NELDY JOLO: Summit 17 November adalah PENENTU
Semalam 21 Oktober 2009 penulis menghubungi Neldy Jolo yang sekarang berada di Jolo (sbt Holo) dalam misinya menjelajah Kepulauan Sulu. Beliau akan bercerita tentang situasi perang di Jolo, reaksi penduduk Sulu sendiri terhadap peperangan sekarang, reaksi United Tausug Citizens (UTC) dan barisan kepimpinannya, serta penjelasan beliau terhadap Summit Meeting 17 November nanti. Berikut ialah penjelasan beliau secara ringkas sekadar yang penulis ingat:
KETIKA DI TAWI-TAWI 18 Oktober
Ketika sampai di Pulau Bongao, Tawi-Tawi, beliau langsung bertemu dengan Prof. Rajan dari MSU (Mindanao State University) Bongao. Prof. Rajan menjelaskan beberapa konsep dan ideanya berkenaan jalan-jalan kemerdekaan dalam konteks Kebangsaan SULU. Setelah itu beliau membuat kajiselidik tentang kekuatan dan kelangsungan UTC di sini, beberapa kelemahan telah dikenalpasti untuk tindakan lanjut.
Suasana di Tawi-Tawi sekarang sangat "panas" rentetan peperangan di Jolo baru-baru ini yang masih berlanjutan hingga sekarang. Hampir setiap minggu ada saja yang mati dibunuh oleh pihak keselamatan Filipina kerana dituduh bersubahat atau menjadi anggota Abu Sayyaf. Kebanyakan yang dibunuh ialah individu ahli jamaah masjid dan surau yang menurut penduduk setempat bukanlah anggota Abu Sayyaf. Samada hanya laporan fitnah berunsur permusuhan peribadi atau benar-benar Abu Sayyaf masih belum jelas. Kalau pun mungkin, hanya sekadar kambing hitam sahaja memenuhi tugasan mereka.
19 Oktober DI PULAU SIASI
Neldy bertolak dari Pulau Bongao menaiki kapal laut ke Pulau Siasi yang lokasinya pertengahan antara Pulau Jolo dan Pulau Tawi-Tawi. Ketika sampai di Pulau Siasi beliau memberitahu keadaannya lebih "panas" berbanding di Tawi-Tawi. Beliau mengambil gambar suasana di Pekan Siaisi menggunakan kamera digital menyebabkan kehairanan orang disekelilingnya. Penduduk Tausug Siasi memandangnya dengan pandangan negatif, Neldy risau dia disalah anggap sebagai "Tali Barut" kerajaan Filipina, lalu beliau mengemas barangnya terus menaiki kapal laut sambung perjalanan menuju ke Pulau Jolo.
Dalam keadaan suasana perang di Jolo seperti ini walau pun tidak diistihar darurat tetapi pergerakan amat terbatas terutama di kalangan komuniti Tausug. Neldy telah membuat kajiselidik terhadap beberapa orang Tausug di Pulau Siasi yang sempat beliau tanya, bahawa mereka (Tausug Siasi) sekiranya perang berlanjutan mereka tidak akan berdiam diri. Sekiranya ancaman semakin meluas sampai ke Siasi, mereka akan berkumpul melawan Kerajaan Filipina dengan senjata kerana majoriti Tausug Siasi memiliki senjata sendiri yang tersimpan di rumah-rumah mereka.
Neldy turut menjelaskan apa sebenarnya yang penduduk Tawi-Tawi dan Siasi faham tentang peperangan di Jolo sekarang. Mereka menyatakan bahawa apa yang mereka faham terhadap peperangan tersebut telah dimulai oleh tentera Filipina sendiri. Menurut mereka lagi, tentera Filipina sebenarnya mahu membunuh Nur Misuari pada pagi hari raya Adil Fitri tempohari. Tentera Filipina menganggarkan Nur Misuari akan bersembahyang sunat Aidil Fitri di Masjid Marang pada pagi 20 September lalu yang pastinya akan ditemani oleh rakan-rakannya seperti Komander Khaid dan beberapa orang lagi maka mudahlah menghapuskan semuanya dalam satu masjid.
(ketika penulis menghubungi Hj Kerry berkenaan hal ini, beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Nur Misuari yang mereka hendak bunuh kerana perjanjian Final Peace Agreement antara MNLF dan Kerajaan Filipina masih berkuatkuasa. Sebarang pembunuhan terhadap Nur Misuari akan menyebabkan PBB dan OIC akan menghukum Filipina. Bagi Hj Kerry ada sesuatu atau hal lain yang menjadi punca peperangan di Jolo itu)
DI JOLO PADA 20 Oktober
Beliau sampai ke Bandar Jolo dan terus ke Istana Billukan Drive, Buansa. Beliau disambut oleh Perdana Menteri UTC, Saudara Asarani. Beberapa puluh orang telah menunggu untuk mendengar ceramah dari Neldy Jolo yang baru sampai. Majlis ceramah dan penjelasan bermula siang sampailah ke malam seterusnya selesai sebelum subuh. Saudara Atty. Meltino Jaujan Sibulan (Peguam UTC) turut hadir dan memberi penjelasan. Antara penjelasan Neldy ialah berkisar tentang fitnah dan adu domba dalam UTC dan memberi jalan penyelesaiannya.
Menurut Neldy fitnah dan adu domba adalah lumrah (dinamika) dalam mana-mana pertubuhan atau perkumpulan. Hal ini adalah masalah dalaman (internal) yang boleh diselesaikan, pastinya tidak akan mengganggu atau menghancurkan kesatuan UTC. Sebagai contoh, betapa teruk pun fitnah dan adu domba dalam arena politik Indonesia dan Malaysia, mereka tetap bertahan dan bersatu dalam pemerintahan.
PENDIRIAN UTC TERHADAP PERANG DI JOLO
Neldy bersembang panjang dengan Perdana Menteri UTC iaitu saudara Asarani berkenaan pendirian UTC terhadap peperangan di Jolo sekarang. Kebetulan Asarani sendiri adalah bekas anggota MNLF dan keluarga beliau termasuk beberapa orang Komander MNLF adalah juga keluarga beliau sendiri. Asarani juga punya ramai keluarga rapat yang bekerja dengan kerajaan Filipina termasuk beberapa orang professor dan anggota polis berjawatan tinggi. Sebenarnya beginilah situasi sebenar Tausug di Jolo, sesama mereka mempunyai kaitan keluarga dan saling bantu-membantu sesama mereka.
Neldy mengatakan bahawa Asarani telah memberitahunya apa pendirian UTC terhadap perang di Jolo. Pendirian UTC,
"Perang di Jolo sekarang ialah jelas peparangan tentera Filipina melawan rakyat Filipina yang memberontak. Kami UTC bukan rakyat Filipina, ahli UTC yang berada dalam zon perang dipergunungan Jolo walau pun mereka membawa senjata, tentera Filipina tiada hak merampas senjata mahu pun menangkap dan menyoal siasat mereka".
Menurut peguam UTC, Atty. Meltino Jaujan Sibulan tentera Filipina akan mereka tuntut di mahkamah antarabangsa sekiranya rakyat Kesultanan Sulu (UTC) mereka aniaya dan perlakukan mereka seperti penjenayah di negara mereka sendiri. Tetapi sekiranya tidak melibatkan UTC iaitu mereka yang punya Saidula (resit cukai kepala Filipina) dan punya kad pengundi Filipina (Voter Card) itu adalah hak Filipina dan terpulanglah kepada mereka mahu buat apa. Kerana UTC pun tidak ada hak mencampuri urusan dalaman Filipina sebagaimana Filipina sendiri tidak mencampuri urusan UTC selama ini. Tinggal lagi, sekiranya tentera Filipina mengebom membabi-buta sehingga memusnah dan membunuh rakyat yang tidak berdosa maka UTC akan mengecam Filipina serta menuntutnya atas kesalahan jenayah kemanusiaan.
Neldy mengatakan menurut laporan Asarani, beberapa orang telah tertangkap di pedalaman Jolo dalam kawasan zon perang baru-baru ini. Antara yang tertangkap ialah seorang ahli UTC, setelah menunjukkan surat kelahiran UTC sebagai pengesahan yang beliau bukan rakyat Filipina beliau dibebaskan tanpa syarat manakala saudaranya yang lain dibelasah teruk dalam soal-siasat kerana mereka membawa Voter Card Filipina dalam dompet. Oleh kerana mereka tertangkap dalam zon perang mereka dianggap warga Filipina yang menyertai Abu Sayyaf dan MNLF yang memberontak.
AJAKAN UTC MENYERTAI SUMMIT 17 November
Menurut UTC satu-satunya jalan keamanan dan kemerdekaan Sulu ialah Tausug kena mewujudkan kewarganegaraan mereka sendiri sebagaimana sejarahnya yang lalu. Selagi mereka tidak mencari jalan kearah kewarganegaraan sendiri selagi itulah darah mereka "halal" dibunuh oleh kufar Filipina. Menurut UTC, dunia apatah lagi ASEAN tidak akan dapat membantu umat Islam Sulu untuk melanjutkan peperangan seperti yang berlaku sebelum ini. Sekarang adalah masa perdamaian dan permainan bukti menggunakan mahkamah antarabangsa.
Sekarang masa kebijaksanaan bukti sejarah dan perundangan menggunakan undang-undang antarabangsa (International Law) bukan lagi peperangan. Manusia hari ini sudah lali dengan peperangan dan pembunuhan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum. Pastinya manusia lebih memilih hidup nafsi-nafsi atau "kubur masing-masing" untuk menyelamat tali perut sendiri berbanding membantu umat lain yang sedang dalam kesengsaraan. Tiada siapa yang mahu menyerahkan simpanan "nasi" terakhirnya kepada orang lain. Sebab itu mengapa Summit 17 November 2009 ini begitu penting kepada Umat Islam Sulu.
UTC telah memberi cadangan melancarkan Summit 17 Nov ini tetapi tidak pula menganggap bahawa dirinyalah yang sepatutnya diangkat sebagai "Pemerintah Sulu". Summit ini diadakan bertujuan membincangkan isu kemerdekaan Sulu di meja bulat yang mana perlunya dihadiri oleh semua lapisan pemimpim masyarakat samada mereka UTC, MNLF, MILF, ABU SAYYAF, UMOA, MILF, pegawai yang bekerja dalam kerajaan Filipina termasuk Mayor dan Gobernor, Ketua kampung, para Datu, para Syarif, para ustaz atau Ulama', Tausug Malaysian, Tausug Indonesian juga turut dijemput hadir. Suara cadangan dan idea membina dari semua hadirin akan diambil kira dalam Summit tersebut. Tujuan utamanya ialah mencari kata putus apa sebenarnya yang dimahukan oleh Bangsa Sulu. Mereka mahu kemerdekaan secara keamanan atau peperangan?
TINDAKBALAS TERHADAP SUMMIT
UTC bermula dari Jolo sehingga ke Zamboanga dan Basilan, dari Tawi-Tawi sehingga ke Sabah surat jemputan telah mereka edarkan. Samada dijemput secara mulut atau surat rasmi bukanlah persoalannya, yang penting setelah mengetahui tujuan dan bila Summit diadakan adalah menjadi satu kewajiban kepada semua pihak untuk menghadirinya. Ianya pasti tercatat dalam sejarah Sulu sampai bila-bila.
Antara mereka yang menyatakan kehadiran ialah Mayor dan Gobernor Sulu sendiri iaitu Gobernor Abdulsakur Tan. UTC menemuinya menyerahkan surat jemputan ke Summit, beliau bersetuju hadir demi Bangsa, Negara dan Agama. Demikian juga dikalangan para Komander MNLF mereka turut menyatakan persetujuan untuk hadir. Menurut Asarani, pemimpin atau para Komander MNLF walau pun telah setuju hadir tetapi tidak dapat menghadirinya kerana mereka pasti akan digempur oleh tentera Filipina kerana mereka sudah tersenarai sebagai "BERSALAH", apa yang mereka perlu buat ialah mengarahkan anak isteri mereka menghadiri Summit untuk mereka yang sedang berperang.
Menurut Neldy, para Komander MNLF yang sedang berperang di pedalaman Jolo ketika ini telah bertanya, "Sekiranya Summit 17 November ini gagal maka apakah tindakan seterusnya? Bukankah ini bermakna PEPERANGAN juga yang menjadi jawabannya? Kami tidak akan berhenti berperang selagi tiada jalan penyelesaian."
Menurut Asarani dan Atty. Meltino, kalau pun Summit tidak dapat membuahkan hasil yang diharapkan, UTC tetap akan meneruskan cara keamanan iaitu secara pemahaman sejarah kepada semua umat Islam Sulu. UTC setiap minggu masuk kampung keluar kampung di pedalaman Jolo menjelaskan konsep UTC (Kewarganageraan Sulu yang hilang mesti dikembalikan dengan cara memahami konsep Tausug dan Kesultanan Sulu). Setiap hari umat Islam Sulu yang datang dari semua pelusuk kampung mendaftar "Surat Kelahiran" UTC di pejabat mereka di Billukan Drive, Buansa Sulu.
Laporan berdasarkan kenyataan Neldy Jolo dalam telefon.
ASREESULU
|