Datu Ladjamura: Calling for PEACE!! 17 November 2010!!
“All people of the peaceful world and especially people of Sulu Archipelago of the Sultanate of Sulu please come to embrace our victory granted by Allah. This 17 November 2010 will be the glorious day for the Ummah, the glory is ours and victory is ours” – Datu Ladjamura Bin Datu Wasik-Aranan, Supreme Head, United Tau Sug Citizens (UTC) -
Ulasan & Sejarah Datu Ladjamura bersama penulis:
Foto dan kenyataan Datu Landjamura di atas penulis ambil dari Facebook Neldy Jolo. Datu Ladjamura walau pun telah berehat dengan memberikan peluang kepada Datu Albi Ahmad Julkarnain mentadbir UTP (United Tausug People) namun beliau masih aktif memberi ceramah di rumah kediamannya di Zamboanga City, Sulu. Malah dari hari ke sehari tidak henti-henti melayan panggilan telefon dari penyokong-penyokongnya di pelbagai penjuru samada dari Filipina mahu pun dari sekitar Kepulauan Sulu dan Mindanao. Malah panggilan dari Malaysia dan Indonesia juga turut tidak ketinggalan.
Datu Ladjamura pada awalnya tidak pandai membaca dan menulis tetapi sejak kebelakangan ini beliau mula berdikit-dikit mempelajarinya. Kerana ketika usianya mencecah 7 tahun beliau mula memasuki sekolah darjah satu di Pulau Siasi Sulu kemudian setelah beliau naik ke darjah dua beliau terpaksa berhenti sekolah kerana kematian ayahandanya. Beliau terpaksa membantu ibundanya mengerjakan kebun kerana kebun peninggalan ayahandanya adalah tempat mereka meneruskan kehidupan harian. Berikut sejarah ringkas Datu Ladjamura yang penulis tahu,
- Pada awal tahun 80-an beliau berhijrah ke Lahad Datu dan memulakan penghidupannya di sana bersama adik beradiknya yang lain dengan bekerja sebagai penjual ikan di pasar Lahad Datu.
- Pada pertengahan tahun 90-an beliau mula mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita Tausug di Lahad Datu dan dikurniakan beberapa orang anak.
- Pada tahun 1998 beliau mula bermusafir kembali ke Sulu dengan meninggalkan anak dan isteri tercinta dengan satu tujuan "Mengkaji dan menyelidik siapa sebenarnya Tausug & Kesultanan Sulu".
- Beliau masuk dan keluar kampung di pedalaman Jolo berjumpa sanak saudara dan golongan tua para Datu. Menelusuri kepulauan Sulu di mana-mana asalkan ada kedengaran di sana ada keluarga para Datu beliau akan ke sana dengan apa cara sekali pun.
- Beliau hanya menimba ilmu dan pengalaman sambil berdiskusi dengan para pemimpin tempatan termasuk para Datu tentang sejarah Kesultanan Sulu.
- Untuk menampung kehidupannya beliau bekerja sebagai pengkopek/pengupas kelapa dan menjualnya sendiri secara borong. Sekiranya ada pendapatan beliau akan bermusafir lagi.
- Setelah setahun berkelana maka pada akhir tahun 1999 telah kembali ke Lahad Datu dan mendapati salah seorang anaknya telah lama meninggal dunia semenjak pemergiannya. Isterinya juga terkejut kerana tubuh Datu Ladjamura sebelum bertolak ke Sulu begitu sihat dan gemuk tetapi kini sudah terlalu kurus sehingga sukar dikenali oleh isterinya.
- Pada tahun 2000 Datu Ladjamura bersama sepupu dan pakciknya dari keluarga Aranan puyo membuat perjalanan ke negara Brunei Darussalam berjumpa Dato' Pehin Mohammad Awang Jamil Al-Sufri yang bertugas sebagai Pengetua Pusat Sejarah Brunei ketika itu.
- Sekembali dari Brunei Datu Ladjamura membuat perjalanan sekali lagi ke Sulu kemudian kembali semula ke Lahad Datu dengan Visi dan Misi "Untuk mengembalikan Kemerdekaan Kesultanan Sulu tanpa Perang dan Keganasan".
- Beliau mula membuat satu borang sokongan dari rakyat yang perlu diisi dengan gambar serta cap ibu jari. Beliau mengedarkan borang secara percuma kerana kos beliau tanggung sendiri hasil dari jualan ikan di Pasar Lahad Datu.
- Beliau berjaya mengumpul hampir 4000 borang sokongan dari masyarakat Tausug (Sulug, Bajau, Yakan, Kagayan dll) bermula dari Lahad Datu, Semporna, Sandakan sehingga Kota Kinabalu sehingga awal tahun 2005.
- Pada pertengahan tahun 2005 penulis telah mula merapatkan hubungan dengan keluarga Aranan Puyo sehingga penulis berjaya membawa Al-Fadhil Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah menemui mereka. Tujuan penulis membawa Ustaz Hj Halim bertujuan untuk membimbing para Datu dan mentarbiyah mereka dengan Dinul Islam agar perjuangan dapat keredhaan Allah swt.
- Ketika itu penulis telah meminta kepada keluarga Aranan untuk menjadikan Ustaz Hj Halim sebagai penasihat kerohanian kerana tanpa bimbingan dari para ulama' pejuang kebenaran tidak akan berjaya. Kalau pun berjaya ia akan menjadi "perjuangan lain" yang tidak berlandaskan iman dan taqwa lagi. Tanpanya "bangunan yang akan dibina" pasti runtuh kerana tiang dan batu-batanya rapuh.
- Pada akhir tahun 2005 penulis bersama ustaz Hj Halim mula membuat ekspedisi dakwah di seluruh Sabah. Pertemuan pertama kami dengan Datu Ladjamura ialah di Kota Kinabalu yang kalau tidak silap ketika itu adalah bulan Ramadhan.
- Semenjak itu rombongan kami bersama rombongan Datu Ladjamura mula berjalan seluruh Sabah berdakwah masuk kampung keluar kampung orang-orang Suluk menyampaikan Islam iaitu "Tausug mesti kembali memartabatkan Al-Qur'an di rumah-rumah mereka".
- Maka bermulalah pembukaan pusat-pusat pengajian Al-Quran di setiap kampung yang berjaya dimasuki oleh rombongan kami. Kenapa hal ini berjaya kerana kebanyakan Tausug di Sabah ialah pendatang yang tidak punya pass perjalanan sah yang mana anak-anak mereka tidak diterima memasuki sekolah kerajaan. Kalau ada swasta pun lokasinya sangat jauh dan perlu membayar dengan kos yang tinggi setiap bulan.
- Penulis sangat hairan mengapa Malaysia tidak menerima kanak-kanak Tausug memasuki sekolah kerajaan sedangkan ianya jelas hak asasi manusia sekali pun mereka anak-anak pendatang "Tanpa Izin". Bagi Ustaz Hj Halim tidak mengapa, Tausug boleh buka kelas pembacaan di rumah-rumah mereka sekiranya sudah pandai barulah dihantar ke pusat Tahfiz Quran yang dikendalikan oleh Jamaah Tabligh yang berdekatan.
- Kempen kami ketika itu ialah "menggalakkan anak-anak ke sekolah" agar tidak jadi buta huruf dan bodoh. Dengan cara ini kanak-kanak akan dapat dibentuk masa depan mereka dengan lebih baik tanpa perlu menjadi penjenayah, pembunuh dan pengedar Dadah Syabu yang biasanya dilakukan oleh pemuda-pemudi Tausug di Seluruh Sabah.
- Dalam dakwah ini Datu Ladjamura mula belajar berdikit-dikit tentang agama Islam dari Ustaz Hj Halim serta bagaimana seorang Muslim menjadi Mukmin sebelum terjun berjuang ke tengah masyarakat. Asas-asas agama perlu dipelajari, tanpa Agama tiada nilai seorang pejuang Islam. Salah satu asasnya ialah memahami mengapa Muslim diwajibkan "mendirikan Solat" yang sememangnya menjadi "Tiang Agama". Meninggalkan Solat sebenarnya telah meninggalkan Islam itu sendiri maka bagaimana seorang yang mengaku pejuang Islam tidak "mendirikan Solat"?
- Biasanya ketika menyampaikan dakwah ini Ustz Hj Halim akan berceramah terlebih dahulu selama kira-kira 30 minit dalam bahasa Melayu (Loghat Kedah) kemudian akan disambung oleh Datu Ladjamura dalam bahasa Tausug. Biasanya Datu Ladjamura bercerita tentang Sejarah Tausug dan Kesultanan Sulu, katanya: Tausug tidak terjajah maka mengapa kita lari dari Sulu, Filipina ketika mendapatkan Sulu dan Mindanao tanpa peperangan pada tahun 1946-49 jadi mengapa kita tidak melakukan perkara yang sama mengambil semula Kerajaan Kesultanan Sulu? Solusi kepada kemerdekaan Sulu ialah dengan hanya mengembalikan Tausug kepada kerakyatan mereka yang asal bukannya Filipino, kerana Sulu tidak pernah kehilangan "kemerdekaan" yang hilang ialah rakyatnya kerana dengan rela tanpa paksaan telah mendapatkan "Surat Kelahiran Filipino".
Menurut Polis Datu Ladjamura telah membuat gerakan yang membahayakan keselamatan negara dengan menghimpun Tausug dalam satu organisasi tanpa permit atau lesen dari kerajaan Malaysia. Gerakan tersebut dikira merbahaya kerana boleh mengancam "kedaulatan Malaysia terhadap Sabah". Bagi pihak Datu Ladjamura pula beliau hanya mengedarkan borang untuk persetujuan mahu memerdekakan Sulu bukannya untuk "Merampas Sabah". Menurut Datu lagi gerakan beliau sebenarnya dapat mengurangkan masalah Malaysia kerana dengan kembalinya kemerdekaan Sulu, Tausug yang dilabel PTI di seluruh Sabah akan kembali semula ke negara asal mereka. Nampaknya pihak Datu Ladjamura tidak puas hati dengan layanan pihak keselamatan keatas dirinya sehingga dikatakan beliau selalu dipanggil ke Balai Polis untuk memberikan keterangan. Hal ini menyebabkan beliau merasakan "Malaysia" telah menjatuhkan maruah dirinya di tahap "penjenayah".
Sehingga pada suatu pagi Datu Ladjamura menghantar SMS kepada penulis bahawa beliau akan bertolak ke Sulu kerana gerakan "Kesultanan Sulu" beliau disalah anggap oleh pihak keselamatan Malaysia. Menurut beliau lagi pemergiannya adalah untuk menyelamatkan keadaan kerana risaukan pengikutnya bertindak sendiri bermusuhan dengan "pihak keselamatan Malaysia". Pada pagi tersebut juga Ustaz Hj Halim menelefon beliau dengan memberikan nasihat "Jangan kembali ke sini (Sabah) sebelum kamu berjaya mendapatkan kemerdekaan Sulu semula". Ustaz Hj Halim mendoakan pemergian beliau dengan iringan do'a Jihad.
Sesampai di Jolo, Sulu Datu Ladjamura terus masuk ke kampung-kampung berceramah tanpa rasa takut dan gusar tentang keselamatannya. Berikut adalah kronologi gerakan beliau di Sulu,
- Beliau dengan beraninya masuk ke kampung-kampung memberikan ceramah berkenaan "kembalinya Tausug menegakkan kalimah Lailaha illallah Muhammadurrasulullah di bumi Sulu" bersatu dibawah satu panji (bendera Sulu abad ke-17) iaitu menegakkan kembali Kesultanan Sulu Darul Islam. Sehingga pertengahan tahun 2007 beliau berjaya memacak 13 bendera Sulu di beberapa kampung di sekitar Bandar Jolo tanpa gangguan dan tekanan dari Kerajaan Filipina.
- Ketika ini seorang peguam muda Tausug yang handal dan berani telah mula mendapat hidayah bernama Atty. Meltino Jaujan Sibulan. Beliau datang bertemu Datu Ladjamura di Indanan dan berdialog dengannya. Oleh kerana hujah-hujah Datu Ladjamura (walau pun buta huruf) begitu masuk akal kerana didasarkan bukti-bukti maka Atty Meltino pun mula tertarik untuk menyertai perjuangan Datu Ladjamura dengan menawarkan dirinya sebagai Peguam Rasmi (Legal Caounsel) "Sultanate of Sulu" di bawah kepimpinan Datu Ladjamura.
- Pada penghujung tahun 2007 Datu Ladjamura mula mengemukakan cadangan kepada Atty Meltino untuk mewujudkan "Surat Kelahiran Tausug". Menurut Datu Ladjamura "Turning Point" kerakyatan ialah bermula pada Surat Lahir. Kerana beliau menilai semua Tausug di Sulu telah menjadi "Rakyat Filipina" kerana Surat Lahir, maka sekiranya Sultanate of Sulu keluarkan semula surat lahir Tausug maka dengan sendirinya Tausug akan dapat kembali kepangkuan Kesultanan Sulu.
- Maka Atty Meltino kembali kerumahnya dan mula membongkar perundangan antarabangsa tentang "kerakyatan". Setelah mengkajinya selama sebulan barulah beliau datang semula berjumpa Datu Ladjamura dengan mengatakan "Ya, memang benar. Kita akan mula mendaftarkan surat kelahiran kepada Tausug".
- Pejabat pun mula dibuka di Billukan Drive Indanan dengan mendaftarkan Surat Kelahiran Tausug. Setiap penjuru penyokong Datu Ladjamura datang berduyun-duyun mendaftar termasuk dari Pulau Basilan dan Tawi-Tawi. Penyokong Datu Ladjamura di seluruh Sabah juga telah menghantar wakil dari setiap daerah untuk mendaftarkan Tausug sebagai "Rakyat Sultanate of Sulu".
- Dengan kaedah pendaftaran seperti ini maka sokongan terhadap perjuangan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh Datu Ladjamura ini telah mendapat nafas baru. Tidak sampai beberapa bulan pendaftaran sudah mencecah 15,000 keahlian. Maka Datu Ladjamura atas nasihat Atty. Meltino telah memberikan nama baru kepada perjuangan ini dengan "United Tausug Citizens" dengan singkatannya UTC. Menurut UTC, Tausug ialah "Kerakyatan" (Citizenship) bukannya satu kaum sahaja. Tausug bermaksud "semua hamba-rakyat yang tinggal di seluruh wilayah kekuasaan Kesultanan Sulu, menggunakan bahasa Sulug @ Sug sebagai bahasa perantara, samada Islam atau Kristian mahupun kafir lainnya yang mengaku dibawah pemerintahan Islam maka mereka adalah TAUSUG". Maka samada Buranun, Taguimaha, Baklaya, Sama-Bajau, Yakan, Kalibugan, Kagayan, Visaya-Tagalog, China peranakan Sulu, dan siapa sahaja yang mahu "kerakyatan" Kesultanan Sulu adalah Tausug @ Sulug kesemuanya.
- Dengan demikian tiada lagi rendah merendahkan suku kaum lain dengan panggilan jijik melainkan Tausug kesemuanya. Maka terbinalah kesatuan dan perpaduan tanpa Assabiyah dan kebangsaan melainkan bersatu dibawah satu panji dan dua kalimah Syahadah. Kebangsaan yang ada ialah kesatuan bangsa menjadi BANGSA TAUSUG.
Sehinggalah pada bulan Mac, 17hb 2008, perarakan UTC yang ke-13 telah mendapat kejutan dari sikap "panik" pihak keselamatan Filipina di Bandar Jolo iaitu UTC telah disembur dengan air dari lori bomba. Berkatalah para ahli UTC sambil menjerit "Alhamdulillah! Allahu akbar!! Peluru telah bertukar menjadi air... nyata sekali Filipina tidak dapat menghalang KEMERDEKAAN SULU kali ini!!!". Semburan air tersebut telah mengakhiri perarakan UTC setiap bulan kerana UTC telah mendapat "petanda" atau pun "Lampu Hijau" bahawa "bila-bila masa boleh isytiharkan kemerdekaan Sulu" berdasarkan ketidakupayaan Filipina menghalang gerakan UTC Kesultanan Sulu.
Begitulah cerita kedudukan sebenar gerakan UTC dari awal hingga saat ini. UTC telah lancarkan Kad Pengenalan sementara secara percuma setelah berjaya mendaftar Surat Kelahiran Tausug lebih 50,000 orang seluruh Sulu dan Sabah. Pada 17 Nov 2010 nanti satu sistem pentadbiran dengan menggunakan mekanisma Ekonomi Rakyat berdasarkan "Pasar dan Masjid" meniru permulaan Kerajaan Islam di Madinah Al-Munawwarah akan dilancarkan. Kertas kerja sedang dirangka bersama pelan lokasi, gerakan Peace Keeper serta para pentadbir yang akan dimulakan di Buansa. Kemudian akan dibuka di Bongao, Tawi-Tawi, Basilan, Zamboanga dan Palawan secara berperingkat.
Konsep Pasar ialah "Parian" dalam tradisi Tausug bermaksud "Pasar Terbuka". Konsep Parian ini Tausug pernah buka di seluruh Asia Tenggara sehingga ke Tanah Arab beribu tahun dahulu. Sebab itu orang Arab hingga hari ini menamakan "Pasar" dengan "Suq" yang sebenarnya diambil dari kata nama "Sug" atau Sulug. Di sekitar Padang, Sumatra Barat, Indonesia iaitu tidak jauh dari Kota Solok (Sulug) terdapat nama pasar purba Tausug yang masih kekal dinamakan Parianam (Parian). InsyaAllah pentadbiran Kesultanan Sulu akan dapat dimulakan sebelum deklarasi.
PERHATIAN:
Kepada sesiapa yang merancang mahu menyertai UTC Kesultanan Sulu samada mahu memohon "kerakyatan" atau sekadar menjadi "Simpati" maka dinasihatkan perlulah membaca artikel ini terlebih dahulu untuk mengetahui hujung pangkal perjuangan UTC. Kegagalan memahami sejarah penubuhan UTC akan menyebabkan kecelaruan yang merugikan kepada diri mereka sendiri. Sesiapa yang menyertai UTC tanpa pengetahuan sejarah UTC mereka bukan sahaja rugi masa dan wang ringgit serta tenaga mereka malah MARUAH mereka akan tercalar buat selama-lamanya kerana segala "kemunafikan dan salah laku mereka" akan tertulis seterusnya tersimpan dalam lipatan sejarah TAUSUG & KESULTANAN SULU.
ASREESULU
|