BHG 3: JANJI TUHAN TERHADAP TOIFAH BERHATI BESI
Apakah sejarah silam Tausug menjadikan mereka jahat dan hina buat selama-lamanya? Atau pun sejarah silam Tausug telah dimanipulasi agar bangsa ini tidak akan muncul semula buat selama-lamanya?
SEJARAH SULUG YANG DIMANIPULASI
Generasi muda Tausug hari ini dengan penuh kehairanan bertanya "mengapa Tausug sehingga hari ini masih berperang dan tidak mahu menyerah menjadi sebagai RAKYAT FILIPINA yang mahukan keamanan dan kesejahteraan diri dan anak bangsa?" Persoalan ini nescaya akan di jawap dengan tegas oleh para pejuang bersenjata Tausug yang masih berkubu di atas pergunungan Jolo "Mana mungkin kami menyerah kepada orang kafir"?
Sementara Tausug yang lain telah menerima Filipina sebagai "Tuan" manakala yang lain masih mempertahankan perjuangan nenek moyang mereka di pedalaman Jolo, menunjukkan sifat sebenar Tausug yang berhati besi. Mereka ialah pejuang atau mujahid Islam dari kumpulan serpihan bekas peperangan MNLF vs Marcos dahulu yang hari ini mereka namakan MNLF, Abu Sayyaf serta kumpulan persendirian yang lain (ini bermakna mereka terdiri dari beberapa kumpulan yang berbeza). Matlamat pejuang bersenjata ini ialah mahukan kebebasan wilayah nenek moyang mereka dan memerintah sendiri sebagai negara Islam yakni mengamalkan undang-undang Islam.
Mengapa ia terjadi hanya kepada Tausug tidak kepada bangsa lain di Nusantara (Likusantara)? Walau pun dikatakan Orang Melayu Pattani masih berjuang melawan Thailand namun perjuangan Tausug dikira lebih lama iaitu bermula setelah kedatangan Spanyol, Belanda dan Inggeris lagi. Pattani tidak mengalami penghapusan etnik yang begitu lama sebagaimana yang dikenakan kepada Tausug yang bukan sahaja Spanyol, Amerika Syarikat malah Filipina sendiri. Tausug diumpan untuk membina kumpulan-kumpulan yang kemudian dibunuh secara membabi-buta dengan pengeboman artileri secara besar-besaran sehingga membunuh rakyat biasa yang tidak berdosa selama hampir seratus tahun. Perhatikan, inilah sebenarnya yang dinamakan penghapusan etnik. Apakah sebab Tausug dihapuskan dan bila program penghapusan ini bermula?
Seperti yang telah kami nyatakan sebelumnya, kekuatan dominasi maritim Sulug @ Tausug di perairan seluruh Asia Tenggara yang diketahui bermula semenjak zaman Srivijaya abad ke-7 sehingga abad ke-19 menjadi sebab Bangsa Sulug dihapuskan buat selama-lamanya. Sejarahnya juga telah diusahakan untuk dilupus dengan cara memanipulasi sejarah negara-negara Asia Tenggara seperti yang kita ketahui hari ini. Kebaikan dan kemurnian Sulug telah dihilangkan kerana yang tertulis hari ini hanyalah Sejarah Kesultanan Sulu yang diberi interpretasi buruk dengan memaksakan jenama "Bangsa Moro" kepada Tausug diterima umum. Akhirnya seluruh dunia hari ini tidak kenal Tausug atau Sulug tetapi kalau "Moro" mereka sangat kenal sebagai gerakan pemberontakan di Filipina Selatan.
Yang lebih memburukkan keadaan, orang Tausug sendiri telah terpedaya menerima penggelaran Moro ke atas diri mereka tanpa menyedari ia adalah program untuk menghapuskan nama dan identiti Sulug mereka di muka bumi. Terbukti bangsa Sulug yang sudah menerima gelaran "Bangsa Moro" ini sudah tidak mahukan nama "Kesultanan Sulu" sebagai identiti perjuangan mendapatkan negara nenek moyang mereka malah menukarnya kepada nama baru yang tiada kaitan iaitu negara "Republik Bangsa Moro". Inilah manipulasi sejarah yang sangat licik dan bijak untuk menghilangkan sejarah dan identiti bangsa berhati besi ini.
KEKALAHAN TAUSUG ADALAH KEKALAHAN ISLAM
Satu-satunya bangsa di Asia Tenggara yang masih bertahan mempertahankan Islam dan kekuatannya ialah Tausug di kepulauan Sulu. Kerana identiti Kesultanan Sulu masih membayangi perjuangannya sehingga hari ini. Walau pun dikatakan Nur Misuari berjuang atas nama Bangsa Moro namun ketika menubuhkan MNLF dahulu beliau telah mengangkat sumpah atas nama Allah swt dengan memegang Al-Qur'an bersama para Datu untuk berjuang mengembalikan Kesultanan Sulu. Setelah rakyat dan para Datu menyedari bahawa Nur Misuari telah melanggar Sumpah dengan merancang menubuhkan Republik Bangsa Moro pula, maka rakyat mula bangkit menyuarakan kehendak asal mereka mengembalikan Kesultanan Sulu dan undang-undang Islam.
Apakah Tausug sebenarnya telah kalah kerana kekalahan MNLF? Sebenarnya yang kalah hanyalah perjuangan peribadi yang telah menyimpang dari perjuangan asal. MNLF telah kalah di meja rundingan pada 1996 sedangkan perjuangan asalnya masih bertahan tidak terkalahkan. Di tengah pergunungan Jolo tradisi Sulug masih dipertahankan oleh Ustaz Habir Malik, Kom. Khaid, Kom. Radulan Sahirun dan Kom. Dr. Abu sehingga hari ini. Slogan para pejuang ini ialah membebaskan Bangsa, Negara dan Agama tercinta dari pemerintahan kafir Filipina. Walau pun mereka menerima penggelaran Moro ke atas diri mereka namun mereka masih mengaku sebagai Tausug. Kekalnya mereka masih melawan secara militer bermakna Sulu masih tidak terjajah, oleh sebab itu kekuasaan Islam dan Tausug masih bertahan.
Kemunculan generasi baru yang memperjuangkan Kesultanan Sulu secara aman hari ini adalah alternatif kepada perjuangan militer para komander MNLF yang dilihat gagal mengangkat aspirasi rakyat Tausug sebelum ini. Generasi baru muncul dengan membawa pemahaman yang betul bagaimana mengembalikan Kesultanan Sulu ke asalnya seperti dahulu. Berkibarnya bendera Sulu yang dipacak ditengah-tengah Bandar Jolo tanpa gangguan Filipina membuktikan kaedah perjuangan yang dibawa oleh generasi baru ini adalah benar dan menepati undang-undang antarabangsa. Generasi muda adalah generasi terpelajar serta sangat memahami sejarah bangsa nenek moyang mereka. Cukup persedian dari segi mental dan kemampuan dalam perang saraf yang boleh bertahan dalam jangka masa panjang.
Nusantara masih bertuah kerana bangsa Sulug @ Tausug masih gigih mempertahankan Islam dan jati diri mereka sekali pun dihimpit oleh program-program pembunuhan dan penghapusan identiti. Allah swt Maha Kuasa menjadikan Tausug tetap berdiri tidak terkalahkan. Sesuai dengan sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. :
"Sentiasa ada satu golongan daripada umatku, (mereka) memperjuangkan kebenaran, selalu memperoleh kemenangan sampailah ke hari kiamat...(sehingga akhir Hadis)" Riwayat Muslim.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah datangnya ketentuan Allah (Kiamat).” (Riwayat Muslim)
Sabda Nabi SAW, dikeluarkan dari Al Hasan bin Sofyan dari Abu Nuaim maksudnya: Daripada Tsauban, telah bersabda Rasulullah SAW:
“Akan datang panji-panji hitam dari Timur, hati mereka seperti kepingan besi. Barang siapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah mendatangi mereka dan berbai’ahlah kepada mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salji.” (Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)
TOIFAH YANG DIMAKSUDKAN OLEH HADIS ADALAH SULUG?
Dalam penjelasan kami yang lepas, bukti-bukti menunjukkan Sulug pernah menduduki keseluruhan Asia Tenggara lama sebelum kemunculan kerajaan Funan dan Srivijaya. Nama-nama negeri dan daerah dalam bahasa Sulug @ Solok serta kewujudan perkampungan Solok samada di Indonesia dan Malaysia hari ini menjadi bukti nyata yang tidak dapat disangkal. Ditambah pula dengan catatan-catatan Portugis Spanyol tentang kekuatan maritim Sulug awal abad ke-15 menjadikan Sulug satu-satunya bangsa berhati besi di Asia Tenggara. Mungkin pujian ini dianggap keterlaluan oleh pihak yang membenci Sulug namun itulah hakikat yang selayaknya bagi bangsa ini.
Hari ini Sulug atau Tausug telah diperangi dan dirancang dengan begitu licik untuk dihapuskan dan tiada seorang pun yang boleh mengagak sampai bila Tausug diperlakukan begini. Masihkah ada harapan untuk Sulug mendapat kemenangan mengembalikan kerajaan Kesultanan Sulu?
Dari Abdullah RA, dia berkata,
“Ketika kami sedang berada bersama-sama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan Putera dari Bani Hasyim. Apabila baginda melihat mereka, tiba-tiba air matanya berlinang dan wajahnya berubah. Abdullah berkata, aku bertanya, “Kami melihat sesuatu yang tidak kami senangi pada wajahmu?” Maka baginda menjawab, “Kami adalah Ahlulbait yang Allah telah memilih bagi kami kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku, sepeninggalanku nanti, akan menerima bala bencana pengusiran dan pembuangan, sehingga datanglah suatu kaum dari arah Timur yang membawa Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, lalu mereka berjuang dan menang, lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerimanya sehingga mereka menyerahkan kepemimpinan itu kepada salah seorang lelaki dari ahli keluargaku. Dia lalu memenuhinya dengan berbuat adil, seperti sebelumnya yang dipenuhi dengan kezaliman. Barang siapa di antara kamu semua yang menjumpai hal-hal tersebut, hendaklah dia mendatangi mereka walaupun terpaksa merangkak di atas salju.” (Al-Hakim & Ibnu Majah)
Kalau benarlah Sulug adalah yang dimaksudkan sebagai pembawa panji hitam hari Timur maka insyaAllah Sulug akan berjaya mendapatkan semula kekuasaan yang mereka inginkan selama ini di masa akan datang iaitu menegakkan kerajaan Kesultanan Sulu semula.
Seperkara yang tidak diketahui oleh orang-orang Melayu hari ini ialah darah keturunan Sulug yang majoritinya adalah dari Ahlulbait Rasul SAW. Perkahwinan campur para Sayyid dengan wanita-wanita bangsawan Sulug di Kepulauan Sulu ketika dulu telah melahirkan generasi SYARIF yang hingga hari ini beranak pinak sehingga ke Borneo. Hinggakan untuk melantik Sultan Sulu tanpa persetujuan para Syarif (Sayyid) Sultan Sulu tidak boleh ditabal. Tausug menyebut bahawa keluarga Syarif adalah keluarga "Barakat". Ramainya keluarga Syarif di Sulu menyebabkan sambutan Malidurrasul setiap tahun dilakukan dengan meriah seolah-olah melebihi kemeriahan Hari Raya Puasa dan Aidil Adha.
Kemeriahan Maulidurrasul ialah pada malamnya, bermula selepas sembahyang Isyak hingga menjelang sembahyang Subuh. Acara bacaan Kitab Al-Barzanji dan persembahan berbalas pantun dan gurindam yang dimeriahkan dengan jamuan kuih muih, pulut kuning, ayam panggang dan gula-gula menjadi kegembiraan hadirin termasuk kanak-kanak. Setiap kampung melakukannya bergilir-gilir dalam masa hampir sebulan selepas 12 Rabiulawal setiap tahun. Tradisi kecintaan terhadap Rasulullah SAW ini menjadikan para Syarif @ Sayyid mendapat penghormatan tertinggi oleh Tausug sehingga hari ini. Sejarah peperangan Tausug memerangi kafir Spanyol kebanyakannya didorong oleh semangat jihad para Syarif hinggakan para Syarif sendiri yang berada di bahagian hadapan ketika di medan perang.
Salah satu faktor keluarga Syarif menjadi ramai kemungkinan adalah kerana kaum lelaki generasi Sulug Buranun di Pulau Jolo yang berani mati kebanyakan telah gugur Syahid selama beberapa ratus tahun berperang dengan Spanyol sehingga era peperangan dengan Amerika Syarikat. Para balu Syuhadak Buranun kemudiannya dikahwini pula oleh para Syarif yang kemudian hasil perkahwinan tersebut melahirkan GENERASI SYARIF SULUG yang lebih berani dan ditakuti. Syarif dalam bahasa Sulug menurut kajian kami adalah bermaksud para "Sayyid yang berkuasa memandu pemerintah" sebab itu mereka dipanggil Syarif (Pemerintah Makkah Al-Mukarramah juga adalah para Syarif sebelum penaklukan Bani Sa'ud yang membunuh ramai para Syarif @ Bani Hasyim). Sesuai dengan Hadis Rasulullah SAW di atas bahawa Ahlulbaitnya diusir dan dibuang oleh masyarakat Arab ketika zaman fitnah (Antara penghujung zaman Khulafa-ur-rasyidin dan zaman Umayyah) dan akhirnya mereka para Ahlulbait diselamatkan oleh bangsa Sulug dari SEBELAH TIMUR malah dikasihi dan dijadikan pemimpin.
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda,
"Alangkah rindunya aku kepada ikhwanku (saudara-saudaraku)." Terkejut para Sahabat lalu berkata, "Wahai Rasulullah, bukankah kami ini ikhwanmu?" Rasulullah berkata, "Tidak. Kamu adalah Sahabat-Sahabatku. Manakala ikhwanku itu ialah umat Islam akhir zaman, yang datang sesudahku, mereka sanggup ‘menjual' keluarga dan harta untuk bertemu denganku, mereka tidak pernah berjumpa denganku tapi beriman denganku."
Kemungkinan toifah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah kembalinya satu kerajaan atau kekuasaan iaitu Kesultanan Sulu. Kalaulah Sulug @ Tausug yang mencintai para Ahlulbait itu sesuai digelar IKHWAN yang dirindukan oleh Rasul SAW malah menepati syarat sebagai "bangsa yang berhati besi" pula maka satu lagi syarat ialah GHURABA' seperti yang disebut oleh Hadis. Ghuraba' makna menurut Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah ialah "Ganjil, pelik, asing atau menghairankan". Antara makna yang popular ialah ASING.
SULUG @ SULUK DI MALAYSIA DIPANGGIL PENDATANG ASING?
Di Malaysia terutama di Sabah orang-orang Sulug dipanggil Suluk iaitu sebutan "G" menjadi "K". Seperti yang kami jelaskan sebelum ini Sulug bermaksud "Arus Air" deras. Tausug di kepulauan Sulu hari ini menyebut Sulug dengan Sug sahaja kerana kebiasaan lidah menghilangkan "L" di tengah perkataan. Suluk di Sabah terbahagi dua secara Jus Soli iaitu Suluk yang tinggal di Sabah semenjak North Borneo dan Suluk setelah North Borneo masuk ke Persekutuan Malaysia menjadi Sabah pada 16 Sept 1963. Suluk North Borneo telah menjadi warganegara Sabah Malaysia secara otomatik ketika itu manakala Suluk yang datang kemudian dipanggil "Pendatang Asing Tanpa Izin" (PATI) sekiranya masuk tanpa Pass perjalanan sah.
Telah menjadi persoalan besar kepada Suluk sehingga hari ini mengapa Malaysia menangkap dan menggelar PATI kepada Suluk yang masuk ke Sabah tanpa Pass perjalanan sedangkan Sabah adalah sebahagian dari "Jasad" Suluk selama beratus-ratus tahun lama sebelum kedatangan Inggeris. Penggelaran PATI kepada Suluk yang datang kemudian menunjukkan "perjuangan Tausug menentang kafir penjajah" tidak dihormati oleh saudara seIslam mereka di Malaysia. Masih ramai Suluk di kepulauan Sulu yang tidak mengaku sebagai rakyat Filipina maka ketika mereka masuk ke Sabah untuk bekerja atau berjumpa saudara mara, mereka diminta menunjukkan Passport Filipina oleh Polis yang mana orang Suluk yang anti Filipina tidak pernah memilikinya.
Kegagalan menunjukkan Pass perjalanan sah akan menyebabkan mereka disumbat ke dalam lokap atau Rumah Merah Jabatan Imegresen selama 3 bulan atau 6 bulan dengan penuh kesengsaraan dan penyeksaan yang mereka tidak pernah alami selama berada di kepulauan Sulu di bawah pentadbiran kafir Filipina. Sehingga hari ini Suluk kepulauan Sulu yang masuk ke Sabah tanpa Pass perjalanan sah akan digelar PATI. Penggelaran dan penganiayaan ini tidak akan berakhir sehingga kerajaan Kesultanan Sulu dapat dizahirkan semula. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pemimpin Melayu muslim Malaysia kerana kejahilan mereka terhadap sejarah Suluk. Pemimpin-pemimpin Suluk di Malaysia perlu bangkit menyelamatkan keadaan ini dan mencadangkan satu mekanisma prihatin kepada KDN dan Perdana Menteri.
Kemunculan buku Tausug dan Kesultanan Sulu yang dicetak dan diedarkan di seluruh Malaysia beberapa tahun lalu sedikit sebanyak telah mula membangkitkan kesedaran tentang sejarah Suluk @ Sulug di Malaysia. Tetapi di semenanjung Malaysia, orang Melayu yang membaca buku tersebut begitu banyak bertanya serta penuh kehairanan kerana nama "Tausug @ Suluk" itu begitu asing buat mereka. Inilah yang dikatakan GHURABA' atau asing.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.,
“Islam itu permulaannya adalah asing, dan nanti akan kembali menjadi asing, seperti permulaannya. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (Riwayat Muslim)
Beberapa perkara yang masih dianggap asing dan menghairankan, Tausug di pedalaman Jolo masih mengamalkan amalan para Sayyid yang bukan sahaja amalan pembacaan Kitab Al-Barzanji yang didendangkan dalam bahasa Arab secara berlagu atau sya'ir ketika Maulidurrasul malah khutbah Jumaat atau Hari Raya pun 100% masih dalam bahasa Arab yang dilagukan secara mendayu-dayu. Bacaan sembahyang dalam bahasa Arab pun mereka tidak faham apatah lagi khutbah yang dibaca 100% dalam bahasa Arab. Yang lebih menghairankan kebanyakan mereka melelehkan air mata di penghujung khutbah.
Dari kajian kami mendapati antara sebab mereka membaca khutbah 100% dalam bahasa Arab yang mereka sendiri tidak fahami adalah kerana penghormatan mereka terhadap Sayyid yang mengislamkan nenek moyang mereka sehingga menjadi sumber kekuatan berani mati mereka menentang penaklukan kafir Spanyol. Mereka menangis kerana sangat rindukan perjuangan dan kehebatan nenek moyang mereka para mujahid Tausug yang berani mati kerana bangsa, negara dan agama tercinta. Kemunculan program Kesultanan Sulu Darul Islam hari ini juga dilihat begitu asing kerana menolak peperangan senjata. Program pendidikan agama dan sejarah mula dilaksanakan kepada generasi muda mereka secara berdikit-dikit. Tausug hanya perlu bersabar ke atas penganiayaan dan kerosakan yang ditujukan kepada mereka.
"Sesungguhnya bermula datangnya Islam dianggap asing dan akan datang kembali asing. Namun berbahagialah orang-orang asing itu. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW, "Ya Rasulullah, apa yang dimaksud orang asing itu?" Lalu Rasulullah menjawab, "Orang yang melakukan kebaikan-kebaikan di saat orang-orang melakukan kerosakan." (Riwayat Muslim)
Akhir sekali ialah pada Sabda Rasulullah SAW: "Apabila azan sang muazzin, berserulah dia: Asyhadu al laa ilaaha illallah, (ketika itu) bergoncanglah Syurga. Sangatlah rindunya para bidadari dan bertambah-tambah rindunya lagi mereka akan Rasulullah SAW. Begitu juga segala mahligai Syurga dan segala bilik peraduannya (bergoncang kerana) amat rindu kepada Rasulullah SAW. Sedangkan di saat itu Rasulullah SAW pula sangat rindu kepada suatu toifah dari kalangan umatnya yang akan keluar pada akhir zaman nanti. Mereka itu berakhlak dengan akhlak nabi-nabi dan mengambil perjalanan yang ditempuh oleh para siddiqin. Mereka ini adalah ghuraba' (orang-orang asing) di kalangan umum mukminin."
|