Kemerdekaan Sulu: Satu Penilaian

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, August 11, 2009 0 ulasan

Ketika United Tausug Citizens (UTC) war-warkan deklarasi Sulu Merdeka pada 2010 dalam internet, ramai yang terbeliak biji mata. Samada terbeliak kerana terkejut akan bahaya deklarasi tersebut pada diri mereka atau terbeliak kerana gembira tidak terkata. Deklarasi inilah yang ditunggu-tunggu selama ini. Tetapi ada juga yang tidak ambil peduli lantaran sibuk dengan perniagaan dan kesenangan hidup.

Maka terdapat tiga keadaan PASTI yang boleh diletak berdasarkan reaksi terhadap penerimaan Deklarasi Sulu Merdeka iaitu:



  • Golongan Pertama: Takut terhadap pengisytiharan atau deklarasi Kemerdekaan Sulu.
  • Golongan Kedua: Gembira dengan deklarasi Kemerdekaan Sulu.
  • Golongan Ketiga: Tidak ambil peduli.
Sebelum dijelaskan satu-persatu tiga golongan yang disebutkan di atas, perlulah dimaklumkan bahawa artikel ini dibuat bukan untuk memecah-belahkan perpaduan Umat Nusantara (tanpa mengira agama, apatah lagi perpaduan umat Islam) atau melaga-lagakan pihak-pihak tertentu. Ia sekadar memberi penilaian seterusnya menjadi satu analisis yang perlu dimanfaatkan. Kerajaan Malaysia, Filipina dan Indonesia termasuk Amerika Syarikat hingga hari ini masih tertanya-tanya apakah sebenarnya TUJUAN UTAMA UTC dalam Deklarasi Kemerdekaan Sulu 2010 nanti? Sudah tentu ia melibatkan kepentingan semua pihak. Maka sebarang tindakan menghalang atau mempersetujui tindakan UTC tanpa mengkaji dengan memperhalusi sedalam-dalamnya, dibimbangi akan mendatangkan implikasi buruk.

Samada ia buruk atau baik ia bergantung kepada penilaian semua pihak yang merasakan diri mereka punya kepentingan terhadap sebarang TINDAK-TANDUK Sulu. Sebab itu segala yang berlaku di Sulu dari dulu (zaman perang Marcos Vs MNLF) hingga kini senantiasa menjadi perhatian adalah kerana kepentingan. Sepertimana kenyataan bekas Komander MNLF, Tuan Hj Zakaria "Kerry" Abdullah “there are no permanent friends or permanent enemies, only permanent interests”.

Penilaian Terhadap Golongan Pertama
Golongan pertama ini ialah mereka yang takut seterusnya tidak mahu dengan Deklarasi Sulu Merdeka samada 2010 atau sampai bila-bila pun atas sebab tertentu. Siapakah golongan pertama ini? Mereka ialah sebahagian kecil anggota atau bekas anggota Moro National Lebaretion Front (MNLF) iaitu para pemimpin atasan atau tertinggi mereka, sebahagian kecil anggota Moro Islamic Lebaretion Front (MILF), Kerajaan Filipina (pasti tidak setuju malah menentang secara ketenteraan), Kerajaan Malaysia (hanya sekiranya melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak), Kerajaan Indonesia (hanya sekiranya melibatkan 3 wilayah kuasa Maritim Sulu iaitu Kalimantan, Sulawesi dan Kepulauan Riau-Sumatera kerana dikira dalam SULU ZONE abad ke-17 & 18). Maka dapatlah disusun seperti berikut:

  1. Moro National Lebaretion Front (MNLF) iaitu para pemimpin atasan atau tertinggi mereka.
  2. Sebahagian kecil anggota Moro Islamic Lebaretion Front (MILF).
  3. Kerajaan Filipina & para Gabernur Sulu (pasti tidak setuju malah menentang secara ketenteraan).
  4. Kerajaan Malaysia & Sabahan (hanya sekiranya melibatkan kepentingan Sabah dan Sarawak).
  5. Kerajaan Indonesia (hanya sekiranya melibatkan 3 wilayah kuasa Maritim Sulu iaitu Kalimantan, Sulawesi dan Kepulauan Riau-Sumatera kerana dikira dalam SULU ZONE abad ke-17 & 18).
Mengapa mereka termasuk dalam kelas golongan pertama? Penulis akan jelaskan kemudian.

Penilaian Terhadap Golongan Kedua
Golongan ini adalah yang paling gembira dengan Deklarasi Kemerdekaan Sulu berdasarkan sebab-sebab tertentu. Siapakah yang termasuk dalam golongan ini? Mereka ialah anggota atau bekas anggota MNLF yang tiada pangkat dan jawatan (silent majority), Rakyat Sulu yang miskin dan sederhana (silent majority), Rakyat Mindanao yang miskin atau sederhana (silent majority), Kerajaan Malaysia (sekiranya UTC tidak menuntut Sabah dan Sarawak, kerana Sarawak termasuk dalam SULU ZONE), Kerajaan Indonesia (sekiranya tidak melibatkan tuntutan terhadap wilayahnya dalam SULU ZONE), Kerajaan Brunei Darussalam (kerana kepentingannya terhadap Limbang), Kerajaan Singapura (kerana ingin besarkan wilayahnya oleh sebab itu kepulauan Riau-Sumatera akan menjadi target), Kerajaan Amerika Syarikat (kerana punya ikatan sejarah dengan Sulu antara 1900-an hingga 40-an serta kepentingannya terhadap Gold Bar Sulu termasuk kepentingannya terhadap telaga minyak di Laut Sulu kerana lebih besar dari rizab minyak Tanah Arab, dan juga longgokan emas tulin di sekitar perairan Jolo, ini disahkan oleh pelan setelit PETRONAS). Maka dapatlah disusun seperti berikut:

  1. Anggota atau bekas anggota MNLF yang tiada pangkat dan jawatan (silent majority).
  2. Rakyat Sulu yang miskin dan sederhana (silent majority).
  3. Rakyat Mindanao yang miskin atau sederhana (silent majority).
  4. Kerajaan Malaysia (sekiranya UTC tidak menuntut Sabah dan Sarawak, kerana Sarawak termasuk dalam SULU ZONE).
  5. Kerajaan Indonesia (sekiranya tidak melibatkan tuntutan terhadap wilayahnya dalam SULU ZONE).
  6. Kerajaan Brunei Darussalam (kerana kepentingannya terhadap Limbang).
  7. Kerajaan Singapura (kerana ingin besarkan wilayahnya oleh sebab itu kepulauan Riau-Sumatera akan menjadi target).
  8. Kerajaan Amerika Syarikat (kerana punya ikatan sejarah dengan Sulu antara 1900-an hingga 40-an serta kepentingannya terhadap Gold Bar Sulu termasuk kepentingannya terhadap telaga minyak di Laut Sulu kerana lebih besar dari rizab minyak Tanah Arab, dan juga longgokan emas tulin di sekitar perairan Jolo, ini disahkan oleh pelan setelit PETRONAS). Sulu adalah penyelamat untuk memulihkan kegawatan ekonomi dunia kepada AS sebab itu mereka katakan "Untuk menyelamatkan AS mesti kembali kepada ASIA".
Penjelasan terhadap golongan ini akan dijelaskan kemudian.

Penilaian Terhadap Golongan Ketiga
Golongan ini adalah yang tidak ambil tahu langsung dengan perkembangan di Sulu atau perkembangan kedatangan bahaya konspirasi antarabangsa terhadap ummah. Mereka ini adalah golongan dungu yang hanya mementingkan tali perut semata-mata. Hedonisma, nepotisma dan kapitalisma (tidak membayar zakat) serta bergelumang dengan politik dusta-rasuah dengan konsep TIADA BALA atau TIADA NERAKA adalah identiti mereka. Mereka adalah golongan kaya yang sibuk mengumpul harta serta golongan miskin yang melarat lantaran hanya duduk berdoa memohon bantuan Allah swt tanpa bekerja.

Mereka ini tiada jiwa perjuangan dan dayus. Merekalah yang terpilih dalam golongan manusia yang TIDAK MEMBELI TIKET untuk menaiki bahtera NABI NUH A.S. kerana sibuk dengan dunia. Malangnya inilah golongan MAJORITI di Malaysia dan Indonesia serta sebilangan manusia Muslim di Sulu dan Mindanao yang merelakan diri mereka diperalat dan menjadi tali barut kufar.

Konklusi UTC Terhadap Deklarasi Kemerdekaan
Kerajaan-kerajaan Nusantara tidak pernah menemubual atau berdialog secara langsung dengan UTC (Tausug United Citizens) di Sulu untuk mendapatkan kepastian atau sekurang-kurangnya dapat menjalinkan perhubungan muhibbah. Mereka tidak menghantar wakil setelah berita kemunculan UTC dengan kekuatan tersendiri dapat menggegarkan Jolo. Mendiamkan diri bermakna menunggu pihak lain mengambil kesempatan. Mengapa ini berlaku? Adakah kerana Sulu masih dalam proctorate & administrator Filipina lantaran negara lain tidak berani mengganggu "urusan dalaman" Manila? Sekurang-kurangnya Malaysia dan Indonesia dibantu Brunei dapat menyuarakannya dalam ASEAN atau OIC secara keras (mesyuarat tergempar) untuk mendengar apa yang dibawa oleh UTC. Malangnya mesyuarat tergempar akan hanya berlaku sekiranya UTC yang tidak bersenjata dibunuh beramai-ramai.

Mungkin yang diperlukan terlebih dahulu ialah jawapan kepada persoalan "Apakah pendirian UTC terhadap wilayahnya yang berada dalam tangan MAPHILINDO sekiranya mendapat kemerdekaan?" Malaysia dan Indonesia juga Filipina memerlukan jaminan kondusif dari pihak Tausug & Kesultanan Sulu, inilah turning-point nya. Dalam hal ini UTC sangat jelas tanpa dipengaruhi oleh sesiapa demi keamanan kepada semua, bahawa:

  1. Sultan Sulu (Sultan Bantilan Muizuddin II) dan rakyatnya (UTC) tidak pernah mengklaim Sabah dan wilayah lain yang dianggap wilayah Sulu dalam SULU ZONE sebelum ini sebagai tuntutan UTAMA perjuangannya. Buktinya Sultan Bantilan digelar Sultan Of Sulu sahaja bukannya Sultan Of Sulu & North Borneo seperti mana gelaran Sultan-sultan cendawan sebelum ini. Kerana UTC berpandangan, sebarang tuntutan terhadap Sabah atau wilayah lain yang dianggap wilayah Sulu sebelum ini oleh Tausug & Kesultanan Sulu adalah sebenarnya boleh menyebabkan perpecahan ummah yang akhirnya gerakan UTC tidak mendapat bantuan dari umat Islam Nusantara.
  2. UTC bergerak secara aman tanpa senjata dengan slogan "Tiada Keganasan", Tiada Peperangan" dengan meletakkan perjuangan UTAMA menuntut wilayah asal Tausug & Kesultana Sulu iaitu (Jolo, Basilan-Zamboanga, Tawi-Tawi, Palawan dan North Borneo).
  3. Walau pun UTC ada menyebut North Borneo (Sabah) tetapi bukanlah untuk di klaim kerana Malaysia masih memegang amanah seperti yang termaktub dalam perjanjian pajakan North Boreno 1878 iaitu membayar RM 5,300 setahun.

Berikut adalah keputusan UTC berkenaan dengan isu Sabah,
  1. UTC telah memutuskan dengan muktamad bahawa sebarang urusan yang melibatkan Sabah mestilah diselesaikan secara muhibbah dan persaudaraan seagama di meja rundingan selama mana Malaysia masih menjaga kepentingan-kepentingan rakyat Sulu di Sabah (rakyat Sulu yang tidak mengaku sebagai warga Filipina).
  2. UTC hanya meminta Malaysia mengembalikan hak rakyat Sulu iaitu boleh keluar masuk berniaga ke Sabah tanpa terikat dengan Jus Soli kerana itulah peraturan antara Sultan Sulu dan Kompani British setelah pajakan 1878 yang telah dilupuskan setelah kemasukan Sabah ke persekutuan Malaysia 16 September 1963.
  3. UTC meminta secara rundingan muhibbah dengan kerajaan Malaysia untuk menilai pembayaran pajakan SABAH yang dianggap PAMPASAN bernilai RM 5,300 setahun kepada satu nilai semasa yang difikirkan munasabah dan MASUK AKAL.
  4. Segala rundingan secara muhibbah yang berkaitan dengan HAQ antara Malaysia dan UTC mestilah menggunakan hukum TUHAN (Al-Quran & Sunnah) yang dihadiri oleh Mufti masing-masing yang diletak lebih utama di atas International Law. Ini kerana setelah Sulu Merdeka, undang-undang Islam (berlandaskan Mazhab Imam Syafi'e) akan dilaksana dan dikuatkuasakan.
  5. UTC akan menjalinkan hubungan Simbiotik dengan negara ASEAN tanpa sengketa dan peperangan.
Asas kepada kejayaan gerakan UTC ialah menyatukan semua umat Sulu samada mereka yang mengaku Moro (MNLF), Sulug, Bajau-Sama, Yakan, Kagayan, Kalibugan dengan gelaran TAUSUG. UTC memberi definasi bahawa istilah Tausug bermaksud, "Himpunan pelbagai suku kaum atau bangsa yang tinggal dibawah pemerintahan Kesultanan Sulu yang mana mereka menjadikan bahasa Sug sebagai bahasa Lingua-Franca maka mereka layak mendapat nama TAUSUG". Satu definasi berlandaskan sejarah asal-usul Bangsa Sulu semenjak sebelum kedatangan Islam.


Artikel di atas berdasarkan kandungan manuskrip "SEJARAH TAUSUG" yang bakal diterbitkan karya bersama Asreesulu & Neldy Jolo (sebelum ini Asreemoro).

Sejarah ASEAN & MAPHILINDO

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on 0 ulasan

Sejarah ASEAN
ASEAN mula dibentuk dengan penubuhan sebuah organisasi dikenali sebagai Persatuan Asia Tenggara (Association of Southeast Asia atau ASA) yang dianggotai oleh Filipina, Malaysia dan Thailand pada tahun 1961. ASA merupakan asas kepada pembentukan ASEAN sekarang.

Akibat daripada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pertikaian berlaku khususnya antara Indonesia dan Filipina yang menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru. Ini kerana mereka mendakwa Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada masing-masing Filipina dan Indonesia.

Oleh kerana pertikaian tersebut, munculnya slogan Ganyang Malaysia yang membawa kepada konfrantasi pada 1965-1966 oleh Indonesia. Selepas tamatnya konfrantasi tersebut, semua negara-negara Asia Tenggara bersepakat untuk mewujudkan persefahaman untuk memberi ruang kepada semua negara-negara terbabit bersatu dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama.

Maka, pada 8 Ogos 1967, lima pemimpin - Menteri Luar Indonesia, Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand ( Adam Malik, Narciso R. Ramos, Tun Abdul Razak, S. Rajaratnam, dan Thanat Khoman) - duduk bersama di dewan utama Jabatan Hal Ehwal Luar di Bangkok, Thailand dan menandatangani satu dokumen yang kini dikenali sebagai Deklarasi ASEAN.

Antara anggota ASEAN:
  1. Brunei Darussalam
  2. Filipina
  3. Indonesia
  4. Kemboja
  5. Laos
  6. Malaysia
  7. Myanmar
  8. Singapura
  9. Thailand
  10. Vietnam

Pembentukan MAPHILINDO
MAPHLINDO (singkatan kepada perkataan Malaysia, Filipina dan Indonesia) merupakan suatu ikatan/cantuman/gugusan bersama tiga buah negara yang terlibat. Tujuan utama penubuhan ikatan ini adalah untuk meningkatkan perhubungan persahabatan dan menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia-Filipina dan Malaysia-Indonesia.

Pada mulanya, pertelingkahan diantara Malaysia dan kedua-dua negara tersebut adalah kerana cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia yang berdaulat. Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia adalah kerana Presiden Soekarno menganggap pembentukan Malaysia adalah sebagai suatu bentuk neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru. Manakala, tentangan Filipina pula adalah kerana negara tersebut menuntut negeri Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.

Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah inisiatif dengan mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia. Rundingan akhirnya membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. Ketiga-tiga negara tersebut telah mencapai kata sepakat dengan memohon bantuan PBB untuk mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia yang berdaulat dengan memasukkan sekali negeri Sabah dan Sarawak dalam persekutuan itu.

PBB melalui perwakilannya ke Malaysia telah menubuhkan United Nations Malaysia Mission (UNMM) (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Misi Malaysia). UNMM secara rasminya telah dibentuk oleh Setiausaha Agungnya pada masa itu U Thant dengan menghantar wakil diplomatnya pada tahun 1963 yang bernama Lawrence V. Michael More untuk meninjau secara terperinci tentang cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia.

Hasilnya, majoriti dari penduduk dan rakyat kedua-dua negeri berkenaan telah bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia. Sungguhpun begitu, Indonesia dan Filipina tidak mengiktiraf hasil undian dan pandangan tersebut, kedua-dua negara tersebut terus memberi kecaman dan menentang pembentukan Persekutuan Malaysia yang berdaulat. Persengketaan yang berterusan ini menyebabkan MAPHILINDO tidak berperanan lagi.

Akhirnya, Indonesia telah mengadakan konfrontasi dengan Malaysia melalui dua langkah iaitu melalui penyataan “Ganyang Malaysia” serta mengadakan tindakan separa-tentera. Namun kedua-dua perkara ini dapat dipatahkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui rundingan aman dan bantuan dari askar British. Filipina pula sampai sekarang masih menuntut hak kedaulatan Sabah untuk dijadikan sebagai sebahagian dari wilayahnya.

Sumber 1: http://zainuddinlosi.wordpress.com/2007/12/14/sejarah-asean/
Sumber 2: http://ms.wikipedia.org/wiki/MAPHILINDO

Ayah Sebagai Idola

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on 0 ulasan

Ketika umur penulis mencecah 6 ke 7 tahun, satu-satunya idola penulis yang menjadi pujaan ialah ayah penulis sendiri. Sebagaimana anak-anak lain lain pun dalam dunia ini, manusia pertama yang menjadi idola mereka pastinya ayah mereka sendiri. Penulis merasa diri sangat bertuah kerana memiliki ayah yang hebat malah beliau memang tersangat hebat berbanding ayah kawan-kawan penulis. Dakwaan ini berasas, kerana pernah menyaksikan kehebatan ayah sendiri beraksi dihadapan mata.

"Kahahaha... macam lah hebat sangat bapak kau. Bapak kami lebih hebat dari bapak kau lah. Bapak kau ada motorsikal? Bapak kami ada tau" Dakwa salah seorang sahabat penulis ketika di zaman kanak-kanak. Ini membuktikan semua kanak-kanak lelaki (mungkin juga anak perempuan) sememangnya bangga dengan ayah sendiri dan sudah selayaknya menjadikan ayah mereka sebagai idola.

Sebagai imbasan sepintas lalu, ayah penulis pernah dibelasah oleh 10 orang Tausug di Bandar Ramai-ramai Sandakan pada tahun 1984 kerana mempertahankan maruah keluarga. Sebabnya salah seorang dari makcik penulis (sepupu sekali kepada ayah penulis dari sebelah nenek) yang bekerja di sebuah restoran cina telah terganggu oleh pemuda Tausug yang selalu minum di restoran tersebut. Makcik melaporkan kepada ayah penulis kerana tidak tahan dengan gangguan lelaki Tausug menyebabkan ayah bergegas mencari lelaki tersebut. Maka berlakulah pertempuran sehingga hampir semua kerusi meja dalam restoran cina hancur berkecai. Ayah telah berjaya menumpaskan 10 lelaki hingga bergelimpangan dengan tangan kosong. Hebat!! Itulah saat yang menggerunkan selama hayat penulis.


Ayah mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri ala kung-fu yang dinamakan Kuen Taw. Berguru dengan salah seorang maha guru Kuen Taw di Pulau Basilan, Sulu ketika zaman mudanya (masa dibangku sekolah) sehingga tamat perguruan menyebabkan ayah mendapat gelaran "Kuntawan" atau yang mahir dengan ilmu Kuen Taw. Penamat kepada perguruan beliau ialah ditikam dengan pisau dalam sarung, hanya dikira tamat sekiranya berjaya mengelak semua tikaman. Beliau juga mahir menggunakan semua jenis senjata termasuk "Barung".

Salah satu kehebatan ayah penulis ialah tidak pernah meninggalkan sembahyang 5 waktu semenjak mudanya. Penulis masih ingat ketika sekolah menengah, ayah akan siram air kiranya tidak bangun sembahyang subuh. Hari ini beliau hanya duduk berzikir di rumah (kebetulan beliau pengamal Tareqat Al-Ghazaliyyah) dan sekali-sekala ke pasar Sandakan membeli ikan dan sayur sebagai rutin harian beliau.

Asree


IGOR: Filem Animasi 3D, Sama Dengan Tausug

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Sunday, August 9, 2009 0 ulasan

Pernah lihat filem animasi IGOR? Plot ceritanya amat menarik, bijak dan dapat membangkitkan semangat juang kepada sesiapa sahaja yang merasa diri mereka ditindas.

Ia menceritakan satu dunia bernama Dunia MALARIA yang pada asalnya cerah telah menjadi gelap angkara penguasa jahat dari golongan saintis zalim. Para saintis ini senantiasa berlumba-lumba mencipta robot ganas untuk bertarung sesama mereka setiap kali pemilihan raja. Raja akan dilantik dari kalangan saintis yang hasil ciptaannya berjaya memusnahkan haisl ciptaan saintis lain.

Yang amat menyedihkan, satu golongan manusia cacat (bongkok) dianggap rendah, bodoh dan dianggap tiada guna dalam masyarakat elit yang terdiri dari saintis telah dijadikan hamba abdi. Golongan cacat ini menjadi mangsa sepak terajang serta cacian yang tidak berperi kemanusiaan. Tuhan maha berkuasa, akhirnya muncul seorang remaja bernama IGOR. Walau pun bongkok beliau bijak dan cerdik dari kalangan hamba abdi ini. Yang menarik beliau juga secara diam-diam mempunyai bakat sebagai saintis dengan pelbagai ciptaan yang menakjubkan tanpa diketahui oleh para saintis tersebut.

Pada akhirnya, beliau telah berjaya membocorkan rahsia para saintis tersebut yang sebenarnya penuh dengan penipuan dan plagiat dalam penciptaan mereka. Dengan kebijaksanaannya segala KONSPIRASI para saintis yang menggelapkan dunia dengan kejahatan terbongkar. Antara dialog yang menarik,

"The end of Malaria's evil role inthe world"

"For generations, King Malbert has kept us in the dark by creating the clouds with a weather ray! He lied to us! He tricked us into thinking we needed to be evil to survive! BUT WE DONT!!"






Persamaan Dengan Penindasan Terhadap Tausug
Cerita IGOR persis dengan apa yang berlaku pada Bangsa Tausug di Sulu hari ini. Filipina, untuk mengekalkan kuasanya terhadap Tausug & Kesultanannya, mereka berkonspirasi menggelapkan Dunia Gugusan Kepulauan Sulu dengan tuduhan kepada bangsa Tausug sebagai "Perompak Laut", "Pengganas", "Penyeludup", "Pembunuh" agar dunia luar tidak bersimpati dengan mereka. Dengan mencipta ROBOT-ROBOT seperti MNLF, ABU SAYYAF dan MILF yang remote-control berada dalam tangan Filipina telah menguatkan lagi tanggapan bahawa TAUSUG adalah ganas dan pengganas.

Walhal Tausug & Kesultanannya sejak dulu tidak pernah menyerang New York, England, Perancis atau Manila tetapi Tausuglah yang diserang sehingga kini. Mereka menggelar pengganas kepada manusia yang mereka serang dan perangi!!

Maka perlunya keluar seorang si "bongkok" (yang dianggap rendah dan lemah, tiada pendidikan tinggi) untuk bangkit membela bangsanya agar keluar dari kospirasi sebagaimana IGOR!! Kerana biasanya yang terlalu pandai seperti Saintis mahu pun professor sibuk dengan status mereka sebab itu rela diperalat demi kelangsungan status. Buktinya walau pun mereka tahu dan maklum mereka diperalat mereka tidak berbuat apa-apa malah berkata, "Apa yang kami boleh buat? Kami tahu ini konspirasi, tapi apa yang kami boleh buat?".

Asree


Lagu Keamanan dari Soundtrack IGOR

Surat Terbuka Buat Prof. Nur Misuari

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Friday, August 7, 2009 0 ulasan


Bismillah,

Kami dahulukan dengan Assalamualaikum warahmatullah. Kepada “Bapa” perjuangan kami Prof. Nur Misuari. Semoga senantiasa dalam rahmat dan ‘inayah-Nya. Itulah doa kami dari cucumu dan dari generasi kami yang akan datang.

Wahai “bapa” yang kami kasihi. Kami sangat berterima kasih dan sangat bersyukur. Lantaran dari perjuangan mu dahulu hingga hari ini kami masih dalam perjuangan? Perjuangan yang hebat seperti yang diceritakan ayah kandung kami. MNLF tiada tandingan melawan kufar dimedan perang. Kerana berkat kepimpinan Prof. Nur Misuari yang tiada tandingan?

Telah hampir 40 tahun berlalu. Generasi kami masih di sini menunggu. Menunggu berita-berita perjuangan. Tiada kedengaran lagi semboyan perang. Tiada kedengaran lagi berita mujahidin berjaya membunuh kufar di Sulu. Tiada kedengaran lagi berita tentera kufar lari tercirit di Mindanao. Tiada kedengaran lagi berita mujahidin naik ke atas sikatuna (kereta kebal) lalu meletupkannya. Tiada kedengaran lagi mujahidin menjerit-jerit meminta peluru untuk pertahankan barisan. Tiada lagi titisan air mata kesyukuran para balu kerana suami mereka telah berjaya syahid. Tiada lagi tangisan ibu ayah tanda syukur kerana kesemua anak lelakinya syahid di medan jihad. Semuanya sudah tiada!! Yang tinggal ialah Abu Sayyaf memenggal kepala orang tak berdosa. Ternyata Abu Sayyaf sengaja dicipta sebagai penghancur bangsa dan agama.

Yang tinggal lagi ialah. Tangisan para bekas pejuang yang sudah hilang perjuangan. Tangisan para pelarian yang sudah kehilangan arah tujuan. Tangisan pelarian perang dan ekonomi impak dari peperangan. Tangisan para balu dan anak yatim kerana dizalimi dimana-mana. Tangisan para anak-anak dhaif yang dinafikan hak pendidikan mereka. Malah dipenjara, dihalau dan dicalar maruah mereka. Rumah diroboh dicaci dan dinista yang akhirnya ditolak ke laut. Bangsa ini bukan lagi bangsa mujahidin melainkan bangsa sampah.Yang tiada guna malah dilabel sebagai perampas tanah.

Governor Jolo, Abdusakur M. Tan mula terikut dengan rentak United Tausug Citizens (UTC) yang menggunakan slogan Tausug. Slogan ini sedikit demi sedikit akan menular seterusnya menjadi trademark perjuangan semua bangsa Sulu. Hanya istilah Kesultanan sahaja lagi yang sukar mereka canang adalah disebabkan keterikatan mereka dengan kerajaan Filipina. Perhatikan satu bulatan di bawah sebelah kiri terdapat logo "Kusug Tausug".

Foto ihsan dari Atty. Meltino Jaujan Sibulan dari Jolo, Sulu. Gambar dikirim melalui email.

Wahai BAPA kami, Tuan dimana?
Sejak perjanjian Otonomi 1996 sudah tiada khabar berita.
Yang kami dengar Tuan sudah ditipu dunia.
Menjadi Nakura’ (Nakhoda) membolot harta.
Mengamalkan nepotisma menyebabkan pemimpin lain lari dari anda.
Kononnya Tuan mahu bina jalan raya “Highway” di Sulu sembilan LANE.
Highway mustahil dibina ingin perbodohkan bangsa?
Dimanakah anda wahai Tuan?
Kami senantiasa membuka tangan kemaafan.
Kiranya Tuan ternyata punya kesalahan.

Kami inginkan kepastian, dimana sebenarnya Tuan,
Masih berjuang untuk perjuangan kemerdekaan?
Atau tengah berjuang untuk keluar dari KONSPIRASI?
Kami telah pun mengetahuinya, ia konspirasi antarabangsa,
Untuk musnahkan kesatuan Sultan dan bangsanya,
Agar ia terpisah dari kesatuan Nusantara,
Dan agar tidak terbahagi-bahagi kekayaannya,
Agar ia terhina dan seterusnya menjadi bangsa hina,
Agar menjadi rendah diri, jadi bodoh dan terjajah sampai bila-bila,
Sampai kiamat berada dibawah tapak kaki Filipina.

Wahai Prof. Nur Misuari yang kami kasihi,
Kiranya tuan tiada daya lagi,
Binalah gerakan baru atau bersatu dengan gerakan lain,
UTC telah muncul demi umat Islam Sulu tercinta,
Mengajak tuan berkerjasama,
Atas nama Kesultanan dan Bangsa serta Agama,
Sebagai asas perjuangan bersandarkan sejarah,
Janganlah terlalu tamak ingin dapatkan semua wilayah (Sulu dan Mindanao),
Sedang wilayah lainnya (Mindanao) tidak menyukai anda.

Buatlah di Sulu dahulu, kalau berjaya tentu Mindanao minta Tuan buatkan mereka pula. Nescaya nama Tuan harum mewangi sampai bila-bila. Meniti dibibir generasi Muslimin Sulu dan Mindanao, InsyaAllah!!

Asree
Jumaat, 07hb Ogos 2009
4:30 pm

Sandakan Tempat Saya Dibesarkan!

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Thursday, August 6, 2009 2 ulasan


Host unlimited photos at slide.com for FREE!
Pemandangan Kg Bahagia, Sandakan hari ini.

Hijrah dari Jamperas
Setelah beberapa tahun tinggal di Jamperas, Sandakan yang didiami 100% oleh kaum Sulu, keluarga penulis berpindah dan menetap di Kg Gelam (sekarang sudah diroboh dan didirikan bangunan Perpustakaan Sandakan) yang lokasinya berada hanya satu kilometer dari Bandar Sandakan. Penulis difahamkan, ayah dapat membina rumah setinggan di Kg Gelam sebelum pindah dari Jamperas adalah pada tahun antara 1979-80.

Dengan lokasi rumah tepi laut memudahkan penulis mandi laut bersama kawan-kawan sebaya ketika itu. Sudah menjadi tradisi Tausug menjadi perenang kerana budayanya yang senantiasa mengharungi laut. Adalah satu perkara yang menjengkelkan menjadi seorang Tausug yang tidak pandai berenang. Menjadi perenang adalah satu kemestian.

Pada mulanya tinggal di Kg Gelam, penulis agak janggal bergaul dengan kawan-kawan baru berbangsa Bugis dan Sungei ketika itu kerana perbezaan bahasa. Penulis dibesarkan dengan bahasa Tausug tiba-tiba bergaul dengan bangsa yang bertutur dalam bahasa Melayu. Pada usia 6 tahun (1982) penulis mula menconteng pasir dibawah rumah ketika air laut surut. Pasir yang basah kemudian dilukiskan sesuatu atasnya dan setelah ditiup akan menghasilkan lukisan menarik. Dalam usia ini penulis telah menjadi pelukis "tepi pantai", satu kemahiran yang tiada pada kawan-kawan lain ketika itu. Kawan-kawan bertepuk tangan seronok terhibur dengan lukisan walau pun yang penulis lukis adalah orang lidi.

Mula Ke Sekolah
Pada tahun 1984 penulis mula menjejak ke sekolah rendah (tanpa tadika) iaitu SK Bandar Sandakan (sekolah ni menumpang di bangunan SRJK Ching Min). Ketika hari pertama di sekolah, penulis senantiasa di temani oleh ibu ketika itu. Bila ibu hilang dari pandangan, penulis akan menangis ketakutan sampai menggigil kepala lutut. Entah lah apa yang ditakutkan ketika itu, sebab mungkin suasananya yang sangat asing. Penulis menjadi tenang setelah seorang cikgu perempuan memberi sehelai kertas pendua A4 setiap murid dan disuruh lukis apa sahaja yang kami mahu. Kemudian cikgu keluar bagi kami masa melukis.

Penulis masih ingat, dengan bangganya penulis mula melukis imej Shaolin Kungfu sedang main pedang dengan salah seorang tertikam di dada. Bila cikgu sampai dan lihat lukisan yang penulis lukis beliau terkejut. Sangat diluar jangkaan, cikgu berkata, "Kamu yang lukis kah ibu kamu? Biar betul kamu ni Julasri? Pandai-pandai kamu suruh ibu kamu melukis, mana ibu mu?" cikgu lihat kiri kanan mencari ibu penulis. Rupa-rupanya ibu telah pun balik ke rumah ketika penulis leka melukis sejak tadi. Penulis hanya terkebil-kebil tidak mampu menjawap. Hingga hari ini cikgu tersebut tidak percaya bahawa lukisan tersebut penulis yang lukis. Mana mungkin seorang yang tidak pandai membaca dan menulis begitu pandai melukis figure. Penulis hanya pandai membaca ketika hujung tahun di darjah dua.

Photobucket
Masjid Darussalam Kg Bahagia masih berdiri gagah hari ini. Imam yang pertama dilantik ialah datuk penulis (Imam) Mohammad Salleh bin Elaji pada tahun 1984.

Pindah Ke Kg Bahagia
Beberapa bulan kemudian ayah penulis mendapat tawaran untuk tinggal di Kg Mawtas (sekarang Kg Bahagia) dibawah program UHCR (Amnesty). Kebetulan ayah penulis adalah ahli MNLF sebab itu mendapat tawaran rumah PERCUMA di Kg Bahagia. Maka sejak itu, usia persekolahan di waktu kanak-kanak dan remaja penulis banyak dihabiskan di Kg Bahagia. Nostalgia terlalu banyak di Kg Bahagia. Tiada tempat yang paling dirindui oleh penulis melainkan suasana Kg Bahagia. Dengar-dengarnya Kg Bahagia akan dirobohkan kerana telah tamat perjanjian tanah antara kerajaan Sabah dengan UNHCR (Amnesty) selama 40 tahun.

Sedih kalau ia dirobohkan.

Asree
Sandakan diambil dari bahasa Tausug bermaksud "sandarkan" atau pajakkan. Perjanjian pajakan Borneo Utara antara Sultan Sulu dan Alfred Dent 1878 berlaku dalam residensi Sandakan.

Mengapa Orang Sulu Lari Ke SABAH?? Mengapa UTC??

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on 12 ulasan

Mengapa? Mengapa mereka lari ke Sabah? Adakah disebabkan perang Moro yang sudah pun lama berlalu? Atau disebabkan kerajaan Filipina yang mahu Sulu senantiasa dalam konflik agar penguasaan mereka di sana berterusan sampai bila-bila? Jawapannya ada dalam video dibawah ini.



Satu persoalan besar yang perlu dijawap ialah, "Mengapa Filipina yang begitu kuat dan hebat siap dibantu Amerika Syarikat tidak mampu melucutkan senjata puak-puak Tausug di Sulu?" Video di atas telah pun memberi jawapannya iaitu disebabkan pertelagahan politik Gabernor atau Mayor lah yang menyebabkan perlucutan senjata tidak dapat dilakukan. Setiap kali pemilihan Mayor atau Gabernor pertempuran antara pesaing politik akan berlaku. Bukankah ini yang dimahukan oleh Filipina untuk musnahkan umat Islam di Sulu? Bukankah ini satu-satu caranya menghalau orang-orang Sulu lari ke Sabah untuk cari nafkah selamat dalam masa yang sama kerajaan Malaysia akan mendapat susah?

Bagaimana Malaysia mendapat susah? Iaitu setelah kaum Sabahan yang kristian menuduh pula kerajaan pusat (Malaysia) "menyimpan bangkai busuk" kaum pendatang dari Sulu dan "Kami Sabahan tidak mau sokong BN dan UMNO lagi lepas ni kerana kerajaan pusat lebih utamakan orang Filipina (Orang Sulu)". Maka Kerajaan tanpa membuang masa langsung menangkap kaum Sulu lalu disumbat ke rumah merah sambil berkata "Lihat!! Kami dah tangkap mereka dan akan hantar semula ke Filipina!! Puas hati kamu SABAHAN??!!"

Kesian umat Islam Sulu, kemana-mana akan jadi mangsa politik. Tidak cukup dengan itu, di Sabah mereka dijadikan kambing hitam sebagai "Pengundi Hantu" yang memakai IC Palsu, IC Projek dan sebagainya. Dalam hal ini parti pembangkang menjadi juara dan turut menjadi alat kepada kufar menghalau Tausug dari bumi Sabah.

Kaum Sulu kemana-mana sahaja dihanyutkan akan menerima nasib yang sama. Ibarat sampah busuk yang tidak diingini. Ahli Sejarah Sabahan bernama Dr James Ongkili menulis di dalam bukunya Modernisation in East Malaysia 1960-1970: '... Filipina telah membelasah kuda mati dan Malaysia pula terlalu teragak-agak untuk menguburkan bangkainya, sementara Sabah terpaksa menghidu bau busuknya".

Tanpa disedari, hal ini akan menjadi modal untuk membangkitkan semangat juang Tausug di Sulu dan Sabah malah mungkin sampai ke Kalimantan (kerana di sana terdapat puluhan ribu kaum Sulu samada Tausug, Bajau dan Yakan). Bagaimana kalau mereka dipergunakan oleh pihak tertentu untuk menyerang Sabah dan Kalimantan? Sebenarnya tidaklah mustahil. Cuba lihat video di atas, Amerika Syarikat turut membantu kaum Sulu membina prasarana dibawah USAID.


MNLF sedang buat perhimpunan sempena ulang tahun penubuhan MNLF.

Hari ini pemimpin Sulu sudah tiada. MNLF dan pengerusinya pun sudah jadi permainan dan seterusnya akan dipermainkan oleh kerajaan Filipina. Sebab itu sesetengah bekas pemimpin MNLF melabelkan Nur Misuari dengan "Alat Permainan Filipina". Setiap kali mewujudkan perjanjian Nur Misuari senantiasa dikhianati. Ini mungkin berlaku kerana Nur Misuari asyik memikirkan apa yang dia perlu buat terhadap "orang kafir" Filipina berbanding menerobos seterusnya memahami "apa yang difikirkan oleh musuh terhadap MNLF dan dirinya" dengan itu beliau dapat keluar dari permainan mereka.

Seorang sahabat penulis dari Zamboanga City yang juga seorang pensyarah di Western Mindanao State University, iaitu saudara Nur Hassan Danial (lihat gambar) telah menulis dalam blognya al-taufik.blogspot.com menjelaskan lagi keadaan Nur Misuari,

"I was not surprise when I heard the statement of Misuari's relative Hj. Abdel Aziz that Misuari was betrayed by the government. I automatically replied to him with a short enquiry. "When was the time that Misuari was not betrayed by the government?".

Kini tiada lagi alternatif selain MNLF Nur Misuari kecuali United Tausug Citizens (UTC) yang dipimpin oleh Sultan Bantilan Muizuddin II ibni Datu Wasik Aranan yang sekarang sedang berada di Zamboanga City. UTC mengajak Umat Islam Tausug kembali kepada sejarahnya yang awal sebagai asas perjuangan mereka dengan slogan kemanan tanpa senjata. Menurut UTC, senjata dan peperangan dijadikan sumber pemusnah kepada kesatuan Tausug. Dengan menggunakan perjuangan tanpa senjata UTC mengharapkan Muslimin Maguindanao, Maranao membuat kaedah yang sama di Mindanao.


Tentera MNLF sedang buat perarakan menuju ke lokasi kem tempat berhimpun.

UTC berpendapat, MNLF kena menerima hakikat bahawasanya dia (MNLF) tidak akan mampu menyatukan dua Kesultanan Sulu dan Kesultanan Mindanao kecuali ia bergerak berasingan untuk perjuangan kemerdekaan. Ini adalah disebabkan Kesultanan Mindanao punya bahasa dan adat budaya berbeza dengan kaum Sulu serta punya latar belakang sejarah yang berbeza. Buktinya, kumpulan Mindanao telah keluar dari MNLF yang didominasi Tausug dan Bajau dengan menubuhkan MILF yang mereka pimpin sendiri. UTC menyarankan, Muslim mindanao melakukan kesatuan keamanannya sendiri.

Mereka boleh berkerjasama dengan UTC dalam hal ini dan UTC pada bila-bila masa sedia ke Mindanao untuk memberi taklimat kepada para Datu Maguindanao atau wari-waris kesultanan Maguindanao-Maranao-Iranun untuk memulakan gerakan mereka di sana.

Asree

Menilai Dengan Apa Yang Musuh Fikir!!

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Wednesday, August 5, 2009 0 ulasan


Guru saya Al-Fadhil Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah pernah berkata dalam salah satu ceramahnya, "Untuk mengesan perancangan musuh terhadap Umat Islam ialah dengan berfikir apa yang musuh kita fikir terhadap kita. Bukan apa yang kita fikir terhadap mereka." Kata-katanya hingga kini masih terngiang-ngiang dalam benak penulis setiap kali menulis artikel. Ustaz Hj Abdul Halim bagi penulis, bukan sahaja sebagai seorang murabbi atau pendidik (pencetak pemikir perjuangan yang hidup) malah sebagai salah seorang perancang strategi Islam yang prolifik dewasa ini.

Ketika beliau datang berkunjung ke rumah penulis di Seremban 2, Negeri Sembilan pada hujung tahun 2005 lalu, beliau telah membuka suis kesedaran pada jiwa penulis dengan katanya, "Mengapa kamu masih lena tidur? Umat Islam Suluk (Tausug) telah buta huruf semakin hancur dan bakal dihalau dari bumi Sabah kamu masih lena? Mana para ustaz Suluk? Mana para cendekiawannya? Bangkit kamu!! Gunakan kemahiran kamu untuk perjuangan Islam!!." Sejak hari itu penulis mula mendapat semangat dan mula memotong rambut (ketika itu rambut penulis mencecah bawah belikat, almaklum lah artis pelukis kartun konon) untuk memulakan satu perubahan yang bakal menggegar dunia!!

Salah satu kata-kata perangsang Ustaz Hj Abdul Halim ialah, "Ana pernah datang ke Sulu bersama rombongan dakwah ketika memuncaknya perang MNLF melawan kafir Marcos. Ana kenal Nur Misuari sebab kami pernah dijemput bermalam di rumahnya. Mereka berjuang bermatian dan hari ini masih berjuang. Ente kena bangun membantu."

Dalam satu ceramahnya penulis pernah terdengar beliau memuji kehebatan Tausug, "Kononnya Ferdinand Magellan itu pernah mengatakan bahawa, kalau dia mempunyai 1000 orang tentera Tausug sahaja, sudah cukup untuk dia dapat kuasai dunia. Begitu hebat bangsa ini dari pandangan Spanyol."



Ketika ramai kaum Tausug Sulu di Sabah ditangkap dan dirotan oleh pihak keselamatan Malaysia lalu dihalau ke Filipina, Ustaz Hj Abd. Halim pernah menyuarakan kesedihannya, "Lebih baik kaum ini dibunuh sahaja, sebab pasti mereka akan datang semula hanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Pak Lah kena buat sesuatu untuk hentikan perbuatan (merotan) ini." Kesedihan beliau suarakan dengan nada keras sebab kecewa denga apa yang berlaku kepada umat Islam Sulu di Sabah.



Sejak itu penulis mula mengumpul data dan maklumat tentang Tausug & Kesultanan Sulu atas nasihat Ustaz Hj Abd Halim untuk mencari sebab mengapa Tausug dari Sulu datang membanjiri negeri Sabah. Penulis menghilangkan diri selama 6 bulan dan muncul semula dengan buku Tausug & Kesultanan Sulu yang siap untuk diedar.

Asree

Gerakan UTC di Zamboanga Bermula!!

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, August 4, 2009 0 ulasan

Malam tadi (Selasa, 04hb Ogos 2009) penulis menelefon terus ke cell-phone Sultan Bantilan Muizuddin II yang sekarang sedang berada di Zamboanga, Sulu. Baginda menjelaskan rombongannya berada di sana sebenarnya sedang buat lawatan tidak rasmi. Agenda utama ialah menemui seramai mungkin para pemimpin masyarakat Sulu dan para pegawai kerajaan Filipina untuk menjelaskan tujuan sebenar di samping dapat berdiskusi tentang sejarah Kesultanan Sulu.

Sebenarnya walaupun Baginda Sultan hanya bersekolah darjah dua namun Baginda begitu memahami sejarah Kesultanan Sulu sehingga ke tahap kospirasi Marcos terhadap Sulu berada dalam pengetahuannya. Beberapa orang Profesor Sejarah termasuk D.Emmanuel D.Magubat (seorang pakar sejarah Sulu) setelah berdiskusi dengan Baginda, akhirnya tidak dapat lari dari kebenaran hujah Sultan Bantilan dan mereka mengakui keabsahan kuasa Kesultanan Sulu terhadap Filipina.

KEBERANIAN KERANA KEBENARAN
Berikutan itu penulis sukacita ingin paparkan kandungan perbualan dengan Baginda Sultan untuk dapat dikongsi bersama Muslimin Malaysia, Brunei, Indionesia, Singapura dan Pattani. Saban hari para pelawat blog masuk ke Tausug-Global tertunggu-tunggu berita dari Sulu. Berikut adalah kandungan perbualan melalui cell-phone Baginda,


Asree:
Menurut maklumat dari anti-UTC (kebanyakan talibarut kerajaan dan penyokong MNLF yang jiwanya tertutup), Tuanku berada di Zamboanga City kerana telah dihalau dari Jolo, Sulu oleh UTC, benarkah?

Sultan:
Itu tanggapan mereka biarkan saja. Itu muslihat propaganda mereka "pecah dan perintah" terhadap gerakan keamanan ini. Walau apa pun tuduhan mereka UTC tetap bergerak tanpa henti dibawah perlindungan kekuasaan dan kasih sayang Allahu taala. Mereka yang anti-UTC adalah talibarut kerajaan kufar tetapi kami tidaklah memusuhi mereka. Buktinya kami mengajak mereka berdialog dan berdiskusi atas nama kesatuan Muslimin Sulu umat Tausug, demikian juga yang masih keras dalam pendirian mereka bahawa "hanya MNLF sahaja medan sebenar perjuangan Bangsa Moro tiada lain selainnya". Jawapan Beta, gerakan UTC di Jolo masih berterusan, Beta selaku pemimpin selepas ini akan kembali juga ke sana.

Asree:
Apakah pendirian Tuanku terhadap MNLF yang menentang gerakan UTC?

Sultan:
Kami tiada masalah dengan MNLF dan kami bukan musuh mereka sebagaimana kami tidak memusuhi mereka. Kami tidak pernah mengatakan bahawa gerakan MNLF itu adalah gerakan kufar atau pun mencaci maki gerakan mereka kerana ramai juga saudara mara kami syahid dalam MNLF ketika dulu demi pertahankan bangsa dan agama tercinta. Perlulah diingat, mereka Syahid bukan kerana MNLF tetapi kerana Negara, Bangsa dan Agama!!

Asree:
MNLF rasa tercabar kerana ramai ahli MNLF dan para komandernya di Jolo, Basilan, Tawi-Tawi malah para komandernya yang berada di Sabah telah menyertai UTC, apa penjelasan Tuanku?

Sultan:
Mereka tercabar sebab mereka tidak membuat pembaharuan keatas gerakan mereka, masih dengan irama lama. Persoalannya mengapa mereka masih gagal? Ini yang perlu dijawap, sebab itu ketika kami mencanangkan gerakan UTC ini sebagai alternatif kepada gerakan perjuangan sebelum ini seperti MNLF contohnya, kami tidak berkonfrontasi. Malah UTC adalah pelengkap kepada apa sahaja gerakan sebelum ini kerana kalau dulu mereka berjuang bersenjata (membunuh dan terbunuh) tetapi kali ini kita buat gerakan keamanan pula.

Gerakan kita lebih kepada pemahaman sejarah asal-usul bangsa dan kedatangan Islam ke Sulu sebagai asas gerakan keamanan. Bila rakyat Sulu sudah faham pasti mereka akan ikut gerakan kita, tiada peperangan, tiada keganasan, kita gerakan keamanan atas faktor fakta sejarah. Bila rakyat Sulu semuanya sudah tidak mengaku sebagai rakyat Filipina dan sudah tidak keluar mengundi dalam pilihanraya Manila maka secara automatik Sulu bukan lagi dalam pentadbiran kufar Filipina.

Keindahan Laut Sulu yang tiada tandingan. Hari ini tertutup kepada dunia luar sebab itu banyak khazanah yang belum terungkai. Keindahan Pulau Sipadan hanyalah sekelumit dari keindahan pulau-pulau di Kepulauan Sulu.

Asree:
Menakjubkan!! Subhanallah, Masya-Allah!! Boleh Tuanku ceritakan apa reaksi kerajaan tempatan Filipna dan para pemimpinnya ketika rombongan Tuanku sampai ke Zamboanga City sejak beberapa hari lalu?

Sultan:
Sebelum anda telefon tadi Beta baru selesai ditemuramah oleh beberapa "reporter" serentak dengan kedatangan rombongan Paskal Zamboanga City (peguam Bandaraya?). Askar dan polis Filipina turut datang. Mereka bertanya mengapa Beta tegakkan dan pacak bendera Sulu di sini (Zamboanga), Beta katakan, saya datang dan memacak bendera Negara Sulu Darul Islam adalah kerana Beta adalah Sultan kepada United Tausug Citizens (UTC). Beta pacak bendera bukan untuk apa, sekadar lambang kehadiran Beta di sini agar kalian tidak tersalah sangka seterusnya tersalah tembak kerana menyangka Beta adalah perampas tanah.

Mereka beritahu juga bahawa kedatangan mereka adalah disebabkan terdapatnya laporan yang kami telah membawa senjata api bersama. Beta katakan kami anti peperangan dan keganasan, mustahil kami membawa senjata api. Mereka meminta izin untuk menggeledah rumah penginapan kami tetapi Beta bertanya sekiranya mereka ada waran geledah mereka boleh masuk. Beta sudah menghubungi Peguam Atty. Meltino Jaujan Sibulan dan mengarahkan peguam bantuan dari Tawi-Tawi yang akan sampai ke Zamboanga bila-bila masa.

Paskal Zamboanga balik dengan tangan kosong tanpa dapat menggeledah penginapan kami. Beta telah arahkan UTC pacak bendera Sulu di atas bumbung dan sekeliling rumah bungalow tempat kami menginap sejak beberapa hari lalu. Menyebabkan berlaku kegemparan di Zamboanga City, sebab itu mereka datang. Haha.. (ketawa kecil)

Asree:
Selain mereka, siapa lagi yang menemui Tuanku?

Sultan:
Beta didatangi oleh seorang Professor disegani yang pernah menjadi graduan bersama Nur Misuari di University of Philipines di Manila. Beliau berumur lingkunan 70-an bernama Prof. Abu Bakar. Beliau datang dan berdiskusi dengan Beta tentang sejarah dan jalan kemerdekaan sebenar. Sebelum berpisah beliau sempat berkata "Perjuangan Tuanku sangat jauh berbeza dengan perjuangan prof. Nur Misuari. Metod UTC jauh lebih baik dan masuk akal berbanding MNLF. Ternyata selama ini nama Tausug & Kesultanan Sulu telah sengaja di tenggelan dan dilupuskan. Kami bersedia untuk ini (UTC)".

Beta juga dikunjungi oleh rombongan Sundalu Kerajaan (Tentera darat Kerajaan Filipina) pengawal keselamatan dan polis berbangsa Sulu samada Tausug, Bajau atau Yakan. Mereka menyuarakan sokongan akan menyertai gerakan ini kerana barulah kali ini mereka memahami konsep kenegaraan atau hak Umat Islam Sulu yang sebenar.

Suku kaum Samal atau Bajau Laut Sulu sedang sibuk mendayung lepa-lepanya. Selain mutiara sebagai sumber kekayaan kaum Tausug, kaum Bajau juga termasuk dari harta Sulu yang tidak ternilai harganya. Mereka telah menjadi perhiasan di sekitar Laut Sulu sepanjang zaman. Sebilangan mereka turut menyertai UTC hari ini.


Asree:
Apa harapan Tuanku untuk kunjungan ke Zamboanga City ini?

Sultan:
Beta hanya mengharapkan bantuan Tuhan Yang Maha Kuasa. Kudrat makhluk amat terbatas, tiada daya upaya melainkan kekuatan-Nya jua. Kami senantiasa berdoa setiap kali selesai solat agar umat Islam Sulu disedarkan akan betapa pentingnya mereka mengetahui sejarah, agar tidak tertipu dan diperalat.

Harapan kedua ialah kiranya rombongan kami diterima kemungkinan kami berada lebih lama di sini sebelum kembali ke Jolo. Dengan itu kami dapat berhubung seterusnya membuat rundingan dengan kerajaan Filipina secara rasmi. Beta tahu, lambat laun Filipina akan dapat "terheret" ke meja rundingan samada mahu atau tidak. Hak tetap hak, sekiranya mereka bunuh kami dengan tanpa senjata ditangan kerana mungkin mereka pada bila-bila masa akan lakukan sabotaj, kami bersedia. Generasi muda Sulu berada dimana-mana sebagai saksi yang akan menyambung perjuangan kami. Beta sangat terharu, anda telah pun berjaya siapkan buku sejarah Sulu dan pastinya ia akan menjadi khazanah berharga yang akan menjadi rujukan generasi Tausug akan datang.

Insya Allah, UTC akan berjaya. Kalau bukan hari ini ia akan dijayakan oleh generasi kita yang akan datang!! (Sultan Bantilan dengan nada penuh semangat menamatkan perbualan).

Batu karang yang indah di Kepulauan Sulu bakal menjadi tumpuan kepada pelancong asing seluruh dunia sekiranya Sulu dapat dibuka kepada umum. Hari ini, pelancong asing tidak dibenarkan menjelajah Kepulauan Sulu kerana ditakut-takutkan oleh kerajaan Filipina dengan bahaya "Pengganas Tausug". Untuk dapatkan maklumat bagaimana anda dapat melawat Sulu sila ke http://travel-sulu.blogspot.com/