Perang 1972: Antara Perang Jihad & Konspirasi
Petikan video lakonan Robin Padillia sebagai tentera Filipina melawan tentera pemisah MNLF di Sulu.
CERITA PERANG
Menurut cerita beberapa orang komander MNLF, perang Moro vs Filipina kemuncaknya ialah pada tahun antara 1972 hingga 1976. Inilah tahun-tahun paling menonjol yang berjaya memperlihatkan kekuatan tentera Moro (Muslimin) ketika itu. Atas nama jihad fisabilillah walau pun sebelumnya mereka diberi tahu bahawa perjuangan tersebut mengambil kaedah Fidel Castro di Cuba iaitu perang ala Komunis untuk dapatkan kemerdekaan dari Filipina, namun mereka meletak "maksud" utama mereka iaitu jihad fisabilillah walau apa pun keadaannya.
Mereka tidak kisah langsung apakah mereka MNLF atau bukan, apa yang lebih penting bagi mereka ialah "Filipina sedang mengancam untuk membunuh umat Islam ke seluruh kepulauan" tidak ikut serta memerangi Filipina dikira dayyus.
Ayah penulis bercerita,
"Pada 1973, Pulau basilan telah diserang, kami telah dikerah melawan Filipina kerana dikatakan akan membunuh semua umat Islam ketika itu. Datuk kamu (Imam Muhammad Salleh) telah diarahkan mengetuai pasukan 50 orang kampung bersenjata untuk menghalang kemaraan kereta kebal tentera Filipina memasuki tengah Pulau Basilan. Ramai yang syahid atas nama fisabilillah setelah itu..."
Tentera sabil tanpa mengira mereka MNLF atau bukan telah sama-sama mempertahankan kepulauan Sulu dari kedurjanaan Filipina ketika itu.
Tuan Hj Zakaria "Kerry" bercerita,
"Peperangan di Jolo, Sulu adalah cetusan perang yang pertama di kepulauan Sulu pada awal 1972. Kemenangan awal telah diraih oleh pejuang MNLF hanya beberapa ketika sebelum dirampas semula oleh tentera Filipina".
Kom. Kalim bercerita,
"Tiada harapan lagi untuk hidup, yang ada hanya perlu mencari musuh dan menembak sampai ketitisan darah yang terakhir, sekurang-kurangnya tidak mati katak dilanyak musuh".
Pakcik Utal bercerita,
"Tentera Filipina menyerang kami di sebuah pulau, dari kejauhan seperti semut-semut hitam datang menyerang kami. Saya memegang M-60 melepaskan tembakan tanpa henti sehingga hujung senapang menyala kemerahan. Kami berpecah dan terus melawan sambil berlindung di sebatang pokon mangga. Saya lihat daun pokok mangga berjatuhan rupa-rupanya 7 orang tentera kafir Filipina sedang menyorok di belakang mangga ketakutan sambil menembak dengan menghalakan muncung M-16 mereka keatas, patutlah daun mangga berjatuhan. Saya hanya baling bom tangan kemudian menabur mereka dengan satu magazin peluru M-16... Alhamdulillah semua mampus".
Pakcik Utal menyambung cerita,
"Komander kami adalah seorang Syarif yang kami panggil Habib, beliau adalah seorang komander yang warak yang senantiasa berzikir ketika menembak musuh. Beliau telah terkepung dan berjaya ditangkap kerana kehabisan peluru. Beliau ditembak bertalu-talu oleh tentera kafir namun masih berdiri malah tidak cedera langsung. Tentera kafir merampas pedangnya kemudian memenggal leher dengan pedangnya sendiri, Habib terkulai syahid".
Pakcik Utal berjaya meloloskan diri dari kepungan. Beliau cedera parah di siku kanannya dan ditemui oleh pasukan MNLF lain kemudian dihantar ke Jampiras Sandakan untuk menerima rawatan susulan pada 1975. Sekarang beliau bekerja sebagai mekanik enjin di Bandar Sandakan. Penulis tanya kalau beliau mahu berperang semula beliau hanya berkata "Itu dulu, sekarang sudah aman". Pakcik Utal seorang pejuang yang buta huruf dari kaum Bajao Balangingi telah menjadi contoh kepada anak-anaknya.
Beratus orang seperti Pakcik Utal malah beribu bekas Pejuang Moro Majoritinya tinggal di seluruh Sabah dan Semenanjung Malaysia. Kalau cerita ini dibaca oleh saudara Mutalib MD (Juara mengesan IC Palsu) pasti beliau bertanya "Pakcik Utal tu warganegara Malaysia kah? Kalau ya siapa yang bagi dia IC?"
Akhirnya majoriti pejuang telah menyedari bahawa peperangan tersebut hanyalah satu "program" untuk tujuan "sesuatu". Mereka telah ceritakan segalanya kepada penulis sebab itu terhasilnya buku "Tausug & Kesultanan Sulu" agar dengan demikian Tausug akan menyedari "permainan" musuh keatas diri mereka.
ASREESULU
|