Tausug Memerlukan Perang Sabil Untuk Merdeka?

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Sunday, August 30, 2009 0 ulasan

Jamaah Islamiyah Indonesia
Ketika menjejak kaki ke Jakarta awal bulan Mac lalu, penulis berkesempatan bertemu dengan anggota Jemaah Islamiyah yang baru dibebaskan dari penjara Malaysia. Penulis tidak begitu banyak bertanya tentang arah perjuangannya cuma sekadar bertanya bagaimana beliau tertangkap oleh Polis Malaysia?

Yang menjadi tarikan kepada penulis sehinggga terkeluar pertanyaan tersebut adalah kerana beliau tertangkap ketika pulang menyeberang dari Kepulauan Sulu menuju ke negeri asalnya Indonesia melalui Tawau, Sabah. Beliau tertangkap melalui maklumat kerjasama Interpol lalu disumbat ke ISA Malaysia. Penulis tidak dapat mengingat namanya, apa yang penulis ingat beliau adalah seorang yang lemah lembut, pendiam dan berbudi pekerti mulia. Sangat menjaga awal waktu solat dengan usia yang begitu muda lingkungan 27 ke 29.


Berkenaan Jamaah Abu Sayyaf
Penulis teringat dengan cerita seorang sahabat Tausug yang sekarang bekerja di Qatar, beliau bercerita bagaimana beliau pernah hadir dalam majlis ceramah Almarhum Assyahid Ustaz Abdurajak Abubakar Janjalani di Pulau Basilan. Menurut beliau Ustaz Abdulrajak Janjalani adalah seorang yang warak, alim dan berbudi pekerti luhur. Sangat menyayangi generasi muda dengan senantiasa berkata kepada mereka,

"Tuyu' kamu mag iskul manga anak, kamu yan in susungun sin bangsa, hula' iban agama." (Bersungguh-sungguhlah bersekolah wahai generasi muda, kamulah masa hadapan bangsa, negara dan agama).

Menurut beliau Assyahid Ustaz Abdulrajak Janjalani seorang yang membawa fahaman Salafi kerana guru-guru Jihad beliau di Afghanistan seperti Dr. Abdullah Azzam dan Abdul Rasul Sayyaf berfahaman Salafi (Dari sinilah ustaz Abdulrajak Janjalani mengambil nama kumpulannya ABU SAYYAF sempena nama gurunya). Bagi sahabat penulis ini fahaman Salafi adalah sesuai untuk pejuang Jihad Fisabilillah dan inilah yang dianut oleh Jamaah Al-Qaeda dan Jamaah Islamiyah di Indonesia katanya.


Sulu dan Mindanao Perlu Mengikut Rentak Salafi?
Sahabat penulis ini menasihatkan, kiranya Sulu dan Mindanao mahu bebas dan merdeka mereka perlu mengambil fahaman Salafi ini menggantikan fahaman Islam tradisional yang sudah ketinggalan zaman serta disusupi fahaman Buddha dan Hindu itu agar semangat Jihad Perang Sabil yang sebenar kembali berkobar di bumi Sulu dan Mindanao. Beliau menegaskan bahawa zaman ini adalah zaman terakhir yang umat Nasrani dan Yahudi sudah pun melancarkan perang dan pemusnahan etnik dan negara Islam keseluruhannya.

Sebenarnya ketika penulis tiba di Jolo, Sulu baru-baru ini, penulis berkesempatan menilai seterusnya menemubual beberapa orang di Zamboanga City termasuk di Jolo berkenaan perkembangan Fahaman Salafi di sana. Ternyata rata-rata memberi respon positif terhadap gerakan Salafi walau pun segelintir ustaz-ustaz tradisional menentangnya. Kewujudan sekolah-sekolah agama di merata-rata tempat yang ditaja oleh Persatuan Rabitah Arab Saudi, dengan mengambil pelajar-pelajar miskin Sulu dan Mindanao secara percuma, penulis menganggarkan 10 tahun dari sekarang Sulu dan Mindanao akan meriah dengan masyarakat Islam Baru yang berfahaman Salafi.

Penulis optimis akan kejayaan besar gerakan Salafi di Sulu dan Mindanao di masa akan datang, kerana madrasah-madrasah Islam Tradisional di Sulu sendiri hanya seperti "hidup segan mati tak mahu", masih bertahan tanpa mendapat sumbangan umat Islam luar terutama saudara-saudara dari Malaysia atau Indonesia sendiri, berbanding madrasah-madrasah Salafi yang dibiaya 100% oleh Arab Saudi. Malah ratusan pelajar lepasan dari madrasah mereka mendapat biasiswa penuh kerajaan Arab Saudi melalui kemasukan terus ke Universiti Madinah.


Permasalahan Salafi Di Nusantara
Walau pun gerakan Salafi semakin mendapat tempat di Sulu dan Mindanao, namun para ustaz dan imam masjid Tradisional pedalaman sangat menentang mereka. Hinggakan di Jolo sendiri mereka sukar menembusinya. Salafi hanya dapat menguasai sekitar Masjid Tulay, manakala surau dan masjid di luar Bandar Jolo rata-rata masih tradisional walau pun tidak mempunyai sekolah agama seperti gerakan Salafi. Sebab itu ketika berlaku perdebatan antara ustaz tradisional dan Salafi kerap kali berlaku pembunuhan, samada tetak menetak atau tembak menembak, hal ini biasa berlaku. Menyebabkan gerakan salafi hanya tertumpu di satu tempat, siapa yang mahu hantar untuk anak disekolahkan di tempat mereka silakan. Biar sikit lama-lama jadi bukit.

Fahaman Salafi hanya membawa dan mengamalkan 2 perkara, iaitu Al-Quran (tanpa takwil) dan As-Sunnah (Hadith Sahih sahaja), dari segi fikah mereka cenderung kepada mazhab Hambali mengikut acuan (Imam Ibnu Taimiyah), ajaran ini menyebar luas ketika gerakan Wahhabi berjaya menakluk Makkah ketika era Perang Dunia ke-II. Gerakan Wahhabi terhasil antara kerjasama Raja Saud dan Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab dengan bantuan Lawrence of Arabia (Seorang Zionis dari England). Mereka sangat berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, sesiapa orang Islam yang lakukan hal yang tidak terdapat dalam keduanya mereka telah lakukan Bid'ah, setiap Bid'ah adalah sesat, dan sesat tempatnya ialah Neraka. Maka sesiapa yang:

  • menyambut Maulidurrasul,
  • baca talqin di kubur,
  • berdoa selepas solat (sedangkan doa itu adalah dalam solat),
  • baca surah Yasin pada Khamis malam Jumaat,
  • membaca kitab Barzanji (kerana dikatakan mengandungi menyeru Muhammad SAW yang sudah mati),
  • bertariqat Sufi (kerana Salafi berpendapat Tariqat Sufi diambil dari ajaran Hindu dan Buddha),
  • Dan banyak lagi, maka mereka semuanya telah lakukan Bid'ah.
Hal inilah yang menjadi permasalahan Salafi dengan ajaran Islam Tradisional di Nusantara hari ini. Satu kemustahilan untuk mendapat titik pertemuan, bayangkan di Iraq sendiri Syi'ah dan Salafi masih bertegang urat dalam keadaan umat Islam tengah disembelih. Penulis berpandangan kalau pun mereka menganggap mereka membawa ajaran Islam yang benar, tanpa mengira mereka Salafi mahu pun Tradisional, fanatisma sepatutnya perlu dijauhkan demi maslahat ummah keseluruhannya.

Masalah ini juga berlaku di Malaysia dan Indonesia tinggal lagi tidak sampai berbunuhan. Di Malaysia, satu-satunya negeri yang mengisytiharkan berfahaman Salafi ialah Negeri Perlis Indera Kayangan. Pusat-pusat pengajian Salafi juga terlalu banyak. Dalam Jamaah PAS sendiri terdiri dari dua kelompok terbesar Islam Tradisional dan Salafi. Ustaz Harun Din contohnya beraliran Tradisional manakala ustaz Abdul Hadi Awang beraliran Salafi, tinggal lagi mereka masih bertoleransi kerana memahami pokok perjuangan mereka untuk menumpaskan ISLAM UMNO.

Begitu juga di Indonesia, selepas Jamaah Nahdlatul Ulama (NU), Jamaah Muhammadiyah adalah kedua terbesar dengan puluhan juta keahlian di seluruh Indonesia, semuanya berfahaman Salafi. Salafi kian mendapat tempat kerana ketegasan dalam hal-hal keagamaan hinggakan dianggap sebagai Mazhab Para Mujahidin akhir zaman. Untuk bumi Sulu dan Mindanao, perlukah perang sabil untuk kemerdekaan mereka dari Filipina? Kalau ya, maka khidmat para da'i Salafi diperlukan?


Asree
Bertasamu (berlapang dada), buang fanatisma kemazhaban kepada kesatuan Islam yang sebenar.

Post a Comment