Ketakutan Filipina: ISLAMISASI SEMAKIN MENULAR

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Sunday, October 18, 2009 0 ulasan

Ketakutan kerajaan Filipina semakin menjadi-jadi terutama ketakutan terhadap Islamisasi yang melanda umat Kristian Visaya dan Tagalog di Manila hari ini. Ribuan penganut Kristian yang terdiri dari kalangan bawahan sehinggalah kepada golongan kaya termasuk golongan artis atau selebriti telah mula menganut Islam.

Di Filipina, sesiapa yang menganut Kristian sebelum ini kemudian menganut Islam, mereka dipanggil sebagai "Balik Islam". Bermaksud "Telah kembali kepada agama asal iaitu Islam". Hal ini adalah hakikat dari kewujudan kekuasaan Sulu-Brunei ketika dulu ke atas semua wilayah kepulauan yang bermula dari Suluwesi (Sulawesi) sehingga ke Luzon sebelum kedatangan Spanyol.

Seorang artis terkenal Filipina bernama Robin Padilla sangat gembira dan bertuah setelah kembali kepada Islam. Menurut beliau, nenek moyang mereka sebelum kedatangan Spanyol adalah beragama Islam. Sekiranya kita menulusuri sejarah kita akan dapat mengesahkan hakikat ini, Tausug Taguimah dari Basilan sehingga ke Jolo telah pun menerima Islam seawal kurun ke-7 (lebih awal dari Brunei) yang dibawa dari China era pemerintahan Dinasti Tang (650-700 Masihi).

Tausug Taguimah adalah bangsa pedagang & pelayar yang dibantu oleh saudara mereka Tausug Sama-Bajau yang menjelajah memasarkan emas dan mutiara dari Jolo ke Cebu sehingga ke Manila seterusnya ke Champa (Vietnam hari ini). Setelah kedatangan para pedagang arab dan Habaib Hadramaut, Islamisasi semakin mengukuh dan tersusun. Maka muncullah Kesultanan Sulu pada awal abad 15, hampir seratus tahun sebelum penaklukan Spanyol keatas Cebu dan Manila.

Hari ini, para Jesuit masih meneruskan program "mengkristiankan" umat Islam Sulu dan Mindanao. Sebahagian kecil dari Tausug telah berjaya mereka kristiankan tetapi muslimin tidak berdiam diri. Malah hari ini berlaku sebaliknya, umat Kristian Filipina berduyun-duyun menganut Islam. Mereka bangga menjadi Islam kerana sudah jadi "saudara" Tausug di Jolo. Sebab itu Robin Padilla datang ke Jolo dan beliau disambut dengan meriah oleh Tausug disana sebagai Saudara Seaqidah dengan Tausug.

Beberapa orang pemimpin Kristian termasuk Madre (Nun) dan Padre (Priest) Katolik Filipina memeluk Islam.


Kebanyakan Madre dan Padre kembali kepada Islam adalah kerana peranan Tausug di Jolo. Video di atas salah satu buktinya.

Antara kaedah muslimin melawan kristianisasi dan berjaya menarik umat Kristian Filipina masuk Islam ialah dengan mengekalkan budaya nenek moyang iaitu "Bangga menjadi Tausug" dan "Bangga menjadi Ummat Muhammad SAW". Kebangsaan dan Agama tidak boleh dipisahkan oleh Tausug.

Bangga Menjadi Tausug, adalah satu slogan bukannya di mulut tetapi perlakuan. Di Manila sehingga ke Cebu dan Visaya, Tausug dipanggil Joloano bermaksud "Orang Jolo". Kebanggan sebagai Tausug adalah kerana keberanian "mempertahankan Aqidah dan hak" sehingga ketitisan darah yang terakhir. Bangga Menjadi Tausug bermakna bangga terhadap sifat dan sikap yang menjadi budaya.

Sebagao contoh, apabila ada orang Islam dianiaya oleh umat Kristian di Filipina, adalah dayus sekiranya Tausug tidak membelanya. Sebab itu peperangan di Jolo hari ini, Tausug bangkit bersama-sama bela-membela sesama mereka. Meminta sedekah, Mencuri, Memeras ugut dan menipu dalam perjanjian bukanlah sikap Tausug. Kerana kalau berlaku maka jelas telah mencalar maruah, ia perlu dibayar dengan darah dan perang saudara atau selama-lamanya menjadi buah mulut yang memalukan.

Bangga Menjadi Ummat Muhammad SAW, iaitu Tausug meneggakkan maksud dua kalimah syahadat dalam dirinya. Mengasihi Muhammad SAW dan para keluarganya serta mengasihi sekelian sahabatnya. Anak-anak wajib mengaji sekurang-kurangnya boleh membaca Al-Quran. Mencintai Muhammad SAW dizahirkan dengan mengadakan Maulidurrasul di sepanjang bulan Maulid setiap tahun. Mereka mengadakan pembacaan Kitab Al-Barzanji dan menjamu fakir miskin bermula dari selepas Isyak sehingga menjelang solat Subuh. Kemeriahan malam-malam Maulid begitu menggembirakan. Kemeriahan yang lebih meriah berbanding Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Budaya ini masih berlangsung sejak abad ke-15 lagi sehingga hari ini. Ini adalah SIMBOL Tausug yang menjadi kekuatan mereka bertahan berabad-abad diasak oleh Spanyol tetapi masih melawan sehingga tidak terkalah.

Kalau pun mereka secara majoriti begitu jahil Syariat, tetapi dengan mengamalkan budaya seperti di atas bagi mereka sudah mencukupi menjadi seorang Islam. Hal ini terjadi adalah peperangan yang panjang lantaran pengajian Fiqh begitu jarang dipelajari secara menyeluruh. Apa yang diperlukan oleh generasi muslim Tausug hari ini ialah menggiatkan pengajian Islam dengan menghantar anak-anak mereka ke Mesir, Yaman, Aceh-Indonesia, bila kembali ilmu Islam akan mereka kembangkan di sana.

Post a Comment