dibentuk oleh MNLF itu dan siapa yang melatih mereka berperang?

"Ketika itu saya masih ingat antara tahun 1971-72 serangan Militia Illaga yang dibentuk Marcos telah melakukan serangan membabi buta terhadap umat Islam. Di Basilan, Komander Faisal dalam pasukan D-90 telah melatih datuk kamu dan beberapa orang adik-beradik ayah di Bukalaw. Ayah telah mendapat latihan agak lewat di Bana', Basilan. Ketika perang berkecamuk ayah ditugaskan membawa makanan ke Libug tempat peperangan berlangsung."

Peta Pulau Basilan (sempena nama Sultan Bantilan) termasuk dalam kepulauan Sulu.

Penulis bertanya mengapa beliau tidak terlibat secara langsung mengangkat senjata? Beliau menjawab,

"Ayah bersama seangkatan dalam latihan tentera MNLF di Bana' ditugaskan membantu membawa makanan ke Libug sementara menunggu senjata. Ketika itu MNLF kekurangan senjata walau pun ramai mujahidin yang cukup terlatih menyertai pertempuran di bahagian hadapan termasuk ayah, tetapi dengan ketiadaan senjata kami terpaksa membantu di bahagian belakang sahaja. Para Komander MNLF memberi tahu sekiranya ada senjata musuh yang dapat dirampas maka bolehlah kami gunakan untuk berperang di bahagian hadapan."

Penulis bertanya apakah punca utama mereka berundur ke Sabah (Jampiras) setelah itu?

"Abang kamu, Abdullah (berumur hampir 2 tahun) ketika itu masih terlalu kecil. Suatu hari, ketika kami dan para komander tengah berbincang dalam sebuah rumah di Bana', tiba-tiba kelihatan 6 buah Jet pejuang Marcos sedang berlegar di udara lalu menjatuhkan bom roket. Rumah tempat kami berbincang musnah dalam sekelip mata. Beberapa orang kehilangan tangan dan kaki, ada putus kepala, badan tidak kelihatan......." Ayah berhenti bercerita seperti terkenang sesuatu dengan air mukanya yang semakin serius.

Ayah menyambung,

"Jet Marcos terlalu canggih, boleh terbang di celah-celah pokok kelapa sambil melepaskan tembakan. Ayah tak pernah lihat sebuah jet boleh melipat sayapnya terbang melalui celah-celah pokok kelapa kecuali hari itu. Tiba-tiba dari kejauhan ayah lihat jiran yang sedang mengatur persembunyian di bawah rumahnya telah terkena roket dari jet tersebut lalu berkecai. Jasad mereka suami isteri yang sudah tua terburai menjadi kepingan kecil. Ayah cepat-cepat memeluk ibu dan abang kamu (Abdullah) yang masih kecil, tiba-tiba roket menjunam dan meletup hanya 2 meter dari tempat kami. Alhamdulillah satu tembok batu menyelamatkan kami."

Ayah mengakhiri cerita,

"Tentera MNLF lain datang dan melepaskan tembakan kearah Jet sehingga jet tersebut tidak kembali lagi. Beberapa bulan kemudian abang kamu Abdullah mengalami masalah paru-paru dan jantungnya gagal berfungsi. Abdullah menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan ayah...., Ayah mula terfikir, perjuangan ini perlu diteruskan. Perlu berhijrah ketempat lain untuk mengatur kekuatan. Membesarkan anak-anak untuk perjuangan yang akan datang. Kebetulan datuk kamu memang mempunyai saudara mara di Sandakan dan Sugut, ayah ikut berhijrah ke Sandakan".

Rakyat tidak berdosa menjadi mangsa dalam peperangan MNLF melawan Marcos, kanak-kanak turut tidak terkecuali. Suasana seperti ini (lihat foto- sekadar contoh) berada dimana-mana terutama peperangan terhadap umat Islam.

Sekian dari secebis pengalaman dari orang tua penulis, MNLF telah menjadikan mereka Mujahidin demi bangsa dan agama tercinta? Kita tanya dimanakah MNLF yang sebenar hari ini? Benarkah mereka berjuang membela umat atau sebaliknya? Militia Illaga adalah penyebab perang Moro? Atau pun perancangan perang-perang telah pun dibentuk lebih awal? Siapakah yang mendapat faedah dari peperangan ini? Umat Islam? Filipina? Malaysia? Amerika-Yahudi?

Asree

Post a Comment