SEJARAH KAJA & PENGISLAMAN TAUSUG

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Friday, September 4, 2009 4 ulasan

Semenjak dulu hingga hari ini, segelintir masyarakat Tausug masih mengamalkan KAJA sebagai adat turun-temurun. Amalan KAJA ini menurut sejarahnya khusus dilakukan oleh orang-orang Buranun yang tinggal di pedalaman Pulau Jolo. KAJA ialah satu upacara menjamu atau kenduri yang perlu dilakukan di atas bukit. Selesai berdoa mereka menjamu dengan ayam panggang, beras pulut dan sebagainya. Doa biasanya akan dilakukan oleh seorang imam dari keluarga mereka sendiri atau pun yang satu keturunan dengan mereka (Buranun).


PANDANGAN NEGATIF TERHADAP KAJA
Sekali pandang ia seperti amalan berunsur PAGAN dan khurafat kerana melibatkan majlis makan-makan di hutan dan kemudian di atas bukit pula. Kemudian lagi dicampur adukkan dengan doa selamat oleh seorang imam. Kiranya seorang ustaz yang melihat perkara ini pasti akan dihukumnya sebagai bid'ah yang sesat kerana Rasulullah saw katanya tidak pernah buat.

Ketika kecil penulis pernah ternampak beberapa keluarga Tausug di Kg Bahagia Sandakan naik atas sebuah bukit bersama seorang imam dan kemudian mereka menjamu makanan yang mereka sendiri masak di sana secara gotong-royong. Bila penulis ajukan pertanyaan tentang hal tersebut pada ayah, beliau menjelaskan bahawa itu adalah amalan orang Tausug Buburanun yang dinamakan KAJA.

Menurut ayah, datuknya (sebelah bapa) mengamalkan KAJA kerana mereka berketurunan Buburanun. Tetapi amalan ini dihentikan oleh ayahnya (datuk penulis) kerana berpendapat lebih baik berdoa di rumah lagi pun KAJA telah menjadi fitnah dikalangan para ahli agama berkenaan "ritual"nya (kebetulan datuk penulis adalah seorang imam masjid yang punya ramai murid). Kerana menurut datuk konsep "SUKUT" dalam amalan KAJA itu sendiri bertentangan dengan Islam. Sukut bermaksud "Tagih" atau "Tuntut", iaitu sesiapa keturunan Buranun yang tidak mengamalkan KAJA maka mereka akan kena "Sukut" atau tulah dengan didatangkan musibah berupa penyakit dan kesempitan hidup. Inilah yang dinamakan Sukut dalam konsep KAJA yang bagi keluarga penulis adalah bertentangan dengan syariat Islam.


PENCARIAN TERHADAP PENGERTIAN KAJA
Selama bertahun-tahun penulis mendiamkan hal ini dengan tidak mengambil tahu tentang KAJA. Tetapi tarikan istilah Buranun itu sendiri akhirnya menjadi tanda tanya pada jiwa penulis kerana berasakan ada sesuatu yang tersorok dalam adat Buranun tersebut yang perlu dirungkai dan diperjelaskan. Oleh kerana penulis sendiri berketurunan Buranun maka penulis sejak beberapa tahun yang lalu berusaha mengkaji asal-usul KAJA ini. Beberapa orang tua Tausug pernah penulis temu bual berkenaan KAJA tetapi masih belum mendapatkan jawapan yang memuaskan hati. Sehinggalah penulis terbaca satu buku sejarah yang disusun oleh Prof. Cesar Adib Majul bertajuk "Islam Di Filipina" barulah penulis berpuas hati kerana di situ terdapat jalan penyelesaian untuk dapatkan jawapannya.

Dalam bahasa Tausug perkataan KAJA adalah perkataan asing dan ganjil. Ia hanya diistilahkan khusus untuk amalan KAJA yakni "majlis makan-makan Orang Buranun di atas bukit". Kalau diperhalusi KAJA ini seperti berasal dari bahasa Melayu iaitu KERJA. Lidah Tausug Sandakan menyebut "Kerja" dalam bahasa Melayu dengan "Karaja". Telah menjadi kebiasaan Tausug memendekkan perkataan untuk disesuaikan dengan lidah mereka, contohnya:

  • Belimbing dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Tausug ialah "Baimbing".
  • Durian (Melayu), Duyan (Tausug).
  • Serampang (Melayu), Sa-pang (Tausug).
  • Dalam (Melayu), Laum (Tausug, dipinjam dari bahasa Bajau LALOM).
  • Sulug (dalam bahasa Ayta bermaksud Arus Air), Sug (Tausug).
  • Sumpah (Melayu), Sapah (Tausug).
  • Seluar (Melayu), Sawal (Tausug).
  • Makan (Melayu), Kaun (Tausug).
  • Dan banyak lagi.
Maka "Kerja" juga tentunya akan menjadi KAJA, lebih-lebih lagi panggilan KAJA ini telah lama disebut 400 tahun dahulu. Sekiranya KAJA itu adalah kerja dalam bahasa Melayu maka apa sebenarnya yang dimaksudkan KERJA itu oleh masyarakat Buranun? Kerja memaksudkan hanya sebagai makan-makan di atas bukit?


KAJA SEBAGAI SUMPAH
Sekiranya pertanyaan diajukan kepada golongan tua Tausug Buranun apa yang sebenarnya tujuan KAJA, mereka akan menjawap "Ia adalah sumpah Buranun dengan Mahadum". Sumpah tersebut berlaku dihadapan Mahadum, seorang Syaikh yang pernah mengislamkan mereka di atas bukit Sug, bahawa semua keturunan orang yang terlibat dengan sumpah tersebut mesti membela agama Islam dan guru mereka iaitu Syaikh Mahadum, sebab itu perlu melakukan KAJA untuk memperingati sumpah nenek moyang mereka yang diislamkan oleh Mahadum. Persoalannya siapakah Syeikh Mahadum ini? Untuk menjelaskan hal ini beberapa persoalan perlu dirungkai,

  • Siapa sebenarnya Syeikh Mahadum yang dimaksudkan?
  • Apakah punca mereka bersumpah sedangkan sumpah dalam Islam adalah berat kerana tidak boleh bersumpah selain dengan nama Allah swt?
  • Mengapa SUMPAH tersebut dirai dengan KAJA?

Islam telah datang ke Sulu semenjak abad ke-12 lagi yang dibawa oleh para pedagang Arab atau Acheh. Catatan sejarah menunjukkan bahawa mereka hanya jadikan Sulu sebagai persinggahan sebelum meneruskan perjalanan ke China. Menjadi kebiasaan juga para pedagang China yang kadang-kadang disertai oleh orang Arab singgah di Sulu sebelum ke Tanah Melayu.


MENCARI MAHADUM & PENGISLAMAN TAUSUG
Sebenarnya Mahadum tersebut kata asalnya ialah MAKHDUM dalam bahasa Arab. Berikut Prof. Majul menjelaskan,

"Makhdum ini juga dipanggil "Mohadum", jelaslah sebutan ini merupakan loghat tempatan yang tidak menyebut bunyi"kh" yang keras dalam bahasa Arab......

Sejarah Melaka dan Jawa menunjukkan beberapa orang makhdumin dan maulana datang dari 'negeri di atas angin'. Istilah "makhdum" yang di negeri Arab bermakna "tuan" dari pengertian "seorang yang diberi layanan", yang kemudian digunakan di India dan Malaysia dengan pengertian guru atau ulama, kerana demikianlah keadaannya dia dilayan oleh mereka yang menghormatinya dan belajar daripadanya." [01]

Dalam catatan sejarah, Sulu telah didatangi lebih awal oleh seorang Syeikh bernama Tuan Masyaikha sezaman dengan kedatangan Tuan Maqbalu 1310 M. Ahli sejarah berselisih pendapat samada mereka ini pedagang Arab yang berdakwah membawa Islam ke Sulu atau sekadar pemimpin Tausug sendiri tidaklah dapat dipastikan. Yang pastinya Tuan Masyaika adalah seorang Islam,

"Mengikut Salasilah Sulu, Tuan Masha'ika berkahwin dengan anak perempuan Raja Sipad yang "lebih muda" (Siripada atau Sripaduka) pemerintah ini adalah keturunan Sipad yang lebih awal" [02]

Tuan Masyaika ini digambarkan mempunyai anak bernama Tuan Hakim dan Aisha dalam Salasilah Sulu. Walau pun Tuan Masyaika ini berjaya mengahwini anak Raja Sipad yang bukan beragama Islam ini tetapi menurut Prof. Majul beliau bukanlah orangnya yang menyebarkan dakwah Islamiyah di Sulu, sekadar membuktikan kewujudan penempatan Islam terawal.

Kemudian datang pula seorang ulama bernama Syeikh Karim Al-Makhdum yang juga dikenali sebagai Tuan Syarif Aulia (beliau adalah Sayyid dari keluarga Al-Husseini). Adakah beliau ini yang mengislamkan Tausug? Salasilah Sulu mengisahkan,

"Beberapa waktu selepas itu datanglah Karimul Makhdum. Beliau menyeberangi laut dalam sebiji pasu besi dan dipanggil Sarip. Beliau menetap di Bwansa, suatu tempat bangsawan Taguimaha tinggal. Di sana orang datang dari segenap penjuru untuk menemui beliau, dan beliau membina sebuah rumah untuk beribadah" [03]

Prof. Majul mengatakan bahawa orang ramai berdatangan dari segenap penjuru menunjukkan sudah ada orang Islam di Buansa ketika itu. Hal seperti ini tidaklah pelik kerana Buansa adalah pusat perdagangan yang sudah tentu ramai saudagar Islam yang datang dari luar (kaum Taguimaha dari Basilan penjadi saudagar di Buansa, mereka telah menganut Islam lebih awal). Lebih-lebih lagi bila mengetahui yang datang itu adalah Makhdum dari ulama Ahlul bait Rasulullah saw. Ternyata walau pun Syaikh Karimul Makhdum ini seorang ulama Sufi yang handal, punya karamah boleh bercakap dengan kertas, berjalan atas air dan dapat menyelamatkan orang dari mati lemas namun menurut Prof. Majul beliau bukanlah orangnya yang dapat mengislamkan Tausug.

"Menurut Salasilah Sulu, sepuluh tahun selepas ketibaan Karim Al-Makhdum, Raja Baguinda sampai dari Minangkabau, Sumatera, setelah singgah sebentar di Zamboanga dan kemudian ke Basilan. Peristiwa berikut telah berlaku:

  • Ketika beliau tiba di Sulu ketua-ketua Bwansa mencuba hendak meneggelamkan perahunya dan menghanyutkannya ke laut. Yang demikian beliau telah menentang dan melawan mereka. Dalam pertarungan itu beliau telah bertanya mengapa mereka mahu meneggelamkan perahu-perahunya dan menghanyutkannya. Beliau memberitahu mereka yang beliau tidak mempunyai apa-apa kesalahan kepada mereka dan bahawa beliau sampai ke situ bukanlah kerana ribut, tetapi beliau hanya ingin belayar, dan datang ke Sulu untuk tinggal bersama dengan mereka kerena mereka itu orang Islam. Apabila mereka mengetahui yang beliau adalah seorang Islam, mereka lalu menghormatinya dan menerima kedatangannya dengan baik." [04]
Menurut Prof. Majul, kedatangan Raja Baguinda telah memeriahkan lagi kekuatan kelompok muslimin di Buansa malah kedatangan Raja Baguinda telah bermulanya fasa ke arah pemerintahan Kesultanan Islam di Sulu. Menurut Prof. Majul lagi, kaum yang menguasai Buansa ketika itu ialah kaum bangsawan Taguimaha dari Basilan dan mereka sememangnya adalah orang-orang Islam. Seterusnya datang lagi seorang Makhdum selepas itu,

"Selepas waktu itu tiba pula Sayyid Abu Bakar dari Palembang ke Brunei dan dari sana ke Sulu. Apabila beliau dekat dengan Sulu, beliau menemui beberapa orang dan bertanyakan kepada mereka: "Di manakah bandar kamu dan dimanakah tempat ibadat kamu?", jawab mereka, "Di Buansa." Beliau kemudian datang ke Buansa dan menetap dengan Raja Baguinda. Penduduk-penduduk menghormati beliau, dan beliau menetapkan suatu agama bagi Sulu. Mereka menerima agama baharu itu dan beriman kepadanya. Selepas itu Sayyid Abu Bakar mengahwini Paramisuli, anak perempuan Raja Baguinda, dan beliau menerima gelaran Sultan Sharif." [05]

Prof. Majul berpendapat, bahawa Sayyid Abu Bakar adalah yang paling menonjol dalam dakwah atau Islamisasi di Sulu walau pun bukan beliau yang mula-mula membawa Islam ke Sulu. Beliau berjaya kerana telah mewujudkan institusi pengkaderan atau pengajian Islam di Sulu. Persoalannya, apakah Sayyid Abu Bakar adalah orangnya dikatakan MAHADUM yang telah berjaya mengislamkan Buranun? Kalau benar, ianya perlulah dibuktikan kerana jawapan terhadap permulaan KAJA itu belum terungkai.

Perlu dijelaskan bahawa Buansa adalah satu-satunya tempat terdapatnya orang Islam yang ketika itu dipelopori oleh pedagang luar terutama Taguimaha dari Basilan, selainnya masih lagi belum Islam termasuklah Buranun. Menurut catatan Hilal ad-Din "Hilario" Ballaho dalam Tarsila, yang kemudian menurut Prof. Majul catatan beliau adalah yang boleh dipercayai bahawa,

"...Syarif ul-Hashim itu berasal dari Arab, belayar melalui Baghdad, pergi ke Palembang, dan kemudian ke Borneo. Dan apabila beliau tiba di Buansa, orang-orang Islam Sulu bertumpu ke penempatan ini dan di kawasan-kawasan yang berhampiran sedangkan kebanyakan penduduk Sulu masih lagi kafir." [06]


PENGISLAMAN BURANUN
Setelah diteliti, Salasilah Sulu yang dirujuk Najeeb Saleeby dalam catatannya The History of Sulu yang kemudian dirujuk dan diulas oleh Prof. Majul dalam Islam Di Filipinanya, satu-satunya yang boleh dirujuk berkenaan pengislaman Buranun ialah kenyataan setelah kedatangan Sayyid Abu Bakar.

"...Syarif ul-Hashimlah orangnya yang bertanggungnjawab dalam pengislaman orang bukit (Buranun). Menurut riwayat, selepas Syarif itu mengajar Quran dan mengislamkan penduduk-penduduk pantai, beliau kemudian telah mengislamkan penduduk-penduduk bukit pula.

  • Orang-orang bukit masih belum lagi memeluk agama Islam. Orang pantai berkata, "Mari kita tentang orang bukit dan dan Islamkan mereka." Tetapi Abu Bakar tidak membenarkannya, sebaliknya beliau menyuruh orang menumbuk padi dan membuat kuih dan pakaian. Kemudian orang pantai berjalan ke pedalaman menuju ke suatu tempat yang sekarang dipanggil Pahayan. Abu Bakar telah menghantar sebilah pedang kepada ketua kaum mengatakan yang beliau adalah seorang Arab yang boleh dihubungi dengan cara menulis di atas kertas.
  • Ketua kaum itu, yang dipanggil pada zaman itu "Tomoai", berkata bahawa dia tidak mahu menemui beliau kerana dia tidak mahu menukar adat resam nenek moyangnya. Jadi Abu Bakar pergi ke rumah-rumah orang Moro dan memberikan penghuni-penghuninya kuih. Kanak-kanak memakan kuih, tetapi orang-orang dewasa menyangkakan yang kuih itu mengandungi racun lalu diberikan kepada anjing. Anjing-anjing yang makan kuih itu tidak mati dan dan kanak-kanak itu pergi ke khemah Abu Bakar dan mereka telah dilayan dengan begitu baik.
  • Akhirnya kedua-dua kaum itu mencapai kata sepakat. Malam itu Abu Bakar bermalam di rumah ketua kaum itu. Ketua kaum itu bermimpi kononnya dia tinggal disebuah rumah yang besar dengan perhiasannya yang cantik. Abu Bakar telah mentafsirkan mimpi itu dengan mengatakan bahawa rumah itu adalah agama baharu dan perhiasan-perhiasan itu pula sebagai faedah-faedahnya. Berita itu tersebar dengan kesukaran untuk mempengaruhi mereka, akhirnya mereka itu diislamkan." [07]


KAJA ATAU "KERJA" PENGISLAMAN
Di manakah kenyataan bahawa berlakunya KAJA ketika pengislaman Buranun di atas? Untuk makluman Prof. Majul tidak menyentuh tentang KAJA secara langsung tetapi telah meperjelaskan bagaimana permulaan dakwah terhadap kaum Buranun oleh Sayyid Abu Bakar, maka dengan demikian dapatlah kita hubungkan dengan kenyataan tradisi lisan kaum Buranun hari ini bahawa mereka melakukan KAJA sempena sumpah pengislaman mereka oleh Syeikh Mahadum. Hal ini perlu penjelasan lanjut secara mantik (Lojik).

Penulis berpendapat, KAJA sememangnya berasal dari perkataan "Kerja" yakni kerja keras mengislamkan Buranun sebab itu disebut sebagai "kesukaran untuk mempengaruhi mereka". Dalam hal ini Buranun sebenarnya terlalu istimewa kerana walau pun sudah ada orang Islam dan pendakwah datang sebelum Sayyid Abu Bakar ke Sulu tetapi setelah pengislaman Buranun barulah dikatakan SULU TELAH BERJAYA DIISLAMKAN. Samada ianya hasil dakwah sistematik Sayyid Abu Bakar mahu pun kerana kamasukan Buranun ke dalam Islam kedua-duanya saling berkaitan.

Kemungkinan besar Sayyid Abu Bakar melakukan kerja pengislaman Buranun bukan di rumah-rumah mereka kerana sudah tentu rumah Buranun kurang sesuai atas faktor kebersihan dan kesucian. Penulis berpendapat kaum Buranun adalah satu rumpun terdekat kaum Batak. Dalam kajian kaum Batak samada yang berada di Sumatera dan Kepulauan Sulu Utara adalah adalah dari rumpun Melayu-Proto atau manusia terawal di Nusantara sama dengan puak Nias, Ayta, Jakun, Sakai. Membela anjing dan babi serta menyimpan tuak atau arak dirumah-rumah mereka adalah hal biasa ketika itu. Ditambah lagi dengan bentuk "tandas" mereka yang agak bebas hanya masuk kedalam semak untuk melakukan proses "pembuangan".

Maka tidak mustahil Sayyid Abu Bakar bawa mereka ke kawasan bersih di atas bukit kemudian menebas hutan belukar lalu memasang khemah. Setelah itu memberi pengajaran kepada mereka tentang Islam maka KAJA ini telah bermula di sini. Majlis makan-makan secara gotong-royong yang sudah tentu dengan memasak hidangan terbaik kaum Buranun kepada Sayyid yang menjadi guru mereka serta dikongsi saudara-saudara mereka yang bersama-sama mengucap dua kalimah Syahadah telah mengujakan jiwaraga mereka yang hadir ketika itu hinggakan anak cucu mereka dimestikan melakukan doa selamat di bukit tersebut sebagai mengenang hari yang menggembirakan buat mereka selama-lamanya.

Berkenaan sumpah, sebenarnya membaca dua kalimah Syahadah adalah satu penyaksian yang juga disebut ikrar. Ikrar juga juga adalah salah satu bentuk sumpah. Maka sumpah di sini seperti yang dimaksudkan oleh Buranun tentunya berkaitan dengan Syahadatain.

Seolah-olahnya orang Buranun hari ini yang melakukan KAJA, menyatakan bahawa hari pengislaman nenek moyang mereka oleh Mahadum adalah satu sumpah dan hari tersebut perlu diingati oleh keturunan mereka dengan melakukan semula "KERJA PENGISLAMAN" secara simbolik. Agar dengan demikian generasi kemudian akan terus kekal ISLAM. Sesiapa yang tidak melakukannya mereka akan mendapat kemurkaan Tuhan dengan akan mendapat musibah di dunia lagi sebelum di akhirat. Kerana mungkin telah dianggap telah lupa yang diri mereka telah Islam atau murtad.


KAJA SEBAGAI SUMPAH PERSETIAAN?
Kalau ianya betul-betul sumpah seperti yang didakwa maka kemungkinan Sayyid Abu Bakar mengulangi apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dengan kaum muslimin Yathrib (Madinah) yang bersumpah di atas sebuah bukit yang dinamakan Aqabah. Rasulullah SAW telah telah melaklukan persetiaan dengan orang Madinah untuk membela dirinya. Dalam persetiaan Aqabah yang kedua telah diriwayatkan,

"Kemudian Rasulullah pun berucap di samping membaca beberapa ayat Al—Qur’an sambil menyeru ke jalan Allah dan mempelawa mereka kepada agama Islam. Di akhirnya RasuluLlah menyuarakan hasrat baginda, katanya: “Saya berjanji dengan kamu supaya sanggup mempertahankan diriku seperti mana kamu mempertahankan anak isteri kamu.”

Al Barra’ bin Ma’rur memegang tangan RasuluLlah dan berikrar: “Ya, demi Allah yang mengutus engkau dengan kebenaran sebagai Nabi, kami berjanji dan berikrar akan membela diri engkau sepertimana kami mempertahankan diri sendiri, berjanjilah dan percayalah kami wahai RasuluLlah, demi Tuhan, kami kesemua adalah juara peperangan dan persenjataan belaka, keistimewaan ini kami warisi sejak turun temurun dari datuk nenek kami yang ulung.” [08]

Perlulah difahami bahawa ketika Sayyid Abu Bakar mengislamkan Buranun beliau belum diangkat menjadi Sultan. Beliau ketika itu sedang sibuk membina madrasah dan masjid mengajar sebilangan Tausug dengan asas fardhu ain dan membaca Quran kemudian dihantar ke pulau-pulau untuk menjadi imam. Hingga hari ini, hasil kursus ringkas beliau terhasil para imam tradisional masih ada (yang digelar mukali' atau Imam Mammam masih wujud kadang-kadang mereka dipanggil sebagai Imam Kamaasan).

Keberanian dan keluhuran budi Sayyid Abu Bakar telah menawan hati Buranun untuk menganut Islam. Maka sumpah kemungkinan mereka adakan untuk membela Sayyid dari ancaman puak Buranun di lain kawasan setelah pengislaman mereka sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw bersama sahabatnya di bukit Aqabah. Kebetulan Buranun ini sangat sinonim dengan gunung atau bukit. Mereka sangat terkenal dengan keberanian berperang di darat. Dilaporkan oleh Spanyol dan Amerika di Sulu bahawa kaum yang paling ramai menyerang secara Juramentado (berani mati) ialah kaum Tausug Buranun dan merekalah yang paling ramai syahid. Sama dengan para sahabat Rasulullah SAW yang berkata, "kami kesemua adalah juara peperangan dan persenjataan belaka, keistimewaan ini kami warisi sejak turun temurun dari datuk nenek kami yang ulung."

Kaum Buranun pernah dilaporkan pernah memasuki perkampungan kaum Banjar di Jolo lalu membunuh mereka beramai-ramai. Pembunuhan tersebut mungkin disebabkan kaum Banjar ketika itu terlalu ramai mendiami Jolo dan mereka menguasai beberapa bidang perdagangan bersama kaum Bugis menyebabkan kemarahan kaum Buranun. Hingga hari ini, kaum Buranun masih berbangga dengan bangsa mereka sebagai kaum terawal di Jolo, dan KAJA adalah satu identiti kewujudan mereka berbanding bangsa lain seperti Taguimaha, Dampuan, Banjar, Baklaya (Bugis) mahu pun Bajau dan Yakan. Kalau pun memang wujud sumpah KAJA ia hanya secara kebetulan. Kemungkinan Sayyid Abu Bakar menjadi Sultan Sulu yang pertama adalah disebabkan dokongan kuat dari Buranun sendiri yang sebelum ini Raja Baguinda tidak dapat melakukannya.


RITUAL KAJA & MASA DEPANNYA
Ritual yang penulis maksudkan ialah terdapatnya masakan khusus untuk KAJA. Hal ini sebenarnya perkara biasa bagi Tausug. Mereka turut melakukannya ketika mengadakan malam Maulidurrasul. Dengan menyediakan masakan sama ada pulut kuning dan sebagainya tanda menghargai hari bersejarah kelahiran Nabi Junjungan Ummat. Hal ini turut berlaku ketika hari kematian. Buranun biasanya akan menyediakan payung yang diperbuat dari kain putih sebagai tanda khusus sebagai Buranun. Semua adalah adat semata-mata yang perlu difahami oleh semua golongan termasuklah generasi muda Tausug Sulu.

Adat KAJA seperti ini perlu dibukukan dan dibuat kajian lanjut dari masa-kesemasa. Bagi penulis, konteks KAJA itu yang perlu lestarikan berdasarkan fakta yang benar yang bukan sahaja semata-mata ritualnya. Hari ini kelihatan KAJA semakin ditinggalkan kerana dek bangkangan para ahli agama. Yang menjadi kesilapan para generasi KAJA pula ialah mereka tidak memahami konteks KAJA yang sebenar kerana hanya melakukannya secara ikut-ikutan, jawapan yang selalu mereka berikan sekiranya ditanya hanya berkisar kepada doa dan sumpah serta Sukut. Menyebabkan para ulama' semakin memusuhi KAJA.

Penulis berpendapat perlunya generasi Buranun hari ini kepada anjakan paradigma terhadap KAJA mereka. Ceramah agama sempena memperingati hari pengislaman mereka kemudian menjamu makanan tidak semestinya dilakukan di atas bukit dan gunung. Saranan ini mungkin tidak dapat diikuti adalah kerana kewujudan "SUKUT" dalam KAJA itu sendiri. Kebanyakan kes Buranun yang melakukan KAJA ialah sekiranya keluarga mereka telah ditimpa penyakit misteri dan kesempitan hidup barulah mereka lakukan KAJA. Dengan alasan telah terkena "SUKUT". Sekiranya hal ini berterusan, maka tidak hairan ia akan terus dibangkang oleh ulama' kerana tiada siapa pun ahli agama yang akan membelanya kerana KAJA mengandungi unsur PERBOMOHAN yang boleh membawa kepada kerosakan Aqidah.

ASREE


Nota kaki:
[01] Majul, Islam Di Filipina, diterjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP 1988, m.s. 77 & 78.
[02] Ibid, m.s. 74.
[03] Ibid, m.s. 75, Dirujuk: Saleeby, The History of Sulu, m.s. 42.
[04] Ibid, m.s. 78.
[05] Ibid, m.s. 80.
[06] Ibid, m.s. 82, Dirujuk: Tarsila, Hilal ad-Din.
[07] Ibid, m.s. 82, Dirujuk: Traditions, Costums and Commerce of the Sulu Moros, Op. Cit., m.s. 21.
[08] Rujukan : Fiqh al - Sirah , Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti.
  1. Salam , kalau orang tu kena sukut mcm mana nk ubati ? Dsbbkn kaja mmpesong kn aqidah Bgaimna cara yg lebih baik utk ubati saorg yg sakit sbb sukut.

  1. This comment has been removed by the author.
  1. Kalau kaja maksudnya kerja bagaimana pula dengan mandausah

  1. Kaja itu bukan kerja sebab mereka Selalu sebut kerja sebagai karaja.
    Kaja itu bagi Saya adalah satu tradisi utk tidak melupakan asal usul maka dgn itu orang tua dulu guna sukut utk memastikan ia dteruskan.Buranun pula itu awal Islam seperti sarip bukan baru d islamkan.dalam tausug/suluk keturunan dan gelaran gelaran salip ,datu berpontensi hilang atau pupus mengikut perkawinan campur mengikut masa,namun sebaliknya bagi golongan buranun tidak meskipun tiada gelaran di awal namanya akan kekal sebagai buranun terus kekal melakukan tradisi seperti kaza Dan dll tradisi dalam tradisi buranun

Post a Comment