SEJARAH BANA' & APO' ELAJI
Lagu Tausug ini penulis dedikasikan buat Pulau Basilan dan penghuninya. Pulau Basilan adalah permulaan kepada Bangsa Tausug Taguimaha.
Keluarga penulis berasal dari Pulau Basilan, Sulu. Satu kampung yang dinamakan Bana' adalah tempat ayah penulis dilahirkan. Menurut keluarga penulis, Bana' mempunyai pantai berpasir yang cantik. Sekiranya air laut surut mereka akan turun ke pantai mencari makanan laut (managat). Kampung Bana' diasaskan oleh moyang penulis bernama Elaji bin Ubba' yang dibelinya dari tuan tanah berbangsa Yakan.
Pernah suatu hari, sekumpulan bangsa Yakan datang untuk merampas tanah Bana' itu semula dari Elaji kerana kononnya kawasan tersebut adalah milik bangsa Yakan bukan Tausug dari Jolo. Elaji telah menunjukkan bukti pembelian tanah tetapi kumpulan Yakan itu masih berkeras minta dikembalikan tanah tersebut. Maka berlakulah pertempuran antara keluarga Elaji dengan kumpulan Yakan tersebut yang akhirnya Elaji berjaya menumpaskan mereka.
Menurut datuk penulis (Muhammad Salleh bin Elaji), ayahnya (Elaji) adalah seorang hulubalang Sultan Sulu yang rapat dengan istana dari Sultan Jamalul Kiram II hingga Mawallil Wasit Kiram. Ketika Datu Paduka Mat Salleh datang ke Jolo untuk meminta bantuan kepada para Datu dan Panglima memerangi British, Elaji antara salah seorang yang menawarkan diri. Beliau sebenarnya adalah berasal dari keluarga para Datu di Mou' Bu' (satu tanjung di Buansa yang dijadikan perkampungan para Datu) dan beliau salah seorang hulubalang yang selalu menyertai peperangan di mana-mana termasuk ke Borneo.
Menurut Ayah penulis, Elaji adalah seorang yang berkulit putih kemerahan dan berbadan kecil agak tegap serta tidak begitu tinggi. Beliau termasuk bangsawan dari kalangan keluarga Datu di Mou' Bu' yang terkenal sebagai "pagkausugan" (kejantanan atau kebal). Suatu hari ketika sedang berlaku cabar-mencabar antara dua orang Tausug tentang siapa yang kebal antara mereka tiba-tiba Elaji muncul di tengah-tengah mereka merampas pisau lalu menghiris lengannya sendiri sekuat tenaga sambil berkata,
"Yari in pagkausugan!! Bukun maglatahan way guna!!" (Inilah kejantanan!! Bukan melatah dengan bercakap tiada guna!!) Menyebabkan orang ramai bersurai dari tempat kejadian.
PANGGILAN JIHAD OLEH MAT SALLEH
Setelah kedatangan Datu Paduka Mat Salleh ke Buansa (Jolo) dengan membuat panggilan jihad kepada para hulubalang Tausug untuk memerangi kedajjalan Inggeris di Borneo, telah bermula fasa baru dalam kehidupan Elaji. Menurut ayah penulis, Elaji ketika itu belum berkahwin dan masih muda belia. Beliau mengikuti rombongan perang Tausug dari Buansa (Jolo) menuju ke Sugut, Sandakan mengikut Datu Paduka Mat Salleh. Perjalanan mereka sebelum sampai ke Sugut telah melalui kepulauan Tawi-Tawi kemudian ke Sungai Kinabatangan. Menurut Ayah penulis, dari Lahad Datu hingga ke Sungai Kinabatangan memang telah dihuni oleh majoriti Tausug dan Bajau malah sehingga ke Sandakan seterusnya ke Sungai Sugut masih dikuasai oleh Tausug ketika itu.
Ketibaan hulubalang Tausug dari Buansa disambut meriah oleh Tausug di Sungai Sugut dan tidak lama kemudian berlakulah banyak pertempuran antara Datu Paduka Mat Salleh dengan kompani Inggeris ketika itu. Menurut ayah, kekuatan pasukan Mat Salleh ialah berpunca dari kumpulan Tausug dari Buansa yang diimport bergabung dengan Tausug di Sungai Sugut dan Kinabatangan.
Dalam catatan sejarah, pasukan Mat Salleh turut disertai oleh pahlawan dari kaum Iranun dan Bajau Balangingi kerana mereka ini adalah juara di laut yang sangat handal. Malah kumpulan pahlawan dari suku kaum Tidung di Tawau dan Lahad Datu turut menyertai Datu Paduka Mat Salleh memerangi Kompani Inggeris ketika itu. Hal ini menjadi bukti mengapa Inggeris dengan kekuatan modennya gagal menumpaskan Datu Paduka Mat Salleh sehingga membawa kepada perjanjian damai yang diminta oleh Inggeris sendiri.
Menurut sejarah, Kompani Inggeris terpaksa meminta perdamaian dengan Datu Paduka Mat Salleh dengan melupakan segala tuduhan terhadap Datu tersebut sebelum ini (beliau dituduh bertanggungjawab ke atas pembunuhan dua orang Dayak Lotud yang berniaga rotan di kawasan pemungutan cukai Mat Salleh). Kompani Inggeris tidak sanggup lagi berdepan dengan kerugian yang tidak munasabah kesan dari peperangan dengan Mat Salleh. Inggeris juga merasakan kerugian lain yang sukar ditebus ialah Mat Salleh semakin mendapat dokongan dari semua lapisan masyarakat Lotud dan Murut sudah tentu akan memusnahkan masa depan Kompani British di masa-masa akan datang di bumi Borneo Utara.
KEPAHLAWANAN APO' ELAJI
Menurut cerita datuk kepada ayah penulis, Elaji ketika datang dari Buansa ke Sugut beliau hanya membawa sebilah Barung kecil bersamanya. Beliau tidak suka membawa Barung besar kerana baginya barung yang besar dan panjang hanya untuk lelaki berbadan besar dan tinggi sedangkan beliau sendiri tidak mempunyai saiz badan seperti itu. Beliau juga berpandangan, Barung yang besar dan panjang hanya untuk orang penakut.
Telah menjadi kehairanan kepada penulis bagaimana Elaji boleh berperang dengan hanya bersenjatakan Barung sekecil itu. Ayah penulis menyatakan bahawa Elaji adalah seorang ahli Barung sekali pun bertubuh kecil. Ketika dalam peperangan beliau hanya membawa dua perkara iaitu Barung kecil dan sebatang Pakaw yang dipegang erat di sebelah tangannya. Pakaw ialah sejenis kayu penampan yang mudah dipegang berbanding Taming yang besar dan bulat.
Suatu hari, kumpulan Elaji telah berjaya menyerang hendap sekumpulan besar tentera Kompani Inggeris yang sedang dalam perjalanan memburu Mat Salleh. Berlakulah pertempuran sengit antara kedua belah pihak. Oleh kerana Inggeris tidak sempat melepaskan banyak tembakan maka yang sempat mereka buat ialah mencabut pedang sahaja. Untuk beradu pedang dengan ahli pedang Inggeris tidaklah semudah yang disangkakan. Elaji terpaksa memberi peluang kepada tentera Inggeris untuk menetak belakangnya terlebih dahulu untuk memudahkan beliau masuk seterusnya memutuskan tali perut dengan Barung kecilnya. Menurut ayah adalah menjadi kegemaran Elaji untuk memberi peluang kepada Inggeris menetak belakangnya yang tidak lut oleh besi itu untuk memudahkan dirinya menetak ke dalam memutuskan apa sahaja dengan Barung kecilnya.
Kekalahan akhirnya tertimpa ke atas pihak Kompani Inggeris, mayat mereka bergelimpangan merata-rata. Entah bagaimana pada ketika itu Elaji telah mendapat sebilah Keris yang menurut ayah penulis mungkin dihadiahkan oleh salah seorang sahabatnya atau pun dibeli setelah sampai ke Sugut. Elaji mengangkat dua orang mayat Inggeris dan meletaknya di atas batang balak secara bertindih lalu menetaknya dengan keris barunya sehingga mayat Inggeris terputus dua. Maka sejak itu Elaji menyimpan keris tersebut dan menamakannya TIMBANG DUA sempena menetak dua orang mayat Inggeris tersebut.
PERISTIWA SEBELUM ELAJI MENETAP DI SUGUT
Peristiwa kekalahan Inggeris di tangan pasukan Elaji menjadi buah mulut orang-orang Sugut. Peperangan semakin berlanjutan antara Inggeris dan Mat Salleh. Penulis tidak dapat maklumat samada Elaji ikut serta dalam peperangan Mat Salleh dengan Inggeris di Ranau dan Inanam. Apa yang pasti ialah Inggeris memohon perdamaian dengan Mat Salleh sehingga termeterai perjanjian damai antara Mat Sallaeh dengan Inggeris di Inanam.
Perjanjian Damai di Inanam antara Datu Paduka Mat Salleh dengan Kompani Inggeris telah menjadi masa rehat kepada hulubalang Tausug yang datang dari Buansa. Elaji mengambil peluang ini dengan menetap di Ulu Sugut dan berkahwin dengan salah seorang wanita dari suku kaum Sungai. Sebelum perkahwinan ini Elaji dikatakan menjadi antara salah seorang pelindung kepada kaum Sungai yang berada di Ulu Sugut. Menurut cerita, penghuni kampung di Ulu Sugut sentiasa diganggu oleh kaum Dayak Gunung. Kemungkinan adalah disebabkan ramainya Tausug yang menetap di Ulu Sugut ketika itu telah menimbulkan kerimasan kaum Dayak.
Menurut cerita, kaum Dayak ini dibela oleh Inggeris yang sebahagian mereka bekerja dengan orang Inggeris ketika itu. Hal ini menjadi isu kepada Tausug yang menetap sementara di situ yang kebanyakannya adalah tentera bantuan Datu Paduka Mat Salleh sendiri. Akhirnya Elaji dan sahabat-sahabatnya mengambil tindakan dengan menyerang kumpulan Dayak tersebut. Ayah penulis bercerita,
"Apo' Elaji menyorok di dalam belukar menunggu para penunggang kuda kaum Dayak melaluinya. Bila tiba masanya, Elaji melompat dengan tiba-tiba penerpa para penunggang kuda Dayak dan bergelut dengan mereka. Hal ini telah sampai ke pengetahuan ketua kaum Dayak ketika itu, tidak berapa lama kemudian datang kumpulan Dayak diketuai oleh seorang penunggang kuda yang handal mencabar Elaji. Cabaran beliau ialah sekiranya Elaji boleh menjatukan dirinya dari kuda maka Elaji menang dan kiranya beliau gagal maka kekalahan di pihak Elaji."
Ketika penulis bertanya pada ayah apakah yang menjadi pertaruhan mereka, ayah menyatakan bahawa beliau sendiri tidak tahu tentang pertaruhan. Penulis pasti ada pertaruhannya tinggal lagi apa yang menjadi pertaruhan itu tidaklah diketahui. Ayah penulis menyambung cerita,
"Ketua penunggang Dayak itu menyatakan selama hidupnya beliau tidak pernah dijatuhkan oleh mana-mana pahlawan sekali pun dari atas kudanya. Elaji menyampuk bahawa itu adalah orang lain bukan dirinya. Maka peraduan pun telah berlaku antara Elaji dan penunggang kuda handal tersebut yang menjadi tontonan kedua belah pihak. Akhirnya dengan hanya melakukan beberapa gerakan Elaji berjaya menumpaskan si penunggang kuda yang handal tersebut dengan cara yang sangat memalukan. Kemenangan memihak kepada Elaji dan orang-orang kampung Ulu Sugut sehingga beliau di gelar SUMAGPI'. Sebenarnya mereka tidak mengetahui baha Elaji itu ketika di Mou' Bu' beliau adalah seorang bangsawan (keluarga para Datu) yang sangat handal menunggang kuda, inilah rahsia kemenangannya."
Sejak itu orang-orang Ulu Sugut memanggilnya SUMAGPI' bermaksud "Si Pematah", samada mematahkan serangan atau mematahkan ego musuhnya itulah maksud SUMAGPI'.
Salah satu peristiwa yang hampir meragut nyawa Elaji ialah ketika beliau sedang menjala ikan di Sungai Sugut. Beliau dengan ditemani seorang sahabat menaiki sampan di tebing lubuk buaya untuk menjala. Satu ketika jala mereka tersangkut. Mereka bertungkus lumus menarik agar terlerai sangkutan jala tersebut tetapi gagal. Elaji pun mengambil keputusan menyelam untuk meleraikan sangkutan jala tersebut. Rupa-rupanya jala tersangkut di badan seekor buaya yang sangat besar, tetapi Elaji tetap mahu dapatkan jalanya.
Sahabatnya menyarankan agar melepaskan sahaja jala tersebut di situ dan pulang sahaja ke rumah. Tetapi Elaji enggan dan beliau mengambil keputusan menyelam semula untuk leraikan sangkutan jala di badan buaya tersebut. Penulis berpandangan Elaji mengambil keputusan berani itu pertamanya adalah disebabkan maruah, keduanya adalah kemungkinan jala tersebut dipinjam dari orang lain yang beliau sudah tentu berjanji untuk mengembalikannya. Tausug sangat berpegang kepada dua perkara ini, maruah dan janji, kerananya boleh menyebabkan pertumpahan darah. Ayah penulis bercerita,
"Beliau mula menyelam dan perlahan-lahan membuka jala yang tersangkut di badan buaya tersebut. Tiba-tiba buaya tersebut tersedar lalu membahamnya. Sahabatnya yang berada atas perahu mula risau dan ketakutan kerana Elaji masih tidak timbul-timbul malah telah berlaku sesuatu yang ganas dalam sungai tersebut. Elaji menceritakan, ketika beliau dibaham di perut beliau terus dibawa menyelam ke satu tempat yang bersuhu hangat dan beliau hairan kerana boleh bernafas seperti biasa di tempat tersebut walau pun dalam air. Dengan kesempatan ini Elaji meraba tangannya mencari kedua mata buaya tersebut lalu mencucuk dengan jarinya. Buaya tersebut kesakitan bercampur terkejut tiba-tiba menggelupur dengan menggeleng-gelengkan kepala secara ganas sehingga Elaji terlepas dari mulutnya."
Ayah menyambung ceritanya bahawa Elaji berjaya terlepas dari mulut buaya lalu beliau naik ke tebing. Mengambil PIS SIYABIT (sejenis kain songket yang dipakai sebagai tenggolok oleh Tausug) lalu mengikat luka di perutnya kesan dari hirisan gigi buaya. Beliau menjerit kepada buaya tersebut bahawa beliau akan datang lagi berurusan dengannya. Elaji kembali ke rumah dan merawat dirinya. Selang beberapa ketika Elaji datang semula dengan membawa Barung dan Tombaknya ke lubuk buaya tersebut dengan tujuan membunuh buaya yang membahamnya tempo hari. Kebetulan buaya tersebut sedang bersantai di satu tebing,
"Wahai buaya, saya datang untuk berhitung dengan mu hari ini. Bersedialah kamu mempertahankan diri mu dari Barung dan Tombak ku ini. Adakah kamu betul-betul buaya atau Apo' Dagu'an? Kalau kamu dari Apo' Dagu'an angkat tangan mu agar aku dapat melihatnya."
Menurut orang tua-tua Tausug, Apo' Dagu'an ialah buaya yang mempunyai lima jari. Mengikut lagenda Apo' Dagu'an mempunyai lima jari sama seperti manusia adalah kerana mereka asalnya adalah dari keluarga manusia sebelum menjadi buaya. Mereka tidak memakan manusia tidak seperti buaya yang lain yang hanya ada empat jari. Ketika Elaji menyuarakan cabarannya tiba-tiba buaya tersebut mengangkat tangannya menunjukkan lima jari. Ketika itu Elaji memahaminya dan meninggalkan buaya tersebut.
ELAJI BERKAHWIN DAN KEMBALI KE BUANSA
Tidak lama kemudian Elaji berkahwin dengan seorang wanita tempatan di Ulu Sugut. Ketika sang isteri mengandung anak pertama mereka Elaji telah mendapat peluang untuk kembali ke tempat asalnya Buansa. Tidaklah dapat dipastikan apakah sebab musabab beliau tiba-tiba mahu kembali ke Buansa. Beliau tidak dapat membawa isterinya ketika itu adalah disebabkan tengah sarat mengandung anak pertama mereka. Merentas lautan dengan kapal layar zaman 1900-an ketika itu bukanlah mudah bagi wanita yang sedang sarat mengandung.
Dalam hal ini penulis mempunyai dua teori mengapa beliau bergegas kembali ke Buansa. Ayah penulis menceritakan Elaji begitu terdesak untuk belik ke Buansa seolah-olah ada perkara yang terjadi ketika itu. Kalau tidak masakan beliau tinggalkan isterinya yang sarat mengandung begitu sahaja tanpa sebab musabab yang mendesak. Berikut ialah teori penulis,
Teori Pertama: Kemungkinan besar Elaji telah mengambil keputusan kembali ke Jolo secepat mungkin kerana kedatangan Datu Paduka Mat Salleh ke Ulu Sugut dalam keadaan cedera selepas berperang dengan Inggeris di Tambunan dalam tahun 1900. Perlu difahami, perjanjian damai Mat Salleh dengan Kompani British hanya bertahan selama lebih kurang setahun selepas perjanjian tersebut dimeterai. Dalam masa tersebut Elaji dan sebahagian hulubalang Tausug menetap di Ulu Sugut sedangkan Mat Salleh duduk secara aman di Tambunan. Ketika peperangan kali kedua Mat Salleh di kubu terakhirnya di Tambunan, hulubalang Tausug kesemuanya berada di sepanjang Sungai Sugut yang sukar dipanggil untuk membantunya memerangi Inggeris di Tambunan ketika itu.
Menurut laporan Datu Mat Salleh berjaya membolosi kepungan Inggeris dengan kecederaan yang dialaminya kemungkinan besar telah menuju ke Ulu Sugut. Sesampai di Ulu Sugut Elaji dan Tausug lain meninggalkan Ulu Sugut membawa Datu Mat Salleh yang cedera terus menuju ke Pulau Basilan. Sehingga sekarang terdapat nama TAMBUNAN di Pulau Basilan yang hingga hari ini dikaitkan dengan Datu Paduka Mat Salleh. Hal ini penulis boleh kaitkan kerana Elaji yang berasal dari Mou' Bu' (Tidak jauh dari Buansa, Jolo) mengapa terbeli tanah di Bana' Basilan. Beliau berperang dengan kaum Yakan yang mahu merampas tanah Bana' dari tangannya mendapat kemenangan menumpaskan serangan Yakan kemungkinan dibantu oleh hulubalang yang datang bersamanya dari Ulu Sugut.
Elaji menetap di Bana' dan berulang alik ke Mou' Bu' dan berkahwin lagi dengan seorang wanita Tausug di sana. Isteri kedua ini melahirkan ramai anak di Bana' antaranya datuk penulis yang dinamakan oleh Elaji dengan Muhammad Salleh sempena nama Datu Paduka Mat Salleh. Beliau mengatakan,
"Nalawa' na in Muhammad Salleh, bihaun danglayun ku in anak ku kan Muhammad Salleh" (Mat Salleh telah hilang, maka aku gelarkan anak ku ini dengan nama Muhammad Salleh)
Teori kedua: Elaji bergegas ke Sulu kerana kedatangan Amerika Syarikat yang telah menimbulkan polemik dikalangan para Datu dan Kesultanan. Hal ini tentunya telah sampai ke pengetahuan orang-orang Tausug yang tinggal di Sugut. Panggilan jihad oleh para datu dan ulama di Sulu menyebabkan Elaji tidak berfikir panjang kembali ke Sulu kerana keluarganya berada tidak jauh dari Buansa yang telah dimasuki oleh Amerika Syarikat itu.
Bila beliau sampai ke Sulu kemungkinan besar beliau sangat kecewa dengan politik para datu dan para bangsawan Tausug yang lebih banyak memihak kepada musuh. Meletusnya perang Bud Bagsak dan Bud Dahu antara 1913 - 1924 sebenarnya menjadi kehibaan para Datu dan Tausug kerana ribuan Tausug dan para datu mereka dibunuh oleh Amerika Syarikat secara kejam. Bagi para Datu yang tidak menyokong Amerika Syarikat kemarahan mereka tidak akan menghasilkan apa-apa kerana AS mempunyai ketenteraan Laut dan Darat yang mustahil dapat dikalahkan oleh Muslimin Tausug. Ditambah lagi dengan ramainya Tausug yang memihak kepada Amerika Syarikat di Sulu menyebabkan kebencian Elaji sehingga beliau mengambil keputusan berhijrah dari Mou' Bu' menuju ke Basilan lalu membeli tanah di Bana'. Lokasi Bana' kalau dilihat sebenarnya mengadap ke Laut Sulawesi, mempunyai pantai yang cantik dan indah.
Sehinggalah datuk penulis dilahirkan dengan dinamakan Muhammad Salleh sempena nama Datu Paduka Muhammad Salleh (Mat Salleh) di Borneo Utara.
PESAN APO' ELAJI KEPADA MUHAMMAD SALLEH
Apo' Elaji ketika hayatnya sangat menitikberatkan Solat fardhu kepada anak-anaknya. Pengajian Al-Quran di rumah kepada anak cucunya begitu diambil berat. Apo' Elaji fasih berbahasa Melayu (adalah kerana pergaulannya dengan orang Melayu Brunei di Sandakan). Ayah penulis menceritakan Apo' Elaji selalu menegur anaknya Muhammad Salleh yang ketika itu adalah pemuda yang sangat nakal agar mempelajari agama kepada guru-guru alim. Menurut Apo' Elaji sesiapa yang meninggalkan Solat maka mereka telah meruntuhkan Islam. Antara pesanan Apo' Elaji lagi,
- Jangan belajar dan mengamalkan Ilmu Sihir kerana ia akan menjauhkan kalian dari agama seterusnya jauh dari keampunan Tuhan. Suatu hari Muhammad Salleh (datuk penulis) bertanyakan kepada Ayahnya (Elaji) berkenaan ilmu kebal dan mahu belajar tentangnya. Elaji kemudian menunjukkan satu gulungan kertas yang diikat rapi di satu sudut rumah dan mengatakan bahawa itulah ilmu yang dia mahu. Ia adalah ilmu yang tiada guna yang dia sendiri telah melepaskannya. Menurutnya ilmu kebal sebenar ialah medalami Tauhid dan mengikuti sunnah Rasul SAW. Sejak itu Muhammad Salleh mula mempelajari agama Islam sehingga beliau menjadi pendakwah dan Imam kampung yang disegani di Pulau Basilan.
- Elaji meminta Muhammad Salleh pergi ke Sandakan dan Sugut mencari saudaranya (anak isteri pertama Elaji). Beliau meminta juga kepada Muhammad Salleh kalau mahu mencari ibunya (ibu tiri) sebut sahaja nama SUMAGPI' mereka akan tunjuk jalan menuju ke rumah ibu tirinya. Ketika tahun antara 50 hingga 60-an Muhammad Salleh telah sampai ke Sandakan dan terjumpa dengan saudara tunggal dari ibu tirinya dari Sugut bernama Hj Sugung bin Elaji. Malangnya hingga hari ini keluarga Hj Sugung tidak dapat dihubungi lagi kerana faktor kemasukan Sabah ke Malaysia dan Jus Soli.
Asree
|