Pangalay: Simbol Sin Hula' Ha Baba'an Hangin

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Wednesday, September 2, 2009 0 ulasan

Seorang pelawat blog ini melontarkan persoalan asal-usul Pangalay hinggakan penulis mengambil keputusan menulisnya untuk tatapan para pelawat blog. Sebenarnya penulis bukanlah orang yang tepat untuk menjawab berkenaan kebudayaan Tausug ini kerana bukan dalam bidang kajian penulis. Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) di Sandakan boleh menjawab persoalan ini. Pelawat blog blehlah ke http://psbs2004.blogspot.com/ dan terus bertanya dengan Setiausaha PSBS iaitu Cikgu Hatta sendiri. Walau pun penulis memberikan jawapan di sini tetapi ia tidak semestinya tepat. Jawapan dan penjelasan hanya berdasarkan menurut pengalaman dan pengetahuan am penulis sendiri.


PENGERTIAN PANGALAY
Sebelum menjelaskan tajuk ini (Hula' Ha Baba'an Hangin) penulis menjelaskan dahulu apa itu PANGALAY. Membahas PANGALAY bukanlah perkara mudah walau pun ianya hanya sekadar kebudayaan. Walau bagaimana pun, dalam konteks hari ini dengan suasana moden dan pengaruh hiburan barat yang semakin menenggelamkan kebudayaan setempat, kajian perlu dilakukan kerana ia berkaitan dengan identiti sesuatu bangsa.

Dalam bahasa Tausug penulis secara peribadi tidak pernah menemui istilah "Tarian" atau perbendaharaan kata yang merujuk kepada gerak tari dalam bahasa Tausug kecuali "Pangalay". Ada juga istilah lain yang diguna oleh Tausug ialah BAILA. Tetapi Baila adalah dipinjam dari perkataan Spanyol terhadap Joget atau tari, tidak perlu dibahaskan disini kerana ia kata pinjam yang baru muncul setelah penguasaan Spanyol di Zamboanga.

Kalau diteliti PANGALAY yang kata dasarnya ialah "Alay" manakala awalan "Pa-ng" pula merujuk kepada imbuhan kepada Alay, menunjukkan satu perbuatan atau gerakan Alay. Apakah maksud sebenar Alay?

Saudara Neldy Jolo yang juga pengkaji sejarah Sulu menjelaskan bahawa Alay itu bermaksud "Offering" atau pemberian. Kalau dibahas ia lebih membawa kepada pengertian "Alu-aluan" atau satu "Hadiah" kepada seseorang dengan melakukan satu gerak tari penghargaan. Pendek kata ia adalah satu reaksi kegembiraan dan penghargaan. Menurut Cikgu Hatta dalam blog PSBS, Pangalay dilakukan ketika majlis keramian seperti perkahwinan, pertabalan Sultan, malah turut dilakukan ketika menyambut pejuang yang baru balik dari medan perang. Sesetengah kes, Pangalay turut dilakukan ketika menyambut ketibaan para pedagang atau nelayan dari laut kerana berpergian yang begitu lama.

Secara harfiah Pangalay adalah TARIAN dalam bahasa Melayu kerana secara umumnya semua jenis tarian dalam dunia ini adalah berkaitan dengan ekspresi penghargaan atau kesukaan. Tarian atau Pangalay ini telah menjadi sebahagian dari "JASAD" Bangsa Tausug maka inilah kebudayaan mereka sejak sebelum kedatangan Islam ke Kepulauan Sulu. Walau pun kebudayaan Hindu India gerak tari asalnya mempunyai kaitan dengan penyembahan Dewa-dewi, namun setelah kedatangan Islam ia berubah hanya dilakukan ketika majlis-majlis tertentu yang tiada kaitan dengan penyembahan yang berunsur Syirik.


Tarian Pangalay tersebut ditarikan mengikut lagu Lolai oleh penyanyi Tausug bernama Kamis. Tariannya agak begitu cepat dan moden.

BUDAYA SULU & VARIASI PANGALAY
Hari ini istilah Pangalay adalah khusus kepada Tausug atau bangsa Sulu. Kalau ada pihak yang mengatakan bahawa kaum Bajau di Pantai Barat Sabah dan Semporna telah mencedok Pangalay dari kebudayaan Tausug sebenarnya dakwaan ini kurang tepat. Kerana Kaum Bajau sendiri termasuk dalam Bangsa Sug yang tidak dapat dimungkiri. Bangsa Sug bermaksud Bangsa Sulu, maka termasuklah etnik Buranun, Baklaya, Taguimah, Yakan, Bajau Darat & Laut, Banjar, Champa, Arab dan sebagainya yang kalau pun masih menutur bahasa ibunda mereka tetapi masih menggunakan Bahasa Sug sebagai lingua-franca.

Setiap bangsa yang punya peradaban hebat dalam dunia ini punya bahasa Lingua-Franca mereka sendiri. Sebagai contoh bangsa Melayu punya peradaban hebat di Champa (Vietnam hari ini), Kemboja, Siam-Kedah-Pattani sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. lagi mereka punya bahasa Melayu sebagai bahasa perantara. Demikian juga Mindanao, mereka punya bahasa Iranun yang ketika dulu menjadi Lingua-Franca mereka hingga melahirkan sub-etnik seperti Maguindanao dan Maranao. Begitulah juga dengan Sulu, budaya Pangalay adalah induk tradisi kepada bangsa Sulu hinggakan darinya dapat dikekalkan Bahasa Tausug. Dengan kekalnya budaya Pangalay maka kesenian lain dapat bertahan seperti Lugho' & Langan (yang diiringi oleh gabbang), Pansak (tarian diiringi Pencak Silat), Alak (arak atau perarakan diraja menggunakan gong, Alak biasanya dibuat di laut yang diiringi oleh Lepa-Lepa yang dipenuhi hiasan Sambulayang. Biasanya dibuat untuk menyambut Sultan dan para Datu).


Ini adalah Tunis Lugho' & Langan yang biasanya diadakan ketika majlis perkahwinan dan persandingan pengantin. Ketika zaman kesultanan dulu ia digunakan untuk perkahwinan diraja dan pertabalan sultan sebagai elemen hiburan memeriahkan majlis. Ia seperti berbalas pantun, sindir menyindir antara kumpulan kaum ibu dan kaum bapa.

Kaum yang berasimilasi dengan Bangsa Sug semenjak zaman purba ialah kaum Bajau (Sama, Samal). Kaum Bajau punya identiti kelautan yang tersendiri yang terlalu rapat dengan Bangsa Sug hinggakan kalau kita lihat hari ini tarian kebudayaan dan adat resam Bajau Darat 99% sama dengan Bangsa Sug yang asal. Dalam konteks perpaduan bangsa Sulu hari ini mereka telah dengan sendirinya termasuk dalam keluarga Tausug kerana faktor sejarah.

Tarian Pangalay mempunyai variasi mengikut lagu penyanyinya seperti Darling-darling, Lolai, Pakiring-pakiring dan sebagainya. Walau bagaimana pun Pangalay mempunyai Tunis atau bentuk alunan muzik (Gong, Kulintangan dan Lisagan) yang asal dan tersendiri. Tunis yang betul ialah laju dan harmoni manakala tarian Pangalaynya lemah gemalai dan lambat dengan alunan lengan serta lentikan jari-jemari yang menawan mata memandang. Hari ini kaum Bajau di Semporna melestarikan tarian Pangalay ketika pesta Lepa-lepa mereka setiap tahun tentunya membanggakan kepada semua kaum Sulu sendiri.


Tarian Pangalay yang ditarikan oleh lelaki Tausug biasanya lenggoknya berbeza walau pun seni tarinya sama dengan wanita. Perhatian kakinya yang mengesot sekali-sekala menyebabkan ia seolah-olah dibawa arus air laut atau angin. Beginilah tarian Pangalay yang asal walau pun muzik cepat tetapi lemah gemalai perlahan dan gerakan kaki yang unik.

BAHASA PANGALAY
Sebagaimana yang penulis sebut tadi bahawa Pangalay adalah satu ekspresi kegembiraan. Ia tidak bercakap seperti mulut tetapi ia bergerak dengan lemah gemalai dan menghiburkan sehingga mereka yang baru balik dari laut samada pulang dari peperangan, berdagang mahu pun menjala ikan di laut muka yang comot dan tertekan akan berubah jadi kegirangan dan kegembiraan.

Ketika dalam majlis perkahwinan atau keramaian (sambutan tetamu yang dihormati) Tausug biasanya akan melantik ahli Pangalay merek sendiri. Sekiranya ia acara bebas hadirin yang panday mangalay akan menari bergilir-gilir dan ketika itu hadirin yang gembira akan selit atau cucukkan wang kertas di kepalanya. Setiap yang menyelitkan wang akan mendapat tepukan gemuruh dari hadirin. Wanita mengalay yang punya penampilan menarik dan cantik dengan senyuman menawan biasanya akan dapat banyak selitan wang kertas.

Seperkara yang menarik dengan Pangalay Tausug ialah dilakukan seolah-olah ditiup angin atau dibawa oleh arus air laut kehulu kehilir. Penulis memerhatikan perbezaan besar Pangalay Tausug dengan tarian kebudayaan Thailand dan Jawa/Bali ialah dua perkara yang disebutkan itu,

  • Seperti ditiup angin,
  • Seperti dibawa arus air laut,
Ia seperti menceritakan bahawa "Negeri kami berada Ha Baba'an Hangin" (di bawah angin), dan "kami berasal dari Lupa' Sug" (Lupa' bermaksud Tanah, Sug bermaksud arus air laut). Secara simbolik ia sebenarnya menceritakan akan bangsa mereka yang lemah lembut dan peramah (seperti tarian Pangalay), lokasi negeri mereka berada di bawah angin (maknanya jauh ke Timur) dan pekerjaan masyarakatnya merentas lautan (samada berdagang, berperang atau nelayan).

Inilah penjelasan berkenaan bahasa asal Pangalay yang menjadi budaya Tausug sejak dahulu kala. Menunjukkan bahawa Pangalay itu wujud turun-temurun telah berjaya mengekalkan identiti bangsa Sulu. Generasi muda hari ini mereka hanya "Mengalay" ketika hari perkahwinan sahaja. Tidak seperti dulu yang pekerjaan mereka merentas lautan samada berperang (menjaga Laut Sulu), berdagang atau nelayan disambut dengan "alu-aluan" tarian Pangalay yang menghiburkan.


HULA' HA BABA'AN HANGIN
Hula' Ha Baba'an Hangin bermaksud (Negeri Di Bawah Angin atau Bayu). Hari ini Negeri Sabah dipanggil Negeri Di Bawah Bayu sebab lokasinya yang berada jauh di sebelah Timur Malaysia. Dari mana Malaysia mendapat nama ini? Penulis tidaklah mengambil kisah tentang dari mana dan siapa yang memanggil negeri Sabah sebagai Negeri Di Bawah Bayu, tinggal lagi yang penulis jelaskan ialah macamana pun keadaannya Sabah adalah termasuk dalam wilayah Kesultanan Sulu ketika dulu. Orang Sulu atau Tausug memanggil wilayah kekuasaan mereka sebagai Hula' Ha Baba'an Hangin atau Negeri Di Bawah Angin semenjak dahulu lagi. Kiranya kita mendengar perbualan pakcik-pakcik tua Tausug kita akan mendengar mereka menyebut-nyebut akan negeri mereka (Sulu) sebagai negeri di bawah bayu. Ia sudah menjadi tradisi lisan di seluruh kepulauan Sulu.

Kalau Sabah dipanggil begitu ia sebenarnya lebih kepada "satu pengesahan" bahawa North Borneo (Sabah) semenjak dulu tidak dapat dipisahkan dengan Tausug. Kemungkinan besar yang menamakan Sabah Negeri Dibawah Bayu ini ialah Allahyarham Tun Datu Mustapha, sebagaimana dia sendiri yang menamakan North Borneo kepada Sabah sempena nama pokok pisang Tausug yang dipanggil Pisang Sabba.

Asree

Post a Comment