Menilai Dengan Apa Yang Musuh Fikir!!
Guru saya Al-Fadhil Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah pernah berkata dalam salah satu ceramahnya, "Untuk mengesan perancangan musuh terhadap Umat Islam ialah dengan berfikir apa yang musuh kita fikir terhadap kita. Bukan apa yang kita fikir terhadap mereka." Kata-katanya hingga kini masih terngiang-ngiang dalam benak penulis setiap kali menulis artikel. Ustaz Hj Abdul Halim bagi penulis, bukan sahaja sebagai seorang murabbi atau pendidik (pencetak pemikir perjuangan yang hidup) malah sebagai salah seorang perancang strategi Islam yang prolifik dewasa ini.
Ketika beliau datang berkunjung ke rumah penulis di Seremban 2, Negeri Sembilan pada hujung tahun 2005 lalu, beliau telah membuka suis kesedaran pada jiwa penulis dengan katanya, "Mengapa kamu masih lena tidur? Umat Islam Suluk (Tausug) telah buta huruf semakin hancur dan bakal dihalau dari bumi Sabah kamu masih lena? Mana para ustaz Suluk? Mana para cendekiawannya? Bangkit kamu!! Gunakan kemahiran kamu untuk perjuangan Islam!!." Sejak hari itu penulis mula mendapat semangat dan mula memotong rambut (ketika itu rambut penulis mencecah bawah belikat, almaklum lah artis pelukis kartun konon) untuk memulakan satu perubahan yang bakal menggegar dunia!!
Salah satu kata-kata perangsang Ustaz Hj Abdul Halim ialah, "Ana pernah datang ke Sulu bersama rombongan dakwah ketika memuncaknya perang MNLF melawan kafir Marcos. Ana kenal Nur Misuari sebab kami pernah dijemput bermalam di rumahnya. Mereka berjuang bermatian dan hari ini masih berjuang. Ente kena bangun membantu."
Dalam satu ceramahnya penulis pernah terdengar beliau memuji kehebatan Tausug, "Kononnya Ferdinand Magellan itu pernah mengatakan bahawa, kalau dia mempunyai 1000 orang tentera Tausug sahaja, sudah cukup untuk dia dapat kuasai dunia. Begitu hebat bangsa ini dari pandangan Spanyol."
Ketika ramai kaum Tausug Sulu di Sabah ditangkap dan dirotan oleh pihak keselamatan Malaysia lalu dihalau ke Filipina, Ustaz Hj Abd. Halim pernah menyuarakan kesedihannya, "Lebih baik kaum ini dibunuh sahaja, sebab pasti mereka akan datang semula hanya untuk mendapatkan sesuap nasi. Pak Lah kena buat sesuatu untuk hentikan perbuatan (merotan) ini." Kesedihan beliau suarakan dengan nada keras sebab kecewa denga apa yang berlaku kepada umat Islam Sulu di Sabah.
Sejak itu penulis mula mengumpul data dan maklumat tentang Tausug & Kesultanan Sulu atas nasihat Ustaz Hj Abd Halim untuk mencari sebab mengapa Tausug dari Sulu datang membanjiri negeri Sabah. Penulis menghilangkan diri selama 6 bulan dan muncul semula dengan buku Tausug & Kesultanan Sulu yang siap untuk diedar.
Asree
|