PERPADUAN KEARAH MENGEMBALIKAN KHILAFAH

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Saturday, September 12, 2009 4 ulasan


"Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama." Riwayat Al-Bukhari, Hadis no: 71.


ADU DOMBA DAN PERPECAHAN UMMAT

Tajuk artikel ini mungkin akan menggembirakan para ikhwan Hizbuttahrir di Malaysia dan Indonesia yang saban hari menggunakan modal "Mengambalikan Khilafah Islam" sebagai pokok perjuangan mereka. Sejak kebelakangan ini penulis telah mendapat tuduhan sebagai ahli atau talibarut Jamaah Hizbuttahrir disebabkan artikel penulis banyak mengarah ke Khalifahan yang diperjuangkan Hizbuttahrir. Mereka memerlukan bukti konkrit sebelum melontarkan tuduhan talibarut Hizbuttahrir kepada penulis.

Bagi penulis bukanlah satu masalah besar sekiranya mereka menuduh Hizbuttahrir, Syi'ah (keranan menyokong Ahlul Bait), Anti-Wahhabi/Salafi, Jamaah Tabligh, Jamaah Al-Arqam atau Rufaqa, Sufi dan sebagainya kepada penulis, biarkan mereka menuduh untuk menyenangkan diri mereka. Sebilangan ummat Islam menuduh Hizbuttahrir sebagai sesat dan menyesatkan, tuduhan seperti ini bukanlah pelik dikalangan umat Islam. Inilah penyakit yang melanda umat Islam dunia hari ini tiada kesatuan dan perpaduan sebab itu umat Islam jadi lesu, layu, dayus dan dilanda sifat-sifat mazmumah yang bermacam lagi.

Ketika penulis menyokong konsep Aqidah (Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' Wa Sifat) yang menjadi pegangan Wahhabi/Salafi itu penulis di tuduh menganut faham Wahhabi/Salafi pula. Tetapi ketika penulis menyatakan bahwa konsep Aqidah yang dipegang Salafi itu adalah ringkasan kepada Sifat 20 yang menjadi pegangan Aqidah Tradisional di Nusantara, semua pihak geleng-geleng kepala. Mereka boleh sahaja berkata "Penulis ini telah keliru dan tersesat akal". Umat Islam perlu keluar dari perselisihan dan perdebatan yang boleh membawa kepada perpecahan agar mereka tidak "ditunggangi" oleh pihak ketiga. Usaha untuk mengurangkan jurang perbezaan kepada bersatu dengan "apa yang dipersetujui bersama" seperti berpegang dengan yang muhkamat, insyaAllah akan menyatukan ummat ini kepada satu kesatuan yang dahsyat.


Poster contoh pengajian kitab kuning berkenaan Sifat 20 yang masih dipelajari di pondok-pondok atau pesantren di Malaysia dan Indonesia. Di Kepulauan Sulu perbahasan Sifat 20 masih dipelajari sehingga kini.


PENJELASAN SIFAT 20

Penulis pernah bertanya kepada seorang syaikh Sufi, "Ya Syeikh bolehkah Tradisional dan Salafi bersatu?", beliau menjawab, "Mustahil mereka boleh bersatu kerana yang satu pihak berterusan melemparkan tuduhan dan yang satu pihak lagi mempertahankan diri dengan hujjah mereka."

Pernah suatu hari penulis bertanya, "Ya syeikh, apa pandangan syeikh tentang konsep Aqidah para Wahhabi dan Salafi?" Beliau menjawab, "Itu adalah konsep Aqidah bid'ah yang tidak pernah disebut Rasul SAW dan para Sahabat r.a." Penulis bertanya lagi, "Para Wahhabi dan Salafi mengatakan Sifat 20 itu adalah juga bid'ah yang tidak pernah disebut oleh Baginda SAW dan para sahabatnya, bahkan pengajian sifat 20 itu adalah sesat kerana hanya menghadkan sifat Allah swt kepada hanya 20 sifat sahaja, sedangkan sifat Allah swt tidak terbilang?"

Sang syeikh dengan tenang menjawab, "Sifat 20 adalah perbahasan ilmu Tauhid untuk mengenal Allah swt melalui sifat-sifatnya. Kita tidak membataskan Sifat Allah swt dengan hanya 20 Sifat, sifat Allah swt tidak terbilang dan tiada satu makhluk pun yang mampu membilangnya hanya Dia sahaja yang maha mengetahui.Maka sesiapa yang menuduh kita mengamal ajaran sesat sebab kononnya membataskan sifat Allah swt kepada hanya 20, maka tuduhan tersebut akan berbalik kepada mereka, wal'iyazubillah."

Beliau menyambung lagi, "Pengajian sifat 20 ini adalah asas kepada setiap individu muslim, ia wajib kerana awal-awal agama itu ialah mengenal Allah swt. Dengan itu manusia tidak keliru dan tercari-cari Tuhan yang mereka sembah itu, dan demikian mereka dapat keluar seterusnya terjauhi dari keyakinan konsep Tauhid yang dianut Kristian, Yahudi dan para Mulhid. Memang ilmu perbahasan Sifat 20 ini adalah bid'ah yakni baru, tetapi ia bid'ah hasanah iaitu bid'ah yang baik. Imam Abu Hasan Al-Asya'ari telah menyusun ilmu ini pada zaman ketika umat Islam dilanda fitnah Aqidah yang amat dahsyat. Alhamdulillah susunan beliau ini (sifat 20) yang beliau gali dari Al-Quran dan Sunnah hingga hari ini masih kita pertahankan dan insyaAllah higga kiamat akan tetap bertahan dan dipelajari."

Penjelasan itu dari pihak Tradisional, penjelasan dari pihak Salafi pula sangat perlu untuk kita dapat nilai secara adil dengan semangat perpaduan. Ketika dulu penulis selalu menghadiri kelas-kelas fardhu ain yang dikendalikan oleh rakan-rakan Salafi di Sandakan. Ketika sampai di Kuala Lumpur pun penulis masih bergaul dengan mereka termasuk dari kawan-kawan yang terlibat dengan Jamaah Islamiyah (JI).

Dr MAZA adalah pejuang Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' Wa as-Sifat di Malaysia. Hentaman dan kririkan pedas beliau kepada fahaman Tradisional telah mendapat tentangan hebat ulama' Tradisional (Khalaf) tanpa henti sehingga menjadikan diri beliau terkenal.


PENJELASAN SALAFIYYAH

Ketika di UIAM penulis bertanya dengan salah seorang ustaz Salafi, "Bolehkah Asya'irah (pengikut metodologi Aqidah Imam Abu Hasan Al-Asya'ari) dan Salafiyyah bersatu?" Beliau menjawab,"Mustahil ia bersatu, yang satu adalah yang benar dan yang satu lagi adalah bid'ah, setiap bid'ah adalah sesat, setiap yang sesat kiranya tidak bertaubat mereka adalah ahli neraka." Maklumlah kita bahawa yang dikatakan oleh beliau sesat itu ialah para Asya'irah. Penulis bertanya lagi, "Apa pandangan ustaz tentang golongan Asya'irah yang menjadikan Sifat 20 sebagai asas pengajian Aqidah mereka?"

Beliau menjawab, "Ia adalah Aqidah sesat lagi menyesatkan kerana meyakini Allah swt hanya 20 sifat. Bukan itu sahaja, mereka mentakwil Al-Quran yang membicarakan sifat-sifat Allah swt dengan nafsu mereka. Allah swt itu adalah apa yang digambarkan oleh Al-Quran, jangan ditakwil. Inilah bid'ah yang dilakukan para golongan Asya'irah." Penulis bertanya lagi, "Apa pandangan ustaz berkenaan tuduhan bahawa Aqidah Salafiyyah adalah juga bid'ah dan sesat kerana dicipta oleh Imam Ibnu Taymiyyah bukannya dari Rasul SAW dan para sahabat r.a."

"Metodologi Aqidah Salaf bukanlah baru, salaf itu sendiri menunjukkan bahawa inilah yang dipegang oleh orang terdahulu ketika zaman Rasul SAW dan para Sahabat r.a. Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' wa as-Sifat bukannya dibawa oleh Imam Ibnu Taymiyah sahaja, ramai yang berpegang dengannya antara mereka yang terkenal ialah Imam Tahawi. Kamu pun tahu pasal metodologi Aqidah ini bukan?" Penulis anggukkan kepala sambil tersenyum.

Terakhir sekali penulis bertanya, "Ustaz mengatakan bahawa sifat-sifat Allah swt dalam Al-Quran itu jangan ditakwil. Bukankah itu adalah ayat-ayat mutasyabihat (yang samar-samar) yang menggunakan bahasa majaz (perlambangan) yang mereka katakan kalau diperhalusi ia tidak seperti pada zahirnya." Beliau menjawab, "Membahas hal ini adalah termasuk dalam bid'ah, memanglah sesetengah orang yang tidak puas hati mahu bertanya juga sekali pun ianya mutasyabihat. Mari kita berpegang kepada yang muhkamat yakni yang jelas dan selamat kita membahasnya." Beliau memandang penulis dengan senyuman seolah-olah berkata, "Cukuplah, jangan ditanya lagi, banyak cakap lagi banyak salahnya nanti."


Solat berjemaah lambang perpaduan ummah, menjadi makmum dengan seorang imam tanpa mengira fahaman mewujudkan suasana tenang dan harmoni.


MEMBERSIHKAN PEMAHAMAN KEPADA KESATUAN

Dalam suatu riwayat, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabatnya, "Mahukah kalian aku tunjukkan amal yang lebih besar pahalanya daripada solat dan saum (puasa)", Sahabat menjawab, "Tentu saja!"

Rasulullah SAW pun kemudian menjelaskan, "Engkau damaikan yang bertengkar, menyambungkan persaudaraan yang terputus, mempertemukan kembali saudara-saudara yang terpisah, menjembatani berbagai kelompok dalam Islam, dan mengukuhkan ukhuwah di antara mereka, (semua itu) adalah amal soleh yang besar pahalanya. Barangsiapa yang ingin dipanjangkan usianya dan dibanyakkan rezekinya, hendaklah ia menyambungkan tali persaudaraan". (Riwayat Bukhari & Muslim).

Penulis tidak membincangkan hal khilaf Furu'iyyah (masalah cabang) di atas adalah kerana bukanlah masalah besar sebab itu masalah Aqidah yang penulis ketengahkan. Masalah Aqidah adalah masalah pokok yang menjadi tiang seri agama Islam. Sekiranya kita perhalusi penjelasan di atas kita akan mendapat satu keputusan bahawasanya pahaman kedua-dua di atas boleh disatukan. Yang boleh menyatukan mereka ialah dialog dengan penuh rasa persaudaraan bukan dengan fanatisma pendapat masing-masing. Kiranya dibiarkan mereka melayan fanatisma mereka maka yang berlaku kedua-duanya akan menjadi sesat implikasi dari tuduhan sesama mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa memanggil dan menyebut seseorang kafir atau musuh Allah padahal sebenarnya bukan demikian, maka ucapannya itu akan kembali kepada orang yang mengatakan (menuduh) itu.” (Riwayat Al-Bukhari).

Kerja besar dari satu pihak kena menyelamatkan umat Islam dari saling tuduh-menuduh yang dibimbangi mereka termasuk dalam hadith di atas. Selama ini kita meyakini mereka adalah ulama' hebat dan banyak amalnya tetapi rups-rupanya hablumminannasnya tidak selesai kerana terdapat tuduhan sesatnya kepada kaum muslimin lain selama hidup yang dia tidak taubati. Na'uzubillahi min zalik.

Bersabda Nabi SAW, ertinya: "Janganlah kalian saling hasud/dengki, saling marah, saling memutuskan (persaudaraan) dan janganlah kalian saling bermusuhan, akan tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara." (Riwayat Muslim).


Yang berlainan agama pun kita boleh bertoleransi mengapa kita sesama muslim sukar menerima perbezaan pendapat?

Para golongan Salafi sepatutnya mereka tidak sewenangnya menuduh pengajian sifat 20 sebagai sesat dan menyesatkan tanpa memberi penilaian sewajarnya demi perpaduan ummah kerana ramai imam yang termasuk dalam pengajian tersebut seperti Imam An-Nawawi, Imam Abdul Qadir Al-Jailani (beliau ialah Maturidiyyah), Imam Al-Ghazali, Tok Kenali, Syeikh Al-Sumatrani, Syeikh Al-Falembani, Syeikh Daud Al-Fathani, Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari dan terlalu ramai dari ribuan para Imam dan Syeikh yang menjadi panutan ummat. Tuduhan sesat dek kerana mentakwil juga tidak tepat kepada Al-Asya'irah, ini kerana mereka mendahulukan Tafwidh (maksud diserah kepada Allah swt kerana Dia sahaja yang mengetahuinya).

Asya'irah masih berpegang kepada kekekalan ayat-ayat mutasyabihat dalam Al-Quran dengan menyatakan "Ia telah dimaklumi", hanya ditakwil sekiranya ada golongan yang menghujat secara berterusan itu pun ditakwil dengan menggunakan ayat-ayat muhkam (jelas), sebagai contoh "Laisaka mithlihi syai' " membawa maksud Maha suci Allah dari sebarang penyerupaan. Bagi Asya'irah sesiapa yang mengatakan Allah swt duduk secara hakiki di atas Arasy maka mereka telah melanggar ayat muhkam tersebut iaitu "Maha Suci Allah dari sebarang penyerupaan". Sifat duduk difahami akal sebagai penyerupaan makhluk sedangkan Allah swt menafikan sebarang penyerupaan atau bayangan.

Demikian pula kepada golongan Tradisional, berterusan menegah dan menyesatkan sesiapa yang berpegang dengan metodologi Aqidah 3 dalam satu iaitu Rububiyah, Uluhiyyah, Asma' wa As-Sifat tanpa diperhalusi secara ilmiyah dan amanah. Hanya kerana dek Salafiyyah yang menyesatkan sifat 20 lantaran mereka membalas dengan menyesatkan faham Salafiyyah pula. Walhal sekiranya diperhalusi, pegangan Aqidah Salafiyyah itu sebenarnya hanyalah satu metod sebagaimana sifat 20. Sebab itu mengapa Salafiyyah itu bukannya satu mazhab tetapi sebenarnya adalah manhaj (pendekatan) sebagaimana Tradisional.

Secara bahasa Tradisional juga bermaksud Salaf atau Salafussoleh yang membawa maksud faham dan amalan orang terdahulu. Keduanya (Tradisional Sifat 20 dan Salafiyyah Aqidah 3) baru muncul disusun oleh para ulama' dengan tujuan "memudahkan pemahaman" ummat terhadap kewujudan Allah swt. Tiada siapa yang layak mengatakan salah satunya sahaja yang bid'ah kerana baru dicipta pada hakikatnya keduanya adalah bid'ah, tinggal lagi bid'ahnya ialah hasanah kerana keperluannya sebagai "alat" mengenali Allah swt. Ia menjadi bid'ah dhalalah (buruk, sesat) adalah dari interpretasi negatif sahaja yang lebih kepada ketaksuban mazhab oleh individu.

Syeikh Al-Qardhawi seorang ulama' aktif dan prolofik yang banyak menulis pendapat dan fatwa hukum-hakam panduan ummat ketika ini. Beliau aktif dalam Jamaah Ikhwanul Muslimin yang pro Salafi tetapi banyak pendapat beliau ditentang oleh Salafi sendiri.


PENUTUP KEARAH KESEPAKATAN

Penulis secara peribadi, mengajarkan anak-anak dirumah dengan metod Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' Wa As'Sifat kerana ia mudah dicerna oleh akal kanak-kanak. Tinggal lagi ketika menjelaskan Asma' Wa As-Sifat penulis menggunakan metod Sifat 20, iaitu tidak menyerupakan Allah dengan sesuatu dan keadaan seperti bertempat atau terikat dengan waktu. Secara mudah penulis hanya memberi penegasan kepada konsep Tafwidh.

Sekiranya anak-anak semakin membesar, akal mereka biasanya semakin ligat. Kebijaksanaan akal mereka pastinya akan mewujudkan pelbagai persoalan ketuhanan, maka mereka perlu mempelajari Sifat 20. Kerana pengajian Sifat 20 adalah dibahas lebih terperinci dan mendasar sesuai dengan kebijaksanaan akal. Hanya orang-orang yang meninggalkan akal yang waras sahaja yang membuang pengajian Sifat 20. Akal sangat diperlukan dalam agama kerana hanya dengan akal Al-Quran dan Sunnah dapat difahami dan diamalkan.

Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi telah menulis dalam kitabnya Hakikat Kewujudan Allah,
"Salah seorang guru kita, Prof. Dr. Abdul Halim Mahmud, Sekretaris Jeneral Lembaga Kajian Islam (Majma' al-Buhuts al-Islamiyah) di Kaherah, menulis: Yang berpendapat bahawa iman kepada wujud Allah merupakan kewajiban pembawaan (fitrah) dan tidak memerlukan argumen-argumen rasional, adalah benar. Namun apabila keraguan-keraguan melanda, kita perlu menghalanginya dengan senjata yang sama, sehingga memuaskan akal dan fitrah sekaligus. Tujuan kita adalah membekali mereka bagi menentang golongan Atheis, menyelamatkan mereka yang kebingungan dan mencabut akar-akar keraguan dari kalbu mereka."

Ternyata hujjah akal yang digunakan oleh Imam Abu Hassan Asya'ari dalam membahas kewujudan Allah swt begitu diperlukan terutama ketika muslimin diserang oleh pemikiran para Atheis hari ini. Dalam hal ini musuh muslimin ialah golongan para Atheis yang tidak percaya dengan kewujudan Tuhan itu sendiri. Syeikh Qardhawi menyatakan,

"Oleh sebab itu, kepada rakan-rakan saya, kaum ulama di Qatar dan Saudi Arabia, di mana mereka masih memperdebatkan persoalan sifat Allah menurut pendapat Salaf dan Khalaf, saya katakan: Lawan kita sekarang bukanlah lagi Asy'ariah, Maturidiah, Muktazilah ataupun Jahmiyah, melainkan kaum Atheis yang tidak percaya kepada Tuhan, kenabian dan wahyu. Musuh kita bukan orang-orang yang berkata: Allah tidak bertempat, melainkan mereka yang mengatakan: Tuhan tidak ada, oleh sebab itu kitalah yang menciptakannya."

Beliau menyambung lagi, "Maka saya ambil kesimpulan bahawa meneggakkan dalil dan argumen tentang wujud Tuhan merupakan bahagian penting dalam perjuangan kita melawan Atheisme, sekaligus dapat mempersenjatai kaum remaja yang masih beriman dan memberi petunjuk kepada mereka yang masih dalam keraguan."


Albert Enstain tergolong dalam kalangan ahli fizik Atheis walau pun beliau berketurunan Yahudi. Poster iklan di atas menunjukkan kemarahan si pembuat iklan yang menganggap Atheis sebagai bodoh kerana tidak percaya dengan kewujudan Tuhan.

Apa pun halnya, setiap perlakuan dan tutur bicara kita perlulah didasari dengan semangat persaudaraan. Dengan bertautnya ukhuwah sesama kita akan mewujudkan masyarakat Islam yang bersatu padu. Inilah yang ditakuti oleh umat lain yang berusaha senantiasa menabur fitnah dan adu domba agar umat Islam berpecah belah seterusnya hancur. Kehancuran kita adalah kejayaan buat mereka "menguasai" apa sahaja hak milik ummat Islam. Perselisihan dimulakan oleh para ulama' dan para pengikut mereka, maka para ulama' jugalah yang dapat membetulkan mereka. Sekiranya tiada usaha untuk memperbaikinya segala masalah (perselisihan) tersebut akan kembali ke wajah para ulama' juga.

“Akan datang, satu zaman pada manusia di mana tidak ada lagi yang tinggal dari Islam kecuali namanya dan dari Al Quran yang akan tinggal hanya tulisannya. Masjid-masjid makmur tapi kosong dari petunjuk. Ulamanya akan menjadi wujud paling buruk di bawah kolong langit. Kekacauan fitnah akan keluar dari mereka tapi akhirnya kembali kepada mereka juga.” (Riwayat Al-Baihaqi).

Sekiranya umat Islam secara majoriti dapat bersatu dengan mengenepikan perselisihan pendapat maka kita akan lihat Khilafah Islamiyyah sudah tiba. Wallahu a'lam


ASREE
Sebenarnya pokok perselisihan Salaf dengan Khalaf ialah berkenaan ayat-ayat mutasyabihat sahaja yang akhirnya menular kepada persoalan furu'iyyah.
  1. Usaha Hizbut Tahrir untuk mengembalikan semula Daulah Khilafah

    Videos and Photographs of Khilafah Conference 2010

    http://ibnuyassir.blogspot.com/2010/07/videos-and-photographs-of-khilafah.html

  1. Info-info terkini aktiviti Hizbut Tahrir di seluruh dunia - http://ibnuyassir.blogspot.com/

  1. Assalamu'alaikum
    Bismillah irrahman irrahim,
    Pokok pangkalnya,kembali kpd kita u/islam.Nak Khilafah Islamiyyah atau tidak?Sudah byk pembahasan di dlm isu ini,ulama-2 kita b'tungkus-lumus menerangkan ttg basis Madinah al-munawwarah sbg asas kekhalifahan.Mungkin yg lain boleh menambahkan apa yg ana ingin luahkan.Mari kita lihat sebuah hadith (tolong periksa hadith ini),tok guru ana kata,apabila Al-Mahdi zahir/bangkit ucapan pertamanya ialah "kehinaan yg anda alami hari ini (u/islam) adalah dari punca dri kamu sendri (u/Islam)".Ada juga benarnya apa yg tok guru ana kata.Cuba perhatikan amalan u/islam pd hari ini.Sikap bersaudara pun lintang-pungkang,saling b'telagah sesama mrk.Ada hadis m'yebut akhir zaman setiap golongan/kelompok/kaum/organisasi atau apa sj nama perkumpulan akan berbangga-bangga dgn kelompok masing-2.Mereka x kaji pegangan mrk,yg penting kebanggaan t'hadap kelompok.Ana ada jg sedikit sbyk pengalaman dgn kelompok sprt ini.Sbg mantan Timb.Presiden RISMAS (Remaja Islam Semalaysia) merangkap Pengerusi Dakwah wal Irsyad,Wakalah (Sabah) Badar al-Kubra,Jemaah Islamiyah,Asia-Tenggara (Paksi Mujahidin),juga penggerak jihad Mindanao bg rantau A/Tenggara,ana fahamlah masalah spt ini.Mewujudkn Khilafah Islamiyah sgt mudah,tp pengisian yg perlu kita bincangkn,krn ini adalh cabaran TERBESAR yg t'lupa kita fikirkn,krn..............................................x kembali kpd AQ & AS tp h/nafsu sndiri.Fa intanaza'tum farudduhu ila Allah wa Rosulih.Klu kita lihat p'istiharan madinah sbg basis khilafah sgt 'simple' tanpa tiupan trumpet @ gembar-gembur yg penting peranan Nabi sbg ahlu siyasah / negarawan yg para sarjana-2 islam m'katakan nabi begitu hikmah x menyinggung org munafik n yahudi,jika ada trumpet...faham bhs berkias ana ini?Kalau faham.Alhamdulillah.Klu tak faham,blh tanya.Krn ana sedaya upayanya meringkaskan penjelasan /penerangan ana ttg madinah al-munawwarah.U/Islam bila b/bincang ttg negara Islam sprt tetutup mata,telinga dan lidahnya.Konsep yg mereka utarakan keluar dr kontek nubwwah.Ana yakin,bila ada dialog,nanti ana akan jelaskan knp jd begitu................wassalam

  1. Biodata ana anda boleh akses di facebook:username: syednazruld.hamid@gmail.com.Password: nazrul123456.Ana Pengerusi Dakwah wal Irsyad,Wakalah (Sabah) Badar al-Kubra.Ana yg b'tanggungjawab m'gerakkan mujahidin di rantau A/Tengara berjihad di Mindanao & di sekitarnya.......

Post a Comment