Fotografik: POSTER SYAWAL & PERBAHASAN KRIS (edited)

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Sunday, September 12, 2010 0 ulasan

"Misan muti' in bukug, ayaw in tikud-tikud" bermaksud "Biar putih tulang, jangan putih tumit". Huraiannya, biarlah putih tulang kerana tulang sememangnya putih, tetapi jangan sampai tumit kaki jadi putih kerana lari dari musuh. Ini adalah peribahasa Sulug manakala peribahasa Melayu juga sama iaitu "Biar putih tulang jangan putih mata", perbezaan hanya pada mata dan tumit. Dalam kedua-dua peribahasa mana yang lebih realistik?

"Tidak pernah kedapatan, dari Kastila' (Spanyol) hingga Milikan (American), Jepun hingga Filipina memuaskan diri, namun mereka tetap dalam kemerdekaan"


PERBAHASAN KERIS (Kris)
DariNorth Borneo (Sabah), Bolongan Kalimantan sehingga Sulawesi (Indonesia), dari Zamboanga hingga Cota Bato ke Davao (Mindanao) sangat mengenali Sundang sebagai "keris yang panjang dan besar". Tinggal lagi mereka kabur dengan nama Sundang dari mana ia berasal dan mendapat nama. Para ahli Krisology (pengkaji Keris) masih terumbang ambing dalam mencari asal-usul keris Sundang malah nama Keris (Kris) itu sendiri masih menjadi misteri dari mana asal-usulnya. Sesetengah pihak mengatakan oleh kerana pengaruh India telah menjadi sebahagian budaya dan amalan Nusantara maka kemungkinan Keris juga berasal dari India. Tetapi kenyataannya bangsa India sendiri sejak sejarahnya yang awal sehingga zaman raja-raja Moghul tidak pernah menggunakan senjata berbentuk keris samada berlok atau lurus. Yang bangsa India gunakan ialah bentuk pedang Bangsa Aryan yang juga turut digunakan oleh Bangsa Arab. Dengan sendirinya dakwaan Keris berasal dari India telah tertolak.

Untuk mengkaji asal-usul Keris perlulah terlebih dahulu mengetahui dari mana kata "Kris" itu terbit. Sekiranya kita perhalusi perkataan "Kris" tersebut lebih kepada lidah Sanskrit yang sesuai dengan lidah "Jawa". Perbezaan lidah Melayu dengan lidah Jawa ialah Melayu tidak selesa menyebut Kris "Kr" tetapi menyebutnya Keris "Ker".

"Merujuk kepada Kamus Dewan (edisi tiga), keris didefinisikan sebagai ‘sejenis senjata bermata dua yang tajam (bilahnya lurus dan berlok-lok). Dari aspek terminologi pula, perkataan keris mungkin berasal daripada dua frasa iaitu ke (imbuhan) dan hiris (kata kerja) yang seterusnya membentuk kata nama keris iaitu sejenis alat untuk memotong sesuatu atau menikam. (Mawar Shafie, Dewan Budaya, 1996).

Berdasarkan Profesor Madya Dr. Zainal Abd. Latif melalui pembentangan kertas kerja ‘Mengenal Melayu dan Pemikirannya Melalui Seni Pencak Silat (Jun 2000), keris dimaksudkan ‘sejenis senjata tikam yang dipercayai telah wujud sebelum abad ke-14 dan dianggap sebagai sebahagian daripada artifak budaya Nusantara’. Manakala Tuan Hj. Zaabar Yusof memberi gambaran umum keris sebagai ‘sejenis senjata pendek yang berkait rapat dengan warisan budaya bangsa Melayu’. (Keris Dalam Perfektif Islam, 1999: 37)." http://ftmk.upsi.edu.my

Kecelaruan dalam menelusuri asal-usul Keris dan namanya menjadikan para sarjana Nusantara memberikan pelbagai andaian dan hepotesis namun masih tiada kata putus yang dapat meyakinkan kita. Dalam hal ini para sarjana Barat turut ikut membahas asal-usul Keris,

"Dr. Van Stein Callenfels pula mengemukakan teori kewujudan keris pada sekitar kurun ke-7 melalui ciptaan Keris Majapahit. Teori dan pendapat yang dikemukakan oleh golongan penyelidik ini tentang sejarah keris masih tidak sekata. Hal ini telah terbukti apabila Griffith Williams pula menyatakan senjata pendek ini dicipta pada kurun ke-14 dan kurun ke-15.

Wooley pula mengatakan bahawa keris dicipta pada zaman Majapahit dan berlaku penyebaran ciptaan senjata ini oleh masyarakat lain yang berada di bawah kekuasaan Majapahit. Kejatuhan empayar Majapahit menyebabkan rakyatnya merantau dan meneroka ke kawasan-kawasan lain di gugusan kepulauan Nusantara dengan membawa tradisi keris yang kemudiannya diubah suai mengikut kesesuaian setempat. Walaupun pelbagai teori dikemukakan mengenai asal-usul senjata agung Melayu ini, namun belum dapat menjawab persoalan bila dan di manakah sejarah keris bermula dengan pasti hingga kini". http://ftmk.upsi.edu.my


KAJIAN KERIS DALAM TRADISI SULUG (Tausug)
Berdasarkan teori Dr. Van Stein Callenfels bahawa keris mula digunakan seawal sekitar kurun ke-7 yang kemudian menyebut bahawa Majapahit yang awal-awal menggunakannya amat menjadi perhatian penulis. Sebenarnya ia hanya berdasarkan teori atau andaian tanpa menyenaraikan "Srivijaya" yang lebih mendahului Majapahit dari segala segi. Ini kerana kekuasaan yang disebut Empayar Srivijaya itu bermula sekitar abad ke-7 dan sudah pun menggunakan "pedang panjang berlok dan lurus" dinamakan Karis (Bahasa Sulug Klasik) atau Kalis (Bahasa Sulug Moden). Telah menjadi budaya kepada bangsa Srivijaya atau Sulug dengan menggunakan Keris panjang dan besar bukannya keris pendek seperti yang digunakan oleh orang-orang Melayu dan Jawa.

Vick Hurley seorang penulis dan anti-kolonialis Amerika Syarikat adalah salah seorang pengagum Tausug yang bercakap benar dalam mengungkapkan sejarah Sulu dan Mindanao dalam bukunya Swish of the Kris. Vick Hurley percaya bahawa Tausug berasal dari kepulauan Indonesia yang sejak sekian lama menggunakan keris sebagai senjata mereka. Sebenarnya apa yang beliau maksudkan ialah kewujudan Srivijaya di Sumatra yang mempunyai perkaitan dengan bangsa Visaya di Filipina, dengan demikian beliau membuat kesimpulan bahawa "bangsa Filipina" (termasuk Sulu) berasal dari Kepulauan Indonesia di Sumatra (Hal ini kami telah jelaskan berkenaan asal-usul Srivijaya dalam kajian kami "Sejarah Sulug" dalam posting yang lepas). Dalam bukunya lagi telah menamakan Tausug yang beliau gelar Moro sangat handal berperang dengan menggunakan keris samada berperang dengan Majapahit, Spanyol atau Amerika sehingga beliau gelar Tausug sebagai Pahlawan amfibia Pasifik. Beliau menyebut,
  • Kris versus Kris (Sulu lawan Majapahit)
  • Kris versus Toledo Blade (Sulu lawan Spanyol)
  • Kris versus Krag (Sulu lawan Amerika Syarikat)
Beliau menjelaskan bagaimana Mujahid Sulu yang dianggap perompak laut (Pirates) oleh Spanyol menggunakan Kris dan Barung serta Kampilan yang biasa digunakan oleh Iranun,

"The pirates were horrible in attack. They employed as weapons the kris, the wavy-edged sword with a double cutting surface, the blade of which was incised with blood channels. The wooden or ivory handle was often heavily ornamented with silver or gold. The kris is one of the most terrible offensive weapons to be developed by man. The frightful wounds inflicted by its wavy cutting edge are difficult to heal and the tremendous leverage engendered by the offset handle makes possible the cleaving in two of a man at a stroke, It has been stated that the remarkable temper of the kris furnished a cutting blade equal in every particular of the finest steel of Toledo and Damascus. The kris was a boarding weapon for hand-to-hand conflict and was supplemented by the barong, a heavier, single-edged knife, and by the campilan, a tremendous two-handed sword". http://www.scribd.com

Bentuk dan rupa Keris Melayu dan Jawa tidak jauh berbeza.

PERBEZAAN KERIS MELAYU/JAWA DENGAN SUNDANG
Persoalan yang timbul ialah apakah jenis keris yang digunakan oleh Pahlawan Sulu? Apakah sama dengan keris Melayu dan Jawa? Jawapannya pahlawan Sulu hanya menggunakan Keris Sundang yang besar dan panjang. Persoalan lagi mengapa Tausug tidak menggunakan keris kecil dan tirus sebagaimana yang digunakan oleh pahlawan Jawa dan Melayu? Jawapannya pahlawan Sulu telah tidak menggunakan keris kecil tetapi menggunakan Barung. Untuk lebih jelas para pembaca perlu memahami tatacara penggunaan keris dalam dunia persilatan Melayu dan Jawa iaitu menggunakan keris untuk mencucuk dan menghiris pada anggota tubuh musuh. Untuk menambahkan kekuatan dan bisa, biasanya keris akan diletak racun yang mana kalau musuh terkena cucuk atau dengan hanya sedikit hirisan pada kulit akan menggelupur dan terus mati.

Tetapi bagi Tausug keris kecil dan tirus tidak sesuai untuk mereka kerana kalau pun menggunakan keris perlulah besar dan panjang. Malah Tausug tidak memerlukan Ipoh (Sbt ipo') atau racun sebagai menambah bisa kepada Sundang atau pun Barung kerana falsafah Tausug ialah "membunuh seramai mungkin musuh sebelum diri sendiri terbunuh". Ini juga disebabkan kebanyakan Pahlawan Tausug mempunyai ilmu atau kemahiran kebal tubuh badan dari dicucuk-cucuk atau dihiri-hiris dengan hanya keris kecil. Matlamat Tausug menumpaskan musuhnya ialah dengan terus memotong leher atau menetak kepala untuk memburaikan kepala otak, yang hanya boleh dilakukan menggunakan Sundang. Dalam sesetangah kes Sundang dapat memutuskan anggota tangan dan kaki serta memburaikan tali perut musuh dengan hanya beberapa libasan tertentu.

Menurut laman web Kesultanan Negeri Perak Keris Sundang hanya sampai ke Tanah Melayu pada kurun ke-17 yang dibawa oleh pahlawan-pahlawan Bugis. Sebenarnya yang membawa Sundang ialah para pahlawan-pahlawan Sulug yang disertai oleh Pahlawan Makassar ke kepulauan Riau. Bangsa Makassar hanya ikut bersama Tausug menjadi "Perompak Laut" setelah kekalahan Makassar berperang dengan Bugis Bone yang dibantu Belanda pada abad ke-17. Makassar beramai-ramai hijrah ke Kepulauan Riau. Oleh kerana Sulug lebih suka belayar dan berdagang mereka membiarkan Makassar menguasai penempatan di Kepulauan Riau sehingga ke Johor, Pahang Terengganu dan Kelantan. Tausug yang mahir dengan sejarah Sulug di Sulawesi mengesahkan hal ini. Sulug memanggil Makassar dan Bugis Bone dengan Baklaya.

Dari beberapa penelitian penulis, Tausug tidak suka menggunakan racun atau yang Tausug sebut sebagai Ipoh (Ipo') pada senjata tajam mereka kecuali yang Tausug panggil Sumpitan. Senjata Sumpitan atau Sumpit sejak dulu Pahlawan Balangingi' dan Iranun menggunakannya. Kebiasaan peluru sumpit mereka letak Ipoh. Tausug juga mahir menggunakan lembing tetapi biasanya tanpa Ipoh atau racun. Mengapa Tausug tidak suka menggunakan Ipoh? Menurut beberapa pandangan bahawa Tausug dalam peperangan menggunakan prinsip keadilan dengan tidak menyeksa musuh menggunakan racun, adalah kelihatan tidak "jantan" malah memalukan seorang pahlawan Tausug sanggup meracun musuhnya bukan dengan jalan berdepan yakni berperang dengan adil.

Seorang bekas pahlawan tua era Perang Jepun penulis tanya mengapa Tausug tidak suka gunakan senjata beracun seperti keris kecil yang diletak Ipoh contohnya, beliau menjawap "Ketika dulu Tausug sangat mahir dengan ilmu racun hinggakan mereka tahu penawarnya. Lagi pun dalam peperangan matlamat pahlawan ialah membunuh dan terbunuh. Untuk membunuh Tausug anda perlu mencucuknya lebih dari 10 kali cucukan dengan keris kecil sedangkan kalau anda terkena dengan hanya sekali libasan Sundang atau Barung pasti anda jatuh berkecai menyembah bumi".

Berikut penulis paparkan tulisan Vick Hurley dalam Swish of the Kris berkenaan teknik serangan seorang diri Mujahid Tausug yang dinamakan Juramentado oleh Spanyol,

"The method of attack of the juramentado was to approach the largest group of Christians possible and shout to them from a distance the Arabic phrase, "La ilaha il-la'l-lahu" - There is no God but Allah. The kris or barong was then unsheathed and a rush was made, each juramentado hoping to kill at least one Christian before he found a martyr's death".

Beliau menyambung lagi dengan cerita dari Dr. Montano yang sangat mengerikan buat Spanyol,

"Dr. Montano, an eminent scientist sent by the French government to Sulu, describes the entry into the city of Tianggi of eleven juramentados during the Spanish occupation:

'Divided into three bands, they crept into town, pursuing a frenzied course. Hearing the cry of "Los Juramentados", the soldiers seized arms. The juramentados rushed upon them fearlessly with krises. One of them struck in the breast by a bullet, rose and flung himself upon the troops. Transfixed by a bayonet, he remained erect, trying to reach his enemy who held him impaled. Another soldier ran up and blew out his brains before he dropped. When the last juramentado had fallen and the corpses were picked up from the street, it was found that fifteen Spaniards had been hacked to pieces and many wounded. And what wounds! The head of one Spaniard was cut off as clean as if with a razor and another was cut almost in two".

Dengan hanya 11 orang mujahid Tausug dapat mencincang 15 tentera Spanyol serta mencederakan yang lain. Kalau yang mati pun sudah putus kepala dicincang bagaimana yang hidup cedera yang tentu sudah hilang anggota tangan dan kaki?

Aksi seorang Guru Pertahanan diri Visaya-Kristian dari Cebu, Philippines menggunakan Barung Tausug sebagai senjata. Klik ke web beliau http://www.bahadzubujb.com/dakilaguro.htm. Sebenarnya di Kepulauan Sulu terlalu ramai mahaguru persilatan yang masih wujud hari ini tetapi tidak mendapat perhatian media. Mahaguru silat Sulug selebihnya telah berhijrah ke Sabah dan Semenanjung Malaysia. Contohnya di Melaka hari ini terdapat seorang Mahaguru Silat Tausug bernama Guru Illi', di Johor pula ialah Mahaguru Cesar. Kalau di Sabah Mahaguru Silat Sulug terlalu ramai yang kita boleh jumpa sehingga ke Kota Kinabalu dan Pulau Labuan.


MENELUSURI SUNDANG DAN BARUNG TAUSUG
Dalam bahasa Sulug @ Tausug terdapat perkataan Tiris yang bermaksud "hiris" dalam bahasa Melayu. Kemungkinan kata "keris" berasal dari kata Tiris atau Hiris berdasarkan sifatnya sebagai senjata tajam adalah benar. Kerana mengikut keyakinan penulis kata keris berasal dari lidah Sulug sebelum era Srivijaya yang kemudian orang-orang Melayu dan Jawa mengecilkannya sesuai dengan budaya persilatan yang berperang sesama Melayu. Hal ini penulis dasarkan atas kebiasaan Sulug ikut campur berperang dengan pelbagai pihak di seluruh Nusantara termasuk di China (perang dengan Monggol), perang Burma dan Sukho-Thai pada abad ke-13 hingga ke-15.

Lebih-lebih lagi sekiranya kita kaitkan motif Keris Berlok berasal dari inspirasi kerajaan China Dinasti Sung sebab itu munculnya nama Sung-Dang (Sundang). Motif naga yang membentuk lok pada keris menguatkan hal ini. Umum mengetahui hanya dengan perantara Tausug barulah China dapat berhubung dengan Nusantara hingga ke India dan Meditranian. Perhubungan Sulug dengan China yang cukup lama bukan sahaja Sulug menggunakan kain dan peralatan dari Tanah Besar China malah motif naga pada keris turut mendapat inspirasi dari China. Dalam keadaan tertentu Tausug tidak akan membentuk lok pada Sundang adalah kerana disesuaikan dengan pedang Katana atau pun pedang Sukho-Thai dan Burma. Sundang digunakan untuk berlawan secara bertembung pedang dengan pedang sebagaimana kebiasaan Tausug berperang. Maka sebab itu keris kecil tidak sesuai digunakan untuk berperang dengan dunia luar Nusantara.

Mungkin salah satu sebabnya Sulug berjaya bertahan memerangi Spanyol adalah kerana menggunakan semangat Sundang menyerang hingga berjaya mencincang semangat kafir Spanyol. Dalam bahasa Sug terdapat kata Pu-Dang (Pedang) dan Sun-Dang (Keris panjang dan besar). Dang kemungkinan adalah bahasa purba samada terbit dari bahasa China atau Sulug bermaksud senjata yang panjang dan besar. Dalam bahasa Sulug terdapat kata Dang yang merujuk kepada wanita yang disayangi yang biasanya disebut "Rang". Sebenarnya Dang dalam bahasa Sulug adalah singkatan gelaran DAYANG, sebagai contoh isteri Datu Paduka Mat Salleh disebut Dang Bandang yang sebenarnya adalah Dayang Bandang. Dalam sejarah Melayu terdapat beberapa individu yang dinamakan Dang. Sebagai contoh seorang wanita yang dinamakan Dang Hanum (Kisah Kesultanan Riau), Dang Suria dan sebagainya. Dalam bahasa Sulug Dang @ Dayang merujuk kepada Puteri Raja atau wanita Istana yang cantik dan menawan.

Kemungkinan Tausug menamakannya Pu-Dang (Pedang) dan Sun-Dang adalah kerana ia senantiasa dikepit. Senjata yang disayangi sesuai dengan panggilan Dang atau Dayang. Satu benda yang menjadi kesayangan biasanya disebut "kekasih" oleh sesetengah orang sebagai contoh rakyat Malaysia yang punya motor besar atau kereta besar yang menjadi kesayangan akan memanggilnya "isteri" atau "kekasih". Sama dengan Tausug yang memanggil Dang @ Dayang kepada senjata kesayangan.

Satu lagi tafsiran yang boleh diberikan kepada nama Sun-Dang @ Sung-Dang ialah pengertian Sung dalam bahasa Sulug membawa maksud "Maju atau mara ke hadapan". Sebagai contoh Tausug menggunakan kata hormat "menyapa" tetamu dengan "Sung kamu" bermaksud "Silakan kalian kehadapan" manakala bahasa Orang Laut (Bajau) juga mempunyai bunyi dan maksud yang sama "Pa sung kaam". Sesuai dengan Keris Sundang yang digunakan oleh Tausug dalam peperangan di bahagian hadapan. Maka dari segi pengertian bahasa sebutan Sundang dapatlah kita buat kesimpulan bahawa Keris Sundang mempunyai makna dalam bahasa Sulug iaitu "Senjata yang disayangi digunakan untuk mara kehadapan mencincang musuh".



Bagaimana dengan Barung? Barung sebenarnya adalah senjata tambahan Sulug alternatif kepada Keris Sundang. Sekiranya kita teliti Barung seperti terhasil evolusi dari Kampilan Dayak Borneo yang telah mengalami ubahsuai berabad-abad lamanya di tangan Tausug. Menurut beberapa sumber lain yang membawa senjata Barung ialah pedagang-pedagang China ke Sulu. Apakah maksud Barung? Barung terdiri dari dua suku kata Ba-Dung kemudian disebut oleh Tausug sebagai Barung (kebiasaan lidah Sulug "D" menjadi "R" sebagaimana Dang menjadi Rang). Dung membawa maksud haluan atau arah tujuan. Beberapa variasi sebutan Dung dalam bahasa Sulug yang sinonim ialah,
  • Dung = Haluan
  • Dung-un = Tempat haluan kapal berhenti @ berlabuh
  • Dung-guan = Tempat kapal berlabuh (Dungun ditambah imbuhan "an")
  • Dung-an = Dua pihak atau lebih berjalan bersama ke tempat tujuan yang sama
  • Dung-ul = Mencucuh kayu ke api menjadi bahan bakar, kayu tersebut dijadikan "Dungul" yakni menjadikan sesuatu sebagai alat bakar "menuju" ke api.
Pengertian Dung secara bahasa ialah "bahagian hadapan yang menjadi tujuan". Apa pula maksud Ba (Ba-Dung)? Ba seperti diambil dari kata Vala @ Bala yang berasal dari bahasa Sanskrit. Bala @ Vala bermaksud "Satu pasukan pemusnah" yang boleh membawa malapetaka. Dalam bahasa Melayu Moden, Bala memaksudkan sebagai "Malapetaka" yang juga digunakan kepada pasukan tentera yang disebut "Bala Tentera". Sulug juga menyebut "Bala" sebagai malapetaka sama dengan bahasa Melayu. Lidah Sulug dalam beberapa sebutan senantiasa menghilangkan konsonan "L" sekiranya terdapat huruf "L" ditengah-tengah perkataan. Sebagai contoh "Pulo" (Pulau) hanya disebut "Puo", Balai (Rumah) hanya disebut "Bai", Palai (Padi) hanya disebut "Pai", Sarai (Serai) hanya disebut "Sai", Wala' (Tidak) hanya disebut "Wa'" dan banyak lagi. Bala-Dung menjadi Badung yang kemudian disebut menjadi Barung. Kesimpulannya Barung bermaksud "Senjata yang dihadapkan kepada musuh menjadi bala kepada mereka".

ASREESULU

Post a Comment