Ketika penulis melawat blog salah seorang sahabat (Prof. Nur Danial) yang tinggal di Zamboanga, seterusnya membaca artikelnya
menyebabkan ingatan penulis kembali ke zaman kanak-kanak. Kandungan artikelnya menceritakan tentang kepentingan Al-Quran kepada masyarakat Muslim Sulu dan Mindanao. Beliau juga menjelaskan sedikit kelebihan dari tradisi Tausug belajar membaca Quran pada waktu pagi. Untuk membaca artikel penuh beliau sila ke
http://altaufik.blogspot.com/2009/08/quran-tool-for-peace.html.
Saudara Nur Danial dengan dibantu oleh pelajar muslim di Zamboanga City menubuhkan satu gerakan yang dinamakan MYM (Muslim Youth Movement). Mereka telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk program kemasyarakatan umat Islam Sulu dan Mindanao dengan sedikit bantuan dari pelajar Kristian (sukarela) dan sokongan Western Mindanao State of University (WMSU). Tahniah atas kerja gigih mereka.
Pengagihan Al-Quran Juga Dilakukan Oleh UTC
Menggunakan Al-Quran sebagai asas perjuangan untuk menyedarkan umat Islam agar menitik beratkan pendidikan agama seterusnya membentuk syaksiah diri, sememangnya sesuai dan tepat. Gerakan MYM baru bermula dan insyaAllah gerakan mereka akan bertambah besar dan diterima masyarakat Sulu dan Mindanao di masa-masa akan datang.
Penulis masih teringat ketika tahun lepas (2008), modal Al-Quran ini telah pun dibuat oleh United Tausug Citizens (UTC) di Jolo dan Tawi-Tawi ketika perarakan mereka di sana. Ada hampir 7,000 naskah Al-Quran berjaya di hantar dari semenanjaung Malaysia ke Sandakan Sabah seterusnya dihantar ke Jolo melalui kapal laut. Malah penulis sendiri terlibat mengangkut kotak berisi naskah Al-Quran yang diwakafkan oleh umat Islam Terengganu dan Kuala Lumpur yang diusahakan oleh Ustaz Alias dan sahabat-sahabat beliau di Yayasan Itmam Kuala Lumpur. Tahniah kepada umat Islam Malaysia, walau pun tidak mampu menyumbang wang ringgit namun dapat menyumbang naskah Al-Quran untuk kemudahan anak-anak Sulu belajar. Sumbangan Al-Quran yang paling banyak ialah dari Kemaman, Terengganu.
Tradisi Pengajaran Al-Quran Di Sulu
Mengimbau kenangan ketika penulis masih kanak-kanak, hati berasa syahdu dan bangga. Syahdu kerana kenangan bersama Allahyarham nenek tersayang, dan bangga kerana pernah mengaji guna kaedah tradisi Tausug.
Duduk bersila dengan memakai kain pelikat dan kopiah lusuh, di waktu pagi sebelum sarapan pagi naskah Al-Quran diselak dan mulakan bacaan. Nenek penulis yang menjadi guru ketika itu tiba-tiba menjerit dari dapur "Nakapag ail na kamu yan? Pag ail naa kamu madtu!!" (Kamu dah ambil air sembahyang ke? Pergi ambil air sembahyang dulu) setelah ambil wudhuk barulah duduk semula dan mula membaca Ta'awuz dalam pelat Tausug "A'ujubillahimisshaitannirradjiiiimmmm!!!". Penulis masih ingat, lidah bukan main keras, hampir sebulan untuk membetulkan bacaan dan seterusnya hafal Al-Fatihah. Peha penulis lebam-lebam kena rotan oleh nenek kerana kelembapan yang luar biasa.
Tausug sangat menitikberatkan pembacaan Quran kepada anak-anak di waktu pagi yakni sebelum sarapan pagi. Sarapan pagi dijadikan cagaran, sekiranya selesai dan berjaya tamatkan dua tiga helai Al-Quran barulah boleh bersarapan pagi. Berbeza dengan anak-anak Melayu di Semenanjung Malaysia, mereka belajar pada waktu malam lepas maghrib di Surau atau pun dirumah guru-guru Quran. Tausug punya kaedah bacaan Quran yang berbeza yang tidak pernah lagi penulis nampak di tempat lain. Kalau diteliti, irama atau lagunya sama dengan sami Hindu atau Buddha membaca mantera. Kaedah bacaan atau iramanya begitu kuno sekali, seolah-olah Tausug baru masuk Islam dan membaca Al-Quran mengikut irama sama dengan membaca kitab Hindu dan Buddha di zaman dahulu kala.
Penulis tahu hal ini ketika berjalan-jalan di Kuala Lumpur tidak lama dulu, penulis melalui sebuah kuil Hindu dan terdengar sayup-sayup bacaan mantera yang iramanya persis dengan bacaan Quran orang-orang Tausug. Ingatkan ada Tausug yang sedang mengaji di tengah-tengah KL, bila diperiksa rupanya kuil Hindu. Begitu juga ketika penulis mengaji Qiraat di satu madrasah di Kota Kinabalu tidak lama dulu, ustaz tersebut ketawakan bacaan penulis yang katanya mirip dengan bacaan India atau Tamil. Pengajian Quran Tradisional Tausug biasanya tidak menitik beratkan makhraj (kecuali yang mengaji di madrasah atau sekolah Arab), sebab itu sukar bezakan antara Zai dengan Dzhal. Bila disebut ia akan menjadi Jim, kerana itulah lenggok atau pelat lidah Tausug, keras dan berat.
Maka sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, kita sangat mengharapkan kepada mana-mana pertubuhan bebas atau NGO datang ke Sulu buka kelas-kelas pengajian Quran. Mereka sangat ketinggalan, walau pun Islam mereka semakin tipis tetapi pengajian Tradisi di rumah-rumah masih berterusan dan terus bertahan. Mari kita bantu MYM, UTC atau siapa sahaja yang mahu membantu mengembalikan kegemilangan Al-Quran di Bumi Sulu dan Mindanao.
Asree
|
Ucapan tahniya kepada penulis. Kalau ingin melancarkan liberasi, aktiviti seperti ini adalah liberasi yang efektif.