Berdirinya Panji Sulu Berdirinya Kedaulatan!!
Sebelum YM Sultan Bantilan Muhammad Muizuddin II Aranan diangkat oleh lebih 10,000 rakyat jelata menjadi Sultan Sulu Darul Islam pada 19 Mac 2009 di Buansa, Jolo dahulu, Baginda dikenali dengan nama Datu Ladjamura "Uda" bin Datu Wasik Aranan.
Siapa Datu Ladjamura?
- Baginda berasal dari keluarga Syarif yang menjadi Datu (Pemerintah) daripada keluarga Sultan Muhammad Aranan Puyo.
- Dilahirkan di Pulau Siasi, Sulu (berhampiran Pulau Lugus-Tapul) dan hanya bersekolah sehingga darjah dua kerana kemiskinan lantaran kematian ayahandanya.
- Terpaksa membantu ibundanya di kebun untuk menyara adik beradiknya yang lain.
- Tidak pandai membaca dan menulis sewaktu berhenti sekolah di darjah dua.
- Berhijrah ke Lahad Datu, Sabah setelah meletus perang Moro vs Filipina pada 1972.
- Bekerja sebagai peniaga di pasar ikan Lahad Datu sehingga menjadi peniaga yang berjaya dan disegani (menjadi peraih yang punya penjual ikan seramai lebih 20 orang).
- Antara tahun 80-an hingga 1990 beliau didatangi oleh rombongan Pairin Kitingan bertujuan meminta maklumat Kesultanan Sulu dari keluarga Aranan Puyo.
- Pada 1998, beliau mendapat kekuatan setelah mendapat senaskah buku "Islam di Filipina" (Muslim in the Philippines) tulisan Prof. Cesar Adib Majul. Beliau terpaksa belajar membaca untuk memahami kandungan buku tersebut.
- Pada tahun yang sama beliau mendapat ilham untuk kembali ke Sulu membuat kaji selidik dengan caranya sendiri. Berjumpa para Datu dan Syarif yang ada kaitan dengan Kesultanan Sulu.
- Beliau mula perkenalkan Bendera @ Panji asal Kesultanan Sulu yang ditinggalkan oleh Sultan Sulu terakhir Almarhum Sultan Muhammad Jamalul Kiram II (w 1936).
- Pada tahun 2000 beliau menyertai rombongan keluarga Aranan Puyo melawat Pusat Sejarah Brunei dan berjaya bersoaljawab dengan Ketua Pengarahnya iaitu Prof. Pehin Dato' Mohd Awang Jamil Al-Sufri sehingga membawa kepada sedikit pertengkaran dan cabar mencabar.
- Tahun 2001-2004 beliau berulang alik ke Sulu dan Sabah dengan memulakan kempen memungut tandatangan (gambar dan cap jari) Tausug dengan slogan "Mengembalikan kerakyatan Tausug dan panji asal kedaulatan Kesultanan Sulu yang tidak pernah dijajah samada Spanyol, Amerika, Jepun atau Filipina".
Memulakan pemacakan bendera dan perarakan besar-besaran.
- Pada tahun 2005, beliau dipertemukan dengan seorang Guru Agama dari Kedah yang pernah disenaraikan oleh sebuah Majalah Antarabangsa yang berpusat di Hong Kong sebagai "Orang yang paling merbahaya di Asia Tenggara" iaitu Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah (dari Merbok).
- Ustaz Hj Abd Halim mendidik beliau dengan kaedah perjuangan yang betul dengan meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan hakiki. Menjadikan Allah swt sebagai matlamat dan Sunnah Rasul sebagai cara hidup. Jadikan mati Syahid sebagai idaman dan kesusahan hidup sebagai baja perjuangan, jadikan "La Hawla Wala Quwwata illa Billah" sebagai azimat untuk menjadikannya kalis takut.
- Pada tahun 2006 beliau kembali ke Jolo dan memulakan kempen ceramah dari kampung ke kampung tanpa rasa takut dan gusar sehingga pada tahun 2007 beliau berjaya memacak Panji Sultaniyah dengan iringan takbir "Allahuakbar!!".
- Filipina mula goncang dalam diam, dan kemudian pada akhir 2007 beliau berjaya mengumpul pengikut hampir 15,000 orang di seluruh kepulauan Sulu dan berjaya mengadakan perarakan yang pertama.
- Filipina telah berasa terpukul yang walau pun pihak tentera berjaya menghantar utusan menemui Datu Ladjamura di Istananya untuk merundingkan agar perarakan tersebut dibatalkan namun beliau tetap meneruskan perarakan tersebut.
- Perarakan Tausug yang pertama adalah juga pengunduran Batallion Tentera Darat Filipina yang pertama dari tanah Jolo (boleh saksikannya dalam video Youtube). Kem Tentera darat dikosongkan, berduyun-duyun tentera keluar dari Jolo menggunakan kapal tentera laut mereka. Kemudian Tentera Marin Filipina masuk mengganti sebagai penjaga keamanan SEMENTARA.
- Sejak itu, TAUSUG SEBENARNYA TELAH BUKTIKAN YANG MEREKA SEMEMANGNYA MERDEKA.
Gambar Ustaz Hj Abdul Halim Abbas ketika memberi ceramah agama di Kota Kinabalu, Sabah. Anda boleh berhubung dengan beliau melalui Facebook (FB). Beliau berketurunan Batak dari Sumatra Barat yang berhijrah ke Kedah. Datuk beliau adalah ulama' besar bersahabat dengan Syeikh Abdullah Fahim yang sama-sama belajar di Makkah. Sebenarnya Batak dan Sulug mempunyai perkaitan rapat lama sebelum kedatangan Portugis ke Melaka abad ke-15.
Salah satu buku karangan Ustaz Hj Abdul Halim Abbas yang pernah diterbitkan oleh Jamaah Al-Arqam ketika dulu. Buku ini sangat menakutkan orang-orang yang membenci Islam kerana menggunakan Hadis-Hadis Nabi SAW yang menunjukkan Islam akan kembali dari sebelah timur (Asia Tenggara). Ustaz menggunakan metodology Sufi dalam menyampaikan Islam.
Desakan rakyat untuk menaikkannya sebagai Sultan Sulu.
- Para pengaku Sultan Sulu yang lain seperti Sultan Fuad Kiram, Sultan Esmail Kiram II dan lain-lain merasa seperti cacing kepanasan kerana Gerakan Tausug telah berjaya meraih kejayaan dengan MEMACAK BENDERA SULU tanpa gangguan dan keganasan dari pihak tentera Filipina. Sedangkan mereka para pengaku Sultan Sulu meletakkan bendera Filipina disamping bendera mereka menunjukkan mereka sebenarnya bukan Sultan Sulu tapi Sultan Filipina.
- Malangnya, para pengaku Sultan Sulu ini sekiranya ditanya oleh wartawan luar negara "Siapa yang berarak membawa bendera Kesultanan Sulu itu" maka mereka jawab "Itulah rakyat BETA yang mahukan kebebasan". Lembu punya susu, monyet dapat nama.
- Pada penghujung tahun 2008 Datu Ladjamura telah didesak oleh rakyat untuk berdiri sebagai Sultan Sulu kerana para pengaku Sultan Sulu yang lain di luar sana sangat ghairah mendakwa bahawa Tausug yang berarak adalah rakyat mereka. Datu Ladjamura menolak.
- Pada bulan Februari 2009 beliau mula didesak secara Syura oleh Tausug North Borneo dan disokong oleh Tawi-Tawi, Basilan dan Jolo. Datu Ladjamura beralasan bahawa masanya belum sesuai kerana beliau sendiri hanya membantu sedarkan Tausug kembali kepada kerakyatan mereka yang sebenar bukannya mahu menjadi Sultan Sulu pula.
- Akhirnya beliau bersetuju setelah dua minggu bermesyuarat dengan para Datu dan Syarif. Selepas semburan air bomba di perkarangan Municipal Jolo kepada Tausug Citizens pada 17 Mac 2009 maka pada 19 Mac 2009 beliau diangkat sebagai Sultan Sulu yang sah oleh rakyat jelata secara terbuka.
APAKAH ERTI SEBAGAI SULTAN SULU?
Di mana-mana perjuangan pun hatta dalam perjuangan Islam sekali pun akan ada pembelotan, kemunafikan dan pengkhianatan. Tanpa menuduh mana-mana pihak, pengkhianat bukan sahaja menjadi pemusnah kepada perjuangan malah pemusnah kepada diri mereka sendiri. Sebagai Tausug yang bermaruah berdiri di kaki sendiri, di tanah sendiri, dengan keupayaan semampunya yang walau pun miskin dan melarat namun perjuangan tetap juga diheret sejauh mungkin. Adalah sangat menyedihkan apabila seorang pejuang tersilap perkiraan dengan meninggalkan "akar perjuangan" yang asal sebelum ini mereka bela telah melompat ke kumpulan lain tanpa syura. Meninggalkan Syura sebenarnya telah meninggalkan Islam.
Syura Kesultanan Sulu Darul Islam diketuai oleh Sultan Bantilan Muizuddin II. Penulis akan namakan syura ini sebagai SYURA BANTILAN mulai hari ini yang membawa makna "Majlis Syura dibawah Payung Raja Baginda DI BAWAH DULI YANG MAHA MULIA Sultan Bantilan Muhammad Muizuddin II bin Datu Wasik Aranan". Syura Bantilan adalah syura yang asal sebagaimana ia bermula di tangan Datu Ladjamura dahulu. Beliau pernah berkata lebih kurang bermaksud,
"Sultan mesti ditabal di Lupa' Sug tempat berdirinya kuasa Kesultanan Sulu bukannya di manila atau dimana-mana tempat. Sultan tidak boleh menjadi warganegara lain selain warganegara Tausug kerana itu adalah protokol nenek moyang kita. Sultan bukan Moro dan bukan juga Filipino.
Sultan ialah Tausug yang membela rakyat berlapar dahaga bersama mereka. Jalan ini telah kita rintis dan akan menjadi ikutan kepada generasi kita yang akan datang. Kita miskin berjuang mengangkat bangsa, negara dan Agama suci ini tanpa mendapat bantuan dari Tausug kaya yang lupa diri. Kita tiada harta tapi kita masih ada Allah swt.
Kalian akan saksikan suatu hari nanti, orang-orang kaya Tausug ini akan berlumba-lumba bangkit mengangkat diri jadi Sultan Sulu setelah melihat kejayaan. Hancurnya institusi kesultanan Sulu adalah disebabkan mereka ini".
Mr. Allen Wong Mei Wah Sultan Sulu?, Orang Cina pun istiharkan diri sebagai KING OF BORNEO, Sulu & Mindanao. Kebijaksanaan para Datu dan Syarif ketika dulu meletakkan syarat kenaikan takhta atau pertabalan seseorang Sultan Sulu mesti di Lupa' Sug (Tanah Sug @ Jolo) adalah bertujuan menghalang sultan palsu seperti ini dari mengaku Sultan Sulu. Ini bukan Sultan Sulu tapi adalah Sultan China kerana ditabalkan di negeri China. Pertabalan Sultan Sulu di Jolo pula bukanlah mudah. Risikonya tinggi kerana memerlukan kempen menghimpun manusia serta berhadapan dengan para pejuang bersenjata.
|