PERARAKAN UTC/UTP DI ZAMBOANGA CITY

Posted by DZULASREE @ Asree Sug on Thursday, December 10, 2009 0 ulasan


Zamboanga City, 26 Nov 2009:
MINDANAO WEEK of PEACE itulah slogan keamanan yang diraikan dengan perarakan bersama oleh kira-kira 25,000 orang ditengah-tengah Bandaraya Zamboanga. Bermula sekitar jam 7.00 pagi kumpulan UTP dan anggota Council of Regents, Sultanate of Sulu yang diketuai oleh YM Datu Albi Ahmad Julkarnain telah terpacak di hadapan bangunan Hotel Lantaka.

Tidak jauh dari situ, satu jalan lagi telah dipenuhi oleh ribuan manusia dengan memakai seragam kumpulan masing-masing seolah-olah sedang menyertai satu pesta peragaan fesyen busana. Kumpulan UTP mula memasuki kumpulan manusia yang begitu ramai memenuhi sepanjang jalan sejauh satu kilometer itu.


TUJUAN PERARAKAN
Penulis bertanya kepada YM Datu Albi mengapa begitu ramai manusia memenuhi sepanjang jalan tersebut,

"Ini adalah budaya Visaya Filipina setiap kali ada sambutan keramaian mereka akan bersatu hati membuat perarakan bersama menunjukkan sokongan. Kita dijemput secara rasmi ke acara ini kerana bagi mereka entiti Kesultanan Sulu sangat penting untuk kedamaian di Sulu dan Mindanao".

Tiba-tiba ditengah-tengah kesibukan manusia mengatur barisan masing-masing muncul seorang wanita yang dikatakan sebagai Presiden Western Mindanao State University (WEMSU) lalu menyapa YM Datu Albi dalam bahasa Tagalog. YM Datu telah perkenalkan kumpulan anggotanya The Royal Datus Sultanate of Sulu termasuk DYMM Datu Ladjamura yang turut menyertai perarakan tersebut.

"Kami sangat berbesar hati para Datu sekalian dapat meluangkan masa dalam majlis kami ini mudah-mudahan akan membawa manfaat kepada kita semua. Kita amat bersimpati kepada keluarga mangsa pembunuhan beramai-ramai di tengah Mindanao kelmarin... kita hadir hari ini adalah untuk kedamaian dan mengutuk keganasan..."

Begitulah luahan perasaan seorang wanita berkerjaya yang menjadi Presiden WEMSU kepada YM Datu Albi. Menurut saudara Neldy Jolo, WEMSU pada asalnya adalah dikenali sebagai Royal University atas nama Sultanate of Sulu sebelum dinamakan Western Mindanao State University. Pengubahan nama tersebut telah dilakukan oleh Manila agar identiti University tersebut yang beratasnamakan Kesultanan Sulu dapat dihilangkan. Sebab itulah mengapa Presiden WEMSU sangat menyokong Kesultanan Sulu untuk kembali berdaulat kerana beliau telah mengetahui sejarah penubuhan WEMSU sejak dari awal.

Presiden WEMSU sedang bersembang dengan YM Datu Albi di pagi perarakan WEEK of PEACE.

PERARAKAN BERMULA
Dalam kesibukan ribuan manusia menyusun barisan pihak Royal Datus Sultanate of Sulu berada ditengah-tengah, Presiden WEMSU berkata kepada YM Datu Albi,

"Datu, tempat kalian bukan di sini. Ajak semuanya ke bahagian hadapan, kita sudah susun kedudukannya maaf ya Datu."

YM Datu Albi memberitahu DYMM Datu Ladjamura untuk bersama ke bahagian hadapan. Menurut YM Datu Albi, Presiden WEMSU telah dimaklumkan akan kehadiran pemimpin utama United Tausug Citizens yang sudi menyertai perarakan keamanan tersebut. Hal ini telah menjadi kejutan terutama kepada pihak keselamatan berkenaan kehadiran pemimpin UTC dalam perarakan tersebut yang dibawa oleh Council of Royal Datus.

Anggota Polis Filipina turut menyertai perarakan.

Menurut YM Datu Albi lagi, kehadiran UTC di sini dapat menunjukkan kepada mereka bahawa UTC adalah anti peperangan dan keganasan serta menentang ketidakadilan. Satu-satunya jalan untuk keamanan di Sulu dan Mindanao ialah

"Kembalikan Sulu dan Mindanao kepada Kesultanan Sulu dan Kesultanan Maguindanao"

maka amanlah wilayah ini. Selagi hak rakyat Sulu dan Mindanao tidak dikembalikan maka selagi itulah kedamaian tidak akan tercapai. Maka kata-kata dan slogan untuk kedamian hanya tinggal slogan, yang ada ialah "permainan" demi mempertahankan survival politik "keperutan" duniawi. Sebab itu peperangan di sini berpunca dari permainan politik tempatan sendiri yang selama ini dibiayai oleh kerajaan Filipina.

Berbalik kepada perarakan, kumpulan Sultanate of Sulu telah berada di bahagian hadapan. Kelihatan Polis peronda mengawal jalan berada di bahagian hadapan, kiri dan kanan.

Polis trafik berada di hadapan bersedia mengawal lalulintas. Kelihatan UTC/UTP berada di belakang sedang mengatur barisan.

Perarakan pun bermula, YM Datu Albi dan rombongan DYMM Datu Ladjamura diiringi Ketua Pendita (Padre) Zamboanga dan para pemimpin tempatan turut mengiringi di bahagian hadapan. Siren polis telah dibunyikan menambah lagi kebisingan ditengah-tengah hiruk-pikuk bandaraya Zamboanga.

"Buka bendera Sulu sekarang!! Hari ini dalam sejarah, bendera Sulu pertama kalinya berkibar dan diarak ditengah Zamboanga City tanpa pertumpahan darah." Suara DYMM Datu Ladjamura memberi arahan kepada anggota Peace Keepers UTC yang sedang berkawad memegang bendera Sulu.

Beberapa orang wartawan dan pihak keselamatan terbeliak biji mata setelah melihat Peace keepers membuka bendera Sulu, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Yang menjadi kehairanan mereka bagaimana Peace Keepers UTC yang memegang erat bendera Sulu itu mempunyai tulisan di lengan mereka "Philippines Out Now From Sulu".

Anggota Peace Keepers UTC mengibar bendera kebanggan mereka mengelilingi Zamboanga City.


PERTEMUAN PEMIMPIN
YM Datu Albi sebagai Pengerusi Council of Regents telah menyatakan kepada DYMM Datu Ladjamura berkenaan komitmennya membawa UTP ke satu tangga lagi agar pemimpin tempatan mengenali DYMM Datu Ladjamura dan rakyatnya. Tetapi kerja pengenalan ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama dari pihak Tausug sendiri.

DYMM Datu Ladjamura seorang pemimpin yang merendah diri serta mempunyai kesungguhan yang luar biasa. Baginda sanggup berjalan bersama sejauh 10 kilometer dan mengikut arahan Council of Regents bergaul dengan golongan elit Zamboanga. Bagi penulis ini adalah cara untuk melatih pemimpin UTC mengenali protokol dan budaya luar kerana YM Datu Albi memang sejak dari dulu bergaul dengan golongan atasan Zamboanga hingga ke Manila.

Setelah lebih sejam berjalan maka mereka berhenti di satu Stadium sekolah di pinggir Bandaraya Zamboanga. Stadium tersebut dapat menampung seramai 25,000 orang dalam satu masa. Setelah semuanya duduk memenuhi stadium, ucapan alu-aluan dan bacaan ayat suci Al-Quran telah dikumandangkan oleh seorang ustaz kemudian nyanyian koiar anggota gereja sebagai permulaan majlis.

Dari kiri: Ketua Pendita Katolik (bertopi), YM Datu Albi Julkarnain, Yang Dipertua Hak Asasi Manusia Zamboanga (kepala botak), DYMM Datu Ladjamura Aranan.

Sebelum majlis berlangsung, YM Datu Albi telah perkenalkan DYMM Datu Ladjamura kepada Yang Dipertua Hak Asasi Manusia Zamboanga. Mereka berkenalan dan bersembang serba sedikit tentang hak asasi manusia. Tidak berapa lama kemudian muncul seorang lelaki yang tinggi lampai berdarah Spanyol iaitu Mayor Zamboanga City. Mereka bersalaman dan bertanyakan khabar, YM Datu Albi perkenalkan rombongannya dari Sultanate of Sulu.

Nampaknya Mayor terkejut dengan kehadiran Pemimpin Utama UTC selain YM Datu Albi. Kerana mungkin sebelum ini beliau telah memberi arahan untuk menyiasat kehadiran bendera Sultan Sulu di Putik-Tumaga sehingga menjadi kekecohan kejiranan Visaya Kristian di sana. Apa yang mungkin bermain di kotak fikiran Mayor ialah "Rupa-rupanya UTC ni adalah Filipino, kalau bukan, mengapa mereka menyertai perarakan yang dianjurkan oleh Filipina ini?".

Ketika Mayor berucap beliau berasa gembira dan bangga atas perpaduan "Filipino" demi keamanan wilayah bergolak di Mindanao. YM Datu Albi dan pemimpin UTC tersenyum sinis mendengar ucapan Mayor tersebut kerana ketika perarakan tadi tiada satu pun bendera Filipina dibawa dalam perarakan kecuali bendera Kesultanan Sulu.

Kelihatan DYMM Datu Ladjamura Aranan yang mewakili Kesultanan Sulu melepaskan burung merpati putih tanda keamanan disamping Presiden WEMSU, Ketua Pendita Katolik, Mayor Zamboanga (berbaju biru).

Setelah ucapan selesai maka acara melepas burung merpatih putih pun bermula. YM Datu Albi telah mengatur agar DYMM Datu Ladjamura yang ikut bersama pemimpin lain melepaskan burung merpati sebagai mewakili Kesultanan Sulu. Kain rentang warna kuning turut ditunjukkan bertulis kutukan terhadap pembunuhan beramai-ramai (termasuk 10 orang wartawan) di kawasan Maguindanao di Mindanao baru-baru ini.

Atty. Meltino Jaujan Sibulan telah ditemuramah oleh wartawan. Soalan banyak berkisar tentang kehadiran UTC dalam Week of Peace.


Majlis tamat pada waktu tengah hari dan bersurai. Seorang wartawan wanita jelita datang menyerbu kumpulan UTP mencari jurucakapnya untuk ditemuramah, Atty. Meltino selaku Legal Councel Sultanate of Sulu lah yang bercakap untuk UTP. Beberapa minit sebelum itu Ketua Pendita Katolik dan Presiden WEMSU telah datang menemui YM Datu Albi dan DYMM Datu Ladjamura untuk mengajak makan malam nanti sebagai tanda terima kasih disamping dapat bersilaturrahmi lebih dekat.

Majlis makan malam penulis akan paparkan dalam artikel akan datang.

ASREESULU

Post a Comment