Sejarah ASEAN & MAPHILINDO

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, August 11, 2009 0 ulasan

Sejarah ASEAN
ASEAN mula dibentuk dengan penubuhan sebuah organisasi dikenali sebagai Persatuan Asia Tenggara (Association of Southeast Asia atau ASA) yang dianggotai oleh Filipina, Malaysia dan Thailand pada tahun 1961. ASA merupakan asas kepada pembentukan ASEAN sekarang.

Akibat daripada pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, pertikaian berlaku khususnya antara Indonesia dan Filipina yang menganggap pembentukan Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan baru. Ini kerana mereka mendakwa Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada masing-masing Filipina dan Indonesia.

Oleh kerana pertikaian tersebut, munculnya slogan Ganyang Malaysia yang membawa kepada konfrantasi pada 1965-1966 oleh Indonesia. Selepas tamatnya konfrantasi tersebut, semua negara-negara Asia Tenggara bersepakat untuk mewujudkan persefahaman untuk memberi ruang kepada semua negara-negara terbabit bersatu dalam perkara yang melibatkan kepentingan bersama.

Maka, pada 8 Ogos 1967, lima pemimpin - Menteri Luar Indonesia, Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand ( Adam Malik, Narciso R. Ramos, Tun Abdul Razak, S. Rajaratnam, dan Thanat Khoman) - duduk bersama di dewan utama Jabatan Hal Ehwal Luar di Bangkok, Thailand dan menandatangani satu dokumen yang kini dikenali sebagai Deklarasi ASEAN.

Antara anggota ASEAN:
  1. Brunei Darussalam
  2. Filipina
  3. Indonesia
  4. Kemboja
  5. Laos
  6. Malaysia
  7. Myanmar
  8. Singapura
  9. Thailand
  10. Vietnam

Pembentukan MAPHILINDO
MAPHLINDO (singkatan kepada perkataan Malaysia, Filipina dan Indonesia) merupakan suatu ikatan/cantuman/gugusan bersama tiga buah negara yang terlibat. Tujuan utama penubuhan ikatan ini adalah untuk meningkatkan perhubungan persahabatan dan menyelesaikan pertelingkahan antara Malaysia-Filipina dan Malaysia-Indonesia.

Pada mulanya, pertelingkahan diantara Malaysia dan kedua-dua negara tersebut adalah kerana cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia yang berdaulat. Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia adalah kerana Presiden Soekarno menganggap pembentukan Malaysia adalah sebagai suatu bentuk neokolonialisme atau penjajahan bentuk baru. Manakala, tentangan Filipina pula adalah kerana negara tersebut menuntut negeri Sabah yang didakwanya masih menjadi hak milik negara mereka.

Bagi menyelesaikan pertelingkahan ini, Malaysia telah mengambil langkah inisiatif dengan mengadakan rundingan dengan Filipina dan Indonesia. Rundingan akhirnya membawa kepada penubuhan MAPHILINDO. Ketiga-tiga negara tersebut telah mencapai kata sepakat dengan memohon bantuan PBB untuk mendapatkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia yang berdaulat dengan memasukkan sekali negeri Sabah dan Sarawak dalam persekutuan itu.

PBB melalui perwakilannya ke Malaysia telah menubuhkan United Nations Malaysia Mission (UNMM) (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Misi Malaysia). UNMM secara rasminya telah dibentuk oleh Setiausaha Agungnya pada masa itu U Thant dengan menghantar wakil diplomatnya pada tahun 1963 yang bernama Lawrence V. Michael More untuk meninjau secara terperinci tentang cadangan penubuhan Persekutuan Malaysia.

Hasilnya, majoriti dari penduduk dan rakyat kedua-dua negeri berkenaan telah bersetuju dan menyokong pembentukan Malaysia. Sungguhpun begitu, Indonesia dan Filipina tidak mengiktiraf hasil undian dan pandangan tersebut, kedua-dua negara tersebut terus memberi kecaman dan menentang pembentukan Persekutuan Malaysia yang berdaulat. Persengketaan yang berterusan ini menyebabkan MAPHILINDO tidak berperanan lagi.

Akhirnya, Indonesia telah mengadakan konfrontasi dengan Malaysia melalui dua langkah iaitu melalui penyataan “Ganyang Malaysia” serta mengadakan tindakan separa-tentera. Namun kedua-dua perkara ini dapat dipatahkan oleh pihak kerajaan Malaysia melalui rundingan aman dan bantuan dari askar British. Filipina pula sampai sekarang masih menuntut hak kedaulatan Sabah untuk dijadikan sebagai sebahagian dari wilayahnya.

Sumber 1: http://zainuddinlosi.wordpress.com/2007/12/14/sejarah-asean/
Sumber 2: http://ms.wikipedia.org/wiki/MAPHILINDO

Post a Comment