Ayah Sebagai Idola

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Tuesday, August 11, 2009 0 ulasan

Ketika umur penulis mencecah 6 ke 7 tahun, satu-satunya idola penulis yang menjadi pujaan ialah ayah penulis sendiri. Sebagaimana anak-anak lain lain pun dalam dunia ini, manusia pertama yang menjadi idola mereka pastinya ayah mereka sendiri. Penulis merasa diri sangat bertuah kerana memiliki ayah yang hebat malah beliau memang tersangat hebat berbanding ayah kawan-kawan penulis. Dakwaan ini berasas, kerana pernah menyaksikan kehebatan ayah sendiri beraksi dihadapan mata.

"Kahahaha... macam lah hebat sangat bapak kau. Bapak kami lebih hebat dari bapak kau lah. Bapak kau ada motorsikal? Bapak kami ada tau" Dakwa salah seorang sahabat penulis ketika di zaman kanak-kanak. Ini membuktikan semua kanak-kanak lelaki (mungkin juga anak perempuan) sememangnya bangga dengan ayah sendiri dan sudah selayaknya menjadikan ayah mereka sebagai idola.

Sebagai imbasan sepintas lalu, ayah penulis pernah dibelasah oleh 10 orang Tausug di Bandar Ramai-ramai Sandakan pada tahun 1984 kerana mempertahankan maruah keluarga. Sebabnya salah seorang dari makcik penulis (sepupu sekali kepada ayah penulis dari sebelah nenek) yang bekerja di sebuah restoran cina telah terganggu oleh pemuda Tausug yang selalu minum di restoran tersebut. Makcik melaporkan kepada ayah penulis kerana tidak tahan dengan gangguan lelaki Tausug menyebabkan ayah bergegas mencari lelaki tersebut. Maka berlakulah pertempuran sehingga hampir semua kerusi meja dalam restoran cina hancur berkecai. Ayah telah berjaya menumpaskan 10 lelaki hingga bergelimpangan dengan tangan kosong. Hebat!! Itulah saat yang menggerunkan selama hayat penulis.


Ayah mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri ala kung-fu yang dinamakan Kuen Taw. Berguru dengan salah seorang maha guru Kuen Taw di Pulau Basilan, Sulu ketika zaman mudanya (masa dibangku sekolah) sehingga tamat perguruan menyebabkan ayah mendapat gelaran "Kuntawan" atau yang mahir dengan ilmu Kuen Taw. Penamat kepada perguruan beliau ialah ditikam dengan pisau dalam sarung, hanya dikira tamat sekiranya berjaya mengelak semua tikaman. Beliau juga mahir menggunakan semua jenis senjata termasuk "Barung".

Salah satu kehebatan ayah penulis ialah tidak pernah meninggalkan sembahyang 5 waktu semenjak mudanya. Penulis masih ingat ketika sekolah menengah, ayah akan siram air kiranya tidak bangun sembahyang subuh. Hari ini beliau hanya duduk berzikir di rumah (kebetulan beliau pengamal Tareqat Al-Ghazaliyyah) dan sekali-sekala ke pasar Sandakan membeli ikan dan sayur sebagai rutin harian beliau.

Asree


Post a Comment