UTC MENJEJAK TAUSUG MALAYSIA
Penulis sedang memberi penjelasan kepada lebih 60 orang hadirin di Masai dan Seri Alam, Johor baru-baru ini.
Baru-baru ini penulis berada di Johor kerana jemputan sahabat-sahabat PEKIDA Tausug di sana. Jemputan telah pun dimaklumkan kepada penulis sejak bulan Mac lagi iaitu selepas program Silaturrahim penulis dengan saudara-saudara PEKIDA Tausug di Melaka tempohari.
Beberapa perkara menarik telah berlaku ketika berlangsungnya majlis Silaturrahim tersebut sehingga terbawa-bawa selepas waktu majlis. Pelbagai cerita dan pengalaman para hadirin telah diluahkan untuk dikongsi bersama. Kerana majoriti para hadirin adalah bekas-bekas pejuang MNLF dan selainnya adalah anak-anak bekas pejuang sendiri yang sudah bermastautin di Johor.
Menurut "tuan rumah" Tausug yang tidak mempunyai "surat menyurat" memuaskan berjumlah 4,700 orang, manakala yang punya kad pengenalan Malaysia dianggarkan melebihi 10,000 orang. Itu di Masai dan Seri Alam sahaja tidak termasuk Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu.
Dari penelitian penulis, majoriti Tausug di Semenanjung Malaysia hanya terdapat di tiga negeri sahaja iaitu Johor, Melaka dan Selangor, masing-masing Masai dan Seri Alam di Johor, Sungai Udang dan Perkampungan Suluk di Melaka (kemungkinan penghuninya sudah berada di sini sebelum Malaysia Merdeka), Andalas, ialah Kelang di Selangor juga terdapat ribuan Tausug yang bekerja di Pelabuhan Kelang dan sekitar Bandaraya Shah Alam. Selainnya bertaburan di seluruh Semenanjung Malaysia seperti di Kemaman Terengganu bekerja dengan PETRONAS cari gali. Di Kuala Lumpur yang menjadi peniaga di Bangunan Kota Raya dan Jalan Masjid India.
Walaubagaimana pun, tajuk perbualan dalam majlis silaturrahim tersebut banyak berkisar tentang kemerdekaan Sulu 17 Nov 2010 nanti. Di akhir majlis soal-jawab hadirin bertalu-talu dilontarkan pada penulis antaranya,
- Siapa United Tausug Citizens (UTC)? Dan siapa yang berada di belakangnya?
- Apa relevannya UTC berbanding MNLF?
- Bagaimana UTC berjaya memerdekakan Sulu sedangkan tentera Filipina masih berada di Sulu? Bukankah akan berlaku pertembungan Kuasa?
- Apakah sikap UTC terhadap Maas Nur Misuari dan Moro (MNLF, MILF)?
- Adakah UTC dengan BMO (Bangsa Moro Overseas) @ UMO adalah kumpulan yang sama?
- Datu Ladjamura Aranan Puyo menjadi pemimpin UTC adalah kerana telah "dinaikkan" oleh Gobernor Abdul Sakur Tan, benarkah?
- Kalau UTC berjaya memerdekakan Sulu apakah bentuk undang-undangnya?
Soalan:
"Sekiranya kami tidak menyokong UTC untuk memerdekakan Sulu apakah akibatnya? Kerana kebanyakan kami sudah selesa di Johor ni. BMO (Bangsa Moro Overseas) yang dibawa komander Milham ke sini pun kami tidak sokong"
Jawapan:
"Saya pun sudah selesa di Selangor, tetapi makcik dan pakcik, sepupu dan saudara mara di Sabah adakah mereka selesa seperti kita? Mereka dihambat sekejap ke Filipina sekejap ke Sabah. Lari dari Filipina ke Sabah Malaysia kerana keganasan perang yang dicipta Filipina, di Sabah pula mereka ditangkap, disumbat ke dalam rumah merah kemudian di rotan lalu dihalau lagi ke Filipina. Hal ini akan berterusan sampai kiamat. Sungguh kasihan!! Kita kasihan, Malaysia juga kasihan kerana terpaksa menanggung dosa. Maka kiranya kita ummat Islam tidak menyokong UTC tidak mengapa, ikut atau tidak!! Sokong atau tidak!! SULU TETAP AKAN MERDEKA 17hb Nov 2010!!"
Hadirin berdiri dan bertepuk tangan, mungkin setuju atau bertepuk hanya setakat mengambil hati tidaklah penulis tahu. Semoga tepukan tersebut tanda setuju dan sokongan, insyaAllah.
Soalan:
"Kami sudah jadi rakyat Malaysia, kalau kami sokong Sulu maka tentu kami akan mendapat kewarganegaraan Sulu. Sedangkan Malaysia tidak menerima dua kewarganegaraan dalam satu masa. Tentunya akan membahayakan kedudukan kami di Malaysia. Apa pandangan saudara?"
Jawapan:
"Saya pun warganegara Malaysia, selagi kita tahu dan mengikut undang-undang maka kita akan selamat di dunia insyaAllah. Undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa setiap manusia mempunyai hak menentukan kewarganegaraannya sendiri. Sulu belum disahkan merdeka sehingga tarikh 17 Nov 2010 nanti oleh Malaysia, maka kewarganegaraan Sulu juga belum disahkan ketika ini."
"Sebab itu tiada salahnya kita menyokong. Sekiranya sudah merdeka dan Malaysia sudah mengesahkan kemerdekaan Sulu maka kita Tausug warganegara Malaysia perlu menentukan sendiri mau kemana. Kalau anda mahu ke Sulu maka sila serahkan kewarganegaraan Malaysia anda ke kaunter JPN mana-mana cawangan. Sekiranya anda memilih Malaysia sebagai negara maka anda cuma ke pejabat Kesultanan Sulu untuk memohon SULU PR sahaja (kalau di Malaysia MYPR). Anda tetap warganegara Malaysia dan punya Sulu PR untuk kemudahan di Sulu... Hal ini saya telah bincangkan dengan Council of Regents di Sulu"
Nampaknya para hadirin setuju, Alhamdulillah.
Al-fadhil Ustaz Hj Abdul Halim Abbas Kedah sedang berceramah selepas solat Maghrib di Kg. Bahagia Sandakan baru-baru ini. Tajuk ceramah ialah "Kasih Rasulullah saw kepada ummatnya & perlunya manusia tunduk kepada undang-undang Allah swt". Selesai ceramah, Ustaz langsung mendaftarkan diri sebagai ahli UTC bersama dua orang isterinya.
"Ingat, perjuangan UTC bukannya menuntut Sabah dari tangan Malaysia. Saya berlepas tangan dari segala hal tuntutan terhadap Sabah, kerana berkenaan Sabah biarlah Kerajaan Sulu dan Kerajaan Malaysia yang berbincang secara muhibbah dan memutuskan apa sahaja yang lebih baik buat Ummat Islam kedua-dua negara".Peringatan terakhir penulis ialah,
ASREESULU
|