Sementara penulis masih menunggu laporan perang dari Jolo ada baiknya kita melihat selebriti Tausug yang ada di Malaysia. Mungkin individu yang penulis paparkan sebagai Tausug ini menyebabkan kejutan atau histeria "tahap sawan" kepada pembaca. Penulis hanya menulis, kebenarannya kenalah para pembaca sendiri yang menyiasat. Sebenarnya penulis pun hairan, semenjak selesai menerbitkan buku Tausug & Kesultanan Sulu, bermacam individu menelefon dan berjumpa penulis memaklumkan selebriti itu dan selebriti ini adalah Tausug.
Kadang-kadang tengah malam buta pun penulis dihantarkan SMS kebenaran seorang selebriti yang menjadi komposer terkenal di Kuala Lumpur itu adalah Tausug. Dua hari lalu hati penulis mula terdetik untuk menulis tentang hal ini. Berikut ialah pendedahan yang mampu diberikan, sekiranya pembaca ada tambahan atau bangkangan sila kemukakan dalam chatbox:
TERKENAL SEBAGAI SELEBRITI ATAU PEMIMPIN
Pertama:
Almarhum Tun Datu Mustapha bin Datu Harun. Pemimpin Sabah yang tidak akan dilupa sampai bila-bila. Lahir dalam keluarga bangsawan para Datu Diraja Sulu. Seorang pemuzik yang mahir menggesek biola. Beliau adalah Tausug yang fasih berbahasa Inggeris.
Menurut beberapa pihak, Tun Mustapha sebenarnya adalah anak kepada Datu Paduka Muhammad Salleh (Mat Salleh) bukannya anak kandung Datu Harun. Kononnya sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, beliau memberi tahu keluarganya bahawa beliau adalah anak kepada Datu Paduka Mat Salleh.
Pada tahun 2008, seorang sahabat penulis yang sudah agak tua yang tinggal di Sandakan telah menunjukkan gambar seorang pahlawan zaman British menentang Jepun di Sabah ketika dulu. Satu surat penghargaan dari kerajaan British-Australia yang dilekat sekeping gambar hitam putih mirip rupa Tun Datu Mustapha. Bila penulis tanya mengapa rupanya seperti rupa Tun Mustapha beliau mengatakan bahawa gambar tersebut adalah sepupu sekali kepada Tun Mustapha. Ayah mereka adik beradik, ayah Tun Mustapha ialah Datu Mat Salleh. Hal ini bukanlah mengejutkan kerana penulis telah pun dengar bahawa Tun Mustapha ialah anak Mat Salleh semenjak di sekolah rendah lagi. Siapa yang berminat melihatnya sila hubungi penulis.
Kedua:
Kenal wanita jelita ini? Beliau ialah heroin filem Laksamana Do Re Mi, salah satu filem P. Ramlee yang ditayangkan pada 1972. Penulis tidak ingat nama asalnya tetapi P. Ramlee memanggilnya Dayang Sulu.
Tidak lama dulu penulis terbaca biografi beliau dalam satu majalah wanita. Beliau menceritakan secara panjang lebar penglibatannya dalam industri perfileman era P. Ramlee. Beliau berasal dari Pulau Sulu yang menetap di Sabah. Entah bagaimana P. Ramlee datang ke Sabah lalu terlihat Dayang Sulu, langsung ditawarnya berlakon dalam filem Laksamana Do Re Mi.
Dayang Sulu berketurunan Sama-Bajau yang sekarang menetap di Kuala Lumpur bersama suami dan anak-anaknya yang sudah besar panjang. Dayang mempunyai makna yang indah dan menawan dalam bahasa Sulug. Dayang membawa maksud "seorang wanita jelita yang tinggal di Istana Sultan" dan seringkali juga dimaksudkan sebagai "Puteri Raja". Dalam bahasa Sulug "Dayang" biasanya akan disebut "Dang" sahaja bergantung kepada situasi. Sebagai contoh, nama isteri Datu Mat Salleh bernama Dayang Bandang tetapi hanya disebut sebagai Dang Bandang sahaja.
Ketiga:
Pija, gaya seorang jelitawan Tausug yang tengah naik namanya ketika ini. Kebetulan penulis berkawan dengan ayahnya dalam Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) cawangan Lembah Kelang. Ayahnya seorang ahli politik yang penulis panggil sebagai Ustaz Yasin, fasih berbahasa Arab, Inggeris, Melayu, Sulug dan loghat Sama-Bajau serta fasih berbahasa Tagalog dan Visaya. Power bapak dia ni.
Ibu Pija adalah seorang wanita mithali kerana mampu membesarkan 15 orang anak hasil perkongsian hidup dengan Ustaz Yasin. Baru-baru ini penulis terserempak dengan ibu Pija di majlis kahwin seorang lelaki Tausug di Setapak, penulis tanya apa rahsia beliau berjaya melahirkan 15 orang anak (termasuk Pija) dan masih kelihatan begitu muda. Beliau menjawab "Akak kahwin muda ketika usia 16 tahun dengan Utaz Yasin dan zikrullah". Power betul lah dorang nih...hehehe.
Keempat:
Julfekar, adalah nama yang tidak asing lagi di Malaysia. Sejak kebelakangan ini beliau telah menjadi "hangat" oleh kontroversinya dengan Farawahida. Ugut sana ugut sini sampai peringkat mahu dedah foto bogel Farawahida. Bagi penulis ini adalah permainan media, dalam masa yang sama mahu naikkan nama Farawahida dan Julfekar.
Julfekar adalah Tausug, keluarganya berasal dari Parang, Jolo. Ketika penulis bekerja di Syarikat perfileman tahun 2000 dulu, beliau telah menjadi penyanyi dan komposer kepada soundtrack filem Anaknya Sazali terbitan Eurofine Sdn Bhd. Sejak itulah penulis mengenalinya, loghat bahasa Sulugnya adalah loghat Jolo. Sekarang beliau semakin naik sebagai komposer, kita doakan semoga beliau berjaya.
Kelima:
Den Bisa adalah Tausug Sabah dari etnik Sama-Bajau asal Semporna. Sebelum menjadi artis solo Skyline beliau pernah menjadi vokalis satu kumpulan rock yang pernah terbit di Kuala Lumpur. Hari ini beliau sangat dikenali di kalangan masyarakat Sulu di Sabah. Suaranya yang merdu dan mendayu-dayu menjadi siulan.
Sejak dulu suara vokal Den Bisa adalah salah satu suara kegemaran penulis. Den Bisa walau pun bahasa hariannya adalah bahasa Melayu dan Sama-Bajau tetapi masih fasih berbahasa Sulug. Satu lagunya yang sangat terkenal dalam bahasa Sulug bertajuk "Biraddali" (Bidadari) telah menjadi siulan remaja Sulu bermula dari Sabah sehingga ke Jolo dan Zamboanga, lagunya sentiasa berkumandang.
Keenam:
Ahli politik Tausug dari Semporna, Sabah. Datuk Seri Shafie Apdal, datuknya dari etnik Sulug, Jolo dan ibunya dari etnik Sama-Bajau adalah orang yang bertanggungjawab menghidupkan Pesta Lepa-Lepa atau Pesta Sambulayang yang diadakan setiap tahun di Semporna.
Pesta Lepa-Lepanya menjadi kejutan budaya kepada Sabahan yang selama ini tidak pernah didedahkan dengan Pesta Kesultanan. Sebenarnya Pesta lepa-Lepa ialah Pesta Sambulayang iaitu suasana perarakan di laut menyambut Sultan Sulu dan para Datu Diraja. Sultan Sulu semenjak dulu telah memberi keistimewaan kepada etnik Sama-Bajau di laut untuk mengarak atau menyambut ketibaan Sultan.
Satu protokol yang telah membudaya dalam institusi Kesultanan Sulu. Etnik atau kaum Taguimah mempunyai perhubungan yang panjang dengan etnik Sama-Bajau yang mahir dilaut dan penyelam yang handal. Para sarjana barat menggelar etnik Sama-Bajau di Sulu adalah penyelam yang terbaik di dunia. Malah ketika era Sulu Zone, Sama-Bajau lah yang menjaga laut bersama etnik Iranun. Maka, sebagai mengingati sejarah, Datuk Seri Shafie Apdal telah berjaya melestarikan kebudayaan Tausug & Kesultanan Sulu di Semporna.
Ketujuh:
Datuk Seri Pandikar Amin Mulia, siapa yang tidak kenal dengan lelaki tegas dan berani ini di Parlimen? Pertama kali dalam sejarah, Karpal Singh telah dihalau secara paksa oleh beliau dari persidangan Parlimen tidak lama dulu. Ketegasan dan keberanian beliau sebenarnya adalah watak asal nenek moyangnya.
Beliau berketurunan Iranun dari Pantai Barat Sabah. Moyangnya berasal dari teluk Ilana, Mindanao. Setelah kedatangan Spanyol, Iranun bergabung dengan etnik Taguimah, Buranun dan Sama-Bajau Balangingi dari Sulu. Oleh kerana etnik Iranun biasa di laut, maka Sultan Sulu dan Sultan Qudarat dari Mindanao menugaskan Iranun bersama Bajau Balangingi menjaga Laut Sulu, Laut sekitar Mindanao, Sulawesi dan Borneo.
Antara tugas mereka ialah menjaga para pedagang Sulu di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan dari serangan Belanda, Inggeris dan Spanyol. Hinggakan sehingga hari ini nama "Iranun" telah dimasukkan ke dalam Kamus Dewan DBP sebagai "LANUN" atau perompak laut. Rasanya DBP kena mengkaji semula istilah Lanun ini, lebih baik menggunakan "perompak laut" sahaja bukannya Lanun yang merujuk kepada etnik Iranun. Bagi penulis secara peribadi, istilah Lanun ini dengan memaknakan sebagai Perompak laut sangat menghiris perasaan.
Kelapan:
Tun Sakaran Dandai berasal dari Semporna, Sabah. Pernah menjawat sebagai TYT Negeri Sabah dan sekarang giat dalam USIA sebagai Yang Dipertua USIA. Beliau berketurunan Sama-Bajau dan fasih berbahasa Sulug. Di Sabah terutamanya di Semporna, beliau sangat dihormati oleh masyarakat Sulu.
Hari ini beliau sangat aktif berdakwah bersama USIA dan salah seorang dari pengamal Tareqat Naqsyabandi yang setia. Beliau tidak seperti dulu aktif berpolitik, hari ini hanya anak-anak beliau sahaja yang berpolitik menyambung perjuangan lama Tun Sakaran.
Menurut beberapa orang, Tun Sakaran adalah anak angkat kepada Dandai. Tun Sakaran kononnya adalah anak dari etnik Tidung yang dipelihara oleh Dandai, persis sama apa yang berlaku kepada Tun Datu Mustapha yang dipelihara oleh Datu Harun. Untuk mengesahkan hal ini penulis mengesyorkan kepada sesiapa yang inginkan jawapan silalah berjumpa Tun Sakaran sendiri mendapatkan kebenaran dakwaan ini, lagi pun beliau masih hidup sihat walafiat.
Kesembilan:
Amy @ Suhaimi, seorang rockers terkenal tanahair Dalam
http://www.muzikrock.com dinyatakan beliau berasal dari Johor, berketurunan Bugis.
Seorang sahabat yang datang dari Jolo memberitahu penulis bahawa seorang wanita mengaku adik Amy bahawa beliau adalah berketurunan Sulug dari Jolo atau kepulauan Sulu. Menurut cerita kononnya beliau telah dibawa ke Sabah oleh keluarga angkat kemudian dapat peluang berhijrah ke Semenanjung Malaysia sehinggalah beliau menjadi penyanyi terkenal.
Dakwaan Amy sebagai Tausug bersumberkan dari saudara Neldy Jolo. Menurut saudara Neldy, beliau tahu hal ini setelah adik perempuan Amy telah menjadi Class-mate beliau di salah satu University di Filipina. Dengan siap menunjukkan gambar ketika kecil Amy dan adik perempuannya menyebabkan Neldy terpaku. Menurut Neldy lagi, secara diam-diam Amy menjemput makciknya dari Zamboanga tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
Malah ketika konsert Amy di Sandakan beberapa tahun lalu, Amy berkenan dengan jemputan kawan-kawan Tausug makan Siyanglag dan Piyutu di pasar Sandakan.
Bro Neldy, sekiranya anda terbaca artikel ini, sila betulkan kalau ada yang salah tulis terutama cerita tentang Amy Search ini. Hehehe....!!
Manik Kayangan ada beri komen membina menyarankan penulis mendapatkan pengesahan dari Amy sendiri. InsyaAllah, kiranya ada peluang pasti penulis bertanya kepadanya. Penulis katakan ini adalah dakwaan saudara Neldy kerana bersumberkan dari yang beliau katakan sebagai "Adik Amy" di Universiti tempat beliau belajar. Sekiranya salah, abaikan sahaja.
Kesepuluh:
Sultan Iskandar Johor, berdarah Makassar dan Tausug (sebelah Ibu). Baginda kemungkinan besar mempunyai pertalian dengan Puteri Siti Lahamma yang berada di Johor dan Singapura sebelum persetujuan MAPHILINDO pada 04.04.1954 (sehingga termeterai pada 1964). Anak kepada Puteri Siti Lahamma ialah Almarhum Raja Hussein yang anak-anaknya sekarang menetap di Singapura, Raja Hussein ini adalah Tausug dari Sulu dan satu-satunya yang menandatangani MAPHILINDO dari pihak Kesultanan Sulu, tanpa beliau Malaya tidak akan dapat kemerdekaan pada 1957. Gambar Puteri Siti Lahamma dan Puteri Siti Lalay masih berada dalam Muzium Johor hari ini.
Menurut Saudara Jalsani, abangnya pernah tersesat di Johor hampir sepuluh tahun lalu terjumpa dengan kerabat Diraja Johor secara kebetulan. Beliau memeprkenalkan dirinya sebagai Tausug berasal dari Jolo dan menetap di Sabah setelah beliau ditanya. Kerabat Diraja Johor itu langsung membawanya ke Istana lalu memperkenalkannya kepada Sultan Iskandar.
Beliau dilayan sebagai saudara dan bersembang panjang dengan Sultan Johor sambil mengatakan bahawa Baginda adalah Tausug. Sebenarnya penulis tidaklah hairan adalah kerana pertalian Tausug dengan bangsa Tanah Siam-Melaka dan Sumatera-Riau ketika era Sulu Zone lagi.
Kesebelas:
YB Datuk Hj Hajiji Hj Noor adalah berketurunan Sama-Bajau Kota Belud. Menurut sejarah, Sama-Bajau dari Kota Belud adalah dari Sama-Bajau Balangingi. Asal mereka ialah di Kepulauan Sulu yang bertugas menjaga Laut Sulu (merangkumi Sulu Zone) bersama kaum atau etnik Iranun. Sebagaimana Iranun, Bajau Balangingi adalah terdiri dari pahlawan yang tiada tolok bandingnya di lautan luas.
Mereka mula menduduki Pantai Barat Sabah bersama Iranun sejak kurun ke-17 lagi. Ketika itu ikatan kekeluargaan antara Sultan Sulu, Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bungsu dengan Sultan Qudarat dari Mindanao begitu rapat sebagaimana rapatnya hubungan Sultan Sulu dan Sultan Brunei. Ini menyebabkan Iranun bergabung dengan Balangingi menjaga laut bersama demi kepentingan umat Islam.
Hari ini, Balangingi dan Iranun telah berasimilasi sesama mereka di Pantai Barat Sabah dan terpisah agak lama dengan induk mereka di Sulu dan Mindanao. Iranun dan Bajau Balangingi Kota Belud tidak lagi pandai bertutur bahasa Sulug seperti moyang mereka dahulu. Walau bagaimana pun mereka tetap dibangsakan sebagai Tausug kerana faktor sejarah.
(Tokoh dan selebriti akan ditambah dari masa ke semasa)
ASREESULU
|
ASSALAMUALAKUM...SEKADAR PANDANGAN...SAYA SARANKAN SAUDARA DAPATKAN PENGESAHAN DARI AMY SEARCH SENDIRI TENTANG STATUS BELIAU SEBAGAI ANAK ANGKAT DAN BERBANGSA TAUSUG SECARA RAKAMAN VISUAL DAN DI PAPARKAN DIBLOG SAUDARA..BUKANNYA APA KALAU CERITA NI TAK BENAR SAYA TUMPANG RISAU JUGAK SEBAB AMY NIKAN PERNAH MENANG SAMAN 1 JUTA..SERAM DENGAR 1 JUTA TU ( MAAF YE SEKADAR PANDANGAN