KEMERDEKAAN SULU:Gerakan Keamanan Atau Perang
SOLUSI MENURUT HASHIM SALAMAT
Menurut bekas Komander MNLF, Hj Zakaria Abdullah menyatakan bahawa Allahyarham Syeikh Hashim Salamat (Mantan Pengerusi MILF) pernah menyuarakan pandangannya,"Untuk kemerdekaan Moroland sebenarnya bagi saya sangat mudah, iaitu sekiranya kita dapat memerdekakan walau sebuah pulau kecil di mana-mana wilayah kita ini terlebih dahulu, maka sebenarnya kita sudah merdeka."
Menjadi kehairanan kepada penulis apa sebenarnya maksud ucapan Hashim Salamat itu kepada Hj Zakaria. Maka beliau jelaskan bahawa Hashim Salamat sangat optimis dengan cara tersebut (iaitu dapat memerdekakan dahulu mana-mana kawasan walau pun sekecil sebuah pulau) kemudian selepas itu memerdekakan kawasan lain akan bertambah mudah. Ucapan Hashim Salamat ini penulis dengar dari lidah Hj Zakaria dua tahun yang lalu iaitu setelah penulis siapkan buku Tausug & Kesultanan Sulu.
Sebelum itu penulis telah ceritakan secara panjang lebar kepada Hj Zakaria berkenanaan United tausug Citizens (UTC) yang menggunakan modal keamanan dan Tausug, Kesultanan Sulu. Peringkat awal Hj Zakaria agak terkejut kerana perjuangan UTC ini adalah baru dalam sejarah Sulu semenjak zaman Maas Kamlun sehingga era Maas Misuari. Menurut beliau lagi, kalau ini dapat dilakukan oleh UTC iaitu memerdekakan Sulu terlebih dahulu maka sesuailah dengan saranan Allahyarham Syeikh Hashim Salamat seperti yang disebut di atas. Keluarnya mana-mana dari bahagian Mindanao dan Sulu dari Filipina pastinya akan diikuti oleh kawasan lain.
Berkenaan hal ini secara lanjut, ada ucapan yang tidak dapat penulis ceritakan di sini berkenaan kata-kata tambahan Syeikh Hashim Salamat. Cukup menjadi rahsia kami berdua dengan Hj Zakaria dan kawan-kawan sepengkaji sejarah Sulu. Bagi penulis, cadangan atau saranan Hashim Salamat itu ada kebenarannya sesuai dengan apa yang berlaku secara kebetulan dengan UTC hari ini.
PERJUMPAAN DENGAN DELEGASI MILF DI PUTRAJAYA
Pada pagi itu (Ogos, 2008) penulis telah sampai awal di Hotel JW Marriott Putrajaya bertemu dengan Tuan Prof. Syed Abhoud Lingga (Institute of Bangsamoro, Cotabato) kemudian kami terus turun ke bawah menuju ke Restoran Hotel tersebut. Di sana duduk beberapa orang yang bertubuh besar dan tinggi yang kemudian diperkenalan oleh Tuan Syed Abhoud sebagai delegasi MILF untuk rundingan damai di Putrajaya kelmarin (penulis diberitahu perjanjian damai kelmarin itu telah dibatalkan oleh Arroyo).
Salah seorang dari mereka langsung bercakap dalam Bahasa Maguindanao kepada penulis yang kemudian bertutur pula dalam Bahasa Melayu setelah beliau dapati penulis tidak faham dengan Bahasa Maguindanao. Salah seorang lagi bertanya kalau penulis boleh berbahasa Iranun atau Ilanun, Syed Abhoud menjawab bahawa penulis hanya faham empat bahasa iaitu Bahasa Tausug, Bahasa Melayu, Bahasa Bajau dan Bahasa Inggeris, lalu mereka memilih Bahasa Inggeris sebagai alat berkemunikasi.
Tiba-tiba seorang yang bertubuh besar tinggi bertanya (alih bahasa dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu), "Kamu orang Suluk bukan?", penulis menjawap, "Ya saya orang Suluk. Tapi bukankah orang-orang Mindanao panggil kami dengan panggilan Sulug?", beliau ketawa besar dan berkata, "Ya benar, Suluggggggggg kamu memang orang Suluggggg, arus air laut yang deras." Kemudian mereka bertanya bagaimana penulis boleh berada di Kuala Lumpur yang begitu jauh dari Sulu, penulis bertanya semula mengapa mereka ada di sini pula (di Putrajaya), pejuang berada di mana-mana kata penulis, lalu mereka ketawa tanda faham.
Berikut ialah soalan-jawab dengan mereka,
Asree:
Mengapa rundingan damai kalian dengan Kerajaan Filipina terbatal?
Delegasi MILF:
Huh, yang batalkan bukan kami tapi Kerajaan Filipina. Kami komited dengan perdamian tetapi mereka yang selalu melengahkan dan membohongi kami.
Asree:
Bukankah sudah lama jadi begini (dipermainkan)?
Delegasi MILF:
Ya, ia sudah lama semenjak zaman Ustaz Hasim Salamat lagi mereka melakukannya tetapi kami tidak putus asa, terus bersabar dan lawan. Masa rehat (maksudnya ketika perdamian) kami gunakan untuk kumpul kekuatan. kalau mereka langgar proses damai setelah itu kami perang lagi dengan mereka, hahaha (ketawa kecil) inilah kitaran hidup BangsaMoro, kamu faham bukan".
Asree:
Tuan tahu ini (perjanjian damai) adalah satu penipuan yang berterusan mengapa tuan meneruskan juga menghadiri perjanjian damai ini sedangkan sudah tahu ia muslihat?
Delegasi MILF:
Brother Asree, kami memang tahu sejak dari awal tetapi kami perlu hadirinya sebagai mengesahkan yang kami komited dengan proses damai agar dengan demikian komuniti antarabangsa dapat melihat kesungguhan kami. Bayangkan kalau kami tidak hadir mereka akan katakan, nah inilah teroris mahu perang saja damai tidak mahu, menyalahkan kami pula.
Asree:
Tuan sebut tadi bahawa pihak tuan sememangnya menyedari penipuan mereka.
Delegasi MILF:
Hahahaha... (mereka ketawa kecil), ini adalah permainan. Permainan yang mereka cipta yang terpaksa kita ikut bermain dengan mereka....
Perbualan terhenti seketika dan penulis mula berfikir, "Permainan?", hebat sungguh para konspirator yang memperalatkan kepentingan BangsaMoro sebagai modal permainan mereka. Ini bermakna sekiranya BangsaMoro tidak mahu berperang walau pun disogok senjata pasti akan dapat memadam kekuasaan Filipina ke atas Sulu dan Mindanao. Berterusannya mereka menguasai Sulu dan Mindanao adalah sebab ini, iaitu mengapi-apikan kemarahan orang Islam yang kemudian mereka melawan dengan senjata. Manila berusaha dengan senantiasa mewujudkan peperangan agar wilayah tersebut tetap bergolak seterusnya kekal dalam kekuasaan tentera mereka. Terbuktilah, bunyi-bunyi letupan bom di Sulu dan Mindanao adalah perbuatan Manila sendiri.
Perkiraan penulis tentang hal ini sangat mudah, ia seperti 1+1=2. Iaitu Provokasi Filipina + Bangsamoro melawan = berterusan terjajah, sangat mudah perkiraannya, hanya orang yang bodoh tiada akal sahaja yang menidakkannya. Kerana pastinya Filipina menang dalam peperangan dek kerana kekuatan mereka yang disokong oleh persenjataan Amerika.
FILIPINA PENYUMBANG PERSENJATAAN BANGSAMORO
Senjata para pejuang Sulu dan Mindanao mempunyai dua sumber. Pertama dari pihak Marcos dan Kerajaan Filipina sendiri (sehingga hari ini), keduanya dari negara luar seperti Libya dan Arab Saudi serta negara-negara di Nusantara lain seperti Malaysia dan Indonesia. Keterlibatan Malaysia dan Indonesia ketika dulu adalah disebabkan membantu sesama saudara muslimin. Setelah penubuhan Asean, Malaysia dan Indonesia tidak mahu terlibat dengan konflik di Filipina lagi. Sebab itu penulis katakan persatuan ASEAN itu ditubuhkan oleh para Konspirator untuk menghalang kemerdekaan Sulu dan Mindanao.
Hari ini, Filipina adalah tersenarai dalam dunia sebagai antara negara yang menjual senjata api malah mengeksport M-16 dan senjata lain (seperti AK, B40) serta peluru ke negara-negara ASEAN. Filipian mempunyai kilang senjatanya sendiri di Luzon. Ini disahkan oleh seorang wartawan Filipina salah seorang dari penpal penulis. Menurut laporan wartawan antarabangsa, Pulau Cebu adalah tempatnya kilang senjata api haram terbesar di dunia. Telah menjadi perusahan utama masyarakat Pulau Cebu membuka kilang-kilang senjata api di rumah-rumah mereka. Persoalannya kemana mereka jual?
Ternyata senjata tersebut dijual kepada tentera Filipina untuk dijual semula ke rantau ASEAN. Kemudian lagi dijual pula kepada MILF dan MNLF melalui pihak ketiga. Perkara ini dibuktikan oleh bapa saudara penulis yang sekarang tinggal di Pulau Basilan, beliau menyatakan untuk membeli M-16 dan AK-45 sangat mudah kalau ada RM3,000 ke RM 4,000, tempat membelinya ialah dengan tentera Filipina sendiri samada Tentera Darat atau Tentera Marin yang menjualnya secara "bawah meja".
UTC SEBAGAI WADAH PERJUANGAN TERKINI
Maka benarlah kata Sultan Bantilan II dan UTC, peperangan ialah dicipta oleh Manila untuk meneruskan penjajahan mereka ke atas Sulu dan Mindanao. Mereka telah mencipta Abu Sayyaf, MNLF dan MILF secara tidak langsung demi kepentingan mereka. Pemisahan dengan menggunakan senjata menurut UTC perlu dihentikan kerana ia menambahkan kekuatan cengkaman Filipina sendiri terhadap Sulu dan Mindanao.
Selama mana peperangan berterusan, selagi itulah berterusannya media antarabansa fokus kepada mereka yang terlibat dalam peperangan seperti MNLF, MILF dan Abu Sayyaf sahaja. Mereka tidak akan melihat lagi tentang keamanan melainkan pengeboman, penculikan, pembunuhan, serang hendap yang pastinya tertuding ke arah Abu Sayyaf, MNLF atau MILF. Demikian sudah tentu adalah hasil ciptaan mereka sendiri. Malangnya MNLF dan MILF bersama Abu Sayyaf tidak sedar mereka berada dalam kawasan permainan. Yang lebih malang lagi mereka telah mengetahui permainan tersebut sejak dari awal tetapi hanya berkata,
"Tausug berani berperang, jangan cabar Tausug, ia pasti melawan sampai ketitisan darah yang terakhir!!"
Satu slogan atau jeritan yang tidak laku lagi dalam era globalisasi, ketinggalan sungguh orang-orang Tausug. Ketinggalan adalah disebabkan "Berani tapi bodoh", sudah tahu masuk lubang tetapi masuk juga kedalamnya (menjerumuskan diri dalam kebinasaan). Dalam hal ini Allah swt memperingatkan,
"Dan janganlah kamu menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan." (Al Baqarah: 195)
Kerja Juramentado atau berani mati menyerang ketengah tentera musuh (membunuh seramai mungkin musuh sebelum diri sendiri terbunuh) setelah tiada pilihan lain seperti yang dilakukan oleh Tausug ketika dulu atau Palestin hari ini adalah dikira Jihad Fisabilillah. Tetapi sekiranya terdapat pilihan lain yang boleh menyelamatkan ummah dan harta serta nyawa orang-orang Islam tetapi masih mahu berperang membabi-buta sehingga memusnahkan strategi umat Islam maka mereka dikhuatiri termasuk dalam orang yang membunuh diri sendiri,
"Janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah maha penyayang terhadap diri kalian". (An-Nisa : 29)
Orang yang mengetahui dirinya ditipu dan masih melibatkan dirinya dengan penipuan tersebut tidak lain dan tidak bukan mereka ini telah kehilangan akal yang sempurna. Mereka tidak layak memegang amanah Ummah dan semestinya mereka ditolak dan disihkan dari mengendalikan urusan kaum Muslimin,
"Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya, harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.." (An Nisa:5)
Wallahu a'lam
ASREE
|