SUHAKAM cadang inkuiri kebangsaan isu tanah Orang Asli
2010/09/23
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bercadang untuk mengadakan satu Inkuiri Kebangsaan buat pertama kali mengenai isu hak milik tanah kaum asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam, berkata sudah sampai masanya isu ini diberi perhatian kerana ia satu isu yang menarik banyak perhatian beberapa pihak pada masa ini.
"Kita fikir dalam kita memajukan Malaysia kepada tahap negara maju pada 2020...kita tak sepatutnya tinggalkan atau meminggirkan orang ini," katanya selepas mengetuai rombongan SUHAKAM melawat ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia itu di sini, hari ini.
Terdahulu rombongan SUHAKAM diberi taklimat oleh Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Yong Soo Heong. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Zulkefli Salleh, serta pegawai kanan Jabatan Pengarang.
Antara fungsi SUHAKAM adalah memupuk kesedaran dan menyediakan maklumat berhubung hak asasi manusia dan menasihati serta membantu kerajaan dalam merumuskan perundangan dan arahan serta tatacara pentadbiran berkaitan hak asasi manusia dan mengsyorkan langkah yang perlu diambil.
Usaha menubuhkan SUHAKAM bermula dengan penyertaan aktif Malaysia dalam Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (UNCHR) pada tahun 1993-1995 apabila Malaysia dilantik sebagai ahli suruhanjaya tersebut oleh Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hasmy berkata, SUHAKAM mengumpul data dan bahan dan telah membentuk jawatankuasa bagi menjalankan inkuiri kebangsaan itu. Katanya, inkuiri itu mungkin diadakan lewat tahun ini atau tahun depan, bergantung kepada pengumpulan bahan dan data yang diperlukan.
Katanya, suruhanjaya itu juga akan menjemput pakar berkaitan isu pemilikan tanah, antara lain mereka yang berlatarbelakang perundangan dan ahli akademik, bagi membantu.
"Akan turut dibincangkan dalam inkuiri tersebut ialah isu berkaitan seperti eksploitasi pekerjaan serta pelajaran kaum asal dan Orang Asli," katanya.
Beliau berkata, selepas ini SUHAKAM mungkin akan mengadakan inkuiri kebangsaan mengenai hak wanita dan warga tua. - BERNAMA
Ulasan:
Syabas kepada SUHAKAM yang telah mula "bangun dari tidur" semenjak tahun 1993-1995 iaitu tahun bermulanya Malaysia menjadi ahli UNHCR. Kesedaran SUHAKAM mula melonjak setelah beberapa gerakan "Kesultanan Sulu" serta gerakan "Songsang Sabahan yang mahu Merdekakan Sabah" mula kelihatan timbul di permukaan. Kesedaran SUHAKAM sama dengan kesedaran Kerajaan Pusat "menghadiahkan" Hari Merdeka 16 September kepada Sabah Sarawak setelah lebih 50 tahun Malaysia Merdeka baru-baru ini. Nampaknya Sabah Sarawak semakin disayangi dan mendapat keutamaan. Tahniah buat Sabah dan Sarawak. Tahniah juga kepada Bangsa Suluk terutama yang berada di seluruh Sabah kerana "disebabkan anda lah Sabah dan Sarawak sudah begitu dihargai". Inilah masanya Sabahan dan Sarawakian meminta kek lebih dari Kerajaan Pusat.
Kebangkitan SUHAKAM dari tidur dengan misi dan visi mahu menyelamatkan tanah-tanih Orang Asli (Termasuk Sabah dan Sarawak) begitu drastik sehingga menimbulkan tanda tanya. SUHAKAM yang pada mulanya tidak kelihatan seolah-olah sudah mati tanpa kubur kini muncul semula sebagai pembela Orang Asli pula. Satu kebangkitan tanpa persediaan dengan baru memulakan pengumpulan data-data ini kemungkinan sudah terlewat. Bagi sesetengah pihak, kalau pun sudah terlewat sekurang-kurangnya dihujung-hujung waktu ini sebelum Pilihan Raya Umum 2012 nanti masih dianggap satu peluang keemasan untuk memenangi hati rakyat Sabah dan Sarawak. Itu dalam konteks UNDI dalaman Negara, bagaimana pula kalau melibatkan Kedaulatan?
Dalam hal ini fokus kebimbangan ada dua perkara iaitu:
- Pertama: kebimbangan terhadap Parti Politik Sabahan yang dipelopori oleh kaum Cina dan Murut-Kadazan-Dusun (Mereka ini sejak dulu senantiasa mainkan 20 Perkara kemasukan Sabah ke Persekutuan Malaysia, cita-cita sudah tentu mahu keluarkan Sabah dari Malaysia),
- Kedua: kes Kesultanan Sulu yang kononnya akan menuntut Sabah (Kerana dikhabarkan pada 17 November 2010 nanti akan ada deklarasi Kemerdekaan Kesultanan Sulu di Kepulauan Sulu sudah tentu setelah itu akan ada tuntutan terhadap Sabah).
Apa yang lebih dibimbangkan ialah kes yang kedua iaitu Kemerdekaan Kesultanan Sulu pada 17 November 2010 nanti. Sekiranya ia benar menjadi kebimbangan, penulis ingin bertanya, siapa sebenarnya yang bimbang?
- Kaum Asli Sabah Sarawak dan kaum Cina,
- Atau Kaum Melayu Islam yang bimbang?
"Umat Melayu yang sejak sekian lama bersekongkol mengkhianati umat Islam Sulu"
Alhamdulillah Malaysia sangat prihatin dengan persaudaraan seagama. Malaysia adalah negara yang menyayangi umat Islam lain seperti kasih sayang yang telah dicurahkan kepada umat Palestin, Kosovo, Rohingya, dan sebagainya.
- Malaysia juga tidak pernah melabelkan umat Islam Sulu sebagai "pendatang haram" atau PATI.
- Malaysia tidak pernah menyumbat umat Islam Sulu dalam kurungan (Rumah Merah) kemudian merotan dan menghalau semula ke Sulu.
- Malaysia selalu membantu menyediakan rumah setinggan dan pendidikan anak-anak Sulu yang merempat dan melarat.
- Malaysia juga tidak pernah meroboh-ranapkan perumahan setinggan masyarakat Sulu di seluruh Sabah.
- Malaysia tidak pernah melabelkan umat Islam Sulu sebagai "Pelarian" yang datang ke Sabah.
InsyaAllah, Tausug dan Kesultanan Sulu tidak ada sebab untuk membalas dendam kerana mereka selesa di Sabah, mudah cari makan dan sebagainya. Kewujudan SUHAKAM menambahkan lagi keyakinan bahawa "tidak ada sebarang pelanggaran hak asasi manusia kepada masyarakat Sulu di Sabah" kerana SUHAKAM adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
ASREESULU
"Wahai para pemimpin Malaysia, cepatlah bertindak perbetulkan sekiranya di sana ada kesilapan dan salah laku. Sungguh, masih belum terlambat!!"
|