PANSAK SILAT & KALIS TAUSUG
Tausug adalah dari rumpun Melayu kerana kebanyakan budaya dan tradisinya 70% masih berwarna Melayu walau pun ternyata bangsa mereka berasimilasi dengan kaum Lannang (Cina) dan Ayta dari Tanah Besar China. Malah kalau diteliti budaya, bahasa dan tradisi Tausug masih sama dengan 600 tahun dahulu sebelum kedatangan Islam. Contoh yang paling menakjubkan ialah wujudnya Tarian Pangalay dan Nyanyian Lugho' & Langan yang lebih berwarna KEHINDUAN dalam budaya & tradisi Tausug hari ini. Kalau pun ianya telah "DiIslamkan" tetapi alunan dan lenggoknya (dari segi irama penyampaian) masih kekal seperti Pangalay dan Lugho'. Seorang bilal masjid di Jolo biasanya akan melaungkan azan yang sama iramanya dengan nyanyian Lugho' & Langan Tausug, tiada langsung bunyi Arab.
BUDAYA KEPAHLAWANAN TAUSUG
Tausug ada dua perkara terpenting sebagai kekekalan identiti Melayu yang masih berakar hingga kini iaitu,
- Pansak Silat (Pencak Silat)
- Kalis (Keris)
Sebenarnya bagi kaum Cina, silat itu bermaksud Kung Fu. Sebagaimana Silat, Kung Fu juga mempunyai variasi atau bermacam aliran persilatan. Di Sulu hari ini, Pencak Silat masih berterusan dipelajari di mana-mana. Mereka masih menyebutnya "Silat" kerana ia berasal dari Tanah Melayu (Indonesia-Acheh dan Malaysia) walau pun Kung Fu Cina turut juga dipelajari. Ketika dalam majlis perkahwinan, silat akan dipersembahkan yang mereka namakan PANSAK. Orang yang memainkan Pencak Silat dipanggil PAMANSAK.
Pansak (pencak) mengiringi Pangalay dipersembahkan oleh pelajar Mindanao State Universiti (MSU) Pulau Tawi-Tawi. Dengan pakaian tradisi ia dipersembahkan dengan gabungan budaya Tausug telah menunjukkan Kepahlawanan dan Keluhuran Budi. Wanitanya walau pun menari lembut tetapi berani dan lasak.
Apa yang mungkin ada kelainan ialah Kalis atau Keris Tausug begitu ketara perbezaannya dengan keris di Tanah Melayu sendiri. Keris Tausug lebih besar dan panjang berbanding Keris Melayu yang kecil dan tirus. Maguindanao dan Maranao di Pulau Mindanao juga turut berkongsi saiz keris dengan Tausug tinggal lagi keris Tausug mempunyai motif ulu yang berbeza. Secara Krisologi, Keris Tausug sendiri menggambarkan satu budaya, iaitu budaya Melayu (bentuk keris), serta kekuatan bangsa Tausug (saiz keris yang besar dan panjang). Ia seolah-olah menggambarkan status bangsa Sulu yang berjiwa besar dan bangsawan berbanding bangsa Melayu yang lain.
Kalau dilihat sejarah perhubungan rapat Tausug dengan Brunei, Banjar dan Bugis yang punya keris kecil pendek atau panjang yang masih nampak KEMELAYUAN, keris Tausug tetap besar dan tersendiri. Seolah-olah Keris Tausug ini menunjukkan satu evolusi dengan percampuran budaya antara Keris dan Pedang. Kerana bagi Tausug kadang-kadang Kalis diumpamakan Puddang (Pedang). Secara umum pedang mempunyai saiz besar dan panjang yang diguna untuk melibas berbanding mencucuk. Dari manakah Tausug mendapat ilham menjadikan keris merangkap pedang?
Di tengah ialah parang Kampilan (besar dan panjang) kaum Mindanao yang juga turut digunakan oleh kaum Iban dan Tidung ketika dulu. Kiri sekali ialah keris Tausug jenis Tale Seko (separa lok), manakala di sebelah kiri Kampilan ialah keris Tulid (keris lurus). Sebelah kanan sekali ialah Barung Tausug.
PERCAMPURAN PEDANG VIKING & KERIS MELAYU
Secara krisologi, keris Tausug telah bercampur dengan bentuk pedang asing. Kalau kaum Ayta dan Dayak biasanya mereka menggunakan Parang Kampilan tapi keris Tausug pula tiada unsur-unsur kampilan. Kalau ada pun ialah Parang Barung yang menjadi kebanggaan Tausug, itu pun masih tiada kesamaan dengan parang-parang lain di Nusantara.
Penulis berpendapat, Keris Melayu yang digunakan oleh Tausug dahulu kala telah "dikahwinkan" dengan pedang Bangsa Viking Scandinavia yang pernah datang mengumpul emas di Kepulauan Sulu selepas zaman kejatuhan kerajaan Alexander The Great di Eropah ketika dulu. Kerana menurut catatan Spanyol, mereka menemui bangsa berkulit putih dan berjambang di Kepulauan Sulu sebelum kedatangan mereka ke Pulau Cebu. Spanyol menamakan bangsa tersebut dengan Liquios @ Likus @ Lukos. Hal yang tidak dapat disangkal ialah ketika itu Tausug telah pun menguasai perdagangan diperairan Pulau Layte, Cebu, Butuan, Calamianes, Visaya sehingga ke Luzon dan Taiwan. Tausug sejak dulu terkenal dengan bangsa Pengumpul dan Penjual Emas dan Perak.
Pedang Bangsa Norse Eropah (Viking Scandinavia).
Kalis Tulid biasa, walau pun puntonya bersalut emas tetapi ulunya tidak mempunyai motif kakak tua.
Kalis Seko atau Sekohan, ulunya bermotif kakak tua.
Sudah tentu bangsa Likus ini bergaul dengan bangsa Sug ketika melakukan kerja-kerja pengumpulan emas dan perak. Tidak hairanlah para pencatat Spanyol akhirnya menyedari bahawa Likus tersebut mempunyai perkaitan dengan Bangsa Tausug di Sulu. Sebab itu tidak menghairankan mengapa Tausug yang asal mempunyai kulit merah jambu adalah kemungkinan hasil asimilasi antara bangsa Viking dengan Tausug. Bagi Tausug yang berkulit gelap atau sawo matang biasanya darah mereka telah bercampur dengan kaum Bajau atau Melayu dari Jawa. Ayah penulis sendiri dan keluarganya di sebelah datuk yang berada di Basilan, mereka berkulit putih kemerah-merahan. Satu kampung di Bana' Basilan yang bersaudara mara mempunyai bentuk dan warna kulit yang sama.
Foto bagaimana kaum Maranao dan Maguindanao menempa keris. Teknologi lama ini sama dengan yang diguna oleh Tausug menempa keris dan barung mereka.
Walau pun menjadi nelayan bertahun-tahun namun warna kulit masih kekal begitu. Menurut ayah penulis, mereka berketurunan Tausug Buranun dari Jolo sebelum hijrah ke Pulau Basilan ketika era Amerika Syarikat di Sulu. Moyang penulis sendiri pernah menemani Datu Paduka Mat Salleh memerangi Inggeris di North Borneo ketika dulu dengan hanya membawa dua senjata iaitu Keris dan Barung. Selain Barung, Tausug terlalu bangga dengan keris besar mereka.
Keris Tausug punya ciri-ciri pedang Viking, tinggal lagi mempunyai ulu yang masih mengekalkan identiti Kemalayuan. Keris Tausug adalah tiga jenis yang dikenali sebagai Kalis Seko (Sesiku atau lok), Kalis Tale Seko (Separa Lok), Kalis Tulid (Tanpa Lok). Punto pada ulunya biasanya disalut emas atau perak. Manakala motif flora yang ada pada keris Melayu pula masih turut dikekalkan dengan asang-asang yang mengikat antara ulu dengan keris.
SILAT & KERIS SERTA BARUNG SIMBOL KEPAHLAWANAN
Dalam sejarah Nusantara, Tausug adalah satu-satunya bangsa yang dilabel oleh penjajah sebagai "Bangsa Pengkhianat" kerana tiada satu pun perjanjian mereka dengan Spanyol dipatuhi malainkan mereka langgar dan khianati kesemuanya. Malangnya istilah "Bangsa Pengkhianat" kepada Tausug oleh Spanyol, Amerika mahu pun Filipina sendiri tidak terkenal dalam Alam Melayu melainkan Tausug dikenali sebagai bangsa pejuang terbaik di dunia.
Tausug tidak pernah merampas atau menakluk negeri lain di Nusantara. Tausug tidak pernah melanggar perjanjian dengan saudara Melayu mereka di Nusantara. Tausug tidak pernah menentang sumpah PENGISLAMAN mereka di hadapan Sayyid Abu Bakar Al-Husseini di sebuah bukit Jolo, yang mereka namakan hari ini sebagai "KAJA" (KERJA, bermaksud satu kerja yang mengingatkan hari pengislaman mereka). Tausug walau pun diprogram oleh Marcos menyerang Sabah namun mereka menentangnya dan sanggup mati dari mengikut arahan menyerang Sabah ketika itu (peristiwa pembunuhan Jabidah 1968).
Itulah Tausug, dari Sulu hingga ke Sabah walau hati sanubari mereka masih terkandung semangat Kalis & Barung namun sikap mereka yang seumpama PANGALAY (Lemah Gemalai) masih menjadi hiasan kepada identiti mereka.
Asree
|
Salam saudara Asreee.... blog anda sangat bermanafaat... saya sangat meminati tulisan anda,