Fail petisyen Candi Borobudur milik Islam?

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Friday, September 3, 2010 0 ulasan

Ahli akademik fail petisyen Candi Borobudur milik Islam

2010/09/04

JAKARTA: Sebuah kumpulan diketuai seorang ahli akademik dari sebuah universiti Islam di Indonesia mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan Candi Borobudur di Jawa Tengah milik masyarakat Islam.

Portal berita Kompasiana.com melaporkan penyelidik dari Institut Kajian Sejarah Purba dan Islam diketuai Fahmi Basya, pensyarah Matematik Islam Universiti Islam Syarif Hidayatullah di Jakarta, mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh bahawa kuil Buddha terbabit dibina tentera jin Solomon (Nabi Sulaiman).

Solomon menurut Injil adalah raja Israel yang juga Nabi Sulaiman mengikut al-Quran.
Berdasarkan artikel terbabit, penyelidik mengaitkan Borobudur dengan Kraton Ratu Boko berhampiran kuil Hindu Prambanan di Jawa Tengah dengan mendakwa Boko adalah nama lain bagi Ratu Balqis, isteri Sulaiman.

Alasan lain digunakan penyelidik untuk mengaitkan Borobudur dengan Islam ialah kaitan namanya.

Asal nama Slemen, sebuah bandar di Yogyakarta adalah daripada perkataan Sulaiman manakala Jawa berasal dari perkataan Jew (Yahudi).

Fahmi juga mendakwa Sulaiman adalah satu-satunya nama Nabi yang mengandungi suku kata Su yang kemudian digunakan kebanyakan pemimpin negara itu yang mempunyai nama seperti Sukarno, Suharto dan Susilo.

Ahli sejarah, JJ Rijal memberitahu Jakarta Globe bahawa dakwaan Fahmi itu mungkin boleh dikategorikan sebagai sejarah ideologi.

Sejarah ideologi ada dalam banyak bentuk. Misalnya di Indonesia, penyelidik yang mengikuti ideologi itu percaya bahawa Islam adalah darah, yang memacu semua perkara besar di negara ini, kata Rijal. Agensi

--------------------

Ulasan:
Dakwaan seorang ahli akademik Islam di Jakarta, Indonesia bahawa Candi Borobudur adalah milik Islam sangat menarik perhatian penulis terutama apabila merujuk nama Jawa sebagai Jew (Yahudi). Hairan bin ajaib, sejak beberapa tahun kebelakangan ini para ilmuan Melayu mula menyelidik tentang asal-usul bangsa mereka dari mana bermula. "Suhu" pengkajian sejarah bangsa begitu naik mendadak kemungkinan adalah disebabkan keadaan persekitaran politik dan ekonomi ummat yang menggunakan sistem kuffar semakin menuju keruntuhan. Golongan yang "sedar" dari kalangan masyarakat yang bosan dengan sistem yang langsung tidak memihak kepada keadilan ini mula menggali-mengorek timbunan bangunan-bangunan tinggalan sejarah dan buku-buku catatan sejarah silam di mana-mana. Apa yang lebih menarik lagi ialah tumpuan terarah kepada "Islam" itu sendiri. Sama dengan apa yang penulis dan saudara Neldy Jolo bentangkan dalam kajian "Sejarah Sulug" yang membahas prasejarah kearah pemahaman Islam (Salam).

Penulis berpendapat sebarang dakwaan berkenaan asal-usul sejarah bangsa oleh para pengkaji perlu didasarkan dari pelbagai aspek yang bukan sahaja berdasarkan "Bahasa" malah artifak-prasasti, budaya bangsa-bangsa, tradisi lisan malah genetik (DNA & Radio Karbon). Ia perlu dilakukan sebegitu untuk menguatkan hujah dan pembuktian agar tidak mudah "diruntuhkan" oleh sebarang sangkalan yang tidak munasabah.

Dalam hal ini, penulis suka menyatakan bahawa para pengkaji dari Bangsa Melayu, Jawa, Bugis, China dan sebagainya perlu tampil mencatat dan membukukan segala penemuan mereka yang pastinya generasi akan datang dapat jadikan sebagai rujukan penting agar dengan demikian mereka dapat menemukan dari mana asal-usul bangsa mereka bermula. Adalah amat malang dan menyedihkan generasi terpelajar hari ini hanya terikat dan terkongkong dengan "kajian sejarah dan fosil" yang dimanipulasi oleh Barat dan musuh-musuh Islam tanpa melakukan anjakan paradigma. Kerana telah pun menjadi kenyataan bahawa kajian-kajian Barat dan kemajuannya sendiri pun diambil berasaskan kajian-kajian umat Islam terdahulu. Ilmu Allah swt itu luas tidak terbatas dengan hanya meletakkan tarikh permulaan sejarah bangsa Nusantara (Asia Tenggara) pada abad ke-7 hingga abad ke-14 sahaja.

Asreesulu

Post a Comment