KEMERDEKAAN SULU KEMENANGAN ISLAM

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Friday, September 25, 2009 0 ulasan

Penulis merancang memaparkan beberapa Hadith Rasul saw berkenaan kemunculan To'ifah di akhir zaman dari sebelah timur sebelum kemunculan seorang pemimpin yang mendapat petunjuk (Al-Mahdi), tetapi tidak berkesempatan di ketika ini. Penulis masih berada di Sandakan saat ini kerana masih ada perkara yang perlu diselesaikan.

Beberapa hari lalu penulis berjumpa dengan sahabat handai yang sudah lama tidak bertemu, ada yang baru balik dari Zamboanga dan ada yang dari Kota Kinabalu, Lahad Datu serta semenanjung Malaysia pun ada. Salah seorang sahabat penulis yang sempat dijumpa ialah datang dari Kota Marudu, kerabat Sultan Harun Ar-Rasyid. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai saudara 'Z' membawa beberapa bukti dan gerak kerja perundangan untuk membawa kes Sabah dan Kesultanan Sulu ke ICJ (International Court of Justice). Beliau mengajak penulis untuk berkerjasama membawa kertaskerja tersebut ke Brunei dan seterusnya ke Putrajaya. Sebagaimana penulis yang pro-keamanan dan kedamaian Nusantara beliau juga mempunyai "arah" yang sama. Tinggal lagi beliau mempunyai caranya yang tersendiri. Bagi penulis hal ini adalah baik dan perlu diberi kerjasama dan sokongan.

Isunya ialah membawa kes Kesultanan Sulu ke atas agar ia difahami oleh Malaysia, sebagai persediaan dari sebarang kemungkinan yang tidak diingini dikemudian hari oleh Malaysia, Brunei dan Indonesia, seterusnya dibawa ke PBB, OIC dan ICJ. Kerana menurut beliau Sulu sekarang susah dan sukar merdeka selagi kes ini tidak dibawa kepada Malaysia, Brunei dan Indonesia. Itu adalah pandangan dan arah tuju beliau, tetapi penulis menyoal, benarkah Malaysia, Brunei dan Indonesia tidak mengetahui tentang Sulu dan kes Sabah?


KEMENANGAN ISLAM BERMULA DI SULU
Seorang guru penulis pernah mengatakan, "Islam akan kembali dagang di akhir zaman sebagaimana awal-awal kemunculannya di zaman Rasul SAW, ia akan kembali di sebelah timur dan mereka adalah para Ikhwan (yang sangat mengasihi Muhammad SAW) yang akan menjadi tentera-tentera imam Al-Mahdi Al-Muntazar".

Menurut para mufassir, sebelah timur yang dimaksudkan Al-Hadith ialah sebelah timur tanah Arab iaitu Afghanistan dan inilah yang paling mahsyur. Tetapi beberapa ulama Nusantara berpendapat yang dimaksudkan itu adalah Malaysia dan Indonesia. Penulis tiada sangkalan tentang hal ini, tetapi bagi penulis yang dimaksudkan ialah Nusantara secara kolektif.

Berbicara tentang Nusantara, bahasanya, budayanya, adat resamnya adalah serumpun iaitu rumpun Melayu. Melayu adalalah Bahasa bukannya bangsa, ia menjadi bangsa setelah ia dibangsakan kepada orang Melayu Jambi dan Palembang ketika dulu hinggakan di Malaysia wujudnya bangsa Melayu kesan dari penjenamaan mereka yang disahkan lagi oleh Inggeris dan Belanda. Umat Melayu mempunyai rupa-paras serumpun bermula dari Selatan Burma sehingga ke Hawaii yang secara antropologinya disebut Melayu-Austronesia. Kekuatan Melayu-Austronesia ialah berada di kepulauan besar yang asal iaitu dari Tanah Siam sehingga ke Utara Filipina, dan inilah yang mewarnai budaya Nusantara hari ini, majoritinya beragama Islam.

Mengambil agama Islam sebagai agama rasmi dan dinobat sebagai umat penganut Islam teramai di dunia, Nusantara tidak syak lagi adalah persis seperti yang diisyaratkan dalam hadith Rasul SAW. Pandangan penulis memilih Nusantara sebenarnya tidaklah menggugat keabsahan Afghanistan (Khurasan) sebagai negeri di sebelah timur sebenar dimaksudkan Hadith yang ditafsirkan oleh para ulama'. Sekadar melihat suasana dan keadaan semasa yang bersesuaian dengan Nusantara iaitu "Di Sebelah Timur", "Pengamalan Islam yang semakin diterima", "Mempunyai bangsa hebat dan gagah berperang tidak terkalahkan".

Di Nusantara, tanpa dapat disangkal oleh sesiapa, Sulu tetap menjadi induk kepada kebangkitan Islam. Masyarakatnya sekalipun berketurunan Melayu yang bercampur dengan darah Israel mempunyai pengamalan Islam yang fanatik. Penulis maksudkan fanatik, ialah pengetahuan Islam yang mereka pelajari begitu digenggam erat dan diyakini sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir sekali pun ilmu agama mereka setipis kulit bawang. Sekiranya kita perhatikan maksud sebenar "Ikhwan ku" yang disebut Baginda SAW berkenaan umatnya di akhir zaman yang digambarkan sebagai hebat dan beriman sehingga dicemburui oleh para sahabat, ia akan terfokus kepada umat Islam di Sulu.


IKHWAN RASUL SAW
Penulis telah melakukan kajian, pengamalan MAULIDURRASUL di Sulu adalah yang paling fanatik pernah penulis lihat dimana-mana di kawasan lain di Nusantara atau pun di Dunia amnya. Orang Malaysia dan Indonesia mengatakan pengetahuan dan pengamalan Islam di Sulu begitu tipis dan menyedihkan, hal ini diakui sendiri oleh tentera Amerika Syarikat era 1900-an ketika dulu. Tetapi setelah diselidiki kenyataannya bukanlah begitu.

Seorang sahabat penulis menjelaskan,

"Tausug adalah pengamal Islam yang taat, walau pun pengamalan dan pengetahuan Islam mereka setipis kulit bawang tetapi anak-anak mereka tidak seperti di Malaysia dan Indonesia. Cuba lihat di Jolo, anak-anak Tausug tiada yang mendedah pusat dan aurat, malah tiada yang meminta-minta sedekah walau pun papa kedana.

Kes "haruan makan anak" tidak pernah kedapatan, tetapi di wilayah Nusantara lain semakin berleluasa. Maulid Rasul dirai dengan meriah lebih meriah dari Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha, tanda syukur ke hadrat Ilahi. Mereka membaca kitab Al-Barzanji dan menjamu makanan kepada fakir miskin dari bermula selepas Solat Isyak sehingga menjelang waktu Solat Subuh setiap tahun, mereka sangat mengasihi ahlul bait dan para ulama' dan imam-imam yang menjadi pemimpin agama mereka. Di Indonesia dan Malaysia tiada majlis do'a selamat dari rumah ke rumah oleh Imam, tetapi di Sulu ia masih berjalan sebab itu para imam dan masyarakat terlalu rapat hubungannya. Inilah rahsia Tausug sukar dikristiankan dan dikalahkan."

Asree

Post a Comment